#28 Taudih al-Hukmi : Badal Haji untuk Lebih daripada seorang

Tarikh: 24 Julai 2023

Disediakan oleh: Naimah Mohamad Nasir

Pendahuluan

Badal haji diharuskan bagi golongan yang tidak mampu melakukan ibadah haji sama ada disebabkan keuzuran yang diambilkira dari aspek syarak atau tidak dapat melaksanakan haji sedangkan ia berkemampuan semasa masih hidup. Dalam memenuhi keperluan untuk menunaikan kewajipan ini, kini terdapat lambakan iklan yang mempromosikan pakej badal haji untuk membantu golongan ini. Antara isu badal haji diketengahkan ialah adakah dibolehkan bagi seorang yang mengerjakan badal haji untuk beberapa orang iaitu melebihi seorang dalam satu haji?

Hukum Melaksanakan Badal Haji lebih daripada Seorang

Secara asasnya, hukum melaksanakan badal haji ini diharuskan oleh syarak menurut jumhur fuqaha[1]. Hal ini berdasarkan kepada beberapa hadis antaranya riwayat daripada Ibnu Abbas RA berkata:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ مِن خَثْعَمَ عَامَ حَجَّةِ الوَدَاعِ، قالَتْ: يا رَسولَ اللَّهِ إنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ علَى عِبَادِهِ في الحَجِّ أدْرَكَتْ أبِي شيخًا كَبِيرًا لا يَسْتَطِيعُ أنْ يَسْتَوِيَ علَى الرَّاحِلَةِ فَهلْ يَقْضِي عنْه أنْ أحُجَّ عنْه؟

 قالَ: نَعَمْ.[2]

Maksudnya: Seorang wanita dari kabilah Khath’am datang kepada Baginda pada tahun haji wada’ lalu berkata: Ya Rasulullah sesungguhnya ayahku telah diwajibkan untuk mengerjakan haji sedangkan dia dalam keadaan tua dan tidak mampu untuk duduk tegak di atas kenderaannya, bolehkah aku menunaikan haji untuknya? Nabi SAW menjawab: Ya (boleh!)

(Riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun, keharusan melakukan badal haji ini tertakluk dengan syarat pelaksana sudah melaksanakan haji untuk dirinya dan memenuhi syarat-syarat badal haji. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ، قَالَ: مَنْ شُبْرُمَةُ؟ قَالَ: أَخٌ لِي – أَوْ قَرِيبٌ لِي – قَالَ: حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ؟  قَالَ: لَا، قَالَ: حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ

ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ[3]

Maksudnya: Bahawa Nabi SAW mendengar seorang lelaki berkata: (Menyahut Panggilan-Mu Ya Allah daripada Syubrumah), Lalu baginda bersabda: Siapakah Syubrumah?, Maka lelaki tersebut menjawab : Saudaraku. Baginda bersabda: (Kamu sudah menunaikan haji untuk dirimu?) Lelaki tu berkata: Tidak, Baginda bersabda: (Tunaikan haji untuk dirimu terlebih dahulu, kemudian tunaikan untuk Syubrumah).

(Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis di atas, Imam Ibn Hajar al-’Asqalani menjelaskan seperti berikut[4]:

أَنَّهُ لَا يَجُوزُ لِمَنْ لَمْ يَحُجَّ عَنْ نَفْسِهِ أَنْ يَحُجَّ عَنْ غَيْرِهِ وَسَوَاءً كَانَ مُسْتَطِيعًا أَوْ غَيْرَ مُسْتَطِيعٍ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَسْتَفْصِلْ هَذَا الرَّجُلَ الَّذِي سَمِعَهُ يُلَبِّي عَنْ شُبْرُمَةَ

Maksudnya: Tidak dibolehkan untuk seseorang yang belum melaksanakan haji untuk dirinya sendiri mengerjakan haji untuk orang lain samada seseorang itu berkemampuan atau tidak kerana Nabi SAW tidak memperincikan keadaan lelaki yang melakukan haji untuk Syubrumah.

Adapun bagi permasalahan seseorang mengerjakan haji untuk beberapa orang dalam satu haji adalah tidak diharuskan dan jika dilakukan badal haji itu tidak sah. Mafhum daripada hadis Syubrumah di atas menunjukkan bahawa ibadah haji adalah ibadah yang tidak boleh digabungkan dua niat dalam satu haji. Sekiranya ibadah haji boleh dilakukan untuk dua orang atau lebih, tentu Nabi SAW akan mengizinkan lelaki tersebut untuk menggabungkan niat haji untuk dirinya dan Syubrumah sekaligus.

Tambahan lagi, ibadah haji ialah suatu ibadah yang terhad waktunya (mudayyaq) untuk menyempurnakan satu jenis ibadah tertentu sahaja dan tidak memadai atau mencukupi untuk  melaksanakan ibadah lain yang sama jenis. Hal ini menyebabkan tidak mungkin dua ibadah haji dapat dilaksanakan sekaligus dalam satu tahun kerana seseorang itu perlu menyempurnakan kesemua manasik haji bagi memastikan ibadah hajinya sah.

Selain itu, jika pelaksana badal mengerjakan haji untuk orang lain meskipun sudah mengerjakan haji untuk diri sendiri maka haji tersebut menjadi milik pelaksana. Hal ini berdasarkan kepada penyataan Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’:

قَالَ أصحابنا لو استاجر رجلان يَحُجُّ عَنْهُمَا فَأَحْرَمَ عَنْهُمَا مَعًا أَنْعَقَدَ إحْرَامُهُ ‌لِنَفْسِهِ ‌تَطَوُّعًا وَلَا يَنْعَقِدُ لِوَاحِدٍ مِنْهُمَا لِأَنَّ الْإِحْرَامَ لَا يَنْعَقِدُ عَنْ اثْنَيْنِ وَلَيْسَ أَحَدُهُمَا أَوْلَى مِنْ الْآخَرِ وَلَوْ أَحْرَمَ عَنْ أَحَدِهِمَا وَعَنْ نَفْسِهِ مَعًا انْعَقَدَ إحْرَامُهُ عَنْ نَفْسِهِ لِأَنَّ الْإِحْرَامَ عَنْ اثْنَيْنِ لَا يَجُوزُ وَهُوَ أَوْلَى مِنْ غَيْرِهِ [5]

Maksudnya: Para ashab kami berpandangan sekiranya dua orang mengupah seseorang untuk melaksanakan haji untuk mereka berdua lalu dia berihram untuk keduanya sekaligus, maka haji tersebut menjadi haji sunat untuk orang yang diupah dan tidak sah haji untuk mereka berdua kerana tidak boleh berihram untuk dua orang kerana seseorang individu tidak diutamakan berbanding individu yang lain.  Sekiranya seorang berniat haji untuk salah seorang  dan dirinya sendiri maka haji tersebut menjadi haji untuk orang yang dirinya kerana tidak harus berniat haji untuk dua orang dan  diri seseorang itu (pelaksana haji) lebih diutamakan daripada orang lain.

Syarat Pelaksana Badal Haji

Oleh itu, berdasarkan perbincangan di atas terdapat beberapa syarat yang perlu diberi perhatian bagi mereka yang ingin menjadi pelaksana haji bagi pihak orang lain iaitu:

1-Wakil itu telah melakukan fardu haji untuk dirinya.

2- Wakil memenuhi syarat kelayakan haji.

Syarat Sah Badal Haji

Bagi memastikan badal haji yang dilakukan oleh pelaksana itu  sah, terdapat beberapa perkara yang perlu dipenuhi seperti berikut:

1-Pelaksana badal haji perlu mendapat keizinan daripada pemilik haji sekiranya individu yang tidak mampu menunaikan ibadat haji (ma’dhub) tersebut masih hidup kerana ibadah haji memerlukan niat[6]. Jika tidak mendapat izin maka tidak sah badal haji atau badal umrah tersebut sama ada yang wajib atau sunat.

Jika individu yang dibadalkan haji atau umrah untuknya sudah meninggal dunia, mereka tidak memerlukan sebarang keizinan atau tidak disyaratkan wasiat daripada si mati dalam menunaikan badal haji tersebut[7].

2-Perbelanjaan atau upah bagi melaksanakan badal haji ini hendaklah diambil daripada harta mereka yang tidak mampu menunaikan ibadat haji. Jika seseorang itu telah meninggal dunia, ia hendaklah diambil daripada harta peninggalannya sebelum difaraidkan. Jika tiada harta yang ditinggalkan, maka gugur kewajipan haji ke atas dirinya begitu juga waris tidak wajib melaksanakan badal haji bagi pihak dirinya[8].

3-Berniat menunaikan haji bagi pihak mereka yang tidak mampu menunaikan ibadat haji tersebut atau si mati dari miqat orang diwakilkan tersebut[9].

4-Seseorang yang menerima upah badal haji perlu melaksanakannya dengan dirinya sendiri. Sekiranya pelaksana sakit atau mempunyai halangan untuk melaksanakannya, pelaksana boleh mewakilkannya kepada orang lain dengan mendapat keizinan.

5-Seseorang pelaksana badal haji tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh membatalkan ibadat haji yang sedang ditunaikan. Jika perbuatan tersebut dilakukan, dia wajib menqadakan ibadah haji yang telah terbatal[10].

Kesimpulan

Hukum mengerjakan badal haji bagi beberapa individu di dalam satu haji adalah tidak sah kerana  pelaksana haji hanya dibenarkan untuk melakukan badal haji untuk seorang sahaja dalam satu tahun haji. Oleh itu, dinasihatkan bagi pelaksana badal haji ini supaya menjalankan ibadah badal haji  dengan amanah supaya sah di sisi syarak dan mendapat keberkatan daripada Allah. Terdapat segelintir pihak mengambil kesempatan menawarkan perkhidmatan badal haji pada harga tidak munasabah seolah-olah tindakan sengaja mengaut keuntungan. Malah, terdapat segelintir pihak yang menawarkan perkhidmatan pakej badal haji dan tidak menyatakan secara jelas siapa pelaksananya. Oleh itu, bagi pihak yang berminat dengan badal haji disarankan berhati-hati dengan cara mengenal pasti identiti pelaksananya dan tidak hanya membuat pembayaran tanpa usul periksa kerana terdapat syarat badal haji tertentu yang perlu dipenuhi.


[1] Shams al-Dīn, Muḥammad bin Aḥmad al-Khaṭīb al-Shirbīni al-Shāfi’ī. Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj (Kaherah: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah, 1994) Jil. 2, ms. 218; Abu Muḥamad Bin Aḥmad Bin Muḥamad Bin Qudāmah. Al-Mughnī (Riyādh, Arab Saudi: Dār ‘Ālam al-Kutub,  1997) Jil. 3, ms. 222; .Ala’uddin Abū Bakr Bin Mas’ud al-Kasānī. Badāi’ al-Ṣanāi’ fī Tartib al-Sharai’ ( Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1910). Jil. 2, ms. 213.

[2] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi. Ṣahīh al-Bukhārī. (Damsyik, Syria:  Dār Ibn Katsīr, 1993). Jil. 2, ms. 657.

[3] Abū Dāwud Sulaymān bin al-Asha’th al-Azdī al-Sijistānī. Sunan Abū Dāwud. (Beirut, Lubnan: Dār al-Risālah al-‘Ilmiyyah, 2009). Jil. 3, ms. 218.

[4] Muhammad Asyraf Bin Amir Bin Ali Haydar, Abu Abd al-Rahman, Sharaf al-Haq, al-Sidiqi, al-‘Aẓīm Abādī. ‘Aun al-Ma’bud Sharh Sunan Abi Dawud. (Beirut Lubnan: Dār al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jil. 5 , ms. 174.

[5] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī. al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab.(Amman, Jordan: Dar al-Fikr, 1928). Jil. 7 , ms. 138.

[6] Zakariyyā Bin Muhammad Bin Zakariyyā al-Anṣārī. Asna al-Maṭālib fī Sharh Rawd al-Ṭālib. (Beirut, Lubnan: Dār al-Kutub al-Ilmiyyah, t.t). Jil. 1, ms. 450

[7] Ibid.

[8] Ahmad bin Muhammad bin Alī  bin Hajr al-Haitamī. 1983.Tuhfah al-Muhtāj fī Sharh al-Minhaj wa al-Hawāshī al-Sharwānī al-Ibādī. Jilid. 4, ms, 28;

[9] Al-Shirbīni Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj.Jil. 2, ms. 222-223

[10] Ibid. ,Jil. 2, ms. 222.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com