#14 Taudih al-Hukmi : Hukum Solat Witir Secara Berjemaah di Bulan Ramadan

Tarikh: 7 April 2023

Disediakan oleh: Zubair Amir

Pendahuluan

Bulan Ramadhan merupakan suatu bulan yang istimewa, digandakan padanya pahala amalan, dibukakan pintu syurga serta ditutup pintu neraka. Kita dituntut untuk memperbanyakkan ibadah di bulan ini. Kita dituntut untuk menghidupkan malam Ramadhan dengan ibadah-ibadah sunat dan antara ibadah yang hanya ada pada bulan Ramadhan ialah solat Tarawih. Ia juga merupakan suatu amalan mendirikan malam pada bulan Ramadhan sebagaimana disebut dalam hadis daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

[1]مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan (ganjaran serta keampunan), akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.

(Riwayat Muslim)

Menurut Imam Nawawi, ‘Qiyam Ramadhan’ yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah solat Tarawih.[2] Berdasarkan amalan Rasulullah SAW dan para Sahabat RA, daripada riwayat-riwayat yang disebutkan oleh fuqaha, mereka akan menunaikan solat Tarawih bersama dengan solat Witir. Imam Khatib al-Shirbini membawakan riwayat daripada Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban daripada Jabir RA:

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – فِي رَمَضَانَ ثَمَانِ رَكَعَاتٍ ثُمَّ أَوْتَرَ[3]

Maksudnya: Rasulullah SAW solat bersama dengan kami dalam bulan Ramadhan sebanyak 8 rakaat kemudian Baginda menunaikan solat Witir.

 

 

Solat Witir

Solat witir berasal daripada perkataan al-witr yang bererti ganjil. Solat ini mesti dilakukan dalam jumlah yang ganjil. Jumlah bilangan rakaat solat Witir disimpulkan seperti berikut:[4]

       Sekurang-kurangnya ialah satu rakaat

     Sekurang-kurang jumlah yang sempurna ialah tiga rakaat

     Sebanyak-banyaknya ialah sebelas rakaat

Hukum solat Witir menurut Jumhur ialah sunnah muakkadah, manakala menurut mazhab Imam Abu Hanifah, solat Witir hukumnya ialah wajib. Ini menunjukkan besarnya tuntutan mengerjakan solat Witir itu.

Terdapat pelbagai riwayat menceritakan mengenai kelebihan solat Witir antaranya ialah Nabi SAW pernah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA agar melazimi solat sunat Witir sebelum beliau melelapkan mata. Ini dinyatakan sendiri oleh Abu Hurairah RA:

أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ[5]

Maksudnya: Kekasihku (iaitu Nabi Muhammad SAW) mewasiatkanku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat solat Dhuha dan melakukan solat Witir sebelum tidur.

(Riwayat al-Bukhari)

 

Solat Witir Disunatkan Berjemaah di Bulan Ramadhan

Sebahagian daripada masyarakat kita meninggalkan solat Witir secara berjemaah bersama dengan imam dan terus keluar daripada tempat solat kerana ingin pulang ke rumah atau ingin mengerjakan solat Witir secara bersendirian di rumah. Bagi menjelaskan isu ini, perlu difahami bahawa solat Witir turut disunatkan untuk dilakukan secara berjemaah di bulan Ramadhan.

Para fuqaha mazhab Syafie telah membahaskan persoalan ini dalam kitab-kitab mereka. Antaranya melalui penyataan Imam Nawawi dalam kitab beliau:

إذَا اسْتَحْبَبْنَا الْجَمَاعَةَ فِي ‌التَّرَاوِيحِ اُسْتُحِبَّتْ الْجَمَاعَةُ أَيْضًا فِي الْوِتْرِ بَعْدَهَا[6]

Maksudnya: Apabila kita digalakkan untuk mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah, maka turut dituntut untuk mengerjakan solat Witir secara berjemaah bersama imam.

Selain itu, Imam Khatib al-Shirbini ada menyatakan:

(وَأَنَّ الْجَمَاعَةَ تُنْدَبُ فِي الْوِتْرِ) فِي جَمِيعِ رَمَضَانَ سَوَاءٌ أَصُلِّيَتْ التَّرَاوِيحُ أَمْ لَا صُلِّيَتْ[7]

Maksudnya: (Berjemaah itu turut dituntut untuk solat Witir) sepanjang Ramadhan samada seseorang itu mengerjakan solat Tarawih ataupun tidak.

Tambahan pula, dalam hadis yang lain menyebutkan bahawa kita dituntut untuk mengerjakan solat berjemaah bersama dengan imam sehingga selesai kerana ia mempunyai fadilat tertentu iaitu diberi ganjaran qiyam sepanjang malam. Hal ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Zar al-Ghifari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كتب له قِيَامَ لَيْلَةٍ[8]

Maksudnya: Sesiapa yang berdiri (solat Tarawih dan solat Witir di bulan Ramadhan) bersama imam sehingga dia (imam) selesai, dituliskan baginya ganjaran orang yang qiyam semalaman (iaitu seumpama bersolat sepanjang malam).

(Riwayat al-Tirmizi)

Kesimpulan

Kita menyaksikan masyarakat berpusu-pusu mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah di masjid atau surau pada bulan Ramadhan dan ini adalah suatu yang baik dan patut dipuji. Walau bagaimanapun, solat Witir turut dituntut agar dilaksanakan secara berjemaah bersama dengan imam di bulan Ramadhan. Berbeza dengan bulan-bulan lain, solat Witir adalah lebih afdhal dikerjakan secara sendirian. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat meningkatkan pengetahuan kita mengenai keutamaan dalam beramal.



[1] Abū al-Ḥusayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyayrī Al-Nisāburī. (1955). Ṣaḥīḥ Muslim, Kaherah: Matba’ah Īsa al-Bābī al-Ḥalbī wā Syarkahu. Hadis no. 759.

[2] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin Sharaf. (1392H).  Al-Manhaj Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin Al-Hujāj. Beirut: Dār Iḥya Al-Turāth Al-‘Arabiy. Jil. 6, Ms. 377.

[3] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿ. (1994M/1415H). Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah. Jil. 1, ms. 460.

[4] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿ. (1994M/1415H). Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah.. Jil. 1, ms. 452.

[5] Al-Bukhārī, Abū Abdullah Muḥammad Bin Ismā’il al-Bukhārī al-Ja’fi (1993). Ṣaḥīh al-Bukhārī. Damsyik, Syria: Dār Ibn Kathīr. Hadis no. 1981.

[6] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī. Al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab. Amman, Jordan: Dar al-Fikr. Jil. 4, ms. 15.

[7] Al-Khāṭib Al-Shirbīnī.  Mughnī Al-Muhtāj. Jil. 1, ms. 455.

[8] Abu `Isa Muḥammad ibn ‛Īsa ibn Sawrah ibn Mūsa ibn al Ḍaḥḥāk al-Sulamī at-Tirmidhī . Jami’ al-Tirmizi. Hadis no. 734.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com