#4 Taudhih al-Hukmi : Talqin. Nasab Kepada Ibu atau Bapa

Tarikh: 28 Oktober 2022

Disediakan oleh: Unit Penyelidikan

Pendahuluan

Perkataan talqin bermaksud bimbingan. Talqin merujuk kepada dua perbuatan. Perbuatan pertama ialah bimbingan untuk mengucapkan kalimah tahlil (لا إله إلا الله) bagi seseorang yang berada dalam keadaan sakaratul maut dengan harapan agar hidupnya diakhiri dengan kalimah tersebut.[1] Perbuatan kedua pula ialah bimbingan dan doa yang dibacakan buat si mati sejurus selepas dia dikebumikan. Ketika ini talqin dibaca sebagai peringatan buat si mati tentang soal jawab dalam kubur.[2] Dari sudut hukum, talqin dalam kedua-dua keadaan ini hukumnya sunat. Namun begitu, timbul persoalan berkaitan penasaban si mati dalam lafaz talqin; adakah dinasabkan kepada ibu atau bapanya?

 

Si mati dipanggil dengan dinasabkan kepada bapanya

Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan tentang hal ini dalam perbahasan panggilan si mati ketika hari kiamat. Antaranya, hadis yang diriwayatkan daripada Abu al-Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.

(Riwayat Abu Dawud)

 

Hadis ini menunjukkan bahawa panggilan ke atas seseorang pada hari kiamat kelak adalah berdasarkan penasaban kepada bapa yang sah dari sudut syarak.[3] Maka penasaban kepada bapa secara asasnya adalah sesuatu yang wajar dan menepati syarak. Selain itu, hal ini juga dapat difahami berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

إِنَّ الْغَادِرَ يُنْصَبُ لَهُ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَيُقَالُ هَذِهِ غَدْرَةُ فُلاَنِ بْنِ فُلاَنٍ

Maksudnya: Sesungguhnya pada hari kiamat orang yang melakukan perbuatan khianat akan dikibarkan bendera baginya (sebagai balasan di hadapan orang ramai). Lalu, diseru ke atasnya: Inilah (bendera sebagai tanda) pengkhianatan fulan bin fulan.

(Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, Syaikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyebutkan bahawa seseorang yang telah meninggal dunia akan diseru namanya beserta nama bapanya di akhirat dan ia juga bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu al-Darda’ RA.


Si mati dipanggil dengan dinasabkan kepada ibunya

Selain itu, terdapat pandangan yang menyatakan bahawa talqin dilafazkan kepada si mati dengan dinasabkan kepada ibunya. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Isra ayat 71:

يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ

Maksudnya: Pada hari kami memanggil tiap manusia bersama dengan pemimpinnya.

 

Syeikh al-Syanqiti menukilkan pelbagai definisi daripada ulama berkaitan perkataan (الإمام) antaranya adalah (i) kitab amalan mereka (ii) Nabi Muhammad SAW (iii) Kitab-kitab syariat yang diturunkan (iv) pemimpin mereka (antara pemimpin yang beriman atau kufur) dan yang terakhir (v) ibu-ibu mereka. Maksud kelima bagi perkataan (الإمام) merupakan antara hujah pandangan yang menasabkan seseorang kepada nama ibu ketika talqin. Maka, pada hari kiamat manusia akan dipanggil dengan nama mereka beserta ibu mereka dan bukannya bapa.[4]

Selain itu, panggilan dengan menasabkan kepada nama ibu juga disandarkan kepada hadis riwayat daripada Abu Umamah RA yang menyatakan sekiranya berlaku kematian, maka lakukan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW[5]:

 

إذا مات أحدٌ من إخوانِكم فسوَّيتم التُّرابَ على قبرِه، فليقُمْ أحدُكم على رأسِ قبرِه،  ثمَّ ليقُلْ: يا فلانُ بنُ فلانة

Maksudnya: Apabila telah mati salah seorang daripada saudara kamu, maka ratakanlah tanah di atas kuburnya. Maka hendaklah salah seorang daripada kamu berdiri di sisi kepala kuburnya, kemudian ucaplah: wahai Fulan bin Fulanah. (Riwayat al-Tabarani)

 

Syeikh Abu Bakr al-Dimyati dalam menghuraikan hadis ini di dalam kitabnya, mengatakan sunat melakukan talqin selepas mengkafankan mayat dan perkara ini adalah masyhur, dan panggillah dengan nama ibunya jika mengetahuinya dan apabila tidak mengetahui ibunya, maka panggillah dengan nama Saidatina Hawa AS.[6]

 

Penelitian Tentang Dalil-dalil Talqin antara Menasabkan Dengan Nama Ibu Atau Bapa

Dalam menghuraikan panggilan kepada si mati dalam talqin, para ulama merujuk kepada dalil-dalil tentang panggilan si mati ketika hari kiamat. Hal ini kerana alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar, iaitu daripada sewaktu seseorang mati hinggalah dia dibangkitkan. Maka, sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh sebagai rumah pertamanya menuju akhirat.

Syeikh al-Syanqiti dalam mengulas perkataan (الإمام) dalam Surah al-Isra ayat 71 menukilkan pelbagai makna daripada para ulama’. Berdasarkan perbincangan tersebut, makna yang tepat bagi  perkataan “إمامهم” adalah merujuk kepada pendapat Ibn kathir, iaitu kitab amalan[7]. Hal ini secara langsung menafikan pendapat yang menggunakan ayat Al-Quran ini sebagai hujah panggilan si mati dinasabkan kepada nama ibu. Sebaliknya, menyandarkan perbahasan ini kepada hadis yang menjawab persoalan talqin dibin atau dibintikan kepada bapa sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA[8].

Manakala, dari sudut riwayat-riwayat hadis tentang panggilan si mati dibin atau dibintikan kepada nama ibu atau bapa terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan difahami iaitu dari segi;

i-Status hadis

Hadis Abu al-Darda’ RA riwayat Abu Dawud adalah munqati’ (tidak bersambung sanad) apabila perawi Abdullah bin Abi Zakariyya meriwayatkan hadis daripada Abu al-Darda’ tidak secara langsung tetapi secara mursal.[9] Oleh yang demikian, hadis ini tidak kuat untuk dijadikan sandaran dari segi riwayat.

Manakala hadis Abu Umamah RA riwayat al-Tabarani hukumnya daif sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn al-Salah[10] dan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani[11].

ii-Bentuk pendalilan (wajh dilalah)

Hadis Abu al-Darda’ RA riwayat Abu Dawud dan hadis Ibnu Umar RA riwayat al-Bukhari menyangkal sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa si mati akan diseru di akhirat dengan namanya beserta ibunya.[12] Sebaliknya dua hadis berkenaan secara langsung menunjukkan panggilan tersebut berlaku pada hari kiamat kelak, justeru pendalilan tersebut tidaklah secara langsung menunjukkan ia mesti dibuat untuk talqin.

Sementara itu, hadis Abu Umamah RA riwayat al-Tabarani pula sememangnya khusus tentang bacaan talqin usai mengebumikan jenazah meskipun ia bertaraf dhaif. Tambahan pula, hadis ini secara umumnya tidak menafikan panggilan dengan nama bapanya pada hari kiamat, ini kerana perkara tersebut adalah perkara tauqifi (sesuatu yang jelas hukumnya).

Walau bagaimanapun, Imam Ibn al-Salah dan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa riwayat ini mempunyai syawahid yang menyokongnya. Malah hal ini juga menjadi amalan penduduk Syam sejak sekian lama.[13] Kata Ibn al-Salah:

 

وَقَدْ رَوَيْنَا حَدِيثًا مِنْ حَدِيثِ أَبِي أُمَامَةَ ‌لَيْسَ ‌بِالقَائِمِ إِسْنَادُهُ وَلَكِن اِعْتُضِدَ بِشَوَاهِدَ وَبِعَمَلِ أَهْلِ الشَّامِ بِهِ قَدِيمًا

Maksudnya: Kami telah meriwayatkan satu hadis daripada hadis Abi Umamah yang tidak kuat sanadnya tetapi ia disokong dengan beberapa shawahid (riwayat lain) dan menjadi amalan penduduk Syam sejak sekian lama.

 

Kesimpulan

Berdasarkan huraian serta perbincangan di atas, sunat hukumnya mengajarkan talqin kepada seseorang yang berada dalam keadaan sakaratul maut, begitu juga sunat hukumnya mentalqinkan atau memberikan bimbingan dan doa buat si mati sejurus selepas jenazah dikebumikan. Para ulama berbeza pendapat dari segi lafaz talqin kepada si mati, iaitu sama ada dibin atau dibintikan kepada ibu atau bapanya. Para ulama menghuraikan penasaban si mati ketika talqin berdasarkan riwayat tentang panggilan si mati pada hari kiamat.

 

Oleh itu, berdasarkan riwayat-riwayat yang dikemukakan, dapatlah disimpulkan berkaitan perbincangan di atas kepada dua keadaan; pertama: dalam keadaan si mati diketahui nasabnya yang sah kepada bapanya maka menasabkan si mati kepada bapanya adalah lebih utama, dan yang kedua: dalam keadaan si mati tidak diketahui bapanya maka menasabkan si mati kepada ibunya adalah lebih utama. Adapun amalan menasabkan si mati kepada ibunya walaupun diketahui nasab bapanya, maka ia tidak menjadi satu kesalahan sebagaimana ia diterima dalam ‘uruf masyarakat.



[1] Abu Yahya Zakariyya al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Dar al-Minhaj: Beirut, Lubnan), 2017, ms. 159.

[2]Abu Yahya Zakariyya al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Dar al-Minhaj: Beirut, Lubnan), 2017, ms. 170.

[3] Muhammad al-Azim Abadi, ‘Awn al-Ma‘bud Sharh Sunan Abi Dawud, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah: Beirut), 1415 Hijrah, Jil. 13, ms.199.

[4] Muhammad al-Amin al-Syanqiti, Adwa al-Bayan, (Dar al-Fikr: Beirut, Lubnan), 1995, 3/175-176

[5] Abu al-Qasim Al-Tabarani, Al-Mu’jam Al-Kabir, (Maktabah Ibn Taimiyyah: Kaherah, Mesir), 1994, 8/249

[6] Abu Bakr Uthman bin Muhammad Syata al-Dimyati, I’anah Talibin ‘ala Hil alfaz Fath Mu’in, (Dar al-Fikr: Beirut, Lubnan), 1997, Jil. 2, ms. 160.

[7] Muhammad al-Amin al-Syanqiti, Adwa al-Bayan, Jil. 3, ms.175-176

[8] Ibid.

[9] Khalil Ahmad al-Saharanfuri, Badhl al-Majhud fi Hall Sunan Abi Dawud, (Markaz al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi: India), 2006, Jil. 13, ms. 349.

[10] Abu ‘Amr Ibn al-Salah al-Shahrazuri, Fatawa Ibn al-Salah, (‘Alam al-Kutub: Beirut, Lubnan), 1407 Hijrah, 1Jil. ms. 261.

[11] Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Talkhis al-Habir, (Muassasah Qutubah: Mesir), 1995, Jil. 2, ms. 270.

[12] Zakariyya bin Muhammad al-Ansari, Minhah al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, (Maktabah Rusyd: Riyad), 2005, Jil. 9, ms. 277.

[13] Abu ‘Amr Ibn al-Salah al-Shahrazuri, Fatawa Ibn al-Salah, (‘Alam al-Kutub: Beirut, Lubnan), 1407 Hijrah, 1/261; Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Talkhis al-Habir, (Muassasah Qurtubah: Mesir), 1995, Jil. 2, ms. 271.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com