A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

#27 Taudhih Al-Hukmi : Badal Haji Untuk Pesakit Dan Orang Yang Meninggal Dunia

Tarikh : 14 Julai 2023

 

Pendahuluan

 

Mengerjakan ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang telah mencukupi syarat wajib haji. Namun, terdapat sebahagian golongan yang tidak mampu melakukan ibadah haji sedangkan ia berkemampuan dari segi kewangan disebabkan beberapa keuzuran dari aspek syarak atau tidak berkesempatan melaksanakan haji semasa masih hidup. Persoalan yang timbul daripada keadaan ini ialah sejauh manakah kewajipan haji bagi golongan yang mempunyai halangan ini daripada sudut pandangan fuqaha?

 

 

Jenis Kemampuan

 

Melaksanakan ibadah haji merupakan tanggungjawab berat kerana ia mencakupi ibadah badaniyah iaitu memerlukan kesihatan tubuh badan kerana para jamaah haji terpaksa melalui berbagai-bagai ujian, kesulitan, kesusahan dan cubaan sewaktu melakukan ibadah ini. Oleh kerana itu, kewajipan menunaikan haji terikat dengan syarat-syarat wajib seperti islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan[1]. Berkaitan dengan persoalan di atas ialah syarat berkemampuan (istito’ah) untuk menunaikannya. Kemampuan melaksanakan haji ini terbahagi kepada dua jenis iaitu[2]:

 

 

Pertama: Kemampuan secara langsung (Istito’ah Mubasharah/ Binafsihi)

 

Seseorang yang mempunyai kemampuan melaksanakan sendiri umrah dan hajinya kerana masih sihat dan mampu bermusafir tanpa mengalami sebarang kemudaratan atau kesulitan. Kemampuan secara langsung ini juga meliputi kecukupan dari sudut bekalan, kenderaan,  perjalanan dan sihat tubuh badan.

 

 

Kedua: Kemampuan secara tidak langsung (Istito’ah Ghaira Mubasharah/ Bighairihi)

 

Seseorang yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya  melalui badal haji sama ada semasa ia masih hidup atau selepas ia meninggal dunia kerana tidak mampu melaksanakan umrah atau haji dengan sendiri atas sebab sudah terlalu tua atau sakit dan sebagainya.

 

 

Definisi Badal Haji

 

Badal haji atau ganti haji bermaksud seseorang yang telah melakukan haji untuk dirinya kemudian melaksanakan haji bagi pihak orang lain yang telah meninggal dunia atau sakit yang tiada harapan sembuh, sama ada dengan upah atau tidak.

 

 

Hukum Melaksanakan Badal Haji

 

Hukum melaksanakan badal ini diharuskan oleh syarak menurut jumhur fuqaha[3], hal ini berdasarkan kepada beberapa hadis  antaranya riwayat daripada Ibnu Abbas RA berkata:

 

جَاءَتِ امْرَأَةٌ مِن خَثْعَمَ عَامَ حَجَّةِ الوَدَاعِ، قالَتْ: يا رَسولَ اللَّهِ إنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ علَى عِبَادِهِ في الحَجِّ

 أدْرَكَتْ أبِي شيخًا كَبِيرًا لا يَسْتَطِيعُ أنْ يَسْتَوِيَ علَى الرَّاحِلَةِ فَهلْ يَقْضِي عنْه أنْ أحُجَّ عنْه؟ قالَ: نَعَمْ[4]

 

Maksudnya: Seorang wanita dari kabilah Khath’am datang kepada Baginda pada tahun haji wada’ lalu berkata: Ya Rasulullah sesungguhnya ayahku telah diwajibkan untuk mengerjakan haji sedangkan dia dalam keadaan tua dan tidak mampu untuk duduk tegak di atas kendaraannya, bolehkah aku menunaikan haji untuknya? Nabi SAW menjawab: Ya (boleh!).

(Riwayat Bukhari)

 

 

Golongan yang boleh dibadalkan haji

 

Menggantikan haji atau umrah yang fardu bagi orang lain menurut mazhab Syafi’i tidak membenarkan melainkan kepada beberapa golongan sahaja iaitu[5]:

1-Seorang yang telah meninggal dunia dan memiliki kewajipan haji (haji wajib atau haji nazar) yang belum ditunaikan.

2-Seorang yang menghidapi penyakit yang tiada harapan untuk sembuh (al-zamanah).

3-Orang yang terlalu tua atau uzur.

4-Seorang yang lumpuh (mafluj) dan tidak mampu untuk bergerak.

 

Berkenaan dengan pembahagian ini, Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan juga menjelaskan badal haji boleh dilaksanakan bagi pihak golongan berikut antaranya;

1-Si buta yang tiada pemandu.

2- Orang Kelainan Upaya (OKU) yang sakit seperti lumpuh separuh badan (al-mafluj) sama seperti orang normal yang sakit tiada harapan sembuh (al-zamanah).

3-OKU yang sihat yang tidak mampu mengurus diri sama seperti orang yang tidak mampu berjalan sendiri (al-muq’ad).

4- Orang obesiti yang tidak boleh menguruskan diri sendiri.

5-Orang yang berisiko  tinggi dijangkiti penyakit  dan berdepan dengan risiko kematian.

6- Orang yang mengalami nyanyuk (dementia) tahap sederhana atau teruk.

 

Maka dalam hal ini, golongan yang tidak dapat melakukan ibadah haji disebabkan beberapa keuzuran dari aspek syarak seperti di atas atau tidak berkesempatan melaksanakan haji semasa masih hidup sedangkan ia berkemampuan dari sudut harta tidak wajib melaksanakan haji secara sendiri (binafsihi). Walau bagaimanapun, golongan ini diberikan keringanan (rukhsah) dan wajib melaksanakan haji secara badal sekiranya mampu membiayai kos mengerjakan haji sama ada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia[6].

 

Oleh itu, bagi individu yang menghidapi masalah kesihatan tertentu meskipun berkemampuan dari sudut harta, perlulah mendapat pengesahan doktor untuk mengetahui tahap risiko penyakit yang dihadapi supaya urusan ibadah haji dapat dilaksanakan mengikut aturan yang digariskan oleh syarak dan  tidak mendatangkan kemudaratan  kepada diri.

 

 

Kos Badal Haji 

 

Perbelanjaan atau upah bagi melaksanakan badal haji ini hendaklah diambil daripada harta mereka yang tidak mampu menunaikan ibadat haji. Jika dia meninggal dunia, ia hendaklah diambil daripada harta peninggalannya sebelum difaraidkan. Hal ini berdasarkan riwayat hadis daripada Ibnu Abbas RA berkata:

 

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ[7]

 

Maksudnya: Seorang wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: Sesungguhnya ibu saya telah bernazar untuk menunaikan haji, apakah saya perlu menunaikan haji bagi pihaknya? Jawab Baginda: Ya, tunaikanlah haji untuknya. Apa pandangan kamu kalau ibu kamu berhutang, apakah kamu perlu melunaskannya? Jawabnya: Ya. Sabda Baginda: Tunaikanlah hutang Allah dan hutang Allah lebih berhak untuk dilunaskan.

(Riwayat al-Bukhari)

 

Berdasarkan hadis di atas, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan haji disamakan dengan hutang maka hutang haji ini perlu diselesaikan. Oleh itu, segala perbelanjaan berkaitan badal haji hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati. Jika si mati tidak meninggalkan sebarang harta peninggalan, maka gugur kewajipan haji ke atas dirinya begitu juga waris tidak wajib melaksanakan badal haji bagi pihak dirinya. Namun, sunat hukumnya sekiranya ahli waris atau orang lain ingin melaksanakan badal haji untuk si mati[8].

 

Hal ini juga dibincangkan dalam Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan 2005 yang menyatakan:

“Apabila berlaku kematian seseorang yang belum sempat mengerjakan haji semasa hayatnya sedangkan dia sudah mampu mengerjakan haji, ahli warisnya berkewajipan menolak jumlah yang mencukupi untuk badal hajinya sebelum harta peninggalan  tersebut diagihkan mengikut faraid”

 

Begitu juga, dalam Resolusi Muzakarah haji  Peringkat Kebangsaan 2010 menyebut tentang perkara ini:

“Perbelanjaan badal haji wajib tidak terbatas kepada ⅓ harta peninggalan si mati”

 

Seseorang pesakit  yang sembuh daripada sakitnya atau seseorang yang sebelum kematiannya itu berkemampuan untuk menunaikan haji akan tetapi menangguhkan untuk menunaikan ibadah haji tanpa sebarang alasan yang munasabah sehingga meninggal dunia. Maka, orang tersebut dikira berdosa dan wajib menunaikan haji secara badal jika ia meninggalkan harta[9].

 

 

Perlukah Minta Izin atau Wasiat untuk Melaksanakan  Badal haji?

 

Keharusan melakukan badal haji bagi pelaksana badal haji perlu memastikan perkara berikut[10]:

 

1-Sekiranya individu yang tidak mampu menunaikan ibadat haji (ma’dhub) tersebut masih hidup. Pelaksana badal Haji perlu mendapat keizinan daripada pemilik haji kerana ibadah haji memerlukan niat[11]. Jika tidak mendapat izin maka tidak sah badal haji atau badal umrah tersebut sama ada yang wajib atau sunat.

 

2- Jika individu yang dibadalkan haji atau umrah untuknya sudah meninggal dunia, mereka tidak memerlukan sebarang keizinan atau tidak disyaratkan wasiat daripada si mati dalam menunaikan badal haji tersebut kerana atas dasar membayar hutang[12].

 

 

Kesimpulan

 

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, seseorang yang telah berkemampuan untuk mengerjakan haji namun mempunyai keuzuran seperti menghidapi penyakit yang tiada harapan sembuh dan si mati yang tidak berkesempatan menunaikan haji ketika hayatnya wajib dikerjakan haji untuknya secara badal haji. Kos badal haji bagi mereka yang masih hidup hendaklah ditanggung oleh orang tersebut, manakala bagi si mati kos badal haji hendaklah menggunakan harta peninggalan si mati sebelum ia difaraidkan.

 

___________________________________________________________________________________________

Rujukan

[1] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī. Minhāj al-Tālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn fī al-Fiqh.(Amman, Jordan: Dār al-Fikr, 2005). Ms. 82.

[2] Al-Shirbīnī, .Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Jil. 2, ms. 220; Mustafa al-Khin, Mustafa  al-Bugha dan Ali Syibarji. Al-Fiqh al-Manhaji a’la  Mazhab al-Imām al-Shafi’i.(Damsyik: Dār al-Qalam, 1992). Jil. 2, ms. 124.

[3] Shams al-Dīn, Muḥammad bin Aḥmad al-Khaṭīb al-Shirbīni al-Shāfi’ī. Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj (Kaherah: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah, 1994) Jil. 2, ms. 218; Abu Muḥamad Bin Aḥmad Bin Muḥamad Bin Qudāmah. Al-Mughnī (Riyādh, Arab Saudi: Dār ‘Ālam al-Kutub,  1997) Jil. 3, ms. 222; .Ala’uddin Abū Bakr Bin Mas’ud al-Kasānī. Badāi’ al-Ṣanāi’ fī Tartib al-Sharai’ ( Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1910). Jil. 2, ms. 213.

[4] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi. Ṣahīh al-Bukhārī. (Damsyik, Syria:  Dār Ibn Katsīr, 1993). Jil. 2, ms. 657.

[5] Al-Nawawī. Al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab. (Amman, Jordan: Dar al-Fikr, 1928). Jilid. 7, ms, 94 dan

[6] Wahbah Al-Zuhaylī. Al-Fiqh al-Islāmī wa adillatuhu (Beirut, Lubnan: Dar al-Fikr, 1989). Jil. 2, ms. 2097.

[7] Al-Bukhārī al-Ja’fi. Ṣahīh al-Bukhārī. Jil. 2, ms. 2097.

[8] Ahmad bin Muhammad bin Alī  bin Hajr al-Haitamī. 1983.Tuhfah al-Muhtāj fī Sharh al-Minhaj wa al-Hawāshī al-Sharwānī al-Ibādī. Jilid. 4, ms, 28; Zakariyyā al-Anṣārī. Asna al-Maṭālib fī Sharh Rawd al-Ṭālib. Jil. 1, ms. 450

[9] Mustafa al-Khin, Mustafa  al-Bugha dan Ali Syibarji. Al-Fiqh al-Manhaji a’la Mazhab al-Imām al-Shafi’i.(Damsyik: Dār al-Qalam, 1992). Jil. 2, ms. 176-177.

[10] Al-Nawawī. Al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab. Jilid. 7, ms, 114.

[11] Zakariyyā Bin Muhammad Bin Zakariyyā al-Anṣārī. Asna al-Maṭālib fī Sharh Rawd al-Ṭālib. (Beirut, Lubnan: Dār al-Kutub al-Ilmiyyah, t.t). Jil. 1, ms. 450

[12] Ibid.