A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Taudhih Al-Ahkam : Kedudukan Kanak-Kanak Lelaki Dalam Saf Solat Berjemaah

Pendahuluan

Kanak-kanak dibawa ke masjid untuk menyemai dalam diri mereka rasa cintakan masjid dan solat berjemaah selain mengimarahkan masjid. Namun timbul beberapa persoalan dalam kalangan masyarakat bahawa kanak-kanak yang berada dalam saf orang dewasa ketika solat jemaah dianggap telah memutuskan saf dan mengurangkan pahala jemaah. Sehubungan itu, perbahasan ini akan mengupas secara ringkas berkaitan isu kedudukan kanak-kanak lelaki ketika solat berjemaah.

Kedudukan Kanak-Kanak Lelaki dalam Saf Solat Jemaah

Secara asas, para ulama tidak memisahkan kedudukan saf bagi kanak-kanak lelaki dengan saf lelaki dewasa. Hal ini berdasarkan hadis Abdullah bin Mas’ud RA[1] berkenaan kedudukan makmum dalam saf yang sempurna:

لِيَلِيَنِّي ‌مِنْكُمْ ‌أُولُو ‌الأَحْلَامِ ‌وَالنُّهَى ‌ثُمَّ ‌الَّذِينَ ‌يَلُونَهُم

Maksudnya: Hendaklah berdiri di belakangku daripada kalangan kalian orang yang matang/baligh dan faham/berakal, kemudian orang yang hampir dengan mereka.

Riwayat Muslim

Selain itu, diriwayatkan daripada Abu Malik al-Asya‘ri RA, katanya[2]:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَلِيهِ فِي الصَّلَاةِ الرِّجَالُ، ثُمَّ الصِّبْيَانُ، ثُمَّ النِّسَاءُ

Maksudnya: Ketika solat, di belakang Rasulullah SAW ada kaum lelaki, kemudian kanak-kanak lelaki, kemudian perempuan.

Riwayat al-Baihaqi

Sanad hadis ini daif, namun ia dikuatkan dengan hadis Abu Malik al-Asya‘ri RA yang bertaraf hasan pada sanadnya[3]:

أَلَا أُحَدِّثُكُمْ بِصَلَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَقَامَ الصَّلَاةَ، وَصَفَّ الرِّجَالَ وَصَفَّ خَلْفَهُمُ الْغِلْمَانَ، ثُمَّ صَلَّى بِهِمْ

Maksudnya: Aku khabarkan kepada kalian tentang solat Nabi SAW, iaitu baginda mendirikan solat dan menyusun saf kaum lelaki dan menyusun di belakang mereka saf kanak-kanak lelaki, kemudian barulah baginda mengimami mereka.

Riwayat Abu Dawud

Berdasarkan hadis-hadis tadi, kalimah sibyan (الصِّبْيَانُ) dan ghilman (الْغِلْمَانَ) merujuk kepada maksud yang sama, iaitu kanak-kanak di bawah umur baligh sama ada lelaki atau perempuan. Seterusnya, kanak-kanak di bawah umur baligh terbahagi kepada mumayyiz dan bukan mumayyiz. Kanak-kanak mumayyiz adalah kanak-kanak yang mampu membezakan antara perkara yang baik dan perkara yang buruk serta kebiasaannya telah mencecah usia tujuh tahun qamariyyah, sedangkan kanak-kanak bukan mumayyiz pula adalah sebaliknya. Para ulama menetapkan umur tujuh tahun sebagai pembeza antara kanak-kanak mumayyiz dengan yang bukan mumayyiz berdasarkan hadis Abdul Malik bin Rabi’ bahawa Nabi SAW bersabda[4]:

مُرُوا ‌الصَّبِيَّ ‌بِالصَّلَاةِ ‌إِذَا ‌بَلَغَ ‌سَبْعَ ‌سِنِينَ، ‌وَإِذَا ‌بَلَغَ ‌عَشْرَ ‌سِنِينَ ‌فَاضْرِبُوهُ ‌عَلَيْهَا

Maksudnya: Perintahkanlah kanak-kanak untuk mengerjakan solat apabila mencecah umur tujuh tahun. Apabila dia berumur sepuluh tahun, maka pukullah dia jika dia meninggalkannya.

Riwayat Abu Dawud

Selain itu, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Malik al-Asya‘ri RA ini juga menunjukkan bahawa susunan saf adalah berdasarkan keutamaan. Imam al-Khatib al-Syirbini (977 H) menjelaskan bahawa kedudukan kanak-kanak lelaki adalah selepas lelaki dewasa kerana mereka merupakan daripada jenis lelaki, tidak seperti golongan khunsa dan wanita[5]. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari (926 H) juga menyokong kenyataan ini dengan menyatakan kedudukan kanak-kanak lelaki diletakkan di belakang lelaki dewasa apabila saf dewasa tidak muat untuk mereka. Jika masih ada ruang, maka kanak-kanak lelaki hendaklah memenuhkan saf tersebut. Menurut beliau susunan ini adalah mustahab[6]:

(وَهَذَا) كُلُّهُ (مُسْتَحَبٌّ لَا شَرْطٌ) فَلَوْ خَالَفُوا صَحَّتْ صَلَاتُهُمْ مَعَ الْكَرَاهَةِ

Maksudnya: Semuanya ini adalah mustahab, bukannya syarat. Sekiranya mereka menyalahi (susunan saf ini), sah solat mereka itu tetapi makruh.

Adapun kanak-kanak yang belum mumayyiz, dia tidak digalakkan untuk turut serta dalam jemaah kerana tidak dipertanggungjawabkan untuk menunaikan solat[7]. Sekiranya mereka turut serta dalam saf jemaah, sah solat seseorang yang berhampiran dengannya dan ia tidak meluputkan fadilat solat berjemaah[8]. Manakala bagi kanak-kanak yang mumayyiz, terdapat dua keadaan saf yang perlu difahami:

                    a) Kanak-kanak lelaki bersama seorang lelaki dewasa di belakang imam

Jika terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki mumayyiz, maka kedudukan kanak-kanak tersebut bersebelahan makmum lelaki dewasa. Hal ini berdasarkan hadis Anas bin Malik RA[9]:

أن جدته مليكة دعت رسول الله صلى الله عليه وسلم لطعام صنعته، فأكل منه، فقال (قوموا فلأصلي بكم). فقمت إلى حصير لنا قد اسود من طول ما لبس، فنضحته بماء، فقام رسول الله صلى الله عليه وسلم واليتيم معي، والعجوز من ورائنا، فصلى بنا ركعتين

Maksudnya: Mulaikah, nenda Anas bin Malik mengundang Rasulullah SAW untuk menikmati makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah SAW menjamah hidangan tersebut kemudian bersabda: Bangunlah, saya akan mengimamkan solat kalian. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama digunakan, kemudian saya merenjiskan air ke atasnya. Rasulullah SAW berdiri, diikuti seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek berada di belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat.

Riwayat al-Bukhari & Muslim

Berdasarkan hadis di atas, Imam al-Nawawi berkata dalam Syarh Sahih Muslim’[10]:

‌وَفِيهِ ‌صِحَّةُ ‌صَلَاةِ ‌الصَّبِيِّ ‌الْمُمَيِّزِ لِقَوْلِهِ صَفَفْتُ أَنَا وَالْيَتِيمُ وَرَاءَهُ وَفِيهِ أَنَّ لِلصَّبِيِّ مَوْقِفًا مِنَ الصَّفِّ وَهُوَ الصَّحِيحُ الْمَشْهُورُ مِنْ مَذْهَبِنَا وَبِهِ قَالَ جُمْهُورُ الْعُلَمَاءِ

Maksudnya: Hadis ini menunjukkan sahnya solat kanak-kanak lelaki yang mumayyiz berdasarkan kata-kata Ibn ‘Abbas: Aku dan seorang anak yatim berdiri di belakang baginda. Hadis ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak lelaki mempunyai kedudukan dalam saf. Inilah yang sahih dan masyhur dalam mazhab kita dan ia juga menjadi pegangan jumhur ulama.

                   b) Kanak-kanak lelaki berada dalam saf yang ada ramai makmum lelaki dewasa

Sekiranya ada ramai makmum lelaki dewasa bersama kanak-kanak lelaki, maka kedudukan kanak-kanak tersebut adalah di mana-mana bahagian saf pertama dan bukan betul-betul di belakang imam. Para ulama menjelaskan bahawa kanak-kanak pada saf pertama ini sebaik-baiknya adalah mumayyiz kerana jemaah yang berada di belakang imam hendaklah diutamakan bagi orang baligh dan berakal (lebih berilmu) supaya makmum tersebut boleh memperbetulkan dan menggantikan imam. Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda[11]:

لِيَلِيَنِّي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

 

Maksudnya: Hendaklah berdiri di belakangku daripada kamu orang yang matang/baligh dan faham/berakal, kemudian orang yang hampir dengan mereka, kemudian orang yang hampir dengan mereka.

Berhubung hadis ini, Imam al-Nawawi (676 H) berkata[12]:

فِي هَذَا الْحَدِيثِ ‌تَقْدِيمُ ‌الْأَفْضَلِ ‌فَالْأَفْضَلِ إِلَى الْإِمَامِ لِأَنَّهُ أَوْلَى بِالْإِكْرَامِ وَلِأَنَّهُ رُبَّمَا احْتَاجَ الْإِمَامُ إِلَى اسْتِخْلَافٍ فَيَكُونُ هُوَ أَوْلَى وَلِأَنَّهُ يَتَفَطَّنُ لِتَنْبِيهِ الْإِمَامِ عَلَى السَّهْوِ لِمَا لَا يَتَفَطَّنُ لَهُ غَيْرُهُ وَلِيَضْبِطُوا صِفَةَ الصَّلَاةِ ويحفظوها وينقلوها ويعلموها الناس وليقتدي بأفعالهم مَنْ وَرَاءَهُمْ وَلَا يَخْتَصُّ هَذَا التَّقْدِيمُ بِالصَّلَاةِ بَلِ السُّنَّةُ أَنْ يُقَدَّمَ أَهْلُ الْفَضْلِ فِي كُلِّ مَجْمَعٍ

Maksudnya: Dalam hadis ini, dinyatakan perbuatan mendahulukan golongan yang terbaik [supaya berada hampir] kepada imam kerana mereka lebih patut dimuliakan. Barangkali imam memerlukannya sebagai pengganti imam, justeru dia lebih patut diutamakan. Dia juga berperanan menegur imam jika imam lupa sedangkan tiada orang lain menyedarinya. Orang di belakang imam perlu memantau kesempurnaan sifat solat imam, menjaganya, menyampaikannya dan memberitahu orang ramai [di saf seterusnya]. Malah orang di belakang mereka perlu mengikuti perbuatan mereka. Perbuatan mendahulukan golongan yang terbaik ini bukan sahaja dalam menunaikan solat, bahkan ia merupakan sunnah dalam setiap perkara yang menghimpunkan ramai orang.

Sebaliknya, di saf selain saf pertama, kanak-kanak lelaki boleh berada di mana-mana bahagian. Berkaitan kanak-kanak lelaki yang hadir awal lalu berada di saf pertama, tempatnya tidak boleh diambil untuk digantikan dengan orang lain kerana mereka mempunyai hak terhadap tempat tersebut. Menurut Imam al-Khatib al-Syirbini (977 H)[13]:

‌إذَا ‌حَضَرَ الْجَمِيعُ دُفْعَةً وَاحِدَةً فَلَوْ سَبَقَ الصِّبْيَانُ بِالْحُضُورِ لَمْ يُؤَخَّرُوا لِلرِّجَالِ اللَّاحِقِينَ

 كَمَا لَوْ سَبَقُوا إلَى الصَّفِّ الْأَوَّلِ فَإِنَّهُمْ أَحَقُّ بِهِ عَلَى الصَّحِيحِ

Maksudnya: Apabila jemaah datang serentak, lalu kanak-kanak lelaki tiba lebih awal berbanding orang dewasa, maka janganlah mereka dikebelakangkan demi memberi tempat kepada orang dewasa yang terkemudian. Demikian pula jika kanak-kanak lelaki lebih awal tiba di saf pertama, maka mereka lebih berhak terhadap tempat mereka berdasarkan pendapat yang sahih.

Pernyataan ini berdasarkan hadis Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda[14]:

لَا ‌يُقِيمُ ‌الرَّجُلُ الرَّجُلَ مِنْ مجلسه ثم يجلس فيه

Maksudnya: Janganlah seseorang meminta orang lain bangun dari tempatnya, kemudian dia duduk di situ.

Berkenaan kanak-kanak lelaki mumayyiz dan belum mumayyiz yang belum berkhatan sehingga dianggap memutuskan saf dalam solat berjemaah, dia tidak dianggap menanggung najis kerana hukum asal seseorang tidaklah bernajis. Hal ini berdasarkan pernyataan Imam al-Syirazi yang dinukilkan dalam kitab al-Majmu’[15]:

وَإِنْ ‌حَمَلَ ‌حَيَوَانًا طَاهِرًا فِي صَلَاتِهِ صَحَّتْ صَلَاتُهُ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَمَلَ أُمَامَةَ بِنْتَ أَبِي الْعَاصِ فِي صَلَاتِهِ وَلِأَنَّ مَا فِي الْحَيَوَانِ مِنْ النَّجَاسَةِ فِي مَعْدِنِ النَّجَاسَةِ فَهُوَ كَالنَّجَاسَةِ الَّتِي فِي جَوْفِ الْمُصَلِّي

Maksudnya: Jika seseorang yang menunaikan solat itu menanggung haiwan (benda hidup) yang suci ketika solat, maka sah solatnya kerana Nabi SAW pernah mendukung Umamah binti Abi al-As ketika solat. Malah najis yang berada dalam benda hidup itu sama hukumnya dengan najis yang berada dalam badan orang yang menunaikan solat itu.

Kesimpulan

Dalam persoalan kedudukan saf kanak-kanak ketika solat berjemaah, para ulama tidak memisahkan kanak-kanak secara khusus daripada saf lelaki dewasa sebagaimana yang difahami kebanyakan masyarakat kini. Walau bagaimanapun, dalam situasi saf pertama di belakang imam, keutamaan hendaklah diberikan kepada orang lebih dewasa berbanding kanak-kanak mumayyiz sama ada kanak-kanak tersebut sudah berkhatan atau belum. Oleh itu, andaian bahawa kanak-kanak telah memutuskan saf dan mengurangkan pahala jemaah adalah tidak benar.

 

[1] Abu Husayn Muslim bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qusyairi Al-Nisaburi, Sahih Muslim, (Turki: Dar Al-Tiba’ah Al-‘Amarah) 1915M/1334 H , 4/175.

[2] Abu Bakr Ahmad bin Husayn bin Ali al-Baihaqi, Al-Sunan Al-Kubra, (Kaherah: Markaz Hijr li al-Buhuth wa Dirasat al-Arabiyah wa al-Islamiyyah), 2011, 6/13.

[3] Al-Baihaqi, Al-Sunan Al-Kubra, Ibid., 6/13; Abu Dawud al-Asha’ath al-Azdi Al-Sijistani, Sunan Abu Dawud, (Dar Risalah al-‘Alamiyyah), 2009, 2/15.

[4] Abu Dawud al-Asha’ath al-Azdi Al-Sijistani, Sunan Abu Dawud, (Dar Risalah al-‘Alamiyyah), 2009, hadith 494.

[5] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-Ilmiah) 1994, 1/492.

[6] Zakariyya al-Ansari, Asna al-Matalib fi Syarh Raudhu at-Talib, (Dar al-Kutub al-Ilmiah), 1/223.

[7] Abu Zakariyya Muhyi al-Din bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab, (Dar al-Fikr: Amman, Jordan), 3/11.

[8]VF Abdul Rahman bin Muhammad bin Hasan al-Masyhur, Bughyah al-Mustarsyidin, (Dar al-Faqih: Tarim, Yaman), 2009, 2/231-232.

[9] Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, 1/149;  Muslim, Sahih Muslim, 1/457.

[10] Muslim, Sahih Muslim,, 5/163.

[11] Muslim, Sahih Muslim,, 1/323.

[12] Abu Zakariyya Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi: Beirut, Lubnan), 4/155.

[13] Al- Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Ibid., 1/492.

[14] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, (Dar Tuq al-Najat: Beirut), 5/2313.

[15] Al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab, 3/150.