• English (UK)

|Bahasa lain

A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Taudhih Al-Ahkam : Bacaan Tasmi’ (سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ) Dan Tahmid (رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ) Dalam Solat Berjemaah

PENDAHULUAN

 

I’tidal adalah salah satu rukun fi’li (perbuatan) dalam solat, iaitu perbuatan berdiri selepas rukuk yang disertakan dengan bacaan khusus yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini diketahui daripada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA berkaitan cara Rasulullah SAW menunaikan solat:

 

…ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَرْكَعُ ثُمَّ يَقُولُ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ حِينَ يَرْفَعُ صُلْبَهُ مِنَ الرُّكُوعِ ثُمَّ يَقُولُ وَهُوَ قَائِمٌ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَهْوِي سَاجِدًا…

 

Maksudnya: …Kemudian baginda bertakbir ketika rukuk. Kemudian baginda berkata sami’ Allahu liman hamidah ketika berdiri daripada rukuk, lalu mengucapkan Rabbana wa laka al-hamd ketika berdiri. Kemudian baginda bertakbir ketika turun untuk sujud…

(Riwayat Muslim)

 

Berdasarkan mazhab Shafi’i, syarat sah i’tidal ialah; (i) tidak bertujuan lain selain daripada ibadat; (ii) berdiri tetap buat seketika sekadar tempoh sekali tasbih; dan (iii) tidak berdiri terlalu lama sehingga melebihi kadar bacaan surah al-Fatihah. Hal ini demikian kerana i’tidal merupakan rukun pendek dan tidak harus dipanjangkan.[1]

 

Bacaan i’tidal terdiri daripada tasmi’ dan tahmid. Persoalannya, apakah yang sewajarnya dibaca oleh imam atau makmum ketika i’tidal?

 

HUKUM MEMBACA TASMI’ DAN TAHMID DALAM I’TIDAL

 

Perbuatan i’tidal dalam solat merupakan rukun yang disepakati para ulama. Manakala hukum membaca tasmi’ dan tahmid ketika i’tidal adalah sunat menurut pandangan jumhur ulama sebagaimana bacaan zikir-zikir dalam solat yang lain. Hal ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ الْمَسْجِدَ، فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَرَدَّ وَقَالَ ‏"‏ ارْجِعْ فَصَلِّ، فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ‏‏‏.‏ فَرَجَعَ يُصَلِّي كَمَا صَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ‏"‏ ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ‏‏ ثَلاَثًا‏.‏ فَقَالَ وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا أُحْسِنُ غَيْرَهُ فَعَلِّمْنِي‏.‏ فَقَالَ ‏ إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، وَافْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا ‏‏‏.‏

 

Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW masuk ke dalam masjid. Lalu masuk seorang lelaki ke dalam masjid dan menunaikan solat. Kemudian dia memberikan salam kepada Nabi SAW, baginda menjawab salam darinya lantas berkata: Pergi tunaikan semula solat kerana kamu tidak menunaikannya. Lalu lelaki itu pun mendirikan solat semula sebagaimana solatnya sebelum itu, kemudian dia datang memberikan salam kepada Nabi SAW. Baginda berkata lagi sebanyak 3 kali, Pergi tunaikan semula solat kerana kamu tidak menunaikannya..Kemudian lelaki itu berkata, Demi Tuhan yang mengutusmu, aku tidak tahu cara solat selain ini, maka ajarkanlah aku. Sabda baginda, Jika engkau mahu mulakan solat, maka bertakbirlah (takbiratul ihram). Kemudian bacalah apa yang mudah bagimu daripada al-Quran (surah al-Fatihah). Kemudian rukuk dan berhenti seketika ketika sedang rukuk. Kemudian berdiri sehingga tegak. Kemudian sujud dan berhenti seketika ketika sedang sujud. Kemudian duduk dan berhenti seketika ketika sedang duduk. Buatlah sedemikian untuk setiap solatmu.

(Riwayat al-Bukhari)

 

Menurut Imam al-Nawawi, berdasarkan hadis al-musi’ salatahu ini, ketika Rasulullah SAW menjelaskan perkara yang wajib dilaksanakan dalam solat, baginda tidak mengajarkan bacaan lafaz i’tidal dan zikir-zikir lain. Perbuatan Rasulullah SAW ini jelas menunjukkan bahawa bacaan i’tidal tidak termasuk dalam perbuatan yang wajib untuk dilakukan ketika solat. Imam al-Nawawi menyebut:

 

واحتج الشافعي والجمهور بحديث المسئ صَلَاتَهُ فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّمَهُ وَاجِبَاتِ الصَّلَاةِ وَلَمْ يُعَلِّمْهُ هَذِهِ الْأَذْكَارَ مَعَ أَنَّهُ عَلَّمَهُ تَكْبِيرَةَ الْإِحْرَامِ وَالْقِرَاءَةَ فَلَوْ كَانَتْ هَذِهِ الْأَذْكَارُ وَاجِبَةً لَعَلَّمَهُ إيَّاهَا بَلْ هَذِهِ أَوْلَى بِالتَّعْلِيمِ لَوْ كَانَتْ وَاجِبَةً لِأَنَّهَا تقال سرا وتخفى … واما الاحاديث الواردة بِهَذِهِ الْأَذْكَارِ فَمَحْمُولَةٌ عَلَى الِاسْتِحْبَابِ جَمْعًا بَيْنَ الْأَدِلَّةِ

 

Maksudnya: Imam al-Shafi’i dan jumhur fuqaha’ berhujah dengan hadith al-musi’ salatahu, iaitu Nabi SAW mengajarkannya kewajipan solat dan tidak pula mengajarkannya zikir-zikir ini sedangkan baginda mengajarkan takbiratulihram dan bacaan al-Fatihah. Jika zikir-zikir ini wajib, sudah tentu baginda akan mengajarkannya kepada lelaki tersebut. Bahkan sudah tentu zikir berkenaan lebih patut diajarkan jika ia wajib kerana ia perlu dibacakan secara perlahan dan sembunyi … Adapun hadis-hadis yang menyebutkan tentang zikir-zikir ini, dapat difahami bahawa hukumnya adalah sunat berdasarkan kaedah menghimpunkan antara beberapa dalil.[2]

 

 

PERBAHASAN TASMI’ (سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ) BAGI MAKMUM

 

Telah ijmak dalam kalangan para fuqaha bahawa orang yang menunaikan solat secara bersendirian hendaklah menghimpunkan antara tasmi’ dan tahmid. Walau bagaimanapun, terdapat  perselisihan pendapat para ulama dalam menentukan bacaan tasmi’ bagi makmum:

 

Pendapat pertama: Makmum disunatkan membaca tasmi’ mengikut pandangan Imam al-Shafi’i dan ia menjadi pandangan muktamad di sisi mazhab.[3] Secara asasnya, setiap perbuatan dan ucapan dalam solat perlu berlandaskan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Malik bin al-Huwairith RA bahawa Nabi SAW bersabda:[4]

 

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

 

Maksudnya: Dan solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.

(Riwayat al-Bukhari)

 

Imam al-Suyuti berhujah dengan hadis ini sebagai sokongan bagi pendapat yang dipegang oleh Imam al-Shafi’i dan mazhabnya. Kata Imam al-Suyuti:

 

فَهَذَا يَدُلُّ عَلَى أَنَّ الْمَأْمُومَ يَجْمَعُ بَيْنَ التَّسْمِيعِ وَالتَّحْمِيدِ؛ لِأَنَّهُ أَمَرَ الْأَئِمَّةَ بِأَنْ يُصَلُّوا، كَمَا صَلَّى، وَقَدْ ثَبَتَ بِتِلْكَ الْأَحَادِيثِ أَنَّهُ  لَمَّا صَلَّى قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ فَلَزِمَ مِنْ ذَلِكَ أَنَّ كُلَّ مُصَلٍّ يَقُولُ ذَلِكَ فَتَتَحَقَّقُ الْمِثْلِيَّةُ

 

Maksudnya: Hadith ini menunjukkan bahawa makmum perlu himpunkan tasmi’ dan tahmid kerana baginda menyuruh para imam menunaikan solat sebagaimana baginda solat. Hal ini bertepatan dengan hadith-hadith berkaitan bahawa apabila baginda berkata: sami’ Allahu liman hamidah, Rabbana laka al-hamd, maka semestinya setiap orang yang menunaikan solat perlu menyebutkannya, justeru berlakulah persamaan antara imam dengan makmum.[5]

 

Tambahan pula, al-Tahawi[6] dan Ibn Abd al-Barr[7] menukilkan ijmak bagi orang yang menunaikan solat secara bersendirian untuk menghimpunkan antara tasmi’ dan tahmid. Kemudian hal ini menjadi asas kepada pandangan al-Tahawi agar imam dan makmum menghimpunkan antara tasmi’ dan tahmid kerana secara asasnya pelaksanaan solat bagi ketiga-tiga kategori tersebut adalah sama melainkan adanya pengecualian yang dinyatakan secara jelas.[8]

 

 

Pendapat kedua: Makmum tidak dituntut membaca tasmi’ menurut jumhur ulama, ia adalah pandangan mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad.[9] Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

 

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Maksudnya: Imam dijadikan untuk diikuti, maka bertakbirlah ketika dia bertakbir, dan rukuk apabila dia rukuk, dan apabila dia menyebut Sami’a Allah liman hamidah, hendaklah kamu menyebut Allahumma Rabbana laka al-hamd.

(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Berdasarkan hadith ini, Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat untuk melafazkan bacaan tahmid kerana Baginda menyebutnya dengan perlahan sehingga tidak didengari oleh mereka.[10] hadith ini menunjukkan perbezaan bacaaan bagi imam dan makmum pada bacaan tasmi’ dan tahmid.[11] Tasmi’ juga membawa makna seruan untuk bertahmid. Perkara yang sepatutnya dibuat oleh orang yang diseru (makmum) adalah untuk menyahut seruan, iaitu dengan bertahmid dan tidak patut bagi makmum untuk mengulangi seruan (tasmi’) tersebut. Oleh itu, imam dituntut untuk melafazkan bacaan tasmi’ sahaja, manakala makmum pula hanya dituntut untuk melafazkan bacaan tahmid selepas imam.

 

KESIMPULAN

 

Hukum membaca tasmi’ dan tahmid ketika i’tidal adalah sunat di sisi jumhur ulama sebagaimana sunatnya bacaan zikir-zikir lain dalam solat. Orang yang menunaikan solat secara bersendirian sunat menghimpunkan antara tasmi’ dan tahmid. Begitu juga bagi yang solat berjemaah, menurut pandangan Imam al-Shafi’i yang menjadi pandangan muktamad di sisi mazhab, sunat membaca tasmi’ dan tahmid bagi imam dan juga makmum. Bacaan tasmi’ dan tahmid dikategorikan sebagai sunat haiat. Sunat haiat merupakan amalan sunat dalam solat yang mana sekiranya ditinggalkan secara sengaja ataupun tidak, maka tidak disunatkan sujud sahwi.

 

[1] al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Shafi’i, 1/134-135

[2]Abu Zakariyya Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, 3/415.

[3] Muhammad bin Idris al-Shafi’i, al-Umm, (Dar al-Fikr: Beirut) 1990, jilid 1, halaman 135.

[4] Abu Abd Allah Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, (Dar Ibn Kathir: Damsyik) 1993, no. hadith: 6819, jilid 6, halaman 2647

[5] Jalaluddin al-Suyuti, al-Hawi li al-Fatawi, (Dar al-Fikr: Beirut) 2004,  jilid 1, halaman 42.

[6] Abu Ja’far al-Tahawi, Sharh Ma’ani al-Athar, (Alam al-Kutub) 1994, no. 1434, jilid 1, halaman 240.

[7] Ibn Abd al-Barr, al-Tamhid, (Mu’assasah al-Furqan li al-Turath al-Islami: London) 2017, jilid 4, halaman 136.

[8] Ibid.

[9]  Ibn Abd al-Barr, al-Tamhid,Op.cit., jilid 4, halaman 127.

[10]  Jalaluddin al-Suyuti, al-Hawi li al-Fatawi, op.cit., halaman 43.

[11] Badruddin al-‘Ayni, Mahmud bin Ahmad bin Musa, al-Binayah Syarh al-Hidayah, (Dar al-Kutub ‘Ilmiah: Beirut), 2000, Jilid 2, halaman 229.