• English (UK)

|Bahasa lain

A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Taudhih Al-Ahkam : Solat Jumaat : Isu Mustautin dan Muqim Menurut Mazhab Shafi’i

 

Pendahuluan

Antara persoalan yang sering diajukan oleh masyarakat adalah berkaitan status solat Jumaat bagi masjid atau Surau Kebenaran Solat Jumaat di kawasan yang tidak dapat dipastikan bilangan lelaki yang bermustautin dalam qaryah tersebut terutamanya di kawasan tumpuan pekerjaan. Sehubungan itu, perbahasan ini akan mengupas secara ringkas berkaitan isu mustautin dan muqim dan perkaitannya dengan pelaksanaan solat Jumaat menurut pandangan mazhab Shafi’i untuk dijadikan panduan kepada umat Islam.

                                                                                               

Perincian Masalah

Terdapat dua isu utama berkaitan solat Jumaat, iaitu perkara yang berkaitan dengan syarat sah solat Jumaat dan perkara yang berkaitan dengan isu penduduk tetap yang muqim dan mustautin:[1]

 

  1. Syarat sah solat Jumaat sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama adalah seperti berikut; (i) dilaksanakan pada waktu Zohor; (ii) dilaksanakan secara berjemaah; (iii) solat didahului dengan dua khutbah; (iv) dilaksanakan dalam balad atau qaryah; (v) dilaksanakan oleh 40 orang lelaki (termasuk imam) yang merdeka, baligh, waras dan bertaraf mustautin; dan (vi) solat yang didirikan itu tidak didahului atau serentak dengan solat Jumaat lain di qaryah atau balad yang sama.[2]
  2. Perbahasan berkaitan konsep muqim dan mustautin.

Muqim ialah orang yang berniat untuk menetap di suatu balad selama 4 hari atau lebih tidak termasuk hari masuk dan keluar. Termasuk orang dikira muqim juga ialah mereka yang berniat untuk kembali ke tanah air atau kampung halamannya walaupun selepas suatu tempoh yang lama[3] atau musim sejuk melainkan atas tujuan tertentu.[4]

Berdasarkan takrifan ini, dapat kita fahami bahawa istilah mustautin ialah penduduk tetap di suatu tempat, sedangkan muqim pula ialah orang luar yang datang ke suatu tempat dan berniat untuk kembali ke tempat asalnya.

Dalam hal ini, Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab mengatakan terdapat dua pandangan tentang status solat Jumaat mereka yang muqim tanpa mustautin:

وَهَلْ تَنْعَقِدُ بِمُقِيمِينَ غَيْرِ مُسْتَوْطِنِينَ فِيهِ وَجْهَانِ قَالَ أَبُو عَلِيِّ بْنُ أَبِي هُرَيْرَةَ تَنْعَقِدُ بِهِمْ لِأَنَّهُ تَلْزَمُهُمْ الجُمُعَةُ فَانْعَقَدَتْ بِهِمْ كَالمُسْتَوْطِنِينَ وَقَالَ أَبُو إِسْحَاقَ لَا تَنْعَقِدْ

Maksudnya: Adakah orang yang mukim yang bukan mustatutin memenuhi syarat pelaksanaan solat Jumaat? Dalam hal ini ada dua pendapat (wajh). Menurut Abu Ali Ibn Abi Hurairah, solat Jumaat (orang yang muqim) adalah memenuhi syarat pelaksanaan solat Jumaat kerana mereka wajib menunaikan solat Jumaat sebagaimana orang yang mustautin. Menurut Abu Ishaq pula, solat Jumaat (orang yang muqim) tidak memenuhi syarat pelaksanaan solat Jumaat.[5]

Meskipun begitu, Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab tatkala menyebutkan tentang kewajipan solat Jumaat bagi enam golongan, berkata:

(السَّادِسُ) مَنْ تَلْزَمُهُ وَتَصِحُّ مِنْهُ وَفِي انْعِقَادِهَا بِهِ خِلَافٌ وَهُوَ الْمُقِيمُ غَيْرُ الْمُسْتَوْطِنِ

Maksudnya: Keenam: Golongan yang wajib menunaikannya dan sah menunaikannya. Manakala berkenaan berlakunya solat Jumaat itu terdapat khilaf. Golongan ini ialah muqim yang bukan mustautin.

فَفِيهِ الْوَجْهَانِ الْمَذْكُورَانِ فِي الْكِتَابِ (أَصَحُّهُمَا) لَا تَنْعَقِدُ بِهِ

Maksudnya: Dalam hal ini ada dua pendapat (wajh) yang dinyatakan dalam kitab (yakni al-Muhazzab). Pendapat yang paling sahih (asahh) ialah solat Jumaat tidak sah dengan golongan ini.[6]

 

Berdasarkan pandangan para ulama mazhab Shafi’i di atas, terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan golongan muqim termasuk dalam bilangan 40 orang yang wajib ada dalam menunaikan Solat Jumaat. Pendapat yang asahh (paling sahih) yang juga pendapat al-Nawawi menyatakan bahawa golongan muqim tidak termasuk dalam bilangan 40 orang jemaah yang wajib tersebut. Namun begitu, pendapat Abu Ali Ibn Abi Hurairah pula menyatakan golongan muqim termasuk dalam bilangan 40 orang jemaah tersebut. Pendapat ini lebih dekat kepada realiti semasa.

 

Pengamalan Solat Jumaat Di Selangor

Negeri Selangor merupakan salah satu negeri tumpuan pekerjaan dalam pelbagai bidang, justeru ramai penduduk dalam dan luar Selangor memilih untuk bekerja di Selangor. Kawasan Lembah Klang (LK) sebagai contohnya merangkumi sebahagian negeri Selangor, seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan tempat bekerja bagi kebanyakan penduduk Malaysia dari segenap pelosok negeri dan juga penduduk asalnya. Hal ini menyebabkan sebilangan penduduk negeri Selangor berulang-alik dari tempat tinggal ke tempat kerja dengan jarak yang jauh sepanjang hari bekerja termasuk hari Jumaat. Oleh itu, perbahasan tentang mustautin dan muqim menjadi perkara yang perlu diambil perhatian.

Berbalik kepada pengamalan solat Jumaat di negeri Selangor, solat Jumaat sah didirikan di masjid kariah atau Surau Kebenaran Solat Jumaat.[7] Berdasarkan pendapat yang masyhur di sisi mazhab Shafi’i, 40 orang jemaah tersebut termasuk imam mestilah terdiri daripada golongan mustautin. Sehubungan itu, penduduk negeri Selangor yang bekerja di luar kawasan kariahnya ini dikira sebagai muqim dan bukan mustautin. Contohnya seperti individu yang tinggal di Gombak tetapi bekerja dan menunaikan solat Jumaat di Shah Alam.

Secara asasnya, individu seperti contoh di atas wajib menunaikan solat Jumaat di kariahnya kerana dia mustautin di sana. Namun kekangan kerja di luar kariah membuatkan dia menunaikan solat Jumaat di luar kariah dan hal ini menjadikan dia termasuk dalam golongan muqim dan tidak termasuk dalam 40 ahli Jumaat. Hakikatnya, contoh ini berlaku kepada ramai umat Islam sehinggakan situasi ini menyukarkan penentuan antara muqim dan mustautin dalam pelaksanaan solat Jumaat di kebanyakan tempat di Selangor.

Berhubung kesukaran yang dinyatakan di atas, pendapat Abu Ali Ibn Abi Hurairah wajar untuk dijadikan sandaran meskipun ia bukanlah pendapat yang paling sahih. Berdasarkan pendapat ini, solat Jumaat tetap sah dengan menjadikan golongan muqim termasuk dalam 40 ahli Jumaat sebagaimana golongan mustautin. Kesannya, perkara ini mampu menghilangkan ketidakpastian dan memudahkan pelaksanaan solat Jumaat.

 

Kesimpulan

Penetapan konsep muqim dan mustautin ini wajar diberi perhatian dengan mengambil kira teks terdahulu dan meraikan konteks semasa terutamanya situasi yang berlaku di negeri Selangor sendiri, iaitu umum al-balwa atau yang juga dikenali sebagai darurah al-ammah, iaitu keadaan atau peristiwa yang dialami oleh ramai orang sehingga ia sukar untuk dielakkan.[8] Sehubungan itu, orang yang tinggal di negeri Selangor dan bekerja di luar kariah tempat tinggalnya tetap termasuk dalam 40 orang ahli Jumaat, justeru dia wajib melaksanakan solat Jumaat di mana-mana masjid berhampiran tempat dia bertugas.

 

 

 

 

 

 

[1] Dalam beberapa kitab lain, istilah ini diungkapkan dengan perkataan mutawattin. Manakala dalam bahasa Melayu, ia diungkapkan dengan perkataan mastautin.

[2] Fath al-Wahhab al-Malik fi Hall Alfaz ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik, Taha ‘Abd al-Hamid Hamadi, Dar al-Diya’, Beirut (2014), 1/613-616. al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah, Hasan bin Ahmad al-Kaff, Dar al-Mirath al-Nabawi, Riyad (2003), 327-328.

[3] al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah, Hasan bin Ahmad al-Kaff, Dar al-Mirath al-Nabawi, Riyad (2003), 324.

[4] al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah, Hasan bin Ahmad al-Kaff, Dar al-Mirath al-Nabawi, Riyad (2003), 324.

[5] al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, Yahya bin Sharaf al-Nawawi. Dar al-Fikr, (1431 H), 4/502. Kenyataan al-Shirazi ini diambil daripada matan al-Muhazzab yang disyarahkan oleh al-Nawawi.

[6] al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, Yahya bin Sharaf al-Nawawi. Dar al-Fikr, (1431 H), 4/503.

[7] Sebagai contoh berkaitan masjid dan Surau Kebenaran Solat Jumaat, lihat: Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor - Taudhih Al-Ahkam : Kewajipan Mencukupkan Bilangan 40 Orang Jemaah Solat Fardhu Jumaat (muftiselangor.gov.my)

[8] al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 31/6.