A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Soalan Lazim

 Apakah fungsi Mufti?

Fungsi Mufti ditetapkan berdasarkan seksyen 45, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu:

Mufti hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Negeri Selangor selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini.

 

Siapakah yang menganggotai Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor?

Keanggotaan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor ditetapkan berdasarkan seksyen 46, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu:

  1. Mufti, sebagai Pengerusi;
  2. Timbalan Mufti;
  3. Penasihat Undang-Undang Negeri;
  4. dua orang anggota Majlis yang dinamakan oleh Majlis (MAIS)
  5. seorang pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor yang mahir dalam hukum Syarak yang akan dilantik oleh Majlis;
  6. tidak kurang daripada dua orang dan tidak lebih daripada tujuh orang yang layak dan sesuai, yang dilantik oleh Majlis; dan
  7. seorang pegawai dari Jabatan Mufti yang dilantik oleh Majlis, sebagai Setiausaha.

 

Bagaimana proses sesuatu fatwa itu dikeluarkan?

Tatacara pembuatan fatwa di negeri Selangor berdasarkan seksyen 48, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu:

Bil

Tatacara

Keterangan

1.

Permohonan

 Permohonan daripada agensi kerajaan, swasta atau individu untuk mendapatkan   sesuatu fatwa bagi isu-isu baharu.

2.

Menjalankan kajian

 Sekiranya isu baharu, maka kajian akan dilaksanakan dan seterusnya   menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat.

3.

Pelaksanaan Mesyuarat

 Mufti akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa untuk   membincangkan isu tersebut dan membuat keputusan.

4.

Pemakluman kepada MAIS

 Keputusan fatwa akan dikemukakan kepada MAIS.

5.

Memohon perkenan DYMM Sultan Selangor

 Selepas menimbang teliti sesuatu fatwa (sekiranya diwartakan),  MAIS akan   membuat syor kepada DYMM Sultan Selangor untuk mendapatkan perkenan   pewartaan.

6.

Pemakluman kepada Kerajaan

 Setelah diperkenankan oleh DYMM Sultan, MAIS hendaklah memaklumkan fatwa   tersebut kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

7.

Pewartaan

 Setelah dimaklumkan kepada kerajaan negeri, fatwa tersebut hendaklah   disiarkan dalam warta.

 

Adakah sesuatu isu yang mempunyai nas dalam al-Quran atau al-Sunnah perlu difatwakan?

Sesuatu isu yang mempunyai nas dalam al-Quran atau Sunnah secara qatie tidak perlu difatwakan. Perlu difahami bahawa sesuatu fatwa itu dibuat sekiranya terdapat isu-isu semasa atau apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi. 

 

Apakah perbezaan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Negeri?

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ditubuhkan pada awal tahun 1970 sebagaimana diperuntukan dalam Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Jawatankuasa ini merupakan badan pengeluar dan penyelaras fatwa di peringkat Kebangsaan atas apa-apa perkara yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor diwujudkan berdasarkan Seksyen 46, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Jawatankuasa ini berperanan mengeluarkan fatwa terhadap sesuatu isu baharu atau apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi berhubung hukum syarak.

 

Kenapa wujud perbezaan fatwa antara kebangsaan dan negeri walaupun telah dibincangkan oleh semua Mufti?

Perbezaan wujud kerana melibatkan bidang kuasa. Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa hal ehwal agama Islam adalah bidang kuasa negeri yang diketuai oleh DYMM Sultan.

Sesuatu fatwa yang dibincangkan di peringkat kebangsaan akan dibincangkan semula dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri dan ahlinya boleh memberikan pandangan terhadap fatwa tersebut.

Walaubagaimanapun Jawatankuasa Fatwa Negeri hendaklah menerima pakai nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sekiranya telah dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja sebagaimana maksud seksyen 52, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

 

Apakah keutamaan jika terdapat perbezaan antara fatwa kebangsaan dan negeri?

Fatwa yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) adalah sebagai Irsyad Hukum (pandangan hukum) sahaja.

Manakala sesuatu fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan diwartakan adalah mengikat serta mempunyai kesan perundangan. Setiap orang Islam yang berada di Negeri Selangor hendaklah mematuhi dan berpegang dengan fatwa berkenaan. Selain itu, sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua mahkamah di Negeri Selangor.

 

Apakah perbezaan di antara fatwa yang diwartakan dengan yang tidak diwartakan?

Apa-apa ketetapan hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa adalah fatwa. Namun, hanya fatwa yang diwartakan sahaja mempunyai kesan perundangan.

Kebiasaannya sesuatu fatwa yang diwartakan adalah melibatkan fatwa ajaran/fahaman sesat supaya ia boleh dikuatkuasakan.

 

Adakah sesuatu fatwa boleh dipinda atau dibatalkan?

Sesuatu fatwa boleh dipinda atau dibatalkan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 50 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. 

 

Apakah qaul muktamad yang digunakan untuk mengeluarkan fatwa?

Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad (pendapat-pendapat yang diterima) Mazhab Syafie.

Jika qaul muktamad dalam Mazhab Syafie berlawanan dengan kepentingan awam, Jawatankuasa Fatwa boleh mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

Jika tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab tersebut yang sesuai dengan kepentingan awam, Jawatankuasa Fatwa boleh membuat fatwa mengikut ijtihad tanpa terikat dengan mazhab tersebut selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.

 

Sejauh mana penguatkuasaan sesuatu fatwa yang telah diwartakan?

Pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau mana-mana pihak yang berautoriti boleh mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap fatwa yang telah diwartakan.

Masyarakat perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menguatkuasakan sesuatu fatwa melalui aduan rasmi yang disampaikan. Sesuatu fatwa yang dikuatkuasakan adalah berkaitan ajaran/fahaman sesat yang antara elemennya mengancam akidah atau keselamatan awam.

 

Adakah sesuatu fatwa yang dikeluarkan boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak?

Sesuatu fatwa yang dibuat tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Ia dibuat berdasarkan tatacara yang telah ditetapkan dalam Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mana-mana pihak yang ingin mendapatkan fatwa bagi sesuatu isu baharu atau meminda atau mengubah suai, boleh mengemukakan kertas kerja kepada Jabatan Mufti. Tidak wujud elemen mempengaruhi kerana sesuatu fatwa itu dibuat melalui Jawatankuasa Fatwa.

 

Apakah implikasi melanggar atau mempertikaikan fatwa?

Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan mana-mana individu yang menghina kuasa yang sah atau mengingkari, melanggar atau mepertikaikan perintah atau arahan Mufti yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3000 atau dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

 

Apakah mekanisme penyebaran fatwa di Negeri Selangor?

Penyebaran fatwa dilaksanakan melalui mekanisme berikut:

  1. Laman sesawang muftiselangor.gov.my
  2. Program Bicara Fatwa
  3. Program turun padang “Mesra Ummah Bersama Jabatan Mufti”
  4. Billboard/Banner Fatwa
  5. Akhbar tempatan (edisi nasional)
  6. Televisyen
  7. Radio
  8. Facebook Jabatan Mufti
  9. Khutbah Jumaat
  10. Perkhidmatan SMS/aplikasi whatsapp
  11. Terbitan poster/risalah
  12. Youtube Fatwa