SHAH ALAM, 2 April : Tarikh 2 April telah diisytiharkan sebagai "Hari Kesedaran Autisme Sedunia" atau "World Autisme Awareness Day" oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan disambut di seluruh dunia sejak tahun 2008. Sambutan ini dilaksanakan sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang kanak-kanak serta individu yang mengalami autisme. Sebagai tanda sokongan terhadap golongan ini, Jabatan Mufti Negeri Selangor telah mengadakan sambutan Hari Kesedaran Autisme dan meraikan seorang anak autisme iaitu adik Mohd Helmi bin Mohd Anwar, bekas pelajar kelas Pendidikan Khas, SMK Seksyen 9, Shah Alam.
Semua pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Negeri Selangor berpakaian tema warna biru sebagai tanda sokongan kepada golongan autisme.
Di antara aktiviti yang diadakan adalah perkongsian ilmu berkenaan anak autisme bersama ahli keluarga adik Mohd Helmi bin Mohd Anwar, tayangan video dan sambutan hari lahir beliau bersama-sama semua pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Turut sama meraikan hari lahir adik Mohd Helmi bin Mohd Anwar ialah S.S. Dato' Dr. Anhar bin Opir (Timbalan Mufti Selangor) dan ahli keluarga beliau serta pegawai-pegawai Jabatan Mufti Negeri Selangor.