Kuala Selangor - 15 Jun, Jabatan Mufti Negeri Selangor telah berjaya menganjurkan program Bicara Fatwa Selangor bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam. Program ini bertujuan untuk memberi maklumat kefatwaan kepada peserta seterusnya memberi kesedaran agar setiap fatwa yang diputuskan dapat dipatuhi.
Program ini dimulakan dengan pembentangan oleh Tuan Hj. Jamali Mohd Adnan, Pegawai Tadbir Agama Daerah Klang yang membentangkan fatwa-fatwa ajaran/fahaman yang diwartakan sebagai sesat dan menyeleweng. Sesi kedua pula membicarakan Persoalan Semasa dan Cabaran Fatwa Masa Kini disampaikan oleh Dr. Hj. Anhar Opir, Timbalan Mufti Selangor.
Pembentangan oleh Tuan Hj. Jamali Mohd Adnan, Pegawai Tadbir Agama Daerah Klang
Pembentangan oleh Dr. Hj. Anhar Bin Hj. Opir, Timbalan Mufti Selangor
Penyelaras program Ustaz Rizal Ramli berkata program Bicara Fatwa Selangor ini merupakan siri yang kelima untuk tahun 2017. "Kita cadang untuk laksanakan sebanyak 9 kali dengan penglibatan guru-guru sekolah menengah. Alhamdulillah setakat ini kita telah laksanakan 5 kali iaitu di daerah Petaling, Gombak, Klang dan Kuala Selangor."
Beliau menambah program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor ini menyasarkan Guru-guru Sekolah Menengah melibatkan pelbagai latar belakang antara guru agama, guru kaunseling dan guru disiplin. "Alhamdulillah untuk kali ini kita dimaklumkan oleh urusetia di peringkat PPD seramai 260 orang peserta telah hadir."
Sementara itu Timbalan Mufti Selangor memaklumkan bahawa program Bicara Fatwa Selangor ini merupakan salah satu mekanisme penyebaran fatwa di Selangor. "Pelbagai pendekatan telah dan sedang dilaksanakan seperti Bicara Fatwa, Mesra Ummah Bersama Jabatan Mufti, hebahan di akhbar, perkhidmatan SMS, Banner Fatwa dan yang terkini melalui Billboard". Para peserta yang ditemui turut melahirkan rasa berpuas hati terhadap pelaksanaan program tersebut. Kebanyakan peserta mencadangkan agar program seumpama ini diadakan lebih kerap kepada guru-guru sekurang-kurangnya dua kali setahun.
Jabatan Mufti Negeri Selangor merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan dan kerjasama semua pihak yang terlibat menjayakan program Bicara Fatwa Selangor ini.