Pada 28 dan 29 Oktober 2015 yang lalu, telah berlangsung Seminar Serantau Komunikasi Islam dan Masyarakat : Krisis, Amalan dan Tajdid, ia merupakan kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Selangor bersama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), KUISCELL dan juga Masjid Tengku Ampuan Jamaah, Bukit Jelutong, Shah Alam. Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada proses menyempurnakan penyelidikan yang sedang dijalankan oleh Kumpulan Penyelidikan “Media Dan Perkabungan Negara” yang telah menerima Geran Penyelidikan Dan Inovasi KUIS (GPIK) 2015 di bawah penyelidikan bertajuk “PROGRAM MEDIA SEMASA HARI PERKABUNGAN NEGARA BERDASARKAN PERSPEKTIF ISLAM”.
Seminar dua hari ini telah dirasmikan oleh Y.A.D Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Bin Isa, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, manakala YB. Tuan Nik Nazmi Bin Nik Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi Dan Inovasi, Selangor pula telah menutup upacara penangguhan seminar yang dihadiri oleh lebih 300 orang peserta dari kalangan pemegang-pemegang tauliah mengajar di Negeri Selangor, kakitangan kerajaan dan juga pelajar.
Sepanjang 2 hari seminar ini berlangsung sebanyak 24 kertas kerja telah dibentangkan secara pembentangan selari. Antara tajuk yang menjadi perhatian adalah ucaptama seminar yang disampaikan oleh Y.Bhg Prof. Dr. Asiah Sarji, Professor Pelawat, Universiti Malaysia Perlis. Pembentang beliau bertajuk ‘Transformasi Pemikiran Islam Melalui Media’.
Di samping seminar, urusetia program juga menjemput Y.Bhg. Ust Don Daniyal untuk rakaman khas 30 Minit Ustaz Don di TV al-Hijrah, rakaman tersebut akan disiarkan pada 7 dan 8 Disember dengan tajuk berkaitan penggunaan media masa kini. Kemuncak kepada penganjuran ini adalah pembentangan resolusi oleh ketua penyelidik Puan Rahmahtunnisah Bt. Hj Sailin. Resolusi ini merupakan hasil daripada kerja keras kumpulan penyelidik dalam menjalankan penyelidikan berkaitan “PROGRAM MEDIA SEMASA HARI PERKABUNGAN NEGARA BERDASARKAN PERSPEKTIF ISLAM”. Seterusnya ia akan dicadangkan ke peringkat yang lebih tinggi untuk perhatian pihak yang berkaitan.
Sebelum ucapan penangguhan, Jabatan Mufti Negeri Selangor telah menjemput YB. Tuan Nik Nazmi Bin Nik Ahmad untuk melancarkan dua buah buku terbitan Jabatan iaitu Buku Pelan Integriti Organisasi Dan Kod Etika dan Buku Pelan Strategik Jabatan Mufti Negeri Selangor 2015 – 2019. Dan majlis ini diakhiri dengan ucapan penangguhan daripada YB.
Kerjasama ini dilihat sebagai satu usaha meneruskan jalinan kerjasama yang baik antara jabatan-jabatan kerajaan dan juga institut pengajian tinggi milik kerajaan negeri dalam menggalakkan kerjasama penyelidikan yang berterusan dalam perkara yang melibatkan isu-isu semasa. Dari sudut yang lain program-program yang dianjurkan juga bertujuan untuk mendidik masyarakat agar sentiasa bertindak sesuai dengan syarak dalam setiap perkara yang ada kaitannya dengan agama Islam.