Konvensyen Falak Selangor 2015 telah dapat dilaksanakan dengan jayanya sepertimana yang telah ditentatifkan bermula 3hb April hingga 5hb April 2015.
Dengan tema Kembara Menelusuri Hikmah Al-Khaliq ini, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan
dan telah mendapat sambutan yang baik daripada tetamu yang hadir.
Kemuncak kepada konvensyen pada kali ini adalah pencerapan gerhana bulan penuh yang diadakan pada 4hb April 2015. Bersempena fenomena gerhana ini, para tetamu mengambil peluang ini untuk bersama-sama solat sunat gerhana dan mendengar khutbah khas gerhana bulan daripada Imam Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.
Namun, cuaca pada malam tersebut tidak mengizinkan para tetamu untuk menjadi saksi kepada gerhana bulan paling pendek untuk kurun ke 21 ini.
Walau bagaimanapun, gerhana bulan penuh telah dapat dicerap di Balai Cerap Selangor untuk berkongsi gambar-gambar gerhana bulan pada malam tersebut.
Kehadiran YAB Tuan Mohamad Azmin Bin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor yang menyempurnakan perasmian Konvensyen Falak Selangor 2015 dan turut sama memeriahkan majlis pencerapan gerhana bulan penuh menjadi penyeri utama konvensyen pada kali ini.
Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang bersama-sama menyumbangkan idea, masa dan tenaga bagi menjayakan program Konvensyen Falak Selangor 2015.