A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Program Mesra Ummah Bersama Jabatan Mufti Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya, Sepang

SEPANG - 23 Disember - Jabatan Mufti Negeri Selangor telah menganjurkan Program Mesra Ummah Bersama Jabatan Mufti bertempat di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya Sepang. Program ini bertujuan memberikan pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat setempat berkaitan pengurusan kefatawaan Selangor, info falak dan memberikan penjelasan isu-isu semasa yang berkaitan dengan hukum syarak.
 
Antara tetamu yang turut hadir ialah Y.D.M. Tengku Dato' Dr. Jamaluddin bin Tengku Mahmud Shah Alhaj, Orang Besar Daerah Sepang, YBhg. Dato' Haji Abd. Hamid bin Hussain, Yang Di Pertua Majlis Daerah Sepang dan YBhg. Ustaz Zamzuri bin Roslan, Pegawai Tadbir Agama, PAID Sepang.
 
 
Program dimulakan dengan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Halem Hapiz bin Salihin (Penolong Mufti), diikuti bacaan khutbah oleh YBhg. Ustaz Mohamad Syukry bin Sulaiman (Ketua Penolong Mufti) yang bertajuk “Keluarga Mithali, Islam Dihormati” dan sesi Dialog 30 Minit selepas solat Jumaat. Selain itu, meja pameran juga turut dibuka dengan edaran bahan terbitan Jabatan secara percuma kepada para Jemaah yang hadir.
 
Pada Sesi Dialog 30 Minit kali ini, barisan ahli panel terdiri daripada YBhg. Ustaz Mohamad Syukry bin Sulaiman (Ketua Penolong Mufti), Ustaz Zamzuri bin Roslan (Pegawai Tadbir Agama, PAID Sepang), Ustaz Abdul Halem Hapiz bin Salihin (Penolong Mufti), Ustaz Hardi bin Mohamad Sadali (Penolong Mufti Kanan) dan Ustaz Khairiamri bin Ahmad sebagai moderator. Program tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada Ustaz Mohammad Ali bin Mohd Yunus, Pengurus Masjid Raja Haji Fi Sabilillah. Semoga dengan penganjuran program ini, masyarakat memperoleh manfaat daripada aktiviti-aktiviti yang telah direncanakan.