A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Program Cerapan Gerhana Bulan Penuh

Shah Alam, 8 November -  Jabatan Mufti Negeri Selangor telah menyertai Program Cerapan Gerhana Bulan Penuh pada hari ini di Tanjung Labian, Sabah anjuran Jabatan Mufti Negeri Sabah, Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian, Sabah dan Dark Sky Malaysia. Program ini juga telah disertai beberapa agensi lain yang terdiri daripada Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Jabatan Mufti Negeri Johor dan Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia Negeri Sabah.

 

   

 

Tanjung Labian merupakan antara kawasan pertama Gerhana Bulan dapat dilihat di Malaysia berdasarkan kedudukannnya di kawasan paling timur. Berdasarkan hitungan, Bulan terbit di ufuk timur pada jam 5.39 malam dalam keadaan fasa gerhana separa. Walaubagaimanapun, keadaan kaki langit yang berawan menyebabkan bulan hanya mula kelihatan pada jam 5.50 malam.

 

  

 

Para pengunjung dapat menyaksikan fasa Gerhana Bulan Penuh bermula pada jam 6.16 malam tepat sebagaimana hitungan melalui teleskop dan penglihatan mata kasar. Terdapat hampir 30 buah teleskop yang telah digunakan oleh pengunjung untuk melihat dan merakam fasa-fasa :Gerhana Bulan Penuh. Fasa gerhana berakhir pada jam 8.50 malam apabila Bulan kembali menjadi purnama tanggal 14 Rabi'ul Akhir 1444H.

 

   

 

Pada cerapan kali ini, Jabatan Mufti Negeri Selangor telah mengadakan siaran secara langsung yang boleh ditonton di FB Jabatan Mufti Negeri Selangor. Dato' Dr. Hj Anhar bin Hj Opir, S.S. Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor telah berkesempatan menyampaikan tausiyah sempena Gerhana Bulan Penuh pada kali ini.

Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur dan semua yang telah bersama-sama Jabatan Mufti Negeri Selangor mencerap Gerhana Bulan Penuh.