A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Program Mesra Ummah Bersama Jabatan Mufti di Masjid Ar-Rahmah Sungai Buaya

Rawang, 30 September -  Jabatan Mufti Negeri Selangor telah menganjurkan Program Mesra Ummah Bersama Jabatan Mufti bertempat di Masjid Ar-Rahmah, Sungai Buaya Rawang. Program ini bertujuan memberikan pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat setempat berkaitan keputusan Fatwa Selangor, info falak dan dalam masa yang sama memberikan penjelasan dan pencerahan isu-isu semasa yang berkaitan dengan hukum syarak.

Program dimulakan dengan sesi tazkirah yang bertajuk “Apa itu Fatwa?” oleh Ustaz Abdul Wahid bin Ishak (Penolong Mufti Kanan), diikuti bacaan khutbah oleh S.S. Prof. Madya Dr. Haji Miszairi bin Haji Sitiris (Timbalan Mufti Selangor) yang bertajuk “Adakah Aku Hamba Yang Bersyukur” dan sesi Dialog 30 Minit selepas solat Jumaat. Antara lain, meja pameran juga turut dibuka dengan edaran bahan terbitan Jabatan secara percuma kepada para Jemaah yang hadir.

Bagi sesi Dialog 30 Minit kali ini telah membariskan ahli panel yang terdiri daripada S.S. Prof. Madya Dr. Haji Miszairi bin Haji Sitiris (Timbalan Mufti Selangor) selaku pengerusi, Ustaz Mohd Khairi bin Md. Zainal (Pegawai Tadbir Agama, PAID Hulu Selangor), Ustaz Abdul Halem Hapiz bin Salihin(Penolong Mufti), dan Ustaz Hardi bin Mohamad Sadali (Penolong Mufti Kanan) sebagai moderator. Program pada petang tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada Ustaz Muhammad Nazif bin Mohammad Zaid, Pengurus Masjid ar-Rahmah, Sungai Buaya.  
 
     

Pada sebelah malam turut diadakan kuliah Maghrib Khas "Bicara Falak” oleh Y.Bhg. Tuan Shahrin bin Ahmad dan Program Jom Teropong Angkasa oleh Bahagian Falak. Melalui Program Jom Teropong Angkasa tersebut para jemaah berpeluang untuk melihat planet Zuhal, beberapa bintang dan buruj. Selain itu, para Jemaah juga berpeluang membuat transformasi tarikh lahir daripada masihi kepada hijri.
 
  
 

Pada hari berikutnya, program diteruskan dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh S.S. Prof. Madya Dr. Haji Miszairi bin Haji Sitiris (Timbalan Mufti Selangor) dengan tajuk "Fatwa Ajaran Sesat".
 
  

Seterusnya pada jam 9.00 pagi seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada ahli kariah telah menghadiri Bengkel Kiblat Jitu yang telah disampaikan oleh Ustaz Hardi bin Mohamad Sadali (Penolong Mufti Kanan). Dalam masa yang sama turut diadakan pengesahan kiblat pada 5 (lima) surat yang terpilih di sekitar kawasan Bandar Sungai Buaya & Kampung Sungai Buaya.

Semoga diharapkan dengan penganjuran program ini, masyarakat memperoleh manfaat daripada aktiviti-aktiviti yang telah direncanakan.