A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Program Mesra Ummah Bersama Jabatan Mufti di Masjid Putra Heights, Subang Jaya

Subang Jaya, 19 Ogos -  Jabatan Mufti Negeri Selangor telah menganjurkan Program Mesra Ummah Bersama Jabatan Mufti  (MUBJM) bertempat di Masjid Putra Heights, Subang Jaya.  Program ini bertujuan menyebarluaskan keputusan-keputusan fatwa Negeri Selangor kepada masyarakat dan juga perkongsian info berkaitan ilmu  falak. Melalui program ini juga, penduduk setempat diberikan ruang dan peluang mendapatkan penjelasan dan pencerahan isu-isu semasa  berkaitan dengan hukum syarak.

 

   

 

Program dimulakan dengan sesi tazkirah yang bertajuk “Apa itu Fatwa?” oleh Ustaz Abdul Wahid bin Ishak (Penolong Mufti Kanan), diikuti bacaan khutbah oleh S.S. Dato’ Dr. Haji Anhar bin Haji Opir (Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor) yang bertajuk “Derma Organ, Demi Kehidupan” dan sesi Dialog 30 Minit selepas solat Jumaat. Selain daripada itu, meja pameran juga turut dibuka dengan edaran bahan terbitan Jabatan secara percuma kepada para Jemaah yang hadir.

 

   

 

Sesi Dialog 30 Minit selepas solat Jumaat juga telah diadakan dengan membariskan ahli panel iaitu S.S. Dato’ Dr. Haji Anhar bin Haji Opir (Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor), Ustaz Mohamad Khair bin Zainal (Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Masjid, JAIS), Ustaz Hardi bin Mohamad Sadali (Penolong Mufti Kanan), Ustaz Suhaimi bin Ahmad Wakid (Pegawai Hal Ehwal Islam, PAID Petaling), dan Ustaz Mohamad Shukry bin Sulaiman (Ketua Penolong Mufti) selaku moderator. 

 

 

Program MUBJM kali ini juga turut diisi dengan kuliah Maghrib Khas bertajuk “Fatwa Ajaran Sesat” oleh Ustaz Abdul Wahid bin Ishak dan diakhiri dengan Program Jom Teropong Angkasa oleh Bahagian Falak. Melalui Program Jom Teropong Angkasa ini, para jemaah berpeluang untuk melihat planet Zuhal, beberapa bintang dan buruj. Selain itu, para Jemaah juga berpeluang membuat transformasi tarikh lahir daripada masihi kepada hijri.  Adalah diharapkan dengan penganjuran program ini, para Jemaah memperoleh manfaat daripada program yang telah direncanakan.