Kuala Lumpur, 31 Mac – Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Selangor telah mengadakan Lawatan Kerja ke Pusat Maklumat dan Perpustakaan Berita BERNAMA pada pagi ini yang diketuai oleh Ustazah Jamilah Binti Muhammad Jamil dan tujuh (7) orang pegawai Jabatan. Kehadiran rombongan delegasi telah disambut mesra oleh pihak BERNAMA yang diketuai oleh Puan Hajah Hasnita Binti Ibrahim, Pengurus Maklumat, Pusat Maklumat dan Perpustakaan Berita BERNAMA dan lima (5) pegawai dan kakitangan.
Beberapa perkongsian telah dibentangkan semasa sesi lawatan ini iaitu pelaksanaan projek Biblioterapi sebagai terapi melalui pembacaan yang diterajui oleh Pusat Maklumat dan Perpustakaan Berita BERNAMA dan AKRAB BERNAMA. Pihak delegasi turut dibawa melihat Bilik Biblioterapi BERNAMA yang menempatkan pelbagai bahan bacaan yang dapat membantu peserta dalam mempertingkatkan potensi serta kecemerlangan diri melalui pelaksanaan terapi buku. Pelbagai inisiatif yang telah dibuat oleh pihak BERNAMA di antaranya ulasan buku, terapi muzik, program webinar semasa pandemik melalui biblioterapi, pertandingan perpustakaan di rumah dan pelbagai lagi. Semoga dengan sesi lawatan ini dapat memberi idea dalam menambahbaik kemudahan perpustakaan di Jabatan dan sebagai satu langkah ke hadapan bagi pihak Jabatan untuk mewujudkan sudut biblioterapi untuk manfaat semua warga Jabatan.