A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Kunjungan Hormat Mufti Selangor ke Jabatan Mufti Negeri Pahang

Pekan, 17 Februari -  Jabatan Mufti Negeri Selangor telah mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Mufti Negeri Pahang yang telah diketuai oleh Y.A.D. Dato' Dr. Haji Anhar Bin Haji Opir, S.S. Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor dan disertai oleh Ustazah Jamilah Binti Muhammad Jamil, Penolong Mufti Kanan (Maktabah), Encik Norakmal Azraf Bin Awaluddin, Penolong Pegawai Tadbir (Integriti) serta dua (2) pegawai pengiring. Kehadiran delegasi rombongan telah disambut baik oleh S.S. Dato' Sri Dr. Haji Abdul Rahman Bin Haji Osman, Mufti Negeri Pahang, Dato' Haji Abdul Zaki Bin Haji Md Zin, Timbalan Mufti Negeri Pahang dan Ustaz Shaharuddin Bin Haji Muhammad Nor, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Rujukan Fatwa). Ini merupakan siri lawatan rasmi ke-3 ke Jabatan Mufti Negeri-negeri yang diketuai oleh S.S. Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor bermula tahun 2021. Terdahulu, rombongan delegasi telah mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan juga Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

   

Pertemuan selama hampir dua (2) jam ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan ukhwah di antara kedua-dua agensi dengan saling bertukar pandangan berkenaan isu-isu semasa. Antara intipati perbincangan adalah berkenaan isu pentadbiran, cabaran Mufti termasuk sesi tausiyah khas daripada Mufti Negeri Pahang. Semoga dengan lawatan ini akan mengeratkan lagi jalinan kerjasama antara kedua-dua Jabatan terutama dalam bidang fatwa, falak dan sumber maklumat khususnya.