Bangi, 11 Sept - Jabatan Mufti Negeri Selangor telah menyertai program Pra Liqa' Mahabbah Jabatan-jabatan Mufti Se-Malaysia (Zon Tengah) yang dianjurkan oleh Pejabat Wilayah Persekutuan bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. Program yang julung-julung kali diadakan ini telah berlangsung selama dua (2) hari bermula 11 hingga 12 September 2020 yang melibatkan seramai kira-kira 80 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan ILIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Diantara sukan yang dipertandingkan adalah perlawanan futsal, congkak, karom, memanah dan pingpong. Program telah dimulakan dengan Pertandingan Memanah di Lapang Sasar ILIM dan pada sebelah malamnya berlangsung program Bicara Mufti yang menampilkan S.S. Dr. Luqman bin Haji Abdullah (Mufti Wilayah Persekutuan) dan S.S. Ustaz Amran bin Haji Awaludin (Timbalan Mufti Negeri Sembilan) sebagai panel dan Ustaz Mohamad Shukry Bin Sulaiman (Ketua Penolong Mufti Negeri Selangor) sebagai moderator.
Pertandingan antara 4 penjuru telah berlangsung pada keesokan harinya bertempat di Dewan Dato' Ahmad Shahir iaitu karom, congkak dan pingpong. Acara futsal pula berlangsung pada waktu petang di Padang Futsal ILIM dan program berakhir kira-kira pada jam 5:30 petang dengan Majlis Perasmian Penutup oleh YBhg. Dr. Haji Nordin bin Ahmad (Pengarah Kanan ILIM). Tahniah diucapkan kepada semua peserta dan semoga dengan semangat kesukanan dan ukhuwah yang terjalin dapat memperkukuhkan lagi silaturrahim di antara semua pihak.