A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Fatwa Pengharaman Fahaman Dan Ajaran Asmaul Husna Oleh Dr. Wan Maseri Binti Wan Mohd

FATWA PENGHARAMAN FAHAMAN DAN AJARAN ASMAUL HUSNA OLEH DR. WAN MASERI BINTI WAN MOHD


1. Fahaman dan Ajaran Asmaul Husna oleh Dr. Wan Maseri binti Wan Mohd adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang
sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah kerana mengandungi elemen-elemen yang berikut:


(a) Menafikan kewujudan Nabi Muhammad SAW.
(b) Melarang berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dan menafikan syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat.
(c) Mendakwa bahawa hanya Ajaran Asmaul Husna sahaja merupakan ajaran Islam yang sebenar dan mengkafirkan semua orang yang tidak mengikut ajarannya.

(d) Mendakwa Ajaran Asmaul Husna itu diterima terus daripada Allah SWT melalui ilham kepada Dr. Wan Maseri binti Wan Mohd.
(e) Mendakwa bahawa Allah SWT boleh berbicara melalui Dr. Wan Maseri binti Wan Mohd.
(f) Mendakwa Allah SWT melarang berdoa di Raudhah dalam Masjid Nabawi dan Baitullah (Masjidil Haram).
(g) Menafikan kemunculan Dajjal dan Imam Mahdi.

2. Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman dan ajaran ini adalah disifatkan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah.


3. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk—


(i) beramal atau berpegang dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;

(ii) menjadi pengikut kepada fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;


(iii) mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;

(iv) mengajar, menyebarkan atau mengembangkan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;

(v) berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;

(vi) memiliki, menyimpan, menerbitkan, menyalin, mencetak, menjual, mendengar atau menyiarkan apa-apa bahan berkaitan dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa-apa bentuk termasuk filem, rakaman video atau audio, penulisan, akhbar, risalah, buku, majalah atau lain-lain bentuk penulisan;

(vii) menganjur, mengadakan atau membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya melalui pertubuhan, persatuan, syarikat atau badan lain;

(viii) memberi apa-apa kemudahan, sumbangan, pembiayaan atau bantuan kepada mana-mana orang atau badan untuk tujuan menyebarkan atau mengembangkan fahaman dan ajaran ini atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya.


4. Mana-mana orang Islam yang telah menyertai atau mengamalkan atau berpegang kepada fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT.


Bertarikh 5 Ogos 2022

 


>> Muat Turun Fatwa