• English (UK)

|Bahasa lain

A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Pandangan Hukum Syarak; Pengekalan Pelaksanaan Keputusan Fatwa Hukum Agihan Zakat Dalam Bentuk Manfaat Dan Sumber Pembiayaan Pengurusannya

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-4/2021 yang bersidang pada 8  Muharram 1443H bersamaan 17 Ogos 2021 telah memutuskan bahawa:-

Mesyuarat bersetuju untuk mengekalkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 2 Februari 2012 iaitu Sumber pembiayaan kos-kos agihan zakat secara manfaat hendaklah diambil berdasarkan kepada dana asnaf tersebut diagihkan. Mesyuarat juga bersetuju sebagaimana berikut:

 

a) Sumber Pembayaran Emolumen Kakitangan di Sektor Pembangunan Sosial, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Pembayaran gaji kakitangan di Sektor Pembangunan Sosial, MAIS hendaklah dibayar menggunakan sumber asnaf Muallaf dan Riqab berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berkaitan “Hukum Agihan Zakat Dalam Bentuk Manfaat Dan Sumber Pembiayaan Pengurusannya” pada 2 Februari 2012.

 

b) Sumber Pembayaran Emolumen Pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) Yang Menerima Arahan Berpindah Ke Pusat Kebajikan Atau Perlindungan

Pegawai LZS yang dipindahkan ke pusat kebajikan atau perlindungan di bawah pengurusan LZS hendaklah dibayar emolumen mereka melalui sumber dana asnaf yang digunakan untuk membiayai kos pengurusan pusat kebajikan dan perlindungan tersebut.

 

c) Sumber Pembayaran Emolumen Pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) Yang Menerima Arahan Berpindah Daripada Pusat Kebajikan atau Perlindungan Ke LZS

Pegawai LZS yang dipindahkan daripada pusat kebajikan atau perlindungan ke LZS hendaklah dibayar emolumen mereka melalui sumber dana amil.

 

d) Penetapan Tugasan Kakitangan Di Lembaga Zakat Selangor (LZS) Yang Menerima Pembayaran Emolumen Melalui Sumber Dana Amil atau Dana Selain Amil

Pihak LZS perlu memastikan penetapan tugasan kakitangan yang dilantik adalah bertepatan dengan sumber pembiayaan emolumen pegawai berkenaan. Penetapan tugasan kakitangan tersebut adalah sebagaimana berikut:

 

        i. Pegawai LZS yang dilantik untuk bertugas di ibu pejabat atau cawangan LZS dan pembayaran emolumen mereka adalah menggunakan dana amil, pegawai berkenaan boleh diberikan segala tugas-tugas amil merangkumi tugas kutipan, agihan atau apa-apa tugasan pentadbiran berkaitan LZS.

 

      ii. Pegawai LZS yang dilantik untuk bertugas di ibupejabat atau cawangan LZS dan pembayaran emolumen mereka adalah menggunakan dana selain amil, sebagai contoh muallaf pegawai berkenaan hanya boleh diberikan tugas-tugas amil yang berkaitan asnaf muallaf sahaja.

 

     iii. Pegawai LZS yang dilantik untuk bertugas di pusat kebajikan atau perlindungan di bawah pengurusan LZS dan pembayaran emolumen mereka adalah menggunakan dana asnaf selain amil, pegawai berkenaan mestilah diberikan tugasan khusus berkaitan pengurusan pusat kebajikan atau perlindungan berkenaan atau berkaitan asnaf yang berkenaan sahaja.

 

Bertarikh 17 Ogos 2021

(MJKFNS. BIL.4/2021)

DATO’ DR. HAJI ANHAR BIN HAJI OPIR

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa

Negeri Selangor

 

>> Muat Turun Fatwa