Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
44. Pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti
- Duli Yang Maha Mulia Sultan hendaklah melantik mana-mana orang yang layak dan sesuai menjadi Mufti dan Timbalan Mufti bagi Negeri Selangor.
- Pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti hendaklah disiarkan dalam Warta.
- Apabila seksyen ini mula berkuat kuasa, orang yang menjadi Mufti dan Timbalan Mufti bagi Negeri Selangor sebelum sahaja seksyen ini mula berkuat kuasa hendaklah disifatkan telah dilantik di bawah seksyen ini sebagai Mufti dan Timbalan Mufti bagi Negeri Selangor dan hendaklah terus memegang jawatan itu.
45. Fungsi Mufti
Mufti hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Negeri Selangor selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini.
46. Jawatankuasa Fatwa
- Maka hendaklah ada suatu jawatankuasa bernama Jawatankuasa Fatwa.
- Jawatankuasa hendaklah terdiri daripada:-
- Mufti, sebagai Pengerusi;
- Timbalan Mufti;
- Penasihat Undang-Undang Negeri;
- Dua orang anggota Majlis yang dinamakan oleh Majlis;
- Seorang pegawai dan Jabatan Agama Islam Selangor yang mahir dalam Hukum Syara' yang akan dilantik oleh Majlis;
- Tidak kurang daripada dua orang dan tidak lebih daripada tujuh orang yang layak dan sesuai, yang dilantik oleh Majlis; dan
- Seorang pegawai dari Jabatan Mufti yang dilantik oleh Majlis, sebagai Setiausaha.
- Mana-mana orang yang, sebelum sahaja seksyen ini mula berkuat kuasa, menjadi anggota Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' yang ditubuhkan di bawah Enakmen terdahulu hendaklah tertakluk kepada subseksyen (4), disifatkan telah dinamakan atau dilantik menjadi anggota Jawatankuasa Fatwa dan hendaklah menjadi anggota Jawatankuasa Fatwa sehingga tempoh pelantikannya di bawah Enakmen yang terdahulu itu tamat.
- Jawatankuasa Fatwa boleh, tertakluk kepada Enakmen ini, memutuskan segala persoalan berhubungan dengan tatacara dan amalannya.
47. Kuasa Jawatankuasa Fatwa untuk menyediakan fatwa
Tertakluk kepada seksyen 51, Jawatankuasa Fatwa hendaklah, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan, dan bolehlah atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan oleh mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti, menyediakan suatu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi berhubungan dengan Hukum Syara'.
48. Tatacara pembuatan fatwa
- Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat fatwa, Mufti boleh menyebabkan supaya kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan kertas kerja disediakan.
- Apabila Jawatankuasa bercadang hendak membuat fatwa Mufti hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.
- Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, mengemukakan fatwa yang disediakan itu kepada Majlis.
- Majlis boleh, selepas menimbang teliti fatwa itu, membuat syor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mendapatkan perkenannya bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta.
- Syor yang dibuat di bawah subseksyen (4) hendaklah disertakan dengan memorandum penjelasan dan ulasan daripada Majlis jika Majlis berpendapat penjelasan dan ulasan itu perlu.
- Apabila fatwa itu telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan, Majlis hendaklah memaklumkan kepada Kerajaan Negeri tentang fatwa itu dan selepas itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam Warta.
- Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.
- Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan rumi, tetapi teks fatwa itu dalam tulisan jawi boleh juga disiarkan.
- Apa-apa pernyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa tidak boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subseksyen (6).
49. Fatwa yang disiarkan dalam Warta adalah mengikat
- Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang berada di Negeri Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi Agama Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, melainkan jika dia dibenarkan oleh Hukum Syara' untuk tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan peribadi.
- Sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua Mahkamah di dalam Negeri Selangor tentang semua perkara yang dinyatakan dalamnya.
50. Pindaan, ubahsuaian atau pembatalan fatwa
- Jawatankuasa Fatwa boleh meminda, mengubah-suaikan atau membatalkan mana-mana fatwa yang telah disiarkan dalam Warta di bawah Enakmen ini, atau di bawah Enakmen terdahulu.
- Sesuatu pindaan, ubahsuaian atau pembatalan sesuatu fatwa hendaklah disifatkan sebagai suatu fatwa dan peruntukan-peruntukan seksyen 48, kecuali subseksyen 48(7), hendaklah terpakai baginya.
- Sesuatu pindaan, ubahsuaian atau pembatalan sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah subseksyen (1).
51. Fatwa yang ada hubungan dengan kepentingan nasional
- Walau apa pun kuasa Jawatankuasa Fatwa di bawah seksyen 47, apabila Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa suatu fatwa yang dicadangkan dibuat adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional, Jawatankuasa Fatwa hendaklah menangguhkan perbincangannya tentang fatwa yang dicadangkan itu dan mengemukakan perkara itu kepada Majlis.
- Selepas menimbang teliti perkara itu Majlis boleh membuat syor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mendapat perkenannya supaya fatwa yang dicadangkan itu dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, melalui Majlis Raja-Raja.
- Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), suatu fatwa adalah dianggap berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional jika persoalan itu ada hubungan dengan apa-apa perkara, dasar, program atau aktiviti yang secara langsung menyentuh kepentingan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana kementerian, jabatan atau agensi-agensinya.
- Jika Duli Yang Maha Mulia Sultan memberikan perkenannya di bawah subseksyen (2), Majlis hendaklah, sebelum fatwa itu dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, memaklumkan kepada Kerajaan Negeri tentang perujukan itu.
- Apabila sesuatu fatwa yang dicadangkan telah dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa itu hendaklah mengemukakan nasihat dan syornya kepada Majlis Raja-Raja mengikut subseksyen (2) tentang perkara itu.
- Jika Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menasihatkan atau mengesyorkan supaya fatwa yang dicadangkan itu dibuat, dengan atau tanpa ubahsuaian yang disyorkan olehnya, atau menasihatkan atau mengesyorkan suatu fatwa lain tentang perkara yang sama dan Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu, maka Majlis hendaklah menimbang nasihat dan syor itu dan selepas itu bolehlah menyebabkan supaya fatwa mengikut nasihat dan syor itu disiarkan dalam Warta tanpa apa-apa pindaan atau ubahsuaian dan peruntukan-peruntukan seksyen 48, kecuali subseksyen 48(7), hendaklah terpakai baginya.
- Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini. Menerima pakai nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
52. Menerima pakai nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
- Jawatankuasa Fatwa hendaklah menerima pakai apa-apa nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang menyentuh perbuatan atau amalan yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja merupakan perbuatan atau amalan yang meliputi seluruh Persekutuan menurut Fasal 2(b) Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.
- Nasihat atau syor yang diterima pakai menurut kuasa subseksyen (1) hendaklah disifatkan sebagai fatwa dan seksyen 48, kecuali subseksyen 48(7), hendaklah terpakai baginya.
- Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.
53. Meminta pendapat daripada Jawatankuasa Fatwa
Jika dalam mana-mana Mahkamah selain Mahkamah Syariah, apa-apa persoalan Hukum Syara' perlu diputuskan, Mahkamah itu boleh meminta pendapat Jawatankuasa Fatwa tentang persoalan itu, dan Mufti boleh memperakukan pendapat Jawatankuasa Fatwa itu kepada Mahkamah yang membuat permintaan itu.54. Qaul muktamad yang hendaklah diikuti
- Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 48 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 53 Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad (pendapat-pendapat yang diterima) Mazhab Syafie.
- Jika Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie suatu keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam akan terhasil, Jawatankuasa Fatwa bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi , Maliki atau Hanbali.
- Jika Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Jawatankuasa Fatwa bolehlah membuat fatwa itu mengikut ijtihad tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana mazhab yang empat itu.