A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Pandangan Hukum Syarak Berkaitan Pengoperasian Masjid, Surau Dan Musolla Serta Pengurusan Jenazah Dalam Situasi Penularan Wabak Covid-19

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-2/2020 yang bersidang pada 24 Syawwal 1441H bersamaan 16 Jun 2020 memutuskan:

a) Resolusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-1/2020 pada 20 Rajab 1441H bersamaan 15 Mac 2020 iaitu:

 

Berdasarkan kepada taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara, dan perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang bersidang pada 15 Mac 2020 di Hotel Pulse Grande, Putrajaya, mesyuarat telah mengambil ketetapan seperti berikut:

i. Berdasarkan kepada situasi terkini wabak COVID-19 yang baru semakin kritikal susulan dari gelombang kedua penularan selepas penemuan positif COVID-19 dalam kalangan 16,000 jemaah yang menghadiri Jodr Qudama' dan Ulama' Malaysia anjuran jemaah tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling Kuala Lumpur, Muzakarah berpandangan semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat berjemaah, solat jumaat ditangguhkan untuk tempoh selama sepuluh hari bermula 17-26 Mac 2020. Dalam tempoh tersebut semua masjid dan surah dinasihatkan untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan jangkitan. Pelanjutan atau penamatan tempoh sepuluh hari berkenaan tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

ii. Dalam keadaan sekiranya berlaku kematian akibat virus COVID-19, pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali Ke-107 yang bersidang pada 10-11 Februari 2015 mengenai hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam Yang Disyaki Atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) Di Malaysia, iaitu pengecualian dan kelonggaran (rukhsah) sekiranya terdapat keadaan - keadaan yang boleh menimbulkan kemudharatan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah tersebut. Dalam hal ini dibolehkan jenazah itu diuruskan melalui prosedur tayammum yang paling ringan risiko dan kesan bahayanya seperti melakukan tayammum hanya di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut sahaja.

iii. Dalam melaksanakan perkara i dan ii di atas, Muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri.

 

b) Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-1/2020 yang bersidang pada 22 Rajab 1441H bersamaan 17 Mac 2020M setelah merujuk kepada Perintah Kawalan Pergerakan oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada 21 Rajab 1441H bersamaan 16 Mac 2020M dan mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 20 Rajab 1441H bersamaan 15 Mac 2020M, telah membuat ketetapan seperti berikut:

i. Semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid, surau dan musolla di seluruh Negeri Selangor Darul Ehsan termasuk solat fardu secara berjemaah dan solat Jumaat ditangguhkan bermula 23 Rajab 1441H bersamaan 18 Mac 2020M sehingga 06 Sya'ban 1441H bersamaan 31 Mac 2020M. Dalam tempoh tersebut semua masjid, surau dan musolla di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan hendaklah melaksanakan operasi pembersihan dan penyahkuman dari semasa ke semasa sebagai langkah kawalan bagi mengelakkan jangkitan virus COVID-19.

ii. Walau bagaimanapun, laungan azan hendaklah dilaksanakan seperti kelazimannya.

iii. Bagi memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dari penularan COVID-19, segala wabak dan bencana segera berakhir, maka Qunut Nazilah hendaklah dibaca oleh semua rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan.

iv. Sekiranya berlaku kematian akibat virus COVID-19, maka pengurusan jenazah orang Islam tersebut hendaklah diuruskan sebagaimana hukum pengurusan jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) di Malaysia sebelum ini iaitu pengecualian dan kelonggaran (rukhsah) sekiranya terdapat keadaan-keadaan yang boleh menimbulkan kemudharatan kepada nyawa petugas yang menguruskan jenazah tersebut. Dalam hal ini, dibolehkan jenazah itu melalui prosedur tayammum yang paling ringan risiko dan kesan bahayanya seperti melakukan tayammum hanya di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik sahaja yang membalut jenazah tersebut.

 

Bertarikh 16 Jun 2020

(MJKFNS. BIL.2/2020)

 

DATO' SETIA HAJI MOHD TAMYES BIN ABD. WAHID

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa

Negeri Selangor

 

 

>> Muat Turun Fatwa