A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Pandangan Hukum Syarak Penulisan Ayat Al-Quran Dengan Huruf Roman Atau Latin

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-6/2019 yang bersidang pada 6 Rabi’ul Akhir 1441H / 3 Disember 2019 memutuskan:

 

a)  Bahawa orang Islam adalah ditegah daripada menulis atau menggunakan ayat-ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf arab atau bukan tulisan al-Quran atas sebab berikut:

 

   i.  Penulisan bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran tidak dapat memainkan peranan sepertimana yang dilakukan oleh huruf-huruf Arab; dan

 

  ii.  Sekiranya al-Quran ditulis dengan penulisan bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran akan menyebabkan perubahan dari segi saiz lafaz dan maknanya.

 

b)  Walau bagaimanapun, ayat-ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran dibenarkan untuk digunakan bagi tujuan seperti berikut:

 

   i.  Penulisan akademik (petikan atau frasa) yang menggunakan tanda transliterasi yang betul serta mengikut kaedah yang standard; atau

 

  ii.  untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

 

c)  Mana-mana orang adalah diharam dan dilarang:

 

   i.   Menulis ayat-ayat al-Quran dengan penulisan bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran; dan

 

  ii.  mencetak, menerbit, menjual, mempamer, mengedar atau terlibat dengan apa-apa cara sekali pun dalam penulisan ayat-ayat al-Quran dengan penulisan bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran.

 

d)  Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang dilarang dalam perenggan (c).

 

Bertarikh 3 Disember 2019

(MJKFNS. BIL.6/2019)

 

DATO' SETIA HAJI MOHD TAMYES BIN ABD. WAHID

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa

Negeri Selangor

>> Muat Turun Fatwa