Shah Alam, 16 Februari 2023M/ 25 Rajab 1444H- Jabatan Mufti Negeri Selangor telah menerima kunjungan seramai 35 orang mahasiswa/ mahasiswi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajian Islam, Universiti Selangor (UNISEL) dengan diiringi YBhg. Ustaz Mohd Wazir bin Muslat, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam, UNISEL di bawah Program Lawatan Akademik ke Jabatan Mufti Negeri Selangor. Ketibaan ahli rombongan pada jam 9.30 pagi turut disambut oleh para pegawai dan kakitangan Jabatan.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Ustaz Abdul Halem Hapiz bin Salihin, Penolong Mufti (Unit Khidmat Nasihat, Bahagian Fatwa, diikuti ucapan balas oleh YBhg. Ustaz Mohd Wazir bin Muslat, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam, UNISEL, tayangan video korporat serta tayangan video “Apa Itu Fatwa?”.
Program diteruskan dengan sesi soal jawab antara mahasiswa/ mahasiswi dan pegawai Jabatan dengan persoalan-persoalan yang tertumpu kepada pengurusan fatwa di negeri Selangor, pandangan hukum syarak, isu-isu semasa dan program falak. Diakhir program, pihak Jabatan telah menyerahkan cenderamata kepada pihak UNISEL sebagai tanda kenang-kenangan.
Adalah diharapkan, dengan hasil lawatan ini mahasiswa/ mahasiswi dapat mengambil manfaat daripada perkongsian yang telah disampaikan dan dapat dihebahkan kepada umum di samping menyampaikan misi “Merakyatkan Jabatan Mufti Negeri Selangor” kepada masyarakat awam.