Mencari kemuliaan Hijrah 1440

image10

TANGGAL 1 Muharram setiap tahun mengingatkan umat Islam tentang peristiwa penting hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda dari Makkah ke Madinah. Bermula tarikh itu,  berlakulah perkembangan dan penyebaran dakwah Islamiyyah dengan lebih sistematik dan teratur. Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda menghadapi segala ancaman dan cabaran dengan penuh ketaqwaan dan keimanan kepada  ALLAH SWT.

ALLAH SWT telah menjadikan bulan Muharam sebagai salah satu dari bulan-bulan haram seperti mana dalam firman-Nya yang bermaksud: 

 
”Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi ALLAH adalah dua belas bulan, dalam ketetapan ALLAH di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (suci). Itulah (ketetapan) agama yang lurus,  maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (QS. At-Taubah: 36)

Saban tahun umat Islam menyambut 1 Muharram sebagai bulan memperingati hijrah Rasulullah SAW dan perjuangan Baginda yang diselusuri sepanjang kehidupannya sebagai utusan ALLAH SWT. Baginda tidak pernah menyerah kalah atau berputus asa dalam usaha dakwah Baginda, walaupun banyak cabaran dan tentangan diberi oleh kaum Quraisy.

Hijrah menunjukkan betapa tabah dan kuatnya Rasul kita bertahan demi menyebarkan kebaikan Islam. Bulan ini adalah masa terbaik untuk kita mempersiapkan diri menghadapi tahun Islam yang baharu. Munculnya tanggal 1 Muharram 1440 Hijrah juga menandakan setahun telah berlalu, dan setahun jugalah menginjak usia kita.

Persoalannya, apakah yang telah kita lakukan sepanjang tahun 1439 Hijrah? Adakah kita berusaha menjadi seorang Muslim yang lebih baik? Apakah yang kita lakukan pada hari-hari yang telah berlalu? Adakah kita menyedari semakin usia kita meningkat, semakin hampir kita dengan kematian? Adakah kita sedar hari bertukar bulan dan bulan bertukar menjadi tahun kita semakin hampir dengan hari terakhir kehidupan kita di dunia? Adakah kita bersedia untuk menghadapi hari terakhir kita di bumi?

Maka berbahagialah mereka yang menghadapi kematian dengan melakukan banyak perbuatan baik semasa hayatnya untuk dijadikan bekal untuk menjalani kehidupan di alam barzakh. Sebaliknya, golongan yang sentiasa lalai dan lupa serta menentang Islam, kematian akan membawa mereka ke alam barzakh yang dipenuhi azab dan seksaan. ALLAH SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Dan orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan ALLAH, dan orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada Muhajirin), mereka itulah orang yang benar-benar beriman. Mereka beroleh keampunan dan rezeki yang mulia.” (QS. Al-Anfal:74)

Justeru, marilah kita menjadikan hijrah kita dari tahun 1439 ke tahun 1440 lebih bermakna dengan meningkatkan semangat dan azam yang baik.  Hijrah dari  perbuatan buruk kepada perbuatan yang baik, hijrah dari  iman yang rendah kepada iman yang lebih baik, hijrah dengan meletakkan harapan dan seluruh kepercayaan kepada ALLAH SWT sama ada semasa susah atau senang dan tidak hanya menyerahkan kepada takdir sahaja.

Rasulullah SAW menggunakan semangat hijrah untuk mengeratkan ikatan persaudaraan antara kaum Muhajirin yang berasal dari Makkah dan kaum Ansar dari Madinah. Hubungan yang dibina atas asas Islam dan takwa ini akhirnya berjaya membentuk kesatuan fikrah dan kerjasama di kalangan masyarakat Arab Islam di Madinah. Ini juga menyebabkan Madinah akhirnya terkenal sebagai salah satu bandar terkemuka yang bertamadun dan pusat perkembangan Islam. Hijrah turut memperlihatkan keharmonian yang wujud dalam masyarakat Islam yang sentiasa bantu-membantu dan berpesan-pesan kerana ALLAH SWT dan agama Islam.

Hijrah Rasulullah SAW juga mengajar kita untuk menyebar luaskan aktiviti dakwah kepada mad’u dan prospek dakwah dari segenap lapisan masyarakat. Kita perlu mengenal pasti kaedah yang sesuai dan berhikmah untuk mendekati segelintir saudara Islam kita yang bukan sahaja mengamalkan cara hidup yang bertentangan dengan Islam bahkan membawa ajaran dan pemikiran yang bercanggah dengan syariat Islam. Sedangkan Islam sebenarnya bukan semata-mata pada pelaksanaan ibadah tetapi menyeluruh kepada semua aspek kehidupan termasuk politik, ekonomi dan interaksi sosial.

Sunnah di Awal Muharram

Selain menyambut Awal Muharram pada setiap awal tahun Hijrah, umat Islam adalah digalakkan agar tidak lupa bahawa dalam bulan Muharram juga terdapat sunnah yang sering dilupakan iaitu berpuasa pada hari ke-10. Terdapat hadis-hadis yang menjelaskan tentang amalan dan kelebihan berpuasa pada hari tersebut yang lebih dikenali sebagai hari Asyura, seperti mana diriwayatkan dalam hadis berikut:

Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa di hari Asyura, lalu Baginda bertanya: “Hari apakah ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari yang baik, hari di mana Allah menyelamatkan Bani Israel dari musuh mereka, lalu Musa berpuasa pada hari itu. “Baginda bersabda: Aku lebih berhak terhadap puasa Musa dari kamu sekalian. Maka Baginda berpuasa dan memerintahkan berpuasa”. (H.R: Bukhari & Muslim)

Begitu juga Nabi SAW menjelaskan tentang kelebihan bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut melalui hadis berikut:

“Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa Asyura, maka Baginda bersabda: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”. (H.R: Al-Tirmizi)

Hadis-hadis di atas jelas menunjukkan bahawa amalan berpuasa pada hari Asyura atau 10 Muharram merupakan sunnah yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW kepada umatnya bagi meraih ganjaran dan keberkatan dari ALLAH SWT secara berterusan.

Namun ia sunat dilakukan serentak dengan puasa pada 9 Muharram (Tasu’aa’) kerana Nabi SAW bersabda yang bermaksud, ‘Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, pasti aku akan berpuasa pada hari 9 Muharam.’.

Sempena ketibaan tahun baharu 1440 Hijrah dan kelebihan yang ada pada bulan Muharram ini, saya mengajak kita semua bermuhasabah diri untuk menjadi insan yang bertakwa kepada ALLAH dengan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang dan melaksanakan perkara-perkara yang diperintahkan seperti mana yang digariskan dalam al-Quran dan al-Sunnah serta merujuk kepada para alim ulama yang berpegang teguh kepada manhaj ahli sunnah wal jamaah.

Hijrah bukan sahaja bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain, bahkan hijrah dari kekufuran dan apa-apa yang menentang peraturan ALLAH kepada mentaati dan mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian.

Ayuhlah umat Islam bersama-sama mencari keberkatan dan keredaan ALLAH SWT dalam bulan yang mulia ini dengan meninggalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam dan mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Islam secara istiqamah atau berterusan. Semoga ALLAH SWT sentiasa memberkati dan merahmati umat Islam di Malaysia. 

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/mencari-kemuliaan-hijrah-1440-1.878376

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com