Jabatan Mufti cuba elak kekeliruan

KUALA LANGAT – Jabatan Mufti Negeri Selangor telah melaksanakan pelbagai pendekatan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai maklumat fatwa kepada umum agar tidak disalahertikan.

Ketua Penolong Mufti, Abdul Halem Hapiz berkata, pendedahan itu sebagai salah satu mekanisme penyebaran fatwa di Selangor supaya tiada kekeliruan dalam masyarakat.

“Antara pendekatan yang kita telah dan sedang laksanakan ialah menerusi pelbagai program iaitu Bicara Fatwa, Program Mesra Ummah Bersama Jabatan Mufti, hebahan di akhbar, perkhidmatan SMS, maklumat di gegantung dan yang terkini melalui hebahan di papan iklan.

 SINARHARIAN BF
Sebahagian guru-guru yang hadir pada program Bicara Fatwa yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Banting.

“Kita cadang untuk laksanakan di semua daerah dengan penglibatan guru-guru sekolah menengah…dan Alhamdulillah setakat ini kita telah laksanakan di tujuh daerah termasuk di Petaling, Gombak, Klang, Kuala Selangor, Hulu Langat dan Kuala Langat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Bicara Fatwa Selangor yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Banting, semalam.

Abdul Halem berkata, program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor itu menyasarkan guru-guru sekolah menengah melibatkan pelbagai latar belakang termasuk guru agama, kaunseling dan disiplin.

Menurutnya, beliau turut terlibat membentangkan fatwa-fatwa berkenaan isu syariah dan sosial sebagai pendedahan agar guru-guru memahami dengan lebih mendalam.

Sementara itu, penyelaras program, Rizal Ramli berkata, program itu turut membicarakan mengenai fatwa ajaran dan fahaman yang diwartakan sebagai sesat dan menyeleweng yang disampaikan oleh Pegawai Tadbir Agama Klang,  Jamali Mohd Adnan.

“Sepanjang penerangan disampaikan peserta berpuas hati dengan pelaksanaan program dan mencadangkan supaya ia diadakan dengan lebih kerap kepada guru-guru sekurang-kurangnya dua kali setahun.

“Kami tak sangka, peserta berminat dengan isu ini dan walaupun program ini sudah masuk siri ketujuh dalam tahun ini diharapkan lebih ramai lagi tampil untuk terus dapat maklumat tepat mengenai sesuatu fatwa tersebut,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Sumber :  Sinar Harian  ( http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/jabatan-mufti-cuba-elak-kekeliruan-1.731462 )

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com