Hanya waktu Subuh yang berubah – Mufti Selangor

MUFTI Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid. NSTP/Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Perubahan waktu solat yang diumumkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini, hanya membabitkan waktu Subuh sahaja manakala waktu solat lain adalah seperti yang tertakluk dalam takwim solat.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, berkata keputusan perubahan itu hanya untuk solat subuh bagaimanapun, bagi waktu imsak, ia akan dilewatkan iaitu 10 minit sebelum subuh bermula.

“Bagi waktu syuruk iaitu waktu berakhirnya subuh dan terbit matahari kekal sebagaimana yang dinyatakan dalam taqwim solat.

“Penduduk di kawasan yang bersempadan dengan Selangor perlu patuh kepada arahan Ulul Azmi iaitu Sultan, Raja atau Dipertua Negeri manakala untuk Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), mereka perlu mengikut Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Selagi tiada arahan baharu dikeluarkan, waktu sedia ada adalah sah diikuti kerana urusan agama ditentukan oleh pihak Ulul Amri, rakyat hanya ikut dan taat setia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bukan Selangor sahaja yang membuat perubahan waktu solat malah ia akan dilakukan oleh negeri lain apabila tiba masanya.

Katanya, perubahan waktu itu adalah hasil penemuan dari kajian oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang diketuai oleh Universiti Malaya (UM) dan dianggotai oleh beberapa universiti dan agensi kerajaan yang lain.

“Kajian berkenaan mendapati bahawa waktu bermulanya fajar sadiq, iaitu waktu bermulanya subuh, berlaku pada sudut matahari berada di kedudukan 18 darjah di bawah ufuk. Ia berbeza dengan waktu yang digunapakai sebelum ini iaitu pada sudut matahari 20 darjah. Jadi ia perlu dilewatkan,” katanya.

Mohd Tamyes berkata, tidak timbul soalan bahawa solat subuh sebelum ini sah atau tidak kerana ia berdasarkan kepada ijtihad dan ilmu yang sah serta rasmi melalui Jabatan Mufti Negeri.

Jelasnya, waktu solat walaupun hadnya adalah sabit secara qatie, penentuan dan perinciannya adalah zanni dan tertakluk kepada ijtihad semasa berdasarkan penyelidikan (istiqra’).

“Adalah sangat sukar dan agak mustahil mewujudkan taqwim solat yang betul-betul mengikut waktu yang sangat tepat hingga ke arka saat pada setiap lokasi.

“Waktu dalam taqwim juga sudah dimasukkan tempoh ihtiyat (berwaspada). Lagipun jika solat berjemaah subuh di masjid atau surau, persoalan ini tidak timbul kerana biasanya ada tempoh menunggu yang agak senggang iaitu dari 10-15 minit selepas azan dilaungkan, baru solat subuh didirikan,” katanya.

Terdahulu, JAIS dalam satu kenyataan memaklumkan masuk waktu Subuh bagi seluruh negeri Selangor ditambah selama lapan minit berbanding takwim sedia ada.

 

Sumber : BH Online

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com