Cerap planet Neptun dan Zuhal

SABAK BERNAM – Program cerapan angkasa menggunakan teleskop canggih mampu merangsang minat murid sekolah bagi menanam cita-cita menjadi ahli astronomer (ahli falak).

Ketua Pusat Kegiatan Guru (PKG) Sungai Air Tawar, Azmiudin Md Nordin berkata,  ahli falak juga antara kerjaya menarik yang boleh dijadikan sebagai salah satu pekerjaan pilihan pada masa depan.

“Bidang ini antara yang menarik perhatian kerana kita bukan saja dapat mengkaji alam semesta, tetapi dapat mensyukuri nikmat kejadian yang Maha Esa,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada program lawatan ke Balai Cerap Selangor di Sungai Lang, di sini.

Seramai 35 murid dari 14 sekolah rendah yang menjadi ahli PKG Sungai Air Tawar melawat balai berkenaan.

Turut serta pada lawatan itu seramai 13 guru perpustakaan dan media (GPM) sekolah-sekolah ahli PKG Sungai Air Tawar.

image

Sebahagian murid teruja mencerap angkasa menggunakan teleskopik canggih di Balai Cerap Selangor di Sungai Lang.

Azmiudin berkata, program perkongsian pintar itu adalah sebagai aktiviti literasi maklumat kepada murid dan guru yang menyertai lawatan tersebut.

Beliau memberitahu, dalam program dua hari satu malam itu, peserta diberi taklimat berkenaan fungsi dan peranan balai cerap serta memberi peluang kepada peserta untuk membuat cerapan angkasa menggunakan teleskop canggih.

“Antara objek yang berjaya dicerap seperti planet Neptun dan Zuhal selain bulan dan matahari.

“Peserta turut didedahkan dengan cara dan teknik menentukan arah kiblat dengan betul.

“Program yang sama akan dijalankan untuk pelajar dari sekolah menengah ahli PKG Sungai Air Tawar pada Jun depan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian Online http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/cerap-planet-neptun-dan-zuhal-1.680171

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com