#104 Taudhih Al-Hukmi : Tatacara Masbuq bagi Solat Jenazah

#104 Taudhih Al-Hukmi : Tatacara Masbuq bagi Solat Jenazah

 

Tarikh: 20 Februari 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

 

Pendahuluan

Solat jenazah merupakan salah satu kewajipan umat Islam sebagai tanda penghormatan dan doa kepada si mati. Dalam keadaan tertentu, terdapat jemaah yang tiba lewat sehingga tidak sempat mengikuti solat jenazah dari awal bersama imam. Keadaan ini dikenali sebagai masbuq. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan hukum masbuq bagi solat jenazah berdasarkan mazhab al-Shafi’i secara khususnya, serta menjelaskan kaedah pelaksanaannya secara praktikal agar dapat menjadi panduan yang jelas kepada masyarakat Islam dalam melaksanakan ibadah ini dengan memenuhi rukun dan syaratnya serta sempurna menurut syarak.

 

Kelebihan Mengerjakan Solat Jenazah

Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah akan mendapat ganjaran dan kelebihan khusus yang tiada pada amal kebajikan lain. Hal ini sebagaimana diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلِّىَ عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ وَمَنْ شَهِدَ حَتَّى تُدْفَنَ كَانَ لَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

Maksudnya: Sesiapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan ke atasnya, maka baginya satu qirāt. Sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirāt. Ditanyakan kepada Baginda SAW: “Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirāt?” Baginda SAW menjawab: “Seperti dua gunung yang besar”.[1]  

(Riwayat Muslim)

 

Begitu juga, terdapat hadis yang menjadi indikator akan kelebihan dan ganjaran yang dijanjikan buat umat Islam kepada mereka yang mengerjakan solat jenazah dan mengiringinya sehingga ia dikebumikan. Hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Abu Hurairah RA berkata:

 

‌مَنْ ‌تَبِعَ ‌جَنَازَةً ‌فَلَهُ ‌قِيرَاطٌ. فَقَالَ: أَكْثَرَ أَبُو هُرَيْرَةَ عَلَيْنَا. فَصَدَّقَتْ، يَعْنِي عَائِشَةَ، أَبَا هُرَيْرَةَ، وَقَالَتْ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُهُ. فَقَالَ ابْنُ عُمَرَ رضي الله عنهما: لَقَدْ فَرَّطْنَا فِي قَرَارِيطَ كَثِيرَةٍ

Maksudnya: Barangsiapa yang mengiringi jenazah, maka baginya satu qirāt. Maka Ibnu Umar RA berkata: “Abu Hurairah RA telah berlebihan (dalam menyebutkan pahala) kepada kita.” Maka beliau, iaitu Aisyah RA membenarkan Abu Hurairah RA dengan berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW mengatakannya begitu.” Maka Ibnu Umar RA berkata: “Sesungguhnya (kami telah) mensia-siakan qirāt yang banyak.[2]

(Riwayat Bukhari)

 

Justeru, kedua-kedua hadis tersebut menggalakkan umat Islam untuk menunaikan solat jenazah dan mengiringi jenazah sehingga dikebumikan. Tambahan pula, ganjaran yang diberikan dalam hadis ini ialah satu qirāt diperoleh dengan menunaikan solat jenazah dan satu qirāt lagi diperoleh kerana mengiringi jenazah serta menghadiri proses pengebumiannya. Maka keseluruhannya menjadi dua qirāt.[3] Jika dilihat ganjaran pahala mengerjakan solat jenazah dan mengiringinya sehingga ia dikebumikan amatlah besar sehingga Saidina Ibn Umar RA sendiri merasakan bahawa meninggalkannya merupakan satu kerugian yang besar.

 

Hukum dan Tatacara Solat Jenazah

Hukum bagi melaksanakan solat jenazah adalah fardu kifayah sebagaimana pendapat majoriti para fuqaha daripada mazhab Hanafi, mazhab Maliki (menurut pendapat yang masyhur), mazhab Shafi‘i dan mazhab Hanbali. Justeru, apabila sebahagian umat Islam telah menunaikannya, maka gugurlah tuntutan dan dosa umat Islam yang lain. Bahkan, sebahagian ulama telah menukilkan adanya ijmak (kesepakatan ulama) tentang perkara ini.

 

1)      Mazhab Hanafi:

والإجماع منعقد على فرضيتها أيضا ‌إلا ‌أنها ‌فرض ‌كفاية إذا قام به البعض يسقط عن الباقين

Maksudnya: Telah berlaku ijmak (kesepakatan ulama) ke atas kefarduan solat jenazah, namun ia merupakan fardu kifayah. Apabila sebahagian umat Islam telah melaksanakannya, maka gugurlah kewajipan daripada yang lain.[4]

 

 

2)      Mazhab Maliki:

بِأَنَّ الصَّلَاةَ عَلَى الْجَنَائِزِ ‌فَرْضُ ‌كِفَايَةٍ أَمَّا عَلَى الْقَوْلِ بِأَنَّهَا سُنَّةُ كِفَايَةٍ فَلَا يَتَيَمَّمُ لَهَا

Maksudnya: Solat jenazah adalah fardu kifayah. Adapun bagi mereka yang berpendapat ia sunat kifayah, maka tidak diwajibkan bertayammun bagi melakukan solat jenazah tersebut ke atas mereka.[5]

 

3)      Mazhab Shafi’i

الصَّلَاةُ ‌عَلَى ‌الْمَيِّتِ ‌فَرْضُ ‌كِفَايَةٍ بِلَا خِلَافٍ عِنْدَنَا وَهُوَ إجْمَاعٌ

Maksudnya: Solat ke atas mayat adalah fardu kifayah tanpa sebarang khilaf di sisi kami dan hal ini telah disepakati melalui ijmak.[6]

 

4)      Mazhab Hanbali

والصلاة ‌على ‌الميت ‌فرض ‌كفاية لقول النبي صلى الله عليه وسلم ” صلوا على من قال لا إله إلا الله

Maksudnya: Solat ke atas mayat adalah fardu kifayah, berdasarkan sabda Nabi SAW : “Solatlah ke atas orang yang mengucap ‘Tiada tuhan selain Allah’.”[7]

 

Tatacara solat jenazah adalah berdasarkan tujuh rukun solat jenazah yang mesti dipenuhi bagi menjadikan solat jenazah itu sah dan betul mengikut syarak. Justeru, rukun solat jenazah adalah seperti berikut[8]:

 

1)      Niat

2)      Empat kali takbir;

3)      Berdiri bagi yang mampu;

4)      Membaca surah al-Fatihah;

5)      Membaca selawat ke atas Nabi SAW setelah takbir yang kedua;

6)      Membaca doa untuk si mati setelah takbir yang ketiga;

7)      Memberi salam yang pertama.

 

Kedudukan Masbuq dalam Pelaksanaan Solat Jenazah

Masbuk dalam solat jenazah berbeza dengan solat fardu lima waktu kerana solat jenazah tidak mempunyai rukuk, sujud dan duduk, sebaliknya hanya terdiri daripada beberapa takbir beserta bacaan-bacaan tertentu. Perbezaan tatacara solat ini menimbulkan perincian hukum berkenaan cara menyempurnakan solat jenazah bagi makmum masbuq, khususnya berkaitan bilangan takbir yang tertinggal dan kaedah menggantikannya. Hal ini telah diperhalusi oleh para fuqaha Shafi’iyyah di dalam kitab-kitab mereka seperti Imam Nawawi yang menyebut:

 

ويكبر المسبوق ويقرأ الفاتحة وإن كان الإمام في غيرها فلو كبر الإمام أخرى قبل شروعه في الفاتحة كبر معه وسقطت القراءة وإن كبرها وهو في الفاتحة تركها وتابعه في الأصح وإذا سلم الإمام تدارك المسبوق باقي التكبيرات بأذكارها وفي قول لا يشترط الأذكار

Maksudnya: Adapun makmum masbuq, dia hendaklah bertakbir dan membaca al-Fatihah, walaupun ketika itu imam sedang membaca selain al-Fatihah. Sekiranya imam bertakbir lagi sebelum makmum masbuq sempat mula membaca al-Fatihah, maka makmum bertakbir bersama imam dan gugur bacaan al-Fatihah daripadanya. Jika imam bertakbir lagi ketika makmum sedang membaca al-Fatihah, maka makmum meninggalkan bacaan tersebut dan mengikut imam, menurut pendapat yang paling sahih. Apabila imam memberi salam, makmum masbuk hendaklah menyempurnakan baki takbir beserta zikir-zikirnya. Dan terdapat satu pendapat lain yang menyatakan bahawa tidak disyaratkan bacaan zikir-zikir tersebut.[9]

 

Begitu juga, di dalam kitab al-Muktamad Fi al-Fiqh al-Shafi’i karya Prof. Dr. Muhammad al-Zuhailiy di bawah tajuk al-Masbuq Fi Solat al-Jenazah menyatakan bahawa[10]:

 

إذا وجد المسبوق الإمام في صلاة الجنازة كبر في الحال، وصار في الصلاة، ولا ينتظر تكبيرة الإمام الأخرى المستقبلة… فيكبر المسبوق ويقرأ الفاتحة وإن كان الإمام في غيرها كالصلاة على النبي ﷺ، والدعاء لأن ما أدركه المسبوق هو أول صلاته ويراعي ترتيبها ولو كبر الإمام الثانية عقب فراغ المسبوق من التكبيرة الأولى، كبر معه الثانية وسقطت عنه القراءة… ويكون المسبوق مدركاً للتكبيرتين جميعاً  كما يدرك المسبوق الركعة بالركوع ولو كبر الإمام الثانية والمسبوق في أثناء الفاتحة فإنه يقطع الفاتحة ويتابعه وتحصل له التكبيرتان للعذر.

Maksudnya: Apabila makmum masbuq mendapati imam sedang menunaikan solat jenazah, maka dia hendaklah bertakbir serta-merta dan terus masuk ke dalam solat. Dia tidak perlu menunggu takbir imam yang seterusnya. Maka, makmum masbuq hendaklah bertakbir dan membaca al-Fatihah, walaupun ketika itu imam sedang membaca selain daripada al-Fatihah lain seperti selawat ke atas Nabi SAW atau doa. Hal ini kerana apa yang sempat dilakukan oleh makmum masbuq itu dianggap sebagai permulaan solatnya sendiri, dan dia perlu menjaga tertib solatnya. Jika imam bertakbir kali kedua selepas makmum selesai takbir pertama, maka makmum perlu bertakbir bersama imam dan bacaan al-Fatihah makmum tersebut tidak perlu dibaca. Dalam keadaan ini, makmum masbuq dianggap mendapat kedua-dua takbir (iaitu takbir pertama dan kedua), sebagaimana seseorang dianggap mendapat satu rakaat jika sempat rukuk bersama imam. Namun, jika imam bertakbir kali kedua ketika makmum masbuq masih membaca al-Fatihah, maka makmum hendaklah menghentikan bacaan al-Fatihah dan mengikut imam. Dalam keadaan ini juga, makmum masbuq tetap dikira mendapat kedua-dua takbir kerana terdapat keuzuran.

 

Kemudian beliau menyambung lagi mengenai masbuq di dalam solat jenazah, katanya:

 

أما لو سلم الإمام عقب تكبيرة المسبوق فلا تسقط عنه القراءة ويتدارك المسبوق باقي التكبيرات بأذكارها الواجبة والمندوبة ولذلك يسن إبقاء الجنازة قليلاً حتى يتم المقتدون صلاتهم وإن رفعت لم تبطل صلاتهم، بل يتمّونها .

 

Maksudnya: Namun, jika imam memberi salam sejurus setelah makmum masbuq bertakbir, maka bacaan tidak gugur daripadanya. Maka, makmum masbuq hendaklah menyempurnakan baki takbir bersama zikir-zikirnya, sama ada yang wajib mahupun sunat. Oleh sebab itu, disunatkan jenazah dibiarkan seketika agar para makmum sempat menyempurnakan solat mereka. Jika jenazah telah diangkat sebelum mereka selesai, solat mereka tidak batal, bahkan mereka boleh meneruskannya hingga selesai.

 

Kesimpulan

Solat jenazah mempunyai tatacara tersendiri yang berbeza daripada solat-solat fardu dan sunat yang lain. Justeru, tatacara bagi makmum masbuq dalam mengerjakan solat jenazah adalah makmum hendaklah terus mengikuti imam pada takbir yang sedang dilaksanakan serta menyempurnakan baki rukun solat jenazah yang tertinggal dengan bacaan zikir dan doa selepas imam memberi salam.

Hal ini sebagaimana disebutkan di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah karya Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff bahawa[11]:

 

Rukun solat jenazah ada tujuh perkara, iaitu:

1)      Niat;

2)      Empat kali takbir;

3)      Berdiri bagi yang mampu;

4)      Membaca surah al-Fatihah;

5)      Membaca selawat ke atas Nabi SAW setelah takbir yang kedua.

6)      Membaca doa untuk si mati setelah takbir yang ketiga;

7)      Berdoa setelah mengangkat takbir yang keempat. Contohnya:

اللهم لا تحرمنا أجرَهُ ولا تفتنا بعده واغْفِرْ لنا وله ولجميع المسلمين

Maksudnya: Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami, dirinya dan seluruh kaum Muslimin.

8)      Memberi salam yang pertama.

 

 



[1] Abū al-Ḥusain Muslim bin al-Ḥajjāj al-Qusyairī al-Naisabūrī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Kaherah: Maṭba’ah ‘Īsā al-Bābī al-Ḥalabī Wa Syirkāh, 1955). Hadis no. 945, jil. 2, ms. 652.

[2] Abū Abdullah Muḥammad bin Ismāīl al-Bukhārī al-Ju’fī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Dimashq: Dār Ibn Kathīr, 1993). Hadis no. 1260, jil. 1, ms. 445.

[3] Abū Zakariyā Muḥiyuddīn Yaḥyā bin Sharaf al-Nawawī, Al-Minhāj Sḥarḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Ḥajjāj, (Beirūt: Dār Iḥyā al-Turāth al-‘Arabī, t.t.), jil. 7, ms. 13.

[4] Alā’ al-Dīn Abū Bakr bin Mas’ūd al-Kāsānī al-Ḥanafi, Badāi’ al-Ṣanāi’ Fī Tartīb al-Sharā’i, (Mesir: Maṭba’ah Syarikah al-Maṭbū’āt al-‘Ilmiyyah, t.t.), jil. 1, ms. 311.

[5] Abū Abdullah Muḥammad al-Kharashī, Sharḥ al-Kharāshī ‘Alā Mukhtaṣar Khalīl, (Mesir: al-Maṭba’ah al-Kubrā al-Amiriyyah, t.t.), jil. 1, ms. 185.

[6] Abū Zakariyyā Muḥiyuddīn bin Sharaf al-Nawawī, Al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhdhab, (Kaherah: Idārah al-Ṭibā’ah al-Manīriyyah, t.t.), jil. 5, ms. 212.

[7] Abdurraḥman bin Abī Umar Muḥammad bin Aḥmad bin Qudāmah al-Maqdisī, Al-Sharḥ al-Kabīr ‘Alā Matn al-Muqni’,  (Beirūt: Dār al-Kitāb al-‘Arabī Li al-Nashr Wa al-Tawzī’, 1983), jil. 2, ms. 344.

[8] Abū Zakariyyā al-Nawawī. al-Majmu’ Syarḥ al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Taba’ah al-Munīriyah, t.t.), jil. 5, ms. 229-239.

[9] Abū Zakariyā Muḥiyuddīn Yaḥyā bin Sharaf al-Nawawī, Minhāj al-Ṭālibīn Wa ‘Umdah al-Muftīn Fī al-Fiqh, (t.t.p: Dār al-Fikr, 2005), ms. 59.

[10] Prof. Dr. Muḥāmmad al-Zuḥailī, al-Mu’tamad Fī al-Fiqh al-Shāfi’ī, (Dimashq: Dār al-Qalam, 2007), jil. 1, ms. 624-625.

[11] Hassan bin Ahmad al-Kāff, Al-Taqrīrat al-Sadīdah fi al-Masāil al-Mufīdah, (Yaman, Hadramawt: Dār al-Mirāth an-Nabawiyyah, 2022), ms. 381-384. 

Accessibility Toolbar