A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Pengenalan

Indeks Artikel

pic ban001
 
Sejarah
 

Jabatan Mufti Negeri Selangor pada peringkat awal kewujudannya merupakan salah satu bahagian yang terdapat di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Ia dikenali sebagai Bahagian Fatwa. Ketika itu Jawatan Mufti belum diwujudkan lagi dan ia dikenali sebagai Sheikul Islam.

Jawatan Sheikul Islam di Negeri Selangor telah disandang oleh Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdul Rahman. Beliau mula berkhidmat pada tahun 1935 hingga tahun 1952. Jawatan Mufti mula diwujudkan pada tahun1953. Tuan Haji Yusuf bin Sahabuddin merupakan Mufti Selangor yang pertama. Beliau berkhidmat sehingga tahun1968. Pada pertengahan tahun 1968, Dato' Hj. Ghazali bin Hj. Abdullah dilantik sebagai Mufti Selangor yang kedua hingga tahun 1973.

Kemudian Dato' Hj. Md Salleh bin Hassan Farid dilantik sebagai Mufti Selangor yang ketiga pada tahun 1974. Beliau berkhidmat selama dua tahun. Dato' Hj. Hassan bin Hj. Omar dilantik sebagai Mufti Selangor yang keempat pada tahun 1976 hingga 1985. Dato' Hj. Ishak bin Hj. Baharom dilantik sebagai Mufti Selangor yang kelima mengantikan Dato' Hj. Hassan pada Julai 1985 hingga November 1997. Beliau berkhidmat selama 12 tahun. Mufti Selangor keenam Dato' Setia Hj. Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid dilantik pada 16 Mac 1998 dan masih berkhidmat sehingga kini.

Sebelum tahun 1985, hanya terdapat dua orang kakitangan sahaja yang berkhidmat di Bahagian Fatwa iaitu Mufti dan seorang pemandu. Segala urusan pentadbiran dan kewangan di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Selangor. Jawatan Timbalan Mufti diwujudkan pada tahun 1991. Jawatan ini diwujudkan bagi membantu Mufti dalam menjalankan tugas mengenai Hal Ehwal Islam sesuai dengan perkembangan semasa. Timbalan Mufti yang pertama ialah Tuan Hj. Jamaluddin bin Hj. Omar. Beliau berkhidmat sehingga Disember 1997. Tuan Hj. Abdul Majid bin Omar merupakan Timbalan Mufti yang kedua. Beliau dilantik pada 2 Januari 1998 dan masih berkhidmat hingga kini.

Pada tahun 1996, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling mengenai pengasingan Bahagian Fatwa daripada Jabatan Agama Islam negeri-negeri di Malaysia termasuk Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, proses pengasingan tidak dapat dilakukan dengan serta merta kerana masih kekurangan kakitangan. Oleh itu, Bahagian Fatwa masih lagi bergantung kepada Jabatan Agama Islam Selangor dari segi pentadbiran dan kewangan.

Pada November 1996, jawatan Pegawai Hal Ehwal Islam mula diisi, diikuti Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) pada 2 Mei, 1997 serta dibantu oleh beberapa orang kakitangan kontrak. Bermula pada akhir 1997, jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Opersi), Pembantu Tadbir Rendah, Penolong Pegawai Tadbir, Pembantu Am Rendah, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam dan Pembantu Hal Ehwal Islam mula diisi sepenuhnya oleh Bahagian Perkhidmatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Perancangan untuk menguruskan pentadbiran dan kewangan secara sepenuhnya oleh Jabatan Mufti telah dilakukan sejak pertengahan tahun 1998 lagi. Walaupun pada zahirnya Jabatan Mufti telah berasingan dari Jabatan Agama Islam Selangor tetapi masih berhubung rapat dan bekerjasama dengan Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Selangor dalam menangani perkara-perkara yang berkaitan dengan ajaran salah (menyeleweng).

Tanggal 22 Februari 1999 dengan ehsan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Mufti telah berpindah ke ruang pejabat yang baru di Tingkat 4, Podium Selatan, Bangunan S.S.A.A.S., Shah Alam. Maka tertubuhlah Jabatan Mufti Negeri Selangor yang kini diberi tanggungjawab untuk mengeluarkan fatwa dan menangani lain-lain masalah yang berkaitan dengan Agama Islam.


 

pic ban001
 
Objektif
  • Memberi nasihat dan panduan kepada Sultan, Kerajaan Negeri dan masyarakat berkaitan hukum-hukum Islam dan permasalahan umat Islam yang menyentuh soal Fatwa, terutamanya yang melibatkan isu semasa.
  • Bekerjasama dengan pihak JAKIM dan Jabatan Mufti Negeri-Negeri lain dalam penyelarasan Fatwa.
  • Bekerjasama dengan JAIS berkaitan kegiatan dakwah, khutbah Jumaat, pencerapan hilal dan lain-lain.

 

pic ban001

 

Misi, Visi & Moto

Misi

Memacu Kecermerlangan Pengurusan Institusi Mufti

Visi

Beriltizam Menjadi Institusi Mufti Yang Berwibawa Dalam Memartabkan Syariat Islam

Moto

Profesional dan Berhikmah


 
pic ban001
 
Fungsi
  • Membantu dan menasihati D.Y.M.M. Sultan dan Kerajaan Negeri dalam perkara yang berkaitan hal ehwal hukum syarak.
  • Mengkaji dan mengeluarkan fatwa terhadap isu yang memerlukan penjelasan hukum syarak.
  • Menentukan dan mengesahkan arah kiblat, cerapan hilal, takwim jadual waktu solat dan menjalankan penyelidikan dan pendidikan falak.
  • Memberi khidmat nasihat dan perkhidmatan dalam hal-hal berkaitan Aqidah, Syari’ah dan Akhlak Islamiyyah.
  • Mengurus dan mentadbir semua perkara yang berkaitan dengan pentadbiran, perkhidmatan, kewangan, pembangunan modal insan dan teknologi maklumat.
  • Menjalankan penyelidikan dalam pembangunan fatwa
  • Pewartaan fatwa
  • Menjelaskan dan menjalankan pendidikan fatwa kepada masyarakat dengan berhikmah.
  • Menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan pembangunan ilmu falak.
  • Menjalankan khidmat nasihat Hukum Syara’ dan Aqidah.
    Membangun, mengurus dan memajukan sumber maklumat dan hal ehwal hukum syara’.
  • Mengurus dan membangun sumber manusia.

 

pic ban001
 
Piagam Pelanggan
  • Memberi respon kepada isu-isu yang diterima dalam tempoh empat belas (14) hari bekerja.
  • Mengeluarkan surat panggilan sesi penasihatan (runding cara) (sekurang-kurangnya 1 sesi/bulan) dalam tempoh 5 hari bekerja sebelum sesi dijalankan.
  • Melaksanakan cerapan hilal rasmi dan bulanan pada setiap 29 atau 30 hijri.
  • Melaksanakan proses penentuan dan pengesahan arah kiblat di lokasi tidak lebih 12 hari bekerja selepas permohonan diterima.
  • Menjawab pertanyaan atau aduan pelanggan mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan hukum syara’ ddalam masa 15 hari bekerja.
  • Memastikan baucer bayaran disediakan dalam tempoh tujuh (7) hari mulai invois diterima.
  • Menyelesaikan aduan pelanggan dalam tempoh dua (2) minggu