Umum

1. KETAM BATU

Soalan : Saya ingin membuat pertanyaan tentang ketam batu. Bolehkah kita sebagai orang Islam memakan ketam batu?

Jawapan : Ketam yang hidup di dalam air dan mencari makan di air dan kemudian apabila berada di darat mencari makan di darat adalah dikategorikan sebagai binatang yang hidup dua alam yang tidak halal dimakan, ketam batu termasuk dalam kategori ini. Manakala ketam yang hidup di dalam air dan mencari makan di dalam air sahaja dan tidak boleh hidup di darat dalam tempoh yang panjang maka ia halal dimakan. wallahu

2. TAPAU MAKANAN DI MAJLIS PERKAHWINAN

Soalan : Apakah hukum membawa pulang makanan (tapau) ke rumah tanpa meminta izin daripada tuan rumah di majlis perkahwinan?

Jawapan : Jika tetamu ingin membawa pulang makanan daripada majlis perkahwinan hendaklah mendapat keizinan terlebih dahulu daripada tuan rumah. Jika tidak diizinkan, hukumnya adalah haram. Ini kerana keharusan yang diberikan oleh syara’ di dalam majlis perkahwinan adalah makan sahaja, bukan ditapau dan dibawa pulang. wallahu

3. PROSES PERLESENAN ARAK

Soalan : Apakah hukum sekiranya bidang tugas pekerjaan saya melibatkan dokumen dalam urusan melancarkan proses perlesenan arak, samaada melulus atau memperbaharui lesen minuman keras. Apakah nasihat dan pandangan tuan dalam perkara ini?

Jawapan : Hukum bagi mereka yang terlibat dengan urusan melancarkan proses perlesenan arak adalah haram. Ini kerana, secara tidak langsung memudahkan proses premis tersebut untuk beroperasi. 

Bagi kakitangan kerajaan yang diarahkan berkhidmat di bahagian tersebut, pendapatannya tidak dihukumkan haram kerana pendapatan yang diperolehinya adalah daripada tabung akaun yang disatukan daripada hasil pendapatan negeri yang diperolehi secara halal. Namun, pihak kami mencadangkan agar boleh berbincang dengan pihak majikan untuk ditukarkan ke bahagian yang lain, iaitu bahagian yang tidak terlibat dengan urusan proses perlesenan arak dan digantikan dengan mereka yang bukan muslim.

Ini kerana terdapat 10 golongan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW di dalam urusan yang berkaitan dengan arak. Berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Anas Bin Malik RA: no3
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak, iaitu: yang memerahnya, dan yang minta diperahkan untuknya, dan yang meminumnya, dan yang membawanya, dan yang minta dibawa untuknya, dan yang menuangnya, dan yang menjualnya, dan yang minta meletakkan harganya, dan yang membelinya, dan yang minta dibelikan untuknya. (Riwayat Tarmizi). Apa yang paling penting sentiasa bermujahadah di dalam melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi perkara yang dilarangnya kerana dengan cara itu sahaja kita akan peroleh ketenangan di dalam meneruskan kehidupan ini. wallahu

4. SISTEM I.T. SYARIKAT ARAK

Soalan : Rakan saya bekerja di sebuah syarikat I.T yang mana tugasnya adalah memastikan sistem-sistem syarikat yang menggunakan perkhidmatannya itu sentiasa stabil. Baru-baru ini terdapat sebuah syarikat arak memilih untuk menggunakan perkhidmatan di syarikat beliau. Apakah hukumnya?

Jawapan : Segala apa yang berkaitan dengan arak adalah haram dan berdosa besar. Ia merupakan ibu segala maksiat. Oleh itu, bekerja sebagai menjaga sistem syarikat yang membuat arak tersebut, hukumnya juga adalah haram dan berdosa besar. Berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Ibn Umar RA:NO4
Maksudnya: Allah telah melaknat arak, dan yang meminumnya, dan yang menuangkannya, dan yang menjualnya, dan yang minta dijual untuknya, dan yang memerahnya, dan yang minta diperah untuknya, dan yang membawanya, dan yang minta dibawa untuknya. (Riwayat Abu Daud). wallahu

5. PASARAYA YANG MENJUAL ARAK

Soalan : Apakah hukumnya bekerja sebagai cashier di pasaraya yang ada menjual arak?

Jawapan : Hukum bekerja sebagai cashier di pasaraya adalah diharuskan. Walau bagaimanapun tidak boleh terlibat dalam perkara yang melibatkan arak. Kerana ia termasuk dalam 10 golongan yang dilaknat dalam perkara arak. Berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Anas RA:no3
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak, iaitu: yang memerahnya, dan yang minta diperahkan untuknya, dan yang meminumnya, dan yang membawanya, dan yang minta dibawa untuknya, dan yang menuangnya, dan yang menjualnya, dan yang minta meletakkan harganya, dan yang membelinya, dan yang minta dibelikan untuknya. (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah). Kaunter cashier barangan non-halal hendaklah diasingkan oleh pihak syarikat dengan meletakkan cashier non-muslim pada kaunter barangan yang haram. wallahu

6. SAMPIN SONGKET BENANG SUTERA SINTETIK

Soalan : Apakah hukum lelaki Islam yang memakai sampin songket yang diperbuat daripada benang sutera sintetik?

Jawapan : Sampin songket daripada sutera sintetik diharuskan untuk orang lelaki memakainya kerana ia diperbuat daripada serat-serat kain (bulu kapas) dan bukan daripada sutera asli. Manakala sutera yang diharamkan kepada lelaki adalah yang dihasilkan oleh haiwan (ulat sutera) yang dikenali di negeri Syam dengan sebutan harir baladi (sutera tempatan).  Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari bahawa Nabi SAW bersabda: no6Maksudnya:
Diharamkan bagi lelaki umatku untuk memakai sutera dan emas, dan dihalalkan bagi perempuan mereka. (Riwayat Tarmizi). wallahu

7. MENCUKUR BULU KENING

Soalan : Apakah hukum seorang wanita mencukur kening yang kemas, tetapi tebal dan lebat bagi mengelak daripada dihina oleh orang sekeliling?

Jawapan : Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah SWT melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al-namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu kening (al-mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Perbuatan itu telah mengubah ciptaan Allah SWT. (Riwayat al- Bukhari).

Berdasarkan hadith di atas menunjukkan perkataan al-namisah merangkumi semua pengertian iaitu mencabut bulu-bulu di muka untuk kelihatan cantik dan berseri. Majoriti fuqaha berpendapat, mencabut atau mencukur bulu kening sehingga halus adalah diharamkan sama ada kepada lelaki atau wanita kerana perbuatan itu termasuk dalam istilah mengubah ciptaan Allah SWT.

Namun demikian, bagi wanita yang mempunyai bulu kening yang terlalu panjang atau terlalu lebat sehingga mengaibkan, adalah harus mencabut atau menggunting sekadar menghilangkan keaibannya. wallahu

8. EMAS PUTIH

Soalan : Bolehkah seorang lelaki memakai emas putih yang bercampur sedikit bahan lain?

Jawapan : Merujuk kepada Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor yang bersidang pada 23 Ogos 1999 sebulat suara memutuskan bahawa hukum lelaki memakai emas putih adalah haram. Ini kerana emas putih terhasil daripada campuran 2 unsur logam iaitu emas kuning dan perak. Kadar unsur emas yang dicampurkan dengan perak adalah lebih tinggi daripada perak sehingga melebihi daripada 50% dan adakalanya mencecah sehingga 75%. wallahu

9. RASUAH

Soalan : Memberi duit kepada rakyat atas dasar untuk undi, adakah ia dikategori sebagai rasuah? Sekiranya menang, duit akan bertambah 2 kali ganda. Mohon penjelasan dari segi dalil atau hadis.

Jawapan : Memberi sesuatu bagi kepentingan peribadi dan menafikan hak orang lain atau suapan adalah rasuah. Takrif rasuah :
Iaitu sesuatu yang disogokkan kepada penzalim untuk mengambil hak yang bukan miliknya, atau untuk menghilangkan hak dari yang empunya samada atas motif dendam atau penipuan dengannya, dan untuk mendapatkan satu kedudukan yang tidak sepatutnya atau pekerjaan yang dia tidak berkelayakan. (Al-Feqhul Wadhih, Dr. Muhmad Bakr Ismail, hal.610)
Ia juga termasuk dalam kategori mengambil hak orang lain dengan jalan yang batil. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 188: no9Maksudnya:
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).wallahu

10. KAIN PUTIH PADA BATU NISAN

Soalan : Apakah hukum mengikat tanda kain pada batu nisan?

Jawapan : Jika berniat dengan mengikat tanda kain pada batu nisan tersebut mendatangkan manfaat atau mengelakkan mudharat maka haram. Jika tidak berniat apa-apa maka tidak ditegah, tetapi lebih afdhal ditinggalkan kerana membazir. wallahu

11. QAZA’ (POTONG SEBAHAGIAN RAMBUT DAN TINGGALKAN SEBAHAGIAN)

Soalan : Apakah hukum mengikat tanda kain pada batu nisan?

Jawapan : Haram, Rasulullah melarang umatnya melakukan Qaza’ (no11 ) iaitu memendekkan sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain. Perkara tersebut hendaklah dielakkan bagi mengelak fitnah kerana ia menyerupai golongan bukan Islam.
Diriwayatkan oleh Ibn Umar RA daripada Nabi SAW bersabda:no11Maksudnya:
Rasulullah SAW melarang qaza’. Aku (Umar bin Nafi’) berkata pada Nafi’, Apa itu qaza’? Nafi’ menjawab, Qaza’ adalah memotong sebahagian kepala (rambut) anak kecil dan meninggalkan sebahagian yang lain. (Riwayat Muslim) wallahu

12. PEMBESAR SUARA DALAM TANDAS

Soalan : Adakah dibolehkan bacaan doa diperdengarkan ke seluruh bangunan yang mana pembesar suaranya (speaker) juga berada di dalam tandas?. Ini kerana, berdasarkan peraturan keselamatan bangunan, speaker memang perlu berada di dalam tandas bagi sebarang pengumuman khususnya kecemasan.

Jawapan : Tidak haram bacaan doa tersebut diperdengarkan melalui pembesar suara yang berada di dalam tandas dengan syarat pembaca bukan membacanya di dalam tandas. Sebaiknya, berbincang dengan pihak keselamatan bangunan untuk membuat speaker di luar tandas atau tempat yang lebih elok. Bacaan doa adalah merupakan kalimah suci, sebaiknya ditempatkan di kawasan yang baik dan bersih.wallahu

13. MEMBUNUH HAIWAN PEROSAK

Soalan : Adakah dibolehkan atau tidak saya menggunakan kaedah meracun dan menanam jarum ke dalam telor untuk membunuh biawak? Ini kerana saya dapati cara ini amat berkesan dan berjaya mengurangkan populasi biawak dan hasilnya ayam dan itik ternakan selamat dan saya dapat memungut hasilnya.

Jawapan : Hukum membunuh haiwan fawasiq (haiwan perosak/jahat) bergantung kepada tahap kerosakan dan mudharat yang ia timbulkan. Sekiranya ia mendatangkan bahaya dan kerosakan kepada persekitaran seperti merosakkan tanaman dan ternakan, maka hukum membunuhnya adalah harus dengan syarat dibunuh secara terus tanpa menyiksanya.

Diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha , sabda Nabi SAW Maksudnya:no13

Ada lima haiwan yang berbahaya dianjurkan untuk dibunuh di tanah halal (selain tanah haram) dan di tanah haram: ular, burung gagak, tikus, anjing ganas, dan burung helang. (Riwayat Muslim).

Sekiranya dengan kaedah meracun dan menanam jarum ke dalam telur membolehkan ia mati dengan kadar yang segera maka ia dibolehkan. Akan tetapi jika sebaliknya, dinasihatkan tukar kepada cara lain yang lebih cepat supaya tidak menyiksakan. wallahu

14. MENCUKUR JANGGUT DAN MISAI

Soalan : Apakah hukum mencukur janggut dan misai?

Jawapan : Memelihara janggut dan menipiskan misai adalah sunat. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Janganlah kamu menyerupai orang-orang musyrikin, peliharalah janggut kamu dan nipiskan misai kamu. (Riwayat al-Bukhari).wallahu

15. SENAMAN ZUMBA

Soalan : Saya telah menyertai senaman zumba yang melibatkan gerakan tarian yang saya sifatkan keterlaluan seperti samba, gelek dan sebagainya. la juga diikuti dengan sorakan dan jeritan keterlaluan walaupun hanya wanita sahaja dan dilakukan dalam dewan. Adakah ia dibolehkan?

Jawapan : Sekiranya senaman ini membawa ke arah maksiat yakni perkara-perkara yang dilarang Allah SWT dari segi akidah, syariah dan akhlak maka wajib ia ditinggalkan sekalipun ia dilakukan sesama wanita sahaja. Perlu menjaga sifat semula jadi wanita dan perlu pastikan aktiviti yang dilakukan sesuai serta memelihara maruah wanita. Dalam masa yang sama batasan aurat sesama wanita juga perlu dijaga sekiranya terdapat dalam kumpulan senaman tersebut kalangan mereka yang bukan Islam.
Berdasarkan gambaran ringkas yang dinyatakan, ia ternyata bercanggah dengan akhlak dan perlu dielakkan. Selain itu, perlu juga diketahui sejarah ataupun asal usul senaman tersebut serta perlakuan dan pergerakannya, yang mungkin bercanggah dengan akidah.wallahu

16. PERMAINAN CLASH OF CLANS

Soalan : Adakah permainan Clash of Clans itu hukumnya haram?

Jawapan : Permainan Clash of Clans tersebut tidaklah menjadi haram, jika dalam keadaan yang terkawal dan tidak berlebih-lebihan. Ia menjadi haram jika sampai ke peringkat melalaikan dan memudharatkan serta jelas ia mengandungi perkara-perkara yang menghina Agama Islam.wallahu

17. LUKISAN INAI YANG BERCORAK

Soalan : Hukum memakai inai bercorak dan dilukis berbentuk lukisan bunga atau daun. Adakah haram dan menyerupai tatu?

Jawapan : Berkenaan hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syara’ adalah dilarang. wallahu

18. RESTU IBU BAPA

Soalan : Saya seorang pelajar dan membuat bisnes sebagai perunding takaful secara senyap-senyap selama hampir 1 tahun kerana ibu bapa tidak merestui saya berniaga, kerana saya masih dalam tempoh belajar.
1) Adakah apabila kita tidak mendapat restu ibu bapa, duit yang kita dapat itu tidak berkat?
2) Adakah saya seorang anak derhaka jika saya melanggar arahan ibu bapa saya supaya tidak berniaga?

Jawapan : Sebagai seorang anak wajib untuk patuh dan taat kepada ibu bapa dan wajib membuat ibu bapa gembira dengan mendapatkan keredhaan daripada keduanya. Rasulullah SAW berpesan yang bermaksud:
Redha Allah SWT bergantung kepada redha kedua-dua ibu bapa dan murka Allah SWT bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa. (Riwayat Hakim).
Maka sebagai seorang anak bagi mengelakkan dari dianggap anak yang derhaka, hendaklah menurut arahan keduanya selama mana ia tidak bertentangan dengan syarak. Sekiranya mahu teruskan juga perniagaan tersebut, dapatkanlah dahulu keizinan mereka agar rezeki yang diperolehi lebih diberkati.
Namun jika keadaan ekonomi agak mendesak, ia tidak dilarang kerana tujuan ibubapa tidak lain adalah supaya pelajaran anak tidak terganggu. Maka dalam keadaan ini, pastikan aktiviti perniagaan tersebut tidak mengganggu proses pembelajaran. wallahu

19. MENONTON HIBURAN YANG TIDAK PATUH SYARA’

Soalan : Apakah hukum?
1. Menonton dan membuat filem seram mengandungi unsur hantu, jin atau syaitan.
2. Menonton dan membuat filem yang terdapat unsur cumbuan, bersentuhan dan berpelukan.
3. Menonton aksi sukan yang memudaratkan pemain dan penonton contoh tinju, gusti, laga.
4. Menonton bola sepak sehingga memudaratkan. Sehingga membuat penonton atau pemain bergaduh, kecewa, sedih, marah.

Jawapan : Hiburan dalam perspektif Islam itu dibolehkan tetapi harus memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Namun jika sebaliknya, ia boleh bertukar menjadi haram.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 telah membincangkan Pameran Jin, Hantu Dan Keranda, Pameran Alam Misteri Serta Yang Berkaitan Dengannya. Muzakarah telah memutuskan bahawa pameran jin, hantu dan keranda serta alam misteri adalah ditegah oleh Islam kerana ia boleh mendatangkan mudharat pada akidah umat Islam. Manusia tidak dapat mencapai hakikat sebenar alam misteri, jin, hantu dan umat Islam tidak perlu dididik dengan perkara-perkara khurafat dan tahyul seumpama ini. Maka menontonnya juga dilarang kerana kesannya sama.
Manakala menonton atau membuat filem yang terdapat unsur cumbuan, bersentuhan dan berpelukan adalah haram kerana ia merupakan pintu-pintu ke arah maksiat.
Adapun, menonton aksi sukan seperti tinju, gusti, dan bola sepak hukum asalnya adalah harus, akan tetapi sekiranya berlaku mudharat kepada pemain dan penonton serta melalaikan diri daripada melaksanakan ibadah, terdedah kepada maksiat dan terdedah kepada percampuran lelaki dan perempuan, maka hukumnya adalah haram.wallahu

20. WANITA BERKEPALA BOTAK

Soalan : Apakah hukum mencukur atau membotakkan rambut bagi perempuan yang sudah baligh?

Jawapan : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 – 3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Wanita Membotakkan Kepala Dan Berhias Secara Aneh. Muzakarah telah memutuskan bahawa :

1. Lelaki dan wanita Islam adalah ditegah menampilkan diri dengan penampilan yang bertentangan dengan sifat-sifat semulajadi mereka;
2. Wanita dilarang membotakkan kepala kecuali untuk tujuan rawatan perubatan bagi mengatasi masalah atau penyakit yang tertentu;
3. Perbuatan berhias secara aneh dan berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain daripada cuping telinga adalah dilarang oleh Islam.
Oleh itu, perempuan yang sudah baligh dilarang untuk mencukur atau membotakkan rambut.wallahu

21. BINAAN ATAS KUBUR

Soalan : Ayah mertua mewasiatkan supaya dibina pagar sekeliling kuburnya. Adakah ia dibenarkan dalam Islam dan bagaimana wasiat sebegini perlu ditangani?

Jawapan : Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 4/2010 yang bersidang pada 02 November 2010 bersetuju memutuskan bahawa haram hukumnya membina binaan kekal di atas tanah wakaf kuburan. Ahli Jawatankuasa Masjid juga mengikut budi bicaranya boleh merobohkan binaan tersebut jika ada keperluan lain, apabila tiada lagi ruang untuk mengkebumikan jenazah yang baharu. Berdasarkan daripada hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir RA yang bermaksud:
Rasulullah SAW telah melarang kubur dikapur (disimen), dijadikan tempat duduk dan juga didirikan bangunan di atasnya. (Riwayat Muslim).
Oleh itu, memadai dengan hanya membina kepungan serta meletakkan batu nisan seperti mana yang dinyatakan oleh para ulama’ bagi memudahkan waris mengenalinya. Dalam masa yang sama, ia bertujuan untuk menjaga dan memelihara pusara daripada hakisan dan pencerobohan binatang liar.
Berkenaan wasiat pula, sekiranya wasiat tersebut bertentangan dengan hukum syara’ maka ahli waris tidak perlu menunaikannya.wallahu

22. LELAKI MENGAMINKAN DOA WANITA

Soalan : Adakah dibolehkan orang lelaki mengaminkan doa yang dibaca oleh orang perempuan dalam majlis bacaan yasin yang dihadiri oleh orang perempuan?

Jawapan : Hukumnya adalah harus bagi lelaki mengaminkan bacaan doa oleh wanita. Walau bagaimanapun, jika majlis itu dihadiri oleh lelaki dan wanita maka orang yang lebih sesuai memimpin bacaan doa adalah lelaki.wallahu

23. GAMBAR ORANG TELAH MENINGGAL DUNIA

Soalan : Apakah hukum menyebarkan gambar orang yang telah meninggal dunia, contohnya gambar orang mati akibat kemalangan di Facebook, Twitter dan lain-lain? Saya lihat perkara ini sudah menjadi perkara biasa tanpa ada sensitiviti.

Jawapan : Hukum menyebarkan gambar-gambar orang yang telah meninggal dunia akibat kemalangan adalah harus bagi pihak-pihak yang berautoriti sekiranya ada maslahat yang baik, dengan syarat menjaga aib si mati. Bagaimanapun sebagai orang awam, kita perlu mendapatkan keizinan terlebih dahulu daripada keluarga dan waris si mati. Perkara ini amat perlu diambil perhatian kerana ingin menjaga sensitiviti dan perasaan keluarga dan waris si mati. Dalam masa yang sama, ia juga bagi merahsiakan identiti si mati, agar tidak terdedah kepada sebarang penyalahgunaan.wallahu

24. GAMBAR DI DALAM MASJID

Soalan : Adakah gambar-gambar dibenarkan untuk digantung di dalam masjid?

Jawapan : Antara gambar yang dibolehkan adalah gambar pemandangan alam semulajadi seperti gambar tumbuh-tumbuhan, pepohon, lautan, gunung- ganang, matahari, bulan dan bintang-bintang. Bagi gambar yang hendak digantung di masjid sudah tentu perlu memilih gambar yang baik, bermanfaat dan tidak mengganggu jemaah di dalam melaksanakan ibadah. Ini berdasarkan hadith daripada Aisyah R.Anha katanya:no24Maksudnya: Aku mempunyai kain tabir padanya terlukis gambar burung, dan setiap orang yang masuk rumahku akan melihatnya. Maka Rasulullah SAW berkata kepadaku: Pindahkanlah (tabir) ini, kerana setiap kali aku masuk ke rumah dan melihatnya, aku akan teringat akan keindahan dunia. (Riwayat Muslim). Adalah lebih baik ia tidak digantung di ruang kawasan solat supaya dapat menjaga konsentrasi jemaah pada ibadah. Antara lain, pihak masjid boleh mewujudkan satu sudut kawasan informasi masjid supaya segala gambar dapat dihimpunkan di dalam satu kawasan.wallahu

25. PERBUATAN BERANGAN-ANGAN

Soalan : Adakah perbuatan berangan-angan itu berdosa?

Jawapan : Angan-angan yang boleh membawa kepada kebaikan dan disertai dengan usaha yang berterusan adalah diharuskan. Manakala angan-angan yang kosong dan sia-sia lagi lagha adalah ditegah dalam Islam. Berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Anas RA, sabda Nabi SAW:no25
Maksudnya:
Ada empat perkara yang menyebabkan kecelakaan, iaitu kerasnya mata (tidak pernah menangis kerana Allah), hati yang keras, panjang angan-angan dan rakus terhadap duniawi. (Riwayat Musnad al-Bazzar).wallahu

26. PERKAHWINAN BUKAN ISLAM

Soalan : Apakah hukum menghadiri majlis perkahwinan rakan yang bukan Islam?

Jawapan : Hukumnya adalah harus sebagai memenuhi hak hubungan di antara sesama rakan, bagaimanapun perlu menjaga daripada perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam seperti dalam hal penyediaan makanan dan lain-lain. Keharusan ini juga tertakluk kepada majlis yang dijalankan selagi tidak ada maksiat seperti arak dan pergaulan bebas.wallahu

27. MEMASANG CD AL-QURAN

Soalan : Bagaimana dengan hukum memasang CD Al-Quran di dalam kedai makan/restoran?

Jawapan : Memasang CD Al-Quran di dalam kedai makan atau restoran adalah diharuskan dan ia lebih baik berbanding memasang lagu-lagu yang melalaikan. Walau bagaimanapun jika sekiranya pemasangan CD Al- Quran itu akan menjatuhkan kehormatan dan kemuliaan Al-Quran seperti tidak didengar oleh orang ramai, maka hendaklah dielakkan, ini kerana Allah SWT berfirman:no27Maksudnya:
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan Dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-A’raf: 204).
Supaya dengan memasang CD Al-Quran tersebut secara tidak langsung akan mengajak orang ramai bersama-sama berbuat kebaikan dan sentiasa mengingati Allah SWT.wallahu

28. TANAMAN POKOK PUDING

Soalan : Ada pendapat menyatakan bahawa tanaman pokok puding ini tidak elok untuk ditanam di rumah kerana sekiranya ada hamba Allah SWT yang berniat tidak elok terhadap tuan rumah, segala perkara yang negatif mudah terjadi. Adakah benar?

Jawapan : Seorang mukmin wajib yakin dan beriman bahawa hanya Allah SWT sahaja yang boleh mendatangkan manfaat dan mudharat kerana segala sesuatu yang berlaku di dunia ini hanyalah dengan izin Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn Abas RA, Sabda Nabi SAW:no28
Maksudnya: Jikalau mereka berhimpun untuk memudaratkan kamu maka tidaklah akan memudaratkan kamu melainkan Allah jua yang telah menetapkannya bagimu, telah diangkat Qalam dan telah selesai ditulis suhuf (tempat tulisan takdir). (Riwayat Tirmizi).
Sehubungan dengan itu, pokok puding atau sebarang makhluk tidak dapat mendatangkan sebarang kemudaratan kepada manusia. Tanggapan serta kepercayaan seperti ini dikhuatiri akan terjerumus ke dalam perkara khurafat. Ianya mesti diperjelaskan dengan penuh berhemah dan beradab.wallahu

29. JUAL BELI AL-QURAN SECARA ONLINE

Soalan : Apakah hukum membeli Al-Quran secara ‘online’ dan menggunakan perkhidmatan pos laju?

Jawapan : Hukum jual beli Al-Quran secara online adalah diharuskan selagi mana dalam proses tersebut menjaga adab dan kesucian mushaf tersebut. Manakala penghantaran Al-Quran melalui perkhidmatan pos adalah tidak diharuskan jika dikhuatiri ianya terdedah kepada unsur–unsur yang boleh mencemari kesucian Al-Quran. Namun jika perkara ini tidak dapat dielakkan maka hukumnya adalah harus.wallahu

30. MENGUPAH PEKERJA TRANSGENDER

Soalan : Apakah hukum seorang wanita mengupah pekerja lelaki yang bertukar jantina sebagai seorang perempuan?

Jawapan : Hukum seorang wanita mengupah pekerja yang telah menjalani pembedahan menukar jantina adalah harus. Kerana jantina bukan syarat untuk akad muamalat al-Ijarah (perniagaan). Namun hukum seorang lelaki menukar jantina kepada perempuan adalah haram. Maka sebagai majikan, dia mesti menjaga batas pergaulan dan aurat dengan pekerja- pekerja tersebut kerana sebenarnya dia masih seorang lelaki.wallahu

31. PAKAIAN TERTERA KALIMAH ALLAH SWT

Soalan : Bolehkah memakai baju yang tertera nama Allah SWT dan apakah hukumnya?

Jawapan : Harus memakai pakaian yang ada kalimah Allah SWT, tetapi perlu menjaga adabnya seperti:
1. Pemakai wajib menutup aurat.
2. Pemakai tidak mencemarkan kalimah suci tersebut seperti masuk ke tandas.
Berdasarkan hadith ini, Imam An-Nawawi mengatakan dalam Mazhab Syafi’i, hukum membawa masuk sesuatu yang tertulis nama Allah SWT ke tandas adalah makruh. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA yang bermaksud, bahawa:
Baginda SAW apabila masuk ke tandas, akan menanggalkan cincinnya (cincin baginda terukir padanya kalimah Muhammad Rasulullah). (Riwayat al-Tirmizi)wallahu

32. APLIKASI AL-QURAN

Soalan : Sekarang ini terdapat kemudahan aplikasi Al-Quran yang boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit untuk kemudahan pengguna untuk membacanya atau menyemak ayat-ayatnya terutamanya masyarakat Islam. Soalannya ialah:
1) Wajibkah pengguna tersebut mempunyai wuduk semasa membawa telefon bimbit itu yang mengandungi aplikasi penuh 30 juzu’ Al-Quran itu?
2) Bolehkah pengguna tersebut membawa telefon bimbit itu masuk bersama sama ke dalam tandas?
3) Dalam apa jua keadaan samakah hukumnya keatas sebuah mashaf Al-Quran?

Jawapan : Berkaitan dengan kemudahan aplikasi Al-Quran dalam telefon bimbit, maka jawapannya adalah seperti berikut:
1. Tidak wajib mempunyai wuduk ketika membawa atau menyentuh telefon bimbit, tetapi disyaratkan ada wuduk apabila ingin menyentuh tulisan yang tertera ayat-ayat Al-Quran apabila aplikasi tersebut dibuka untuk dibaca. Firman Allah SWT:no32
Maksudnya: Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. (Surah al-Waqi’ah: 79).
2. Boleh membawa telefon bimbit itu ke dalam tandas, tetapi pastikan tidak membuka aplikasi ayat Al-Quran itu sebelum masuk tandas.
3. Ia tidak dihukumkan sama dengan mashaf Al-Quran, khusus sewaktu aplikasi tersebut ditutup. Namun perlu menjaga kehormatan ayat- ayat suci Al-Quran daripada tercemar.wallahu

33. SAMBUTAN HARI IBU

Soalan : Adakah benar hanya dengan menyambut Hari Ibu ia boleh menjejaskan akidah seseorang?

Jawapan : Berkenaan dengan sambutan Hari Ibu, Hari Bapa atau lain-lain, ia lebih kepada istilah sahaja. Hakikat perayaan dalam Islam hanya dua sahaja, iaitu Hari Raya Idulfitri dan Hari Raya Haji.
Islam menganjurkan agar memuliakan ibu bapa setiap masa, ia tidak terhad pada waktu atau tarikh tertentu. Malah kewajipannya adalah berpanjangan dan berkekalan sepanjang hayat. Bagi orang Islam, anjuran supaya memuliakan dan menghormati kedua ibu bapa sebenarnya sudah dititikberatkan di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah, tanpa terikat dengan masa dan tempat.
Oleh itu, merayakan Hari Ibu diharuskan dengan syarat hari tersebut tidak dikaitkan dengan kepercayaan sesuatu pegangan agama.wallahu

34. HUKUM BUKAN ISLAM MEMASUKI MASJID

Soalan : Apakah hukum syara’ mengenai bukan islam yang dibenarkan masuk ke masjid kita dengan sesuatu tujuan dan apakah had keharusannya?

Jawapan : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan hukum pelancong bukan Islam/penganut bukan beragama Islam memasuki masjid dan ruang solat utama di dalam masjid.
Muzakarah telah memutuskan bahawa mereka (bukan Islam) diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Perbuatan berdoa/bertafakur oleh pelancong bukan Islam yang mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang menimbulkan fitnah adalah dilarang.wallahu

35. KEDUDUKAN TERBIT DAN TERBENAM MATAHARI

Soalan : Saya ingin mengajukan soalan tentang surah Ar-Rahman ayat 17. Apa maksudnya ayat tersebut:(Dialah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.

Jawapan : Menurut Prof. Hamka peredaran matahari ketika terbit dan terbenam tidaklah tetap. Ianya berubah-ubah dari satu tempat ke tempat yang lain secara berterusan menyebabkan silih bergantinya musim sejuk dan musim panas. Merujuk kepada Surah Al-Rahman ayat ke 17, ia menggambarkan dua titik di mana kedudukan matahari berada pada kedudukan paling utara dan paling selatan ketika terbit dan terbenam. Oleh itu, dua timur dan dua barat adalah merujuk kepada dua titik timur dan dua titik barat tadi.

Manakala Surah al-Ma‘arij ayat 40 pula menunjukkan kedudukan tempat terbit dan terbenam matahari yang berubah-ubah dalam masa satu tahun .Matahari akan terbit bermula dari titik timur pada 21 Mac di garisan 0˚ khatulistiwa dan menuju ke arah utara pada purata gerakan 1˚ sehari dan mencapai maksimum (23 1/2 ˚ U) pada 21 Jun. Selepas 21 Jun, matahari bergerak menuju ke selatan dan melintasi garis khatulistiwa semula pada 23 September.

Selepas 23 September, matahari akan bergerak ke selatan dari titik timur dan mencapai titik maksimum (23 1/2 ˚ S) pada 22 Disember. Peristiwa matahari tepat di atas garisan khatulistiwa yang berlaku pada 21 Mac dan 23 September dinamakan ekuinok.wallahu

36. BACAAN NIR RAHIM ATAU NUR RAHIM

Soalan : Adakah bacaan Nir Rahim dalam basmalah dan surah Al-Fatihah boleh dibaca dengan sebutan Nur Rahim?

Jawapan : Dalam basmalah dan surah Al-Fatihah, terdapat perkataan (NO36) nun berbaris bawah (Nir Rahim) dan bukan berbaris hadapan (Nur Rahim). Dalam Bahasa Arab kedudukannya adalah Badal kepada kalimah Allah yang berbaris di bawah kerana Huruf Jar. Tidak boleh sama sekali menukarkan baris bawah kepada baris hadapan atau atas, Ini kerana sekiranya dibaca dengan bacaan (Nurrahim) ia akan merosakkan bacaan ‘basmalah’ dan Al-Fatihah. Akibatnya ia akan membatalkan solat.wallahu

37. TAHNIK

Soalan :Bilakah hari dan waktu yang sesuai untuk melakukan tahnik? Bolehkah dilewatkan sehingga hari dan waktu yang sesuai? Siapa yang afdal untuk melakukan tahnik? Apakah bacaan doa untuk melakukan tahnik?

Jawapan : Tahnik ialah membelah mulut bayi baru lahir dengan buah tamar atau sesuatu yang manis seperti madu. Hukumnya adalah sunat. Cara melakukan tahnik ialah dengan mengunyah buah tamar dan diletakkan dihujung jari, kemudian digosokkan ke lelangit bayi. Jika tiada buah tamar, boleh digantikan dengan sesuatu yang manis seperti madu. Waktu paling afdhal adalah selepas kelahiran dan setelah dibersihkan tubuh badan bayi. Orang yang afdal melakukan tahnik adalah orang soleh, ahli ibadah atau orang yang bertakwa. Namun boleh melewatkan amalan tahnik dan dituntut dilaksanakan dalam tempoh tujuh hari selepas waktu kelahiran anak tersebut. Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a berkata yang bermaksud:

Saya telah mendapat seorang anak lelaki, kemudian saya membawanya kepada Rasulullah SAW. Baginda menamakannya Ibrahim, dan melakukan tahnik dengan sebiji kurma. Baginda juga telah mendoakannya semoga diberkati Allah SWT. Selepas itu barulah baginda berikan balik kepada saya. (Riwayat al-Bukhari)

Bacaan semasa bertahnik (bagi lelaki):no37Maksudnya:
Ya Allah SWT kurniakanlah kepadanya kefahaman yang mendalam dalam agama dan ajarkanlah kepadanya takwil. Manakala selepas tahnik dan pengisytiharan nama bayi, digalakkan berdoa:

Ya Allah wahai Tuhan kami, jadikanlah nama yang diberikan ini memberi keberkatan kepadanya, pandukan segala usahanya ke arah keredhaan-Mu, jadikanlah menuntut ilmu sebagai matlamatnya dan akhirkan hidupnya dengan amal-amal soleh. Ya Allah wahai Tuhan kami, berkatilah usianya dalam ketaatan kepada-Mu dan kepada Rasul-Mu dan jadikan tubuh badannya dalam keadaan sihat walafiat. Ya Allah, jadikanlah ia pemimpin di waktu dewasa, teguhkan imannya sepertimana iman para nabi-Mu sehingga hari kiamat. Ya Allah kurniakan ia rezeki yang halal dan berkat, dekatkanlah ia dengan kebajikan dan jauhkan ia daripada kejahatan dengan rahmat-Mu, Ya Allah yang Maha Pengasih.wallahu

38. MAJLIS AQIQAH DAN MAJLIS TAHLIL

Soalan : Adakah diharuskan majlis aqiqah digabungkan dengan majlis bacaan tahlil?

Jawapan : Harus menggabungkan kedua-dua majlis ini dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT serta demi mencari redhanya tanpa berlebih-lebihan sehingga membawa kepada membazir, tanpa ada niat riyak dan lain-lain.wallahu

39. BERURUS NIAGA DENGAN BUKAN ISLAM

Soalan : Ayam kampung yang diternak ini akan dijual kepada peraih bukan Islam, adakah ia dibolehkan?

Jawapan : Nabi SAW pernah bermuamalat dengan yahudi yang tidak beragama Islam melalui Akad Ar-Rahn (gadaian). Oleh itu, Rasulullah SAW tidak melarang umatnya bermuamalat atau berurusniaga dengan bukan Islam. Oleh yang demikian urusniaga itu adalah sah, namun begitu jika diketahui niat peraih untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat maka penjual berhak untuk tidak menjual barangannya kepada peraih. Menjual ayam kampung kepada peraih bukan Islam adalah diharuskan, kerana jual beli tidak disyaratkan kedua-dua pihak penjual atau pembeli mesti beragama Islam.wallahu

40. PEMBEDAHAN PLASTIK

Soalan : Adakah saya dibenarkan untuk melakukan pembedahan plastik (otoplasty) bagi menormalkan telinga yang capang sejak lahir? Ini kerana saya menerima ejekan dari rakan dan menyebabkan kurang keyakinan diri.

Jawapan : Pembedahan plastik atau pembedahan kosmetik boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pembedahan yang diharuskan dan kedua, pembedahan yang diharamkan. Bagi kes pembedahan kosmetik yang diharuskan adalah seperti :-
a. Merawat keaiban seperti bibir sumbing, jari-jemari bercantum dan lain-lain.
b. Membaik pulih kecacatan akibat kemalangan, kebakaran dan lain-lain.
c. Rawatan atau pembedahan untuk mengembalikan fungsi anggota badan.
Manakala selain daripada yang disebut di atas ataupun pembedahan kosmetik yang dilakukan atas dasar nafsu dan kepuasan tanpa ada kecacatan yang menggagalkan fungsi sesuatu anggota maka pembedahan itu boleh membawa kepada haram dan ianya perlu dielakkan. Keadaan telinga saudara yang capang tersebut masih lagi dapat berfungsi dan mendengar dengan baik. Oleh itu, tiada keperluan untuk membuat pembedahan kosmetik tersebut kerana ia bukan dengan sebab syar’i.wallahu

41. PENGGUNAAN THREAD LIFT

Soalan : Apakah hukum penggunaan thread lift dalam mencantikkan diri?

Jawapan : Kaedah tanam benang atau thread lift dengan menggunakan benang yang dimasukkan ke dalam kulit bertujuan untuk menegangkan, mencerahkan dan meremajakan kulit hukumnya adalah haram, kerana termasuk dalam kategori mungubah ciptaan Allah SWT s.w.t.

Ini berdasarkan riwayat hadis dari Abdullah bin Masud, sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud:
Allah SWT melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al-Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu kening (al-Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Perbuatan itu telah mengubah ciptaan Allah SWT. (Riwayat al- Bukhari).

Berdasarkan kepada hadith di atas majoriti fuqaha berpendapat, perbuatan mengubah struktur tubuh bagi tujuan kecantikan adalah diharamkan ini kerana perbuatan tersebut termasuk dalam istilah mengubah ciptaan Allah SWT. Maka penggunaan thread lift dalam mencantikkan diri termasuk dalam kategori ini.wallahu

42. IMUNISASI DIFTERIA

Soalan : Apakah hukum mengambil imunisasi yang mengandungi DNA Khinzir untuk penyakit Difteria?

Jawapan : Penyakit Difteria adalah di antara penyakit yang boleh dicegah melalui kaedah imunisasi, yang mana imunisasi tersebut diberi secara percuma dan dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Dakwaan bahawa vaksin tersebut mempunyai DNA Khinzir, perlu dipastikan terlebih dahulu sejauh mana kesahihannya.

Ini kerana semua vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Vaksin ini telah dinilai mengikut keperluan piawaian antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya.

Dalam masa yang sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa bekerjasama dengan pihak KKM bagi memastikan dan memantau keadaan setiap pemprosesan vaksin yang dihasilkan adalah halal. Pihak JAKIM juga telah bersetuju bahawa status vaksin yang digunapakai di Malaysia adalah halal.

1. Sekiranya ada alternatif lain, maka tidak boleh menggunakan vaksin yang ada najis. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW daripada Abu Darda’ RA yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram. (Riwayat Abu Daud).
2. Sekiranya tidak ada alternatif yang lain, maka ia dibolehkan kerana ia termasuk dalam perkara dharurat. Terdapat beberapa kaedah yang digunakan dalam hal ini. Kaedah no42 1 iaitu dharurat mengharuskan yang haram. Tetapi kaedah ini diikat dengan kaedah lain iaitu no42 2yang bermaksud mengambil dharurat cukup yang perlu sahaja.wallahu

43. PEMAKAIAN BRACES

Soalan : Anak saya menggunakan braces kerana mempunyai masalah pada giginya dan tidak teratur serta berlapis. Apakah hukumnya?

Jawapan : Hukumnya harus dilakukan dengan bertujuan untuk memperbaiki kedudukan gigi tersebut yang mana jika tidak dirawat dari kecil ia akan menjejaskan anak apabila meningkat dewasa kelak dengan keadaan gigi sedemikian. Jika dibiarkan juga akan menyebabkan proses mengunyah yang tidak sekata dan boleh menyebabkan kesakitan. Sekiranya ia dilakukan atas dasar kecantikan, nafsu dan kepuasan tanpa ada kecacatan yang memudharatkan fungsi gigi tersebut, maka ia boleh membawa kepada haram dan ianya perlu dielakkan.wallahu

end faq

Jumlah Pengunjung: 603815

  • Kemaskini Terakhir: 20 April 2018.
 qrnew

Penafian : Jabatan Mufti Negeri Selangor tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan informasi yang diperolehi daripada portal ini dan penggunaan Google Translate untuk Bahasa Inggeris dan bahasa asing adalah tidak tepat.

Sesuai dipaparkan menggunakan pelayar Mozilla Firefox versi 24 ke atas dengan resolusi minima 1366x768

Hakcipta Terpelihara © Jabatan Mufti Selangor 2016