Webmail

Waktu solat
  • Imsak 05:31
  • Subuh 05:41
  • Syuruk 06:56
  • Zohor 13:00
  • Asar 16:19
  • Maghrib 18:59
  • Isyak 20:10

carian1akses

A- A A+
Arial | PT Sans | Century

Umum

1. Tarikh sesuai untuk majlis pernikahan.

Soalan : Saya dan pasangan dijangka akan melangsungkan perkahwinan pada hujung bulan Mei 2005. Namun kami berdepan dengan masalah menentukan tarikh dan hari yang sesuai untuk majlis akad nikah. Tarikh awal yang dipersetujui adalah pada 28 Mei 2005 (Sabtu) bersamaan dengan 19 Rabiulakhir 1426H.

Terdapat sesetengah pendapat menyatakan hari tersebut tidak sesuai atau tidak elok dibuat majlis pernikahan. Disini, saya ingin bertanya mengenai kaitan hari-hari dan bulan yang sesuai dalam Islam untuk majlis pernikahan. Adakah ia telah dinyatakan dalam Al-Quran dan adakah tarikh diatas sesuai untuk majlis pernikahan kami?.

Besarlah harapan saya sekiranya tuan sudi menghurai permasalahan ini.

Jawapan :

  • Al-Quran dan Sunnah tidak pernah menyatakan secara khusus hari-hari yang tidak harus seseorang itu melakukan sebarang perbuatan seperti nikah kawin. Malahan Rasulullah telah bersabda yang maksudnya : "Tidak ada jangkitan penyakit, tidak ada sialan pada burung, tidak ada musibah pada burung hantu dan tidak ada bala' dalam bulan Safar". Dengan ini sebarang kerja bolehlah dilakukan pada waktu yang sesuai berpandukan pandangan dan kelapangan manusia itu sendiri. Dalam Islam semua hari adalah sesuai untuk majlis perkahwinan. Walau bagaimanapun ada baiknya tidak dilakukan majlis tersebut dalam bulan Ramadhan kerana setiap orang Islam berusaha merebut fadhilat Ramadhan atau hari-hari yang hampir ke Ramadhan, kerana dikhuatiri akan berlaku perbuatan salah laku yang men-yebabkan kifarah seperti bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan. 2. Oleh itu apabila majlis akad nikah yang dijadualkan pada 28 Mei 2005 itu tiada sebarang halangan,maka harus dijalankan. 3. Apa yang penting, kita memohon kepada Allah S.W.T. agar perkahwinan itu berpanjangan hingga ke akhir hayat, hidup aman daman dengan mendapat zuriat soleh dan solehah disamping restu daripada kedua ibu bapa anda. Wallahu a'alam

2. Hukum bekerja di bank yang mengamalkan riba'.

Soalan : Saya ingin bertanya hukum bekerja di bank yang mengamalkan riba' walaupun dia bukan di bawah jabatan yang mengamalkan riba'?. Saya ada terbaca seseorang itu boleh bekerja sekiranya darurat untuk menyara keluarganya. Tetapi adakah boleh dikatakan darurat juga bagi seorang perempuan yang masih mempunyai kedua ibubapanya?.

Jawapan : Anda digalakkan untuk mencari alternatif lain disamping bekerja di dalam institusi yang sedia ada.

3. Hukum orang yang sengaja tidak mahu membayar hutang.

Soalan : Saya adalah seorang penjamin kedua bagi rakan sepejabat saya untuk pinjaman peribadinya dengan sebuah bank, manakala kakak iparnya adalah penjamin pertama.

Kini rakan saya itu telah berpisah dengan isterinya dan mengesyaki kakak iparnya sebagai dalang. Jadi untuk membalas dendam kepada kakak iparnya, dia telah tidak membayar hutangnya dengan sengaja walaupun dia sangat mampu membayarnya.

Kini pihak bank telah menghantar surat untuk mengambil tindakan keatas penjamin-penjaminnya termasuk saya. Apakah hukum orang yang sengaja tidak mahu mem-bayar hutang?. Bagaimanakah dengan amalannya?. Apakah hukum menganiayakan orang yang telah membantunya dengan ikhlas?.

Jawapan : Berdosa besar bagi orang yang sengaja tidak membayar hutang. Seseorang yang suka melewat-lewatkan bayaran hutang setelah berkemampuan untuk membayar-nya, boleh mendatangkan kesan buruk dalam hidupnya bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat antaranya :

  • Hidup akan ditimpa kehinaan dan hilang maruahnya.
  • Hidup mereka tidak akan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah.
  • Perbuatan mereka itu digolongkan dalam perbuatan zalim.
  • Amalan kebajikan mereka tidak akan diterima.

Sabda Rasul S.A.W.

Maksudnya : "Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa membayarnya, adalah satu kezaliman, halal maruah dan hukuman ke atasnya (iaitu pemberi hutang boleh mengambil tindakan ke atas diri dan maruahnya) (Riwayat Ibnu Majah)

Sabda Rasul S.A.W.

Maksudnya : "Kurangkan dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkan daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas". (Riwayat Baihaqi)

4. Hukum sumber rezeki bagi penjawat jawatan di dalam kerajaan Malaysia

Soalan : Asalamualaikum tuan,

Saya tertarik berkenaan jawapan tuan pada persoalan di bawah:

Hukum Tidak Sembahyang

Assalamualaikum wrm wrbt.

Rakan saya memberitahu bahawa terdapat hadis yang mengatakan seseorang itu patut di pancung jika gagal mengerjakan sembahyang. Saya ingin tahu samada benar atau pun terdapat hukum-hukum lain yang berkaitan dengan sembahyang. Terima kasih

Jawapan

Orang yang tidak sembahyang tidak dikenakan hukuman pancung. Kalau sekiranya seseorang itu mengatakan hukum sembahyang itu tidak wajib, barulah jatuh hukum pancung. Ini kerana orang itu telah murtad kerana menukar hukum di dalam Al-Quran & As-sunnah.

wallahua'lam.

Apakah hukum sumber rezeki bagi penjawat jawatan di dalam kerajaan Malaysia?

Apakah hukum bagi pendukung agama dan kakitangan organisasi jabatan agama yang mengambil gaji/upah didalam menyampaikan agama Islam seperti mana yang dinyatakan didalam hadis dan Al-Quran?

Apakah pula hukum bagi manusia yang Islam yang mengubah hukum Islam dan apa pula hukum bagi mereka yang melaksanakannya?

Bagi jabatan agama Islam yang melaksanakan hukum sebagai contoh ZINA dengan bayaran matawang tidakkah di kira sebagai mengubah sesuatu hukum? Dan sebagai mana jawapan tuan berkisar mengenai perkara sembahyang seperti diatas, tidakkah tuan tertakluk sebagai orang yang mengubah hukum dan tidak kah tuan termaktub sebagai mana orang yang murtad dan layak untuk dipancung jua? Atau adakah alasan lain yang menyokong pendirian tuan? Harap tuan memberi penjelasan kepada saya jika tidak disiarkan didalam web sekalipun mohon jasa baik tuan menjawab didalam email saya.

Jawapan :

  • Hukum sumber rezeki bagi penjawat awam di dalam Kerajaan Malaysia adalah halal. Ini adalah kerana sumber kewangan yang diperolehi telah diasingkan kepada dua akaun iaitu sumber kewangan yang halal dan sumber kewangan yang tak halal. Sumber kewangan yang halal digunakan untuk membayar gaji pekerja manakala sumber kewanan yang tidak halal digunakan untuk kemaslahatan ummah seperti membina sekolah, hospital, jalanraya dan sebagainya.
  • Hukum bagi kakitangan organisasi jabatan agama yang mengambil gaji/upah di dalam menyampaikan ajaran Islam adalah harus dengan syarat kakitangan tersebut perlu melaksanakan tanggungjawab setimpal dengan gaji/upah yang diperolehi.
  • Orang-orang Islam yang mengubah hukum yang terdapat di dalam Al-Quran dan As Sunnah dianggap telah murtad begitu juga orang yang melaksanakan.
  • Bagi Jabatan Agama menggantikan hukuman Jenayah Islam dengan bayaran matawang bukan disebabkan Jabatan Agama tidak mahu melaksanakan hukuman tersebut. Setiap tindakan atau hukuman yang hendak dijatuhkan perlu mengikut undang-undang yang diperuntukkan. Menjadi tanggungjawab pemerintah atasan untuk menggubal semula undang-undang yang sedia ada agar selaras dengan hukum Islam yang sebenar. Dalam hal ini kita patut bersyukur sekurang-kurangnya pemerintah atasan masih memperuntukkan hukuman bagi setiap kesalahan Jenayah Islam yang dilakukan walaupun hukuman yang dikenakan tidak setimpal. Sebagai umat Islam, apa yang boleh kita lakukan hanya berdoa mudah-mudahan dibukakan pintu hati umara' di negara ini agar dapat menerima pemerintah Islam yang sebenar.

5. Hukum kaedah rawatan yang lebih baik dan selamat seperti "epidural".

Soalan : Tuan,

Saya amat musykil tentang amalan "epidural" (iaitu ubat yang di cucuk ke dalam tulang belakang yang akan bertindak sebagai ubat pelali/kebas) bagi perempuan-perempuan yang akan melahirkan bayi. Apakah hukum mengamalkannya jika :-

1. Sengaja memilih "epidural" dan kemudian "induce" bayi keluar tanpa sebarang sebab-sebab tertentu (kesihatan ke atau kemungkinan mendatangkan kemudaratan dan lain-lain)?. Kebanyakan perempuan-perempuan sekarang memilih jalan ini dengan alasan dah tak larat "kandung" cukup 9 bulan 10 hari dan tak nak merasai sakit bersalin.

2. Sengaja memilih "epidural" bila sampai hari/waktu melahirkan tanpa sebarang sebab-sebab tertentu (seperti yang disebutkan diatas)?. Selalunya kerana tak nak merasai sakit bersalin.

Saya bertanya kerana pernah terbaca yang nikmat bersalin (yang sememangnya sakit sejak dulu lagi) bagi seorang perempuan ialah akan terhapuslah dosa-dosa kecil seorang ibu itu dengan setiap kelahiran. Jadi, adakah nikmat itu masih sama dengan mengamalkan ubat moden terkini (seperti "epidural") yang merupakan "kemewahan hidup" kerana mereka-mereka yang mampu membayar upahnya saja akan memilihnya? .

Jawapan :Menggunakan kaedah rawatan yang lebih baik dan selamat seperti "epidural" adalah diharuskan kerana ia adalah salah satu proses pengubatan dan rawatan kepada pesakit selagi tidak bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam serta mendapat nasihat dari doktor. Kebiasaannya pesakit akan penderitaan dengan kesakitan, jiwa dan emosinya tertekan, ini sudah tentu ia mengharapkan layanan dan rawatan yang terbaik serta menaruh keyakinan dan harapan yang tinggi kepada doktor yang mempunyai ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran. Dalam masa yang sama para doktor terus membuat kajian dan penyelidikan untuk mengatasi kesakitan tersebut.

Di zaman kegemilangan Islam dahulu, para cendikiawan dalam bidang ilmu perubatan Islam seperti Al Razi (841-926) Al Zahrawi (931-1013) dan Ibnu Sina (tahun 890-1037) mereka bukan sahaja mahir dalam bidang ilmu perubatan bahkan dalam bidang agama juga mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam.

Mengenai kesakitan ketika bersalin merupakan perkara yang tidak dapat dielakan, maka tidak dinafikan kesakitan itu nikmat yang dapat mengugurkan dosa-dosa kecil sekiranya ia sabar dengan kesakitannya, bahkan lebih dari itu sekiranya meninggal dunia ketika bersalin juga akan ditempatkan dalam syurga, manakala anak pula disuruh taat kepada ibu sebelum kepada bapa sendiri dalam hadis mashur

"Di riwayat dari Abu Hurairah r.a. ia berkata :

Wahai Rasulullah siapakah yang paling berhak aku hormati? Beliau menjawab "Ibumu" ia berkata kemudian siapa? Beliau menjawab "ibumu" is berkata kemudian siapa? Beliau menjawab "ibumu" ia berkata kemudian siapa? Beliau menjawab "kemudian bapamu".

6. Hukum menggunakan set pinggan mangkuk "fine bone china"

Soalan : Assalamualaikum,

Saya baru membeli set pinggan mangkuk 'fine bone china'. Tetapi baru saya ketahui dari khidmat pelanggannya bahawa serbuk tulang atau "bone ashes" digunakan untuk membuatkan pinggan nampak translucent.

Jikalau tulang tersebut dari babi, bolehkah saya menggunakannya?. Jikalau dari binatang lain seperti lembu, kambing yang tidak disembelih, bagaimana pula?. Harap dapat penjelasan yang sewajarnya. Terima kasih.

Jawapan : Waalaikumsalam,

Menggunakan serbuk tulang babi untuk membuat pinggan adalah najis Mughallazah. Haram digunakan pinggan tersebut. Begitu juga tulang binatang lembu, kambing atau binatang halal yang tidak disembelih. Hukumnya najis sama seperti bangkai, kecuali bulu binatang halal yang diambil masa binatang itu masih hidup adalah suci dan boleh dimanfaatkan seperti membuat pakaian.

Kata Imam Nawawi dalam Al Minhaj :

Bererti :

Dan bahagian yang terpisah daripada binatang yang masih hidup hukumnya adalah sama seperti bangkai kecuali bulu binatang halal dimakan. Maka hukumnya bersih.

7. Cara menenangkan jiwa

Soalan : Assalammualaikum Dato',

1. Bagaimana untuk menenangkan jiwa, kadang-kadang rasa marah, gelisah, malas timbul dalam jiwa?. Apakah amalan yang dapat menenangkan jiwa?.

2. Apakah hukum seseorang menghisap kemaluan semasa bersetubuh?.

Jawapan : Waalaikumsalam,

Dicadangkan dengan melazimkan membaca Al-Quran dan berzikir serta beristighfar.

Diharuskan dengan tujuan persetubuhan suami isteri. Tetapi menjadi haram sekiranya memudaratkan kesihatan.

8. Hukum menggunakan pelaris dan ganja dalam kehidupan.

Soalan : Assalamualaikum,

Saya berumur 24 tahun dan sudah berkahwin juga memiliki 2 orang anak perempuan. Saya ada 2 kemusykilan tentang soal jawab mengenai hukum.

1. Minyak Pelaris Suami saya seorang pengusaha dalam perniagaan kontraktor kelas F. Dalam menjalankan urusan perniagaan untuk meraih sebarang tender dari mana-mana jabatan, suami saya telah melakukan pelbagai usaha termasuk membeli minyak pelaris dari seseorang yang dikatakan arif tentang menyediakan minyak pelaris. Walaubagaimana pun saya cuba mendapatkan kepastian tentang hukum bagi memiliki dan mengguna minyak tersebut.

Suami saya menyatakan itu salah satu dari usaha bagi menempah kejayaan. Sama seperti usaha sesetengah pihak berjumpa Dato' Harun Din dengan bertujuan meminta air penawar bagi memulih sebarang penyakit. Bezanya hanyalah "air" dan "minyak".

Cara penggunaan minyak tersebut jelas sekali berlandaskan bacaan selawat dan hanya ayat mudah dari bacaan Al-Quran. Disertakan dengan niat diantaranya seperti ".........tunduklah sekelian makhluk kepada ku ........." (saya kurang jelas tentang niat yang disyaratkan). Kemudian dengan menggunakan jari disapu minyak tersebut dibahagian kening mata dan beberapa lagi tempat yang disyaratkan. Juga terdapat pantang menggunakan minyak tersebut adalah bagi memikat perempuan (dilarang).

2. Apakah hukumnya pula bagi seseorang yang menagih ganja untuk mendapat kekusyukan dalam solat harian?. Penggunaannya terhadap ganja juga membantu untuk mengurangkan emosi seperti panas baran dan sebagainya. Soalan saya ini ditujukan kerana saya pernah berdebat dengan salah seorang penagih ganja yang menanyakan adakah benar dan apa kuasa saya menetapkan hukum haram bagi penggunaan ganja. Kerana dipercayai ganja adalah sejenis dedaunan kering dan sama seperti rokok. Jika ganja jatuh hukum haram maka mungkin sama dengan rokok. Apa beza kedua-dua jenis perkara ini.

Sekian, terima kasih

Jawapan : 

  • Ubat pelaris dikira sebagai tangkal dan boleh terdedah kepada syirik.
  • Hukum ganja dan dadah adalah haram dan menggunakan untuk tujuan solat adalah batal.

9. Apakah hukum menggunakan baki wang kutipan derma yang diberikan oleh orang ramai atau kumpulan-kumpulan tertentu untuk satu majlis yang khusus seperti “Majlis Tahlil dan Doa Arwah” ?.

Soalan : Apakah hukum menggunakan baki wang kutipan derma yang diberikan oleh orang ramai atau kumpulan-kumpulan tertentu untuk satu majlis yang khusus seperti “Majlis Tahlil dan Doa Arwah”?.

Terdapat sesetengah pendapat menyatakan hari tersebut tidak sesuai atau tidak elok dibuat majlis pernikahan. Disini, saya ingin bertanya mengenai kaitan hari-hari dan bulan yang sesuai dalam Islam untuk majlis pernikahan. Adakah ia telah dinyatakan dalam Al-Quran dan adakah tarikh diatas sesuai untuk majlis pernikahan kami?.

Besarlah harapan saya sekiranya tuan sudi menghurai permasalahan ini.

Jawapan :Apabila suatu kutipan derma itu dipohonkan daripada orang ramai atau kumpulan-kumpulan tertentu bagi tujuan mengadakan satu majlis yang khusus, maka penganjur hendaklah membelanjakan wang kutipan derma itu bagi tujuan yang berkenaan dengan majlis itu sahaja, tidak bagi perkara yang lain.

Sekiranya pihak penganjur hendak menggunakan lebihan wang derma tersebut untuk perkara lain maka disyaratkan agar mendapat keizinan terlebih dahulu daripada penderma.

Walaubagaimanapun, lebihan wang derma tersebut bolehlah disimpan untuk dibawa ke majlis yang sama pada bila-bila masa.

10. Adakah benar pendapat yang mengatakan bahawa ibu bapa akan masuk syurga sekiranya terdapat tiga orang anaknya mati semasa kecil?

Soalan : Adakah benar pendapat yang mengatakan bahawa ibu bapa akan masuk syurga sekiranya terdapat tiga orang anaknya mati semasa kecil?

Jawapan : Mana-mana pandangan atau pendapat yang sejajar dengan Islam serta mempunyai bukti atau keterangan, maka pendapat itu adalah betul lagi diterima. Begitulah juga dalam masalah ini, kerana berdasarkan kepada keterangan sebuah hadis ‘Anas yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari di mana baginda Rasulullah S.A.W. pernah bersabda :

Maksudnya : “Tidak ada manusia di kalangan muslim yang kematian tiga anak kecil yang belum sampai had baligh, melainkan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga dengan limpah kurnia dan rahmat kepada mereka”. (Riwayat Bukhari)

Dalam hadis tersebut, amat jelas di mana ibu bapa yang kematian tiga orang anak di masa kecilnya akan dimasukkan ke dalam syurga dengan syarat mereka menerima qada’ Allah dengan penuh kerelaan dan kesabaran.

Selain dari itu, hadis tersebut juga menjadi dalil yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mati sebelum baligh adalah merupakan ahli syurga dan termasuk juga kanak-kanak orang kafir. Begitulah menurut pendapat Imam Nawawi dan disokong oleh ulama’ yang lain.

11. Apakah hukumnya kita melafaz kan "may her/his soul rest in peace" sebagai doa kepada roh orang kafir yg telah mati?. Begitu juga dengan "God Bless You"?.

Soalan :

i. Apakah hukumnya kita melafazkan "may her/his soul rest in peace" sebagai doa kepada roh org kafir yg telah mati ? Begitu juga dgn "God Bless You"?

ii. Bagaimanakah "milestone" pendidikan bagi membolehkan seseorang anak itu menjadi ulama'? Apakah saranan sekolah-sekolah yang perlu dihantar anak-anak kita bagi menjadikan beliau seorang alim ulama' ?.

iii. Bagaimanakah cara terbaik untuk membersihkan riba' (interest) dari pinjaman perumahan ketas rumah kediaman yang sedang diduduki ?.

iv. Apakah ada perbuatan haram didalam ibadah sunat?. Sebagai contoh: Ada yg mengatakan tidak boleh memberi makan daging qorban kepada haiwan lain, Apakah pegangan atau pandangan hukum?

Jawapan :

  • Haram mendoakan orang kafir yang mati.
  • Masukkan anak ke Sekolah Agama. Didiknya agar suka beribadah dan berakhlak mulia. Ibubapa perlu menunjukkan model baik kepada anak. Pastikan kawannya orang baik. (Sekolah yang mempunyai prasarana baik, guru-guru dedikasi dan berwawasan).
  • Meminjam ke Institusi Islam seperti Bank Islam, Bank Muamalat dan Perbankan Islam.
  • Tidak jadi kesalahan kiranya sisa-sisa makanan daging korban diberikankepada binatang. Sekiranya kita diberi daging korban yang lebih, elok kita berikan kepada orang lain yang memerlukan, bukan kepada binatang.

12. Saya ingin bertanya bolehkan saya menjadi agen Public Mutual seperti di Public Bank atau di Southern bank.

Soalan : Assalamualaikum..

Saya ingin bertanya bolehkan saya menjadi Agen Perancang Kewangan "Public Mutual" seperti di Public Bank atau di Southern bank dimana pendapatan adalah melalui komisyen melalui pelabur (seperti menjual insuran).

Jawapan : Bertugas sebagai pekerja atau agen di Institusi kewangan tidak salah atau harus. Kecuali bank yang masih mengamalkan riba, pendapatan yang kita perolehi darinya adalah hasil riba, maka hukumnya haram memakan hasilnya. Kalau "Public Mutual" seperti Public Bank dan Southern Bank tidak terlibat dengan riba boleh tuan menjadi agen disitu.

13. Apakah hukum memakan makanan yang dibawa pulang tanpa diketahui oleh majikan.

Soalan : Assalamualaikum,

Suami saya bekerja di sebuah kedai membuat kek dan roti. Dia selalu membawa pulang roti dan kek tersebut ke rumah tanpa apa-apa bayaran dan tanpa diketahui majikannya. Jika diikutkan memang majikannya tidak membenarkan kecuali makan di kedai tersebut saja. Sebenarnya roti atau kek tersebut akan dibuang beberapa hari dan jumlah yang dibuang agak banyak dalam satu-satu masa. Apakah hukum kepada kami sekeluarga yang memakannya?.

Jawapan : Waalaikumsalam, Pembaziran dari sudut pandangan Islam adalah sesuaru yang tidak wajar berlaku. Dalam hal ini, suami puan mengambil langkah mengagih-agihkan makanan / roti kepada orang lain (keluarga) bagi tujuan mengelakkan daripada pembaziran tersebut.

Namun jika sudah peraturan dan prosedur kedai tersebut begitu, sebagai langkah yang terbaik, suami puan lebih wajar akur pada peraturan, memandangkan roti, kek atau barang yang dibazirkan itu bukanlah haknya. Biarlah setiap makanan dan rezeki yang dibawa untuk keluarga kita itu benar-benar hak kita. Bagi menjamin kebersihan hati, taqwa dan membentuk keperibadian yang mulia.

14. Apakah hukum nenek menyusukan cucunya dan meletak kapok (baru penghadang) pada kubur.

Soalan : Assalamualaikum..

Apakah hukum :

1. Nenek menyusukan cucunya.

2. Meletak kapok (baru penghadang) pada kubur.

Jawapan :

  • Nenek boleh menyusukan cucunya.
  • 2. Boleh meletakkan kapok pada kubur asalkan tidak bersifat kekal dan tidak menghalang / menganggu laluan dan kubur yang berhampiran.

15. Persoalan mengenai pinggan mangkuk yang digunakan ke kedai yang menjual daging khinzir.

Soalan : Assalamualaikum.

Kepada pihak yang berkenaan, saya ingin mengajukan beberapa persoalan yang saya kira perlu diberi perhatian hukumnya. Diantara persoalan itu ialah :-

Ibu saya merupakan seorang peniaga makanan yang berniaga berhampiran dengan peniaga makanan bukan Islam (makanan tidak halal) tetapi gerai ibu saya dipisah-kan dengan penghadang papan kayu untuk memisahkan gerai bukan Islam dan Islam yang diletakkan dibawah seliaan sebuah majlis perbandaran.

Persoalannya, adakala pembeli bukan Islam membeli makanan dari kedai ibu saya dan makan dikedai peniaga bukan Islam bersama rakannya yang lain dengan menggunakan pinggan, gelas minuman, sudu serta garfu dari kedai ibu saya?.

Apa yang diwas-waskan ialah perlukah saya menyamak semula kesemua peralatan diatas kerana ia dibawa kemeja peniaga bukan Islam yang sememangnya terang-terangan menjual makanan tidak halal seperti daging khinzir dan adakala pembeli bukan Islam tersebut makan makanan yang dibeli dari kedai ibu saya dengan menggunakan pinggan dari kedai ibu saya dan minum menggunakan gelas dari peniaga bukan Islam dan begitu juga sebaliknya?.

Saya sering merasa khuatir kerana sudah tentu pengguna bukan Iislam yang makan dikedai tersebut pernah menggunakan gelas atau pinggan tersebut dan makan bersama-sama makanan yang tidak halal seperti yang telah saya sebutkan tadi.

Jawapan : Peralatan makanan seperti pinggan, garfu, sudu yag diyakini digunakan untuk makanan haram seperti daging babi perlu disamak dengan menggunakan tanah. Manakala bekas yang digunakan untuk minuman seperi arak tidak perlu disamak.

16. Bolehkah saya tahu bagaimana cara menanam uri yang betul mengikut Islam?.

Soalan : Assalamualaikum Dato',

Bolehkah saya tahu bagaimana cara menanam uri yang betul mengikut Islam. Saya telah cuba mencari maklumat tersebut di internet tetapi gagal. Apakah adab-adab dan doa-doa supaya tak salah?. Ini adalah kerana terdapat sesetangah pandangan orang ramai yang mengatakan tanam uri ada doa tertentu, perlu diletakkan pensil, lampu dan lain-lain lagi. Adakah amalan ini salah?. Diharap Dato' dapat menjawap kemuskilan saya ini.

Jawapan : Islam menghormati setiap kelahiran manusia samaada hidup atau mati. Penanaman uri bayi adalah harus dan perlu di tanam di tempat yang selamat.

17. Saya ingin bertanya tentang hukum memakan makanan yang menggunakan baja daripada najis.

Soalan : Assalamualaikum,

Saya ingin bertanya tentang hukum memakan makanan yang menggunakan baja daripada najis. Baru-baru ini heboh dikatakan bahawa air kencing telah digunakan sebagai baja untuk sayur taugeh. Bolehkan kita memakan sayur taugeh tersebut?.

Jawapan : Walaikumsalam,

Sayuran yang subur hasil dari baja yang najis harus dimakan, kecuali yang ada najis terlekat pada daun atau batangnya yang hendak di makan, maka memakannya adalah haram kerana memakan najis adalah haram.

Sayur yang kena najis hendaklah dibasuh sehingga bersih. Kalau najis mughallazah hendaklah dibasuh 7 kali termasuk kali pertama dengan air tanah. Sayur yang bersih boleh di makan.

18. Saya membuat kerja kontrak secara sambilan "part time" berkongsi dengan rakan ada yang bukan Islam. Masalahnya ada diantara mereka mengunakan peralatan pejabat. Saya membuat kerja-kerja tersebut di luar waktu pejabat "office hour". Apakah hukum bahagian pendapatan saya?. Apakah perlu saya lakuakan jika duit itu tidak halal?.

Soalan : Saya membuat kerja kontrak secara sambilan "part time" berkongsi dengan rakan ada yang bukan Islam. Masalahnya ada diantara mereka mengunakan peralatan pejabat. Saya membuat kerja-kerja tersebut di luar waktu pejabat "office hour". Apakah hukum bahagian pendapatan saya?. Apakah perlu saya lakuakan jika duit itu tidak halal?.

Jawapan : Bekerja sambilan "part time" di luar masa pejabat, tidak menjadi kesalahan dalam Islam. Kecuali dengan kerja-kerja sambilan itu menyebabkan tenaga untuk bekerja pejabat terjejas seperti produknya berkurang dan sebagainya.

Peralatan pejabat tidak boleh digunakan untuk kepentingan sendiri, seperti penggunaan kertas, alat tulis dan lainnya. Ia boleh diertikan sebagai tidak amanah dan salah guna kuasa.

Pendapatan daripada kerja sambilan, dengan menggunakan peralatan perjabat adalah tidak bersih / haram. Eloklah diberhentikan perbuatan itu. Peralatan pejabat yang telah digunakan hendaklah diganti.

19. Saya ingin pandangan mengenai hukum bermain anak patung bagi orang dewasa.

Soalan : Assalamualaikum w.b.t.,

Saya ingin pandangan S.S. Dato' Mufti atau bahagian yang berkaitan mengenai hukum bermain anak patung bagi orang dewasa.

Saya ingin fokus jawapan kepada soalan saya berkaitan orang dewasa yang membeli, menyimpan atau sebagainya terhadap permainan berbentuk patung atau robot (disertakan gambar) kerana watak-watak berkenaan dalam siri kartun menjadi kegemaran orang dewasa juga.

Jawapan : Walaikumsalam,

Membeli patung untuk permainan bagi kanak-kanak adalah diharuskan, terutamanya kanak-kanak perempuan. Membeli patung untuk perhiasan atau permainan orang dewasa adalah haram. Patung yang dimaksudkan ialah patung bernyawa seperti wajah manusia atau binatang. Pembelian gambar foto, ada ulama' menghukumkan harus kerana ia merupakan bayang-bayang sahaja.

20. Saya berminat untuk tahu hukum-hukum berkaitan pengurusan masjid. Terutamanya berkaitan dengan pengutipan duit dari orang ramai.

Soalan : Assalamualaikum;

Saya berminat untuk mengetahui hukum-hukum berkaitan pengurusan masjid. Terutamanya berkaitan dengan pengutipan duit dari orang ramai. Seperti tempat letak kereta bayaran, penggunaan tandas dan seumpamanya. Pekara seumpama ini tidaklah dikatakan keterlaluan, namun demikian ia memberi gambaran yang buruk tentang masjid kepada orang bukan Islam. Mereka memandang Islam sebagai agama yang mementingkan meterial.

Tindakkan seumpama ini saya pandang sebagai memburukkan nama Islam. Tetapi tuduhan melulu tanpa pengetahuan mendalam mengenainya adalah tidak selari dengan cara Islam. Saya benar-benar agar pihak tuan dapat memberikan sedikit ilmu kepada saya yang kurang berilmu ini untuk menepis tomahan orang bukan islam berkitan isu seumpama ini.

Segala maklum balas pihak tuan amat saya hargai.

Jawapan : Walaikumsalam,

Tugas Nazir dan AJK atau Pengerusi Masjid bertanggungjawab menjaga harta masjid dan kesuciannya. Mereka juga bertanggungjawab mencari sumber kewangan untuk urusan masjid tersebut. Sebarang aktiviti yang dijalankan termasuk mencari kewangan, eloklah dirundingkan dalam Mesyuarat Pengurusan Masjid. Kutipan bayaran letak lereta, perkhidmatan tandas tidak menjadi kesalahan jika dilakukan untuk kepentingan pengurusan, seperti bayaran pekerja dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, hendaklah di maklumkan kepada Jemaah. Jika ada sumber lain, saya berpendapat bayaran letak kereta dan perkhidmatan tandas tidak wajar dilaksanakan, kerana ditakuti mengurangkan jemaah yang hadir.

21. Bolehkah saya membunuh seekor tikus yang ditangkap menggunakan jerat dengan cara merendamkan tikus tersebut di dalam air?.

Soalan : Bolehkah saya membunuh seekor tikus yang ditangkap menggunakan jerat dengan cara merendamkan tikus tersebut di dalam air?.

Jawapan : Boleh membunuh tikus yang ditangkap menggunakan jerat tanpa menyeksa tikus tersebut iaitu bunuh secara terus. Adapun merendam tikus di dalam air dikira menyeksa tikus tersebut kerana ia tidak akan membunuh secara terus.

22. Apakah hukum seseorang itu membuang tahi lalat di wajahnya, sedangkan tahi lalat tersebut tidak memberi sebarang gangguan kepadanya dan juga tidak membawa sebarang penyakit?.

Soalan : Assalamualaikum ustaz,

Apakah hukum seseorang itu membuang tahi lalat di wajahnya, sedangkan tahi lalat tersebut tidak memberi sebarang gangguan kepadanya dan juga tidak membawa sebarang penyakit?. Maklumlah sekarang zaman dah moden dan canggih. Banyak teknologi boleh digunakan untuk mencantikkan wajah. Harap ustaz dapat memberi jawapan kepada keraguan saya ini.

Jawapan : Waalaikumsalam

Seseorang itu tidak harus membuang tahi lalat di wajahnya sekiranya ia tidak mendatangkan kemudharatan. Sewajarnya tahi lalat ini dikekalkan kerana ia adalah nikmat dari Allah.

23. Saya ada berhutang membeli perabot dengan seorang pemilik kedai berbangsa cina lebih kurang 20 tahun yang lalu. Masalah saya ialah saya sudah tidak dapat mengubungi pemilik kedai tersebut dan kedai beliau juga sudah tiada lagi.

Soalan : Assalamu'alaikum w.r.t w.b.t.

Yang Di Muliakan Tuan Haji, Saya ingin membuat rujukan. Saya ada berhutang membeli perabot dengan seorang pemilik kedai lebih kurang 20 tahun yang lalu. Saya berhutang sebanyak RM500.00 dan ingin membayarnya semula.

Masalahnya ialah saya sudah tidak dapat mengubungi pemilik kedai tersebut dan kedai beliau juga sudah tidak ada lagi. Ibarat kata memang langsung tidak dapat menghubungi pemilik kedai tersebut.

Apakah yang perlu saya buat dengan duit tersebut dan bolehkah ianya disalurkan ke mana-mana? Harap dapat diberikan penjelasan.

Jawapan : Waalaikumsalam,

  • Saudara perlu mencari pemilik kedai tersebut dan membayar hutang kepadanya. Bayar wajib.
  • Sekiranya belum jumpa, saudara boleh berniat akan membayar hutang tersebut apabila diketahui tempatnya.
  • Wang tersebut tidak boleh disalurkan kepada tabung lain. Kalau sudah disalurkan kepada tabung lain, tiba-tiba datang piutang menuntut, wajib anda membayarnya juga.

24. Apakah hukumnya meletakkan patung itik di luar dan di dalam rumah hanya untuk hiasan sahaja?

Soalan : Assalammualaikum....

Apakah hukumnya, sekiranya kita meletakkan patung itik di luar dan didalam rumah hanya untuk hiasan sahaja? Adakah ia haram dari segi agama?

Apakah hukumnya sekiranya kita mengantung gambar keluarga hanya untuk hiasan?

Jawapan : Waalaikumsalam,

  • Meletakkan patung untuk hiasan, hukumnya haram, kecuali anak patung mainan kanak-kanak di haruskan.
  • Menggantung gambar keluarga, diharuskan kerana ia berupa bayangan sahaja.

25. Saya ingin bertanya tentang lambang HALAL yang tidak seperti di keluarkan oleh JAKIM. Adakah boleh digunakan ataupun tidak?

Soalan :

1. Saya ingin bertanya tentang lambang HALAL. Lambang HALAL yang tidak seperti dikeluarkan oleh JAKIM adalah sah atau tidak, maksud saya, boleh digunakan atau tidak?

2. Bolehkah saya menggunakan pewarna rambut (dye) yang membawa tanda HALAL?

Jawapan :

  • Lambang HALAL yang tidak sama dengan yang dikeluarkan oleh JAKIM adalah sijil palsu, tidak sah. Sila laporkan kepada JAKIM atau JAIS jika berlaku.
  • Perwarna rambut yang bertanda HALAL, bermaksud ianya tidak najis, bahkan HALAL sebagai makanan.
  • penggunaan perwarna rambut dengan tujuan untuk menunjukkkan kecantikan kepada orang ramai, adalah haram, walaupun ia bertanda HALAL.

26. Hukum jika lelaki mencukur bulu halus di muka.

Soalan : Apakah hukum jika lelaki mencukur bulu halus di muka iaitu selain bulu kening, rambut dan misai.?

Jawapan : Jika sekiranya bulu halus itu mengaibkan harus mencukurnya.

27. Pengurusan menanam uri mengikut syariat Islam.

Soalan : Saya ingin mengajukan soalan tentang pengurusan menanam uri mengikut syariat Islam. Adakah boleh uri yang telah siap di cuci dengan bersihnya dan kemudian hendak ditanam tetapi mereka meletakkan pensel dan kertas bersama uri tersebut?Apakah hukum dalam Islam jika melakukan perkara tersebut.?

Jawapan : Berkenaan dengan soalan yang diajukan iaitu tentang menanam uri adalah tidak disyariatkan dalam Islam. Malah tidak ada nas daripada al-Quran dan as-Sunnah berkenaan menanam uri. Adapun perbuatan orang dahulu itu adalah sekadar adat sahaja. Tetapi mempunyai unsur-unsur syirik apabila mempercayai perbuatan-perbuatan yang boleh membawa kepada tuah @ malang. Contohnya seperti yang telah dinyatakan oleh tuan. Maka mestilah kita sebagai orang yang beriman kepada Allah s.w.t menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan kepercayaan kita terhadap Allah s.w.t. adapun menanam uri besertakan dengan barang-barang kemudian kita mempercayai boleh itu dan ini maka ia adalah perbuatan khurafat dan boleh berlaku syirik kepada Allah s.w.t.

end faq