Webmail

Waktu solat
  • Imsak 05:38
  • Subuh 05:48
  • Syuruk 07:05
  • Zohor 13:14
  • Asar 16:29
  • Maghrib 19:20
  • Isyak 20:31

carian1akses

A- A A+
Arial | PT Sans | Century

Sosial / Syariah

1. Memasang kaset bacaan Al-Quran sebelum azan solat.

Soalan : Assalamualaikum,

Ini ada susulan dari beberapa email yang saya hantar sebelum ini mengenai perkara yang sama. Nampaknya, semua pihak takut untuk menerima cadangan ini dan membuat perubahan. kebanyakkan lebih suka berdiam diri dan membiarkan perkara baru ini berleluasa.

Ini adalah satu perkara yang mudah untuk diberhentikan. Saya yakin semua saudara-saudara berilmu tinggi. Mungkin, dengan ilmu sahaja tidak cukup untuk tunduk dan taat kepada Syariat Allah, Sunnah Nabi S.A.W dan pendapat umum.

Tolonglah. Bagi pihak AJK Masjid dimana-mana, terimalah hakikat sebenarnya. Hakikatnya ialah jika kita buat sesuatu perkara mengikut nafsu, adat dan pendapat masing-masing, kita tidak akan berjaya walaupun nampak macam betul dan berjaya. Yakinlah.

Sekali lagi, saya minta salah seorang dari saudara-saudara semua bangun dan betulkan keadaan. Sukakan Allah. Sukakan Nabi S.A.W. Sukakan ummat Nabi S.A.W yang ingin supaya agama ini tidak menjadi fitnah. Tekan nafsu. Itu saja. Mudah. Jangan takut pada cemuhan. Bagi orang yang lebih teliti, mereka boleh jumpa dan kemukakan lebih dari 11 alasan yang saya beri. Apa jua, yang penting ialah, kita cuba lihat dua alasan yang dia atas itu. Ianya bukan Syariat Allah dan bukan Sunnah Nabi S.A.W. janganlah hendaknya kita lawan Allah dan Rasul.Tolonglah.

Jawapan :

  • Memasang kaset bacaan al-Quran sebelum azan solat ialah sebagai persiapan awal kepada orang ramai (jamaah) sebelum azan solat.
  • Menyiarkan ceramah diluar masjid atau surau adalah digalakkan. Semoga penduduk yang tidak dapat pergi, dapat mengikuti bersama pengajian di tempat tersebut.

2. Hukum bagi seseorang yang memberi salam kepada seseorang yang berada di dalam tandas dan hukum menjawab salamnya.

Soalan : Apakah hukum bagi seseorang yang memberi salam kepada seseorang yang berada di dalam tandas dan hukum jawab salamnya sekali?.

Jawapan :

  • Makhruh memberi salam kepada orang yang berada di dalam tandas kerana salam merupakan satu dari nama Allah (Asma'ul Husna).
  • Tidak perlu menjawab salam ketika di dalam tandas.

3. Pandangan Islam terhadap isu uthanasia.

Soalan : Secara harfiah "uthanasia" bermaksud baik iaitu "mati secara senang dan mudah tanpa mengalami penderitaan". Manakala dari sudut pandangan perubatan ialah perilaku sengaja dan sedar mengakhiri hayat seseorang secara lebih cepat demi membebaskannya dari penderitaan akibat penyakitnya.

Apakah pandangan Islam terhadap isu uthanasia yang sering dilakukkan di hospital-hospital di Malaysia terhadap pesakt-pesakit yang menderita sesuatu penyakit yang belum diterima penawarnya seperti HIV dan kanser-kanser yang kronik. Adakah "uthanasia" boleh dilakukan oleh dalam Islam?.

Jawapan : Dari segi syariah, perbuatan tersebut adalah haram. Oleh itu, tidak boleh dilakukan.

4. Hukum membuat tatu adalah disisi syara'.

Soalan : Saya berkawan dengan seorang perempuan bukan beragama Islam dan badannya ada tatu. Jika dia ingin memeluk agama Islam, apakah yang dia harus buat dengan tatu dibadannya itu ?.

Jawapan : Hukum membuat tatu adalah haram disisi syara'. Dalam hal ini, bagi non-muslim yang hendak memeluk Islam hendaklah ia menghilangkan tatu yang ada pada anggota badannya. Sekiranya tatu tersebut merupakan tatu yang berbentuk kekal yang mustahil untuk dihilangkan maka tidaklah ia dikira berdosa. Diatas perbuatan-nya yang telah lalu itu, hendaklah ia bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah S.W.T.

5. Bersumpah dengan lafaz: "Saya bersumpah dengan nama Allah".

Soalan : Assalamualikum..

Saya ingin tahu, sekiranya kita bersumpah dengan lafaz:

"Saya bersumpah dengan nama Allah, saya tidak akan telefon kamu selepas ini sampai bila-bila"

Sumpah tersebut dilafazkan dengan mulut dan bukan dengan cara SMS. Jadi disini, apakah hukum sekiranya pada hari kemudiannya kita menghubunginya kembali? Sekiranya dihubungi, dia pasti akan menganggap kita bermain-main dengan sumpah. Sekian, terima kasih.

Jawapan : Perkara tersebut tidak termasuk sumpah tetapi di larang kerana perkataan tersebut boleh memutuskan silaturahim

6. Fatwa berkenaan rokok.

Soalan : Assalamualaikum,

Saya mencadangkan Jabatan Mufti Negeri Selangor meminta semua Masjid di Negeri Selangor mempamerkan FATWA MENGENAI MEROKOK di Papan Kenyataan Masjid.

Perbincangan saya dengan Tuan Haji Mohd Basori hari ini adalah berkait. Adalah diharapkan FATWA yang telah diwartakan wajar disampaikan kepada semua masyarakat Islam khususnya di Negeri Selangor. Salah satu hebahan adalah melalui MASJID. Semoga kita di Negeri Selangor dapat memanfaatkan Fatwa-Fatwa yang dikeluarkan.

Jawapan : Fatwa mengenai rokok telah dikeluarkan. Kepada umat Islam yang mempunyai kemudahan, boleh mencetak dari laman web Jabatan Mufti Negeri Selangor fatwa-fatwa yang dikeluarkan untuk disebarkan.

7. Menggugurkan kandungan itu atas sebab kesihatan

Soalan : Assalamualaikum.. Saya daripada Kota Kinabalu.

Isteri saya baru saja melahirkan anak 10 bulan lepas melalui pembedahan dan pada 2.12.05 kami telah mengetahui isteri saya telah mengandung lagi (sudah 2 bulan). Menurut isteri saya dia sering mengalami sakit-sakit pada bahagian perut dan masih belum bersedia untuk mengandung lagi.

Kemusykilan saya ialah adakah kami boleh menggugurkan kandungan itu atas sebab kesihatan isteri saya?.

Segala jawapan daripada saudara/i amat diucapkan terima kasih.

Jawapan : Hukum menggugurkan anak : Haram, kecuali dengan sebab-sebab berikut :

  • 1. Dr. Pakar beragama Islam, mengesahkan bahawa ibu yang mengandung ini akan menghadapimasalah dari segi keselamatan dirinya, sekiranya ia terus mengandung.
  • 2. Janin dalam kandungan itu akan menghadapi kecacatan apabila lahir. Kecacatan yang menyulitkan ibubapanya.
  • 3. Pengguguran itu tidak membahayakan ibu tersebut.

8. Minyak wangi yang mengandungi alkohol. Masakan yang dicampur dengan sedikit alkohol. Permasalahan berkenaan air mazi.

Soalan : Assalamualaikum

Saya ada kemusykilan di sini. Kalau saya minta ustaz balas di mel ini juga supaya senang saya faham.

1. Berkenaan alkohol. Saya akan memakai pewangi "perfume" ke pejabat pada waktu pagi. Saya tidak pasti sama ada mengandungi alkohol atau tidak, tetapi kebanyakan "perfume" mengandungi alkohol buah-buahan. Jika ia mengandungi alkohol, bagaimana solat saya selama ini?. Saya mendapat tahu jika kandungan berasaskan buah-buahan tidak mengapa.

2. Apabila bermusafir ke luar negara atas tujuan tertentu, saya cuba mencari makanan halal. Paling tidak pun akan makan sayur dan ikan. Tetapi jika di masak menggunakan alkohol, apakah halal?. Saya mendapat tahu, bila alkohol yang dicampur dalam masakan tidak mendatangkan kesan memabukkkan dan ia di halalkan. Benarkah begitu?.

3. Berkenaan mazi. Jika saya tahu terdapat sedikit kesan mazi pada seluar saya, kemudian apabila kering saya hanya menukar seluar dan tidak mencuci kemaluan saya untuk solat. Kadangkala saya terlupa. Bagaimana hukumnya?

Terima kasih di atas pertolongan ustaz menyelesaikan kemusykilan saya.

Jawapan : 

  • 1. Menggunakan minyak wangi yang mengandungi alkohol adalah harus dan dimaafkan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak. Hukumnya adalah sah kerana alkohol tersebut tidak dianggap sebagai najis.
  • 2. Hukum memakan masakan yang dicampur dengan sedikit alkohol adalah haram walaupun ia tidak memabukkan. Ini kerana pada kebiasaannya alkohol yang dicampur ke dalam masakan tersebut adalah arak yang bertujuan untuk me-lazatkan makanan tersebut bukan untuk tujuan tertentu.
  • 3. Mazi adalah tergolong dalam najis mutawasithoh dan wajib dibersihkan sebelum solat samada ia terkena pada tubuh badan, pakaian dan tempat bersolat. Dalam hal ini menukar pakaian adalah lebih baik. Sekiranya tidak dapat berbuat demikian, memadai dengan membersihkan najis tersebut sehingga hilang bau, warna dan rasa. Alat kemaluan juga wajib dicuci sehingga di yakini bersih.

9. Hukum mengasah gigi.

Soalan : Assalamualaikum.

Gigi depan saya menjadi miring semenjak tumbuhnya "wisdom tooth" beberapa tahun dahulu. Sekarang gigi depan sebelah bawah juga sudah menunjukkan ciri-ciri yang sama.

Cara yang baik untuk pembetulannya mengikut doktor gigi saya ialah menggunakan "braces" selama setahun atau lebih.

Cara mudah dan cepat ialah dengan mengasah gigi dan memasang "crown". Cara ini juga lebih murah. Betulkah mengasah gigi hukumnya dilaknati Allah? Saya tidak mengubah kejadian, tetapi hanya ingin membetulkan dan mencantikkan. Saya rasa suami saya tidak akan begitu senang jika saya menggunakan "braces".

Terima kasih.

Jawapan : Hukum mengasah gigi adalah harus dengan tujuan untuk memelihara makhraj huruf dan sebutan di dalam solat dan ketika membaca Al-Quran.

10.Hukum lelaki memakai golf bermagnetic.

Soalan : Apa hukumnya seorang lelaki memakai golf bermagnetic untuk tujuan perubatan?.

Jawapan :  Dibolehkan memakai gelang golf bermagnetik bagi tujuan perubatan sekiranya tidak menyalahi syara' dan ada pengesahan dari pakar perubatan.

11.Cara mengubah penyakit suka kepada kaum sejenis

Soalan : A'kum Ustaz/Ustazah,

Saya ingin bertanya jika ustaz/ustazah tahu bagaimana ingin mengubat penyakit suka pada kaum sejenis (homosexuality). Saya sudah pun berumur 26 tahun. Seperti kekawan lain saya ingin berumah tangga. Saya rasa begitu tertekan dan tidak faham mengapa saya ditakdirkan begini.

Untuk pengetahuan Ustaz/Ustazah, pendidikan agama saya alhamdulillah cukup (Agama saya SPM A1) dan saya tahu mengenai kisah nabi luth dan larangan tuhan. Sebab itu saya tidak melakukan perbuatan terkutuk seperti seks rambang/seks sejenis dan sebagainya. Saya rasa hidup saya begitu kosong, jiwa tidak tenang dan setiap hari saya sering termenung mengenangkan mengenangkan nasib saya ini. Saya bukannya seorang yang lembut ataupun pondan, saya seorang lelaki normal. Namun saya tidak memahami mengapi saya mempunyai nafsu terhadap kaum sejenis. Saya pernah cuba keluar dengan seorang wanita tetapi hati saya rasa tidak mempunyai perasaan terhadap wanita tesebut.

Ustaz/ Ustazah, saya telah cuba sedaya upaya. Saya sangat sedih. Melalui research saya diinternet saya dipahamkan agama kistian boleh menyembuhkan penyakit homoseksual. Cuba ustaz/ustazah pergi ke yahoo ataupun google dan type 'cure for homosexuality'.. Disitu ustaz/ustazah dapat melihat dakyah/article mengenai 'christian has the cure for homosexuality'.

Tapi saya meraguinya kerana keyakinan saya terhadap agama Islam masih utuh. Saya mencintai agama Islam. Saya telah pergi menziarahi Baitullah 3 kali dan berdoa pada tuhan agar nafsu syahwat homoseksual saya dihapuskan namun sehingga kini saya masih menanti saat doa saya dikabulkan. Saya tidak pernah berputus asa berdoa pada tuhan setiap kali menunaikan solat. Kadang kala saya rasa berputus asa dan sedih mengenangkan nasib saya. Kebanyakan kekawan saya sudahpun mendirikan rumah tangga dan mempunyai cahaya mata.

Saya ingin meminta jasa baik ustaz/ustazah sekiranya ustaz/ustazah tahu cara-cara untuk menghilangkan/mengubati penyakit ganjil saya ini. Adakah di dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat yang dapat diamalkan?

Dapatkah ustaz/ustazah membantu saya atau merujukkan saya pada kiyai atau seseorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi yang dapat membantu masalah saya. Adakah mungkin saya ini terkena sihir? Tolonglah ustaz/ustazah, saya rasa hidup ini sudah tidak bermakna lagi. Bantulah saya ustaz/ustazah, hidup saya begitu tertekan. Saya berharap ustaz/ustazah dapat membalas email saya ini.

Tolonglah saya ini...

Jawapan : 

  • Penyakit suka kepada kaum sejenis boleh diubah dengan cara berikut :-
    • i. Amalankan puasa sunat Isnin dan Khamis
    • ii. Buat solat hajat mohon doa kepada Allah S.W.T.
    • iii. Jangan tinggal solat fadhu.
    • iv. Menyertai aktiviti persatuan dan masyarakat dengan aktif.
    • v. Meningkatkan kefahaman tentang agama Islam.
  • Dakwaan agama Kristian boleh sembuhkan penyakit homoseksual adalah dusta. Tidak kurang paderi Kristian terlibat dengan zina dan liwat.

12. Hukum anak angkat yang menyusu badan kepada adik perempuan suami Hukum air sembahyang suami jika bersentuh dengan anak angkat yang manyusu dengan adik suami.

Soalan : Salam hormat buat tuan/puan,

engan penuh harapan saya ingin mendapat jawapan yang sah berserta dengan dalilnya atau hadisnya sekali berkaitan dengan masalah saya ini :-

1. Sebulan yang lalu saya telah mengambil anak angkat perempuan (baby yang baru lahir), Saya difahamkan tidak batal air sembahyang antara anak angkat dengan suami saya sekiranya anak itu disusukan oleh adik perempuan suami saya, iaitu sekurang-kurangnya 3 kali kenyang atau 5 kali kenyang.

. Saya juga difahamkan jika saya sendiri yang menyusukan anak itu dia juga sah dengan suami saya nanti. (jika saya mengambil hormon untuk susu badan) Untuk pengetahuan tuan/puan saya tidak dapat melahirkan zuriat sendiri. Oleh kerana inginkan zuriat kami buat keputusan untuk mengambil anak angkat. Saya amat berharap jawapan yang jelas dari pihak tuan, kerana mak mertua saya kata perkara ini salah disisi agama, jadi saya perlukan bukti yang kukuh untuk menjelaskan sebaik-baiknya, agar perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Terutamanya perkara yang no. 1.

Sekian terima kasih,

wassalam

Jawapan : 

  • 1. Hukum anak angkat yang menyusu badan kepada adik perempuan suami adalah harus dan adik perempuan suami itu dinamakan ibu susu.
  • 2. Air sembahyang suami tidak batal jika bersentuh dengan anak angkat yang manyusu dengan adik suami.
  • 3. Diharuskan seseorang wanita mengambil hormon bagi mengeluarkan air susu dengan tujuan menyusukan anak angkat supaya tidak batal wuduk jika bersentuhan setelah anak angkat itu meningkat remaja/dewasa.
  • 4. Tidak boleh / haram membinkan anak angkat kepada bapa angkatnya.

13.Maklumat mengenai golongan orang yang termasuk dalam kategori fakir miskin.

Soalan : Mohon pihak tuan dapat memberikan maklumat mengenai golongan orang yang termasuk dalam kategori fakir miskin.

Jawapan :  Imam Syafi'e menyatakan:

Fakir ialah mereka yang tidak memiliki harta dan tiada kerja yang halal atau mempunyai harta dan pekerjaan yang halal tetapi tidak mencukupi kerana ianya sedikit daripada setengah keperluan dan tidak ada orang yang memberinya nafkah yang secukupnya. Mereka beroleh pendapatan kurang dari keperluan. Contoh : kalau keperluan sehari RM 10.00 dan dia hanya dapat RM 5 - RM 9.90.

Miskin pula ialah mereka yang mempunyai harta atau kerjaya halal yang hanya memenuhi setengahkeperluan hidup atau lebih daripada sebahagian setengah (tetapi masih belum memenuhi keperluan penuh). Contoh : kalau keperluan seharai RM 10.00 dan dia hanya memperolehi antara RM 0 - RM 5.00 sahaja.

14.Persoalan mengenai tanggungjawab.

Soalan : Assalamualaikum, saya berumur 24 tahun. Saya mempunyai masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh saya dan keluarga saya. Dengan keizinan dari Allah S.W.T, saya merujuk masalah saya pada encik dan mengharapkan pertolongan dari encik. Semasa belajar di Sebuah Intitusi Pengajian Tinggi, saya mempunyai teman lelaki yang juga belajar di tempat yang sama juga. Masa tu umur saya 19 tahun dan teman lelaki saya berumur 20 tahun. Dia seorang yang alim, kuat mengaji, selalu azan dan masuk pertandingan Al-Quran. Kerana sikapnya yang alim itu saya telah jatuh hati pada dia. Sepanjang kami bercinta akhirnya kami telah termakan pujukan syaitan dan melakukan perbuatan yang terkutuk iaitu berzina. Perbuatan ini berlarutan selama 2 tahun. Tetapi setiap kali terlanjur, kami insaf dan kemudian melakukannya semula. Dia berjanji akan bertanggungjawab pada saya. Dia seorang yang alim dan disukai oleh semua ustaz di institusi pengajian kami. Sebab itu saya percaya yang dia akan bertanggungjawab.

Selepas 2 tahun hidup bergelumang dengan dosa, suatu hari tuhan telah membuka pintu hati saya untuk bertaubat. Saya benar-benar telah insaf dan menyesal akan perbuatan saya. Saya mengajak teman lelaki saya untuk bertaubat tapi dia tidak mahu. Dia masih berkali-kali mengajak saya berzina, tetapi saya berjaya menolak. Sampai suatu masa, setiap kali permintaannya saya tolak, dia pun buat keputusan untuk berpisah dengan saya dan tidak mahu bertanggungjawab pada saya.

Saya jadi buntu. Saya takut. Hari-hari saya menangis teringatkan nasib saya. Saya betul-betul menyesal. Tapi saya masih sayangkan dia dan mahu dia bertanggung-jawab. Setelah hampir 1 tahun saya tanggung derita ini sendiri, akhirnya suatu hari saya kuatkan diri saya dan memberitahu perkara ini pada ibubapa saya dan ibubapa bekas teman lelaki saya itu.

Tapi malangnya, ibubapa bekas teman lelaki saya tidak percaya akan kata-kata saya. Mereka kata mereka dari keturunan orang-orang alim dan anak mereka orang yang alim, mengaji, sembahyang tak mungkin ini berlaku. Mereka kata saya tidak mengandung, jadi saya tiada bukti. Tak apa Allah Taala maha melihat segala sesuatu. Dialah bukti saya. Tambahan keluarga mereka dipandang alim oleh masyarakat di tempat mereka. Mungkin mereka malu nak mengaku. Tapi saya tiada niat untuk memalukan mereka. Jika mereka sedia bertanggungjawab, saya mahu perkahwinan kami dijalankan seperti orang-orang lain juga ada majlis dan sebagainya. Tapi malangnya bila ibubapa saya menelefon mereka untuk ajak berbincang secara baik, mereka mengelak. Saya beritahu ibubapa bekas teman lelaki saya yang saya bersumpah demi Al-Quran sumpah dengan nama Allah yang anak merekalah yang menghilangkan dara saya.Tetapi mereka tetap tidak percaya dengan sumpah saya.

Mak ayah saya dah tua. Selalu sakit-sakit. Mereka sedih bekas teman lelaki saya tidak mahu bertanggungjawab. Malah ibubapa bekas teman lelaki saya mahu mengahwinkan dia secepat mungkin supaya anak mereka tidak perlu bertanggungjawab pada saya. Saya takut jika bekas teman lelaki saya dikahwinkan senyap-senyap minggu depan atau bulan depan. Siapa lagi akan berkahwin dan akan bertanggungjawab pada saya yang dah bekas orang.

Hari hari saya menangis berdoa pada tuhan supaya bukakan pintu hati dia supaya mahu bertanggungjawab pada saya. Hari-hari saya menangis menyesal akan perbuatan saya. Kalau dulu bukan saya yang berkeras mahu berhenti dari perbuatan terkutuk ini, mungkin telah lahir seorang anak luar nikah. Syukur tuhan menyelamat-kan saya dari mengandung. Kalau boleh saya tidak mahu buat ibubapa saya sedih dan susah hati tentang masalah saya. Saya sayangkan kedua ibubapa saya. Mereka dah tua. Saya takut mereka kelak tak sempat tengok saya naik pelamin. Tolonglah saya encik. Saya masih sayangkan bekas teman lelaki saya dan betul-betul mahu hidup bersama dengan dia.

Saya betul-betul mengharapkan pertolongan dari encik. Saya merayu encik tolonglah saya seperti saya ini anak perempuan encik. Semoga tuhan saja yang membalas segala kebaikan encik diakhirat kelak. Saya ini orang yang telah dianiaya dan dikhianati oleh orang yang saya sayangi dan percayai. Saya pernah terbaca dilaman web jais bahagian soaljawab agama mengatakan bahawa lelaki yang telah berzina wajib berkahwin dengan perempuan tersebut.

Jawapan :  Perkara yang utama adalah bertaubat. Sila rujuk masalah kepada Bahagian Perundangan Keluarga Jabatan Agama Islam di talian 03-55143471 untuk bercakap dengan Ustazah Sabariah binti Salleh.

15.Apakah hukumnya menuduh isteri berzina?

Soalan : Apakah hukumnya menuduh isteri berzina?

Jawapan : Haram menuduh kepada isteri berzina.

16.Hukum binatang yang disembelih menggunakan mesin

Soalan : Assalamualaikum,

Saya ada kemusykilan berhubung hukum binatang yang disembelih menggunakan mesin. Adakah binatang tersebut halal dimakan sekiranya mesin tersebut dikendali-kan oleh orang Islam dan bacaan bismillah disebutkan sebelum pengendali tersebut menekan butang untuk menghidupkan mesin peyembelihan tersebut? Penyem-belihan secara automatik ini terpaksa dilakukan disebabkan kekurangan tenaga penyembelih dan kadar permintaan yang tinggi. Diharap kemusykilan ini dapat diselesaikan.

Jawapan : 

  • 1. Di Malaysia belum lagi mengamalkan sembelihan menggunakan mesin.
  • 2. Telah dilakukan di luar negara. Hukumnya sah kerana permintaan banyak. Antara syaratnya ialah :
    • i. Dikendalikan oleh orang Islam.
    • ii. Bacaan Bismillah sebelum tekan butang (sunat)
    • iii. Orang Islam mesti berada di mesin tersebut sepanjang ia beroperasi.

17.Hukum meletakkan nama saudara di hadapan nama anak tanpa ada bin dan binti.

Soalan : Saya ingin mengambil anak angkat, walaubagaimanapun anak tersebut adalah anak luar nikah.

Persoalan saya ialah :-

1. Sepanjang pengetahuan saya, anak luar nikah harus dibin atau dibintikan dengan Abdullah. Bagi menjaga aib anak tersebut di masa hadapan ada yang mencadangkan bahawa saya boleh mendaftar nama anak tersebut di pejabat pendaftaran dengan meletakkan nama saya dihadapan nama tersebut tanpa meletakkan bin atau binti. Adakah ini dibolehkan dari segi syarak?

Sebagai contoh : nama anak : "ali" dan nama saya (bapa) : "abu bakar". Maka saya mendaftarkan nama anak tersebut sebagai Ali abu bakar tanpa meletakkan "bin atau binti" antara nama anak dan saya.

Jawapan : Boleh (harus) meletakkan nama saudara di hadapan nama anak tanpa ada bin dan binti.

Contoh : nama bapa Abu Bakar manakala nama anak Ali

Jadi : Ali Abu Bakar

18.Hukum pemakaian lipstik oleh wanita.

Soalan :

Assalamualaikum Tuan,

Saya dari Terengganu ingin menanyakan satu persoalan yang iaitu berkaitan pemakaian lipstik oleh wanita. Saya difahamkan setakat saya belajar dan ustaz-ustaz yang saya jumpa, setakat ini saya masih berpendapat lipstick itu haram.

Sebabnya Ia telah mengubah warna asal bibir seperti mengubah hakikat kejadian asal manusia. Ia juga dikira betabarruj. Akan tetapi apabila saya melihat para ustazah memakainya, hati saya tertanya-tanya, apakah hukum pemakaian lipstick itu?. Saya berharap tuan dapat memberi penjelasan yang penuh berkaitan masalah ini. Saya amat berharap penjelasan dari tuan. Sekian, terima kasih.

Jawapan :  1. Memakai lipstik hukumnya harus, jika tidak najis dan tidak dengan niat mempertontonkan kecantikan diri kepada orang lain selain suami.

2. Perbuatan tersebut bukan sampai ke tahap mengubah hakikat kejadian asal manusia. Ia cuma warna dan boleh dihilangkan bila-bila masa, ia juga tidak kekal.

19.Hukum melakukan bersetubuh/berjimak di bulan puasa. Pertanyaan mengenai kafarah.

Soalan : Assalamualaikum Ustaz,

Saya telah berkahwin tetapi isteri saya duduk berjauhan dengan saya atas sebab pekerjaan. Oleh kerana keadaan kami sebegini maka kami telah melakukan bersetubuh/berjimak di bulan puasa.

Disini saya ingin membuat pertanyaan kepada ustaz mengenai kafarah. Seperti yang terdapat pada website JAIS, saya dapati kafarah adalah:

1. Memerdeka seorang hamba (sudah tiada)

2. Berpuasa 2 bulan berturut-turut jika sudah dicuba beberapa kali namun tidak mampu disegi syarak hendaklah,

3. Memberi 60 orang miskin makan setiap seorang satu cupak makan asasi.

Saya telah mencuba untuk berpuasa selama 2 bulan berturut-turut tetapi saya tidak mampu. Oleh itu saya ingin mencuba cara ke 3 iaitu memberi 60 orang miskin makan.

1. Disini saya ingin mengetahui bolehkah ia ditukar kepada nilai wang dan sekiranya boleh, berapakah nilai satu cupak makan asasi itu? dan boleh kah saya membayarnya di Pusat Zakat Selangor?.

2. Apakah hukumannya kepada isteri saya pula kerana kafarah hanya dikenakan kepada lelaki sahaja?. Adakah isteri saya hanya dikenakan qadha puasa sahaja?.

Diharap pihak tuan dapat memberi jawapan kepada persoalan saya ini.

Jawapan : Membayar kaffarah dengan cara yang ketiga iaitu memberi makan 60 orang miskin boleh digantikan dengan memberi setiap orang dari mereka secupak makanan asasi (beras). Nilai satu cupak beras yang telah ditetapkan oleh Pusat Zakat Selangor ialah RM 1.50. Dalam hal ini, kaunter-kaunter kutipan di Pusat Zakat Selangor tidak menerima bayaran kaffarah tersebut. Menjadi kewajipan bagi individu yang terlibat untuk mencari sendiri 60 orang miskin yang benar-benar layak.

2. Isteri tidak dikenakan kaffarah tetapi wajib mengqada' puasa yang telah terbatal.

20.Hukum menyertai pertandingan memancing yang dikenakan yuran penyertaan.

Soalan : Apakah hukum menyertai pertandingan memancing yang dikenakan yuran penyertaan?

Jawapan : Hukumnya adalah harus dan tidak dianggap sebagai satu perjudian kerana bayaran tunai tersebut merupakan bayaran terhadap penggunaan daripada segala bentuk perkhidmatan yang telah disediakan oleh pihak penganjur seperti kolam dan sebagainya.

21.Caranya agar anak angkat tidak mendatangkan masalah dari segi muhrim.

Soalan : Assalamualaikum ustaz,

Saya ada satu pertanyaan,

Saya seorang wanita yang telah berumahtangga namun sehingga kini belum mempunyai anak. Saya ingin mengambil anak angkat dan memohon pandangan ustaz sekiranya saya mengambil anak angkat (bayi) lelaki, maka apakah caranya agar dirinya menjadi semuhrim dengan saya agar tidak mendatangkan masalah dari segi perhubungan aurat setelah anak itu dewasa nanti. Untuk makluman tuan, saya tidak mempunyai ibu atau saudara perempuan untuk menyusui anak tersebut (bagi menjadikan sesusu).

Ulasan ustaz amatlah saya harapkan, terima kasih.

Jawapan : Anak angkat yang berumur daripada 2 tahun qamariah, jika disusukan oleh ibu angkatnya, maka ia akan menjadi muhrim seperti anak sendiri sebagai muhrim sesusuan.

Oleh kerana puan tidak mempunyai ibu atau saudara perempuan, maka dalam hal ini, saya mengesyorkan puan bertemu dengan doktor pakar untuk membolehkan puan mengeluarkan air susu sendiri bagi menyusukan anak angkat berkenaan.

Semoga cita-cita murni puan dapat diselesaikan dengan baik serta mendapat perkenan oleh Allah S.W.T.

22.Hukum orang Islam menderma darah.

Soalan : Apakah hukum orang Islam menderma darah?

Jawapan :  Hukum menderma darah adalah harus kerana Allah S.W.T menggalakkan kita berbuat demikian sebagaimana firmannya:- "Dan hendaklah kamu berbuat baik kerana sesungguhnya Allah amat mengasihani orang berbuat baik."

23. Menderma darah kepada orang lain boleh dianggap sebagai saudara sedarah?.

Soalan : Adakah seseorang yang menderma darah kepada orang lain boleh dianggap sebagai saudara sedarah?

Jawapan :  Seseorang yang telah menerima darah daripada orang lain tidak dianggap sebagai saudara mengikut keturunan atau saudara susuan atau saudara persemendaan melainkan jika sudah ada talian persaudaraan lebih awal melalui keturunan atau susuan atau persemendaan. Didalam Islam tiada istilah saudara sedarah.

24.Orang Islam yang bekerja membakar mayat hindu?.

Soalan : Apakah hukum orang Islam yang bekerja membakar mayat Hindu?

Jawapan :  Hukum membakar mayat adalah haram samada mayat orang Islam atau bukan Islam kerana menyiksa dan menyakiti mayat.

25.Makanan yang halal tetapi dimasak oleh orang cina (bukan Islam).

Soalan : Apakah hukum makanan yang halal tetapi dimasak oleh orang cina (bukan Islam)?

Jawapan :  Makanan yang halal yang dimasak oleh orang cina (bukan Islam) sekiranya di yakini kesuciannya, adalah halal. Jika peralatan memasak makanan yang bernajis dan diyakini penggunaannya, hukumnya adalah haram. Walau bagaimanapun sebagai seorang Islam digalakan meninggalkan makanan yang diragukan sebagaimana sabda Rasullullah :

"Tinggalkanlah apa yang kamu ragu-ragu kepada yang tiada keraguan"

26.Meracun rumput di tanah perkuburan.

Soalan : Apakah hukum meracun rumput di tanah perkuburan?

Jawapan :  Hukumnya adalah makruh kerana rumput tersebut sentiasa mendoakan kesejahteraan kepada mayat. Sebaik-baiknya memadai rumput di perkuburan dipotong dengan mesin.

27.Menghias kubur menurut pandangan Islam.

Soalan : Apakah hukum menghias kubur menurut pandangan Islam?.

Jawapan : Hukum menghias kubur dengan sesuatu tanpa hajat dan keperluan adalah makruh, tetapi jika ada sesuatu hajat umpama membuat benteng kerana khuatir tanah akan runtuh tanpa berlebihan-berlebihan mengikut keperluan adalah di haruskan.

28.Makan ubat untuk menggemukkan atau menguruskan badan.

Soalan : Apakah hukum seseorang yang makan ubat untuk menggemukkan atau menguruskan badan?

Jawapan :  Hukum makan ubat menggemukkan atau menguruskan badan adalah harus sekiranya ubat itu bukan daripada benda-benda yang najis disisi agama serta tidak memudharatkan

29.Hukum meletakkan potongan pelekat (sticker) ayat Al-Quran di cermin belakang kenderaan.

Soalan : Apakah hukumnya meletakkan potongan pelekat (sticker) ayat Al-Quran di bahagian cermin belakang kenderaan?.

Jawapan : Hukumnya adalah harus kerana berniat untuk kebaikan dan memuliakan.

30.Apakah hukumnya jika menggunakan kaedah bayi tabung uji untuk mendapatkan anak?.

Soalan : Apakah hukumnya jika menggunakan kaedah bayi tabung uji untuk mendapatkan anak?.

Jawapan : 

  • Bayi tabung uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara "terhormat" adalah sah di sisi Islam. Sebaliknya benih yang diambil dari bukan suami isteri yang sah, bayi tabung uji itu adalah tidak sah
  • Bayi yang dilahirkan melalui tabung uji itu boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pusaka dari keluarga yang berhak.
  • Sekiranya benih dari suami atau isteri yang dikeluarkan dengan cara yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ianya dikira sebagai cara terhormat.

31.Apakah pandangan Islam tentang kewujudan bank air mani?

Soalan : Apakah pandangan Islam tentang kewujudan bank air mani?

Jawapan : 

  • Mengadakan bank air mani adalah haram dalam Islam.
  • Sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka kerajaan hendaklah bertindak untuk menghapuskannya
  • Permanian beradas yang dilakukan kepada manusia adalah haram kecuali jika air mani daripada suami didapati secara muhtaram (yang diluluskan oleh syarak), dibenarkan oleh Islam.
  • Penglibatan doktor pakar atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan bank air mani adalah haram.

32.Bagaimanakah pandangan Islam tentang pemindahan jantung dan mata orang mati kepada orang yang hidup?.

Soalan : Bagaimanakah pandangan Islam tentang pemindahan jantung dan mata orang mati kepada orang yang hidup?.

Jawapan : Pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambil kira:

  • Didalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
  • Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
  • Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.
  • Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya di dalam kematian akibat kemalangan.

33.Bagaimanakah hukum jika seseorang Islam menderma darah kepada orang bukan Islam dan sebaliknya?.

Soalan : Bagaimanakah hukum jika seseorang Islam menderma darah kepada orang bukan Islam dan sebaliknya?.

Jawapan : 

  • Menderma darah hukumnya harus.
  • Tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam.
  • Penghargaan dalam bentuk bayaran kepada penderma darah tidak digalakkan.

34.Bagaimanakah pandangan Islam terhadap pembedahan mayat orang Islam (post-mortem)?

Soalan : Bagaimanakah pandangan Islam terhadap pembedahan mayat orang Islam (post-mortem)?

Jawapan : Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (darurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan bedah siasat atau si mati tertelan benda berharga atau si mati sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.

35.Bolehkah kandungan janin digugurkan kerana berlaku kecacatan pada janin tersebut?

Soalan : Bolehkah kandungan janin digugurkan kerana berlaku kecacatan pada janin tersebut?

Jawapan :  Adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu

36.Apakah hukumnya menggunakan berus yang diperbuat daripada bulu babi?

Soalan : Apakah hukumnya menggunakan berus yang diperbuat daripada bulu babi?

Jawapan :  Penggunaan berus yang diperbuat daripada bulu babi adalah haram. Sekiranya tidak pasti sama ada berus tersebut daripada bulu babi atau tidak maka harus digunakan.

37. Apakah hukumnya menggunakan baja yang diperbuat dariapda najis seperti najis khinzir, lembu dan sebagainya?

Soalan :  Apakah hukumnya menggunakan baja yang diperbuat dariapda najis seperti najis khinzir, lembu dan sebagainya?

Jawapan : 

  • Bahawa baja yang diperbuat daripada tahi babi adalah najis mughallazah, sementara hukum menggunakannya sebagai baja adalah harus serta makruh.
  • Bahawa makanan ayam yang diperosses daripada bahan-bahan yang bercampur dengan najis seperti darah lembu, darah babi dan lain-lain adalah harus atau halal

38.Bagaimanakah kedudukan Mak Nyah dalam Islam?.

Soalan : Bagaimanakah kedudukan Mak Nyah dalam Islam?.

Jawapan : 

  • Pertukaran jantina dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram daris segi syarak.
  • Seseorang yang dilahirkan "khunsa musykil" iaitu manusia yang dilahirkan mempunyai dua alat kemaluan, lelaki dan perempuan diharuskan pem-bedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi supaya dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai.

39. Bolehkah dilakukan pemindahan mayat dari satu negeri ke satu negeri yang lain?

Soalan :  Bolehkah dilakukan pemindahan mayat dari satu negeri ke satu negeri yang lain?

Jawapan :  Pemindahan mayat dari satu negeri ke satu negeri yang lain adalah harus sekiranya keadaan memerlukan (darurat) tetapi mestilah dipastikan si mati dipindahkan dengan cara yang baik dan sempurna.

40.Bagaimanakah pandangan Islam bagi seseorang perempuan yang menggugurkan kandungan atas nasihat doktor yang disebabkan kecacatan?.

Soalan : Bagaimanakah pandangan Islam bagi seseorang perempuan yang menggugurkan kandungan atas nasihat doktor yang disebabkan kecacatan?.

Jawapan : 

  • janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.
  • Makruh menggugurkan janin yang berumur antara 1 hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami isteri.
  • Ijmak Fuqaha berpendapat pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.

41. Apakah pandangan Islam mengenai jamuan yang biasa dilakukan oleh keluarga si mati terhadap orang ramai yang mengunjungi jenazahnya?.

Soalan :  Apakah pandangan Islam mengenai jamuan yang biasa dilakukan oleh keluarga si mati terhadap orang ramai yang mengunjungi jenazahnya?.

Jawapan :  Amalan seperti itu adalah merujuk kepada adat orang Melayu yang suka menjamu kepada tetamunya. Menurut pengajaran Islam, hendaklah orang ramai, jiran tetangganya atau saudara maranya menyediakan makanan dan minuman untuk keluarga si mati yang sudah tentu berada dalam keadaan sedih dan berdukacita di atas kematian orang yang dikasihinya. Perintah berbuat demikian amat tepat sekali sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. :

Maksudnya : "Buatlah oleh sekalian kamu untuk keluarga Jaafar akan makanan maka sesungguhnya telah datangkepada mereka apa yang membimbangkan mereka". (Riwayat At-Tarmizi)

42. Jika terjumpa wang / barang berharga di jalanraya atau di tempat awam, adakah ianya boleh digunakan?

Soalan :  Jika terjumpa wang / barang berharga di jalanraya atau di tempat awam, adakah ianya boleh digunakan?

Jawapan :  Wang / barang tersebut boleh digunakan dengan syarat hendaklah diisytiharkan terlebih dahulu di tempat awam dalam tempoh satu tahun dengan tujuan mencari pemiliknya. Dalam hal ini, wang / barang berharga yang dijumpai tercicir di jalanan dinamakan barang . Jika pemiliknya tidak dijumpai maka wang tersebut boleh digunakan dengan niat kalau ada pemiliknya yang menuntut orang yang menggunakan sedia menggantinya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W :

Maksudnya : " ( Serahkan barang tercicir kepada pemiliknya ) kalau ia datang menuntut, kalau tidak ada yang menuntut, barang itu menjadi amanah di tangan engkau". (Riwayat Bukhari)

43. Apakah hukum memakan sembelihan orang Yahudi dan Nasrani?.

Soalan : Apakah hukum memakan sembelihan orang Yahudi dan Nasrani?.

Jawapan :  Pada prinsip asalnya hukum memakan sembelihan ahli kitab adalah harus. Ianya ijma' para ulama' berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Maidah ayat 5:

Maksudnya : " Dan makanan (sembelihan) orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka) ….

Dalam hal ini, menurut pendapat As-Sheikh Tantawi dari Azhar, orang Islam haram memakan sembelihan orang Yahudi dan Nasrani kerana ahli kitab pada hari ini sudah terputus agamanya dengan ahli kitab Nabi Musa dan Isa a.s. Ini memungkinkan mereka menyebut selain dari nama Allah semasa melakukan sembelihan seperti orang Nasrani yang menyebut nama al-Masih atau orang Yahudi yang menyebut nama Uzair, maka jumhur ulama' berpendapat binatang sembelihan itu tidak halal dimakan berasaskan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Maidah ayat 3 :

Maksudnya : " Dan binatang-binatang yang disembelih kerana selain dari nama Allah"

44. Bolehkah kita memberi salam kepada orang-orang kafir dan bagaimana pula sekiranya kita diberi salam oleh mereka?

Soalan :  Bolehkah kita memberi salam kepada orang-orang kafir dan bagaimana pula sekiranya kita diberi salam oleh mereka?

Jawapan :  Tidak harus memberi salam terhadap orang kafir. Ini adalah berdasarkan hadis daripada Imam Muslim :

Maksudnya : "Janganlah kamu memulakan orang-orang yahudi dan kristian dengan memberi salam".

Sebaliknya jika mereka yang memberi salam kepada kita, maka perlulah kita menjawab "wa'alaikum" sahaja.

45. Benarkah ada pendapat yang mengatakan bahawa orang yang mendirikan solat jenazah itu boleh memberi syafaat kepada si mati?

Soalan :  Benarkah ada pendapat yang mengatakan bahawa orang yang mendirikan solat jenazah itu boleh memberi syafaat kepada si mati?

Jawapan :  Ya, memang benar pendapat itu, lebih-lebih lagi yang menyembahyangkan jenazah tersebut 40 orang atau lebih. Ini berdasarkan kepada hadis Ibnu Abbas :

Maksudnya : "Tidak di kalangan lelaki Muslim yang mati kemudian didirikan solat ke atas jenazahnya oleh 40 orang lelaki yang tidak menyekutukan Allah akan sesuatu pun, melainkan memberi syafaat mereka itu padanya oleh Allah".

46. Apakah pandangan Islam mengenai jamuan yang biasa dilakukan oleh keluarga si mati terhadap orang ramai yang mengunjungi jenazahnya?

Soalan :  Apakah pandangan Islam mengenai jamuan yang biasa dilakukan oleh keluarga si mati terhadap orang ramai yang mengunjungi jenazahnya?

Jawapan :  Ya, memang benar pendapat itu, lebih-lebih lagi yang menyembahyangkan jenazah tersebut 40 orang atau lebih. Ini berdasarkan kepada hadis Ibnu Abbas :

Sebenarnya amalan seperti itu adalah adat orang melayu yang suka berjamu kepada tetamunya. Tiada hadis yang menyuruh berbuat demikian, tetapi sebaliknya menurut pengajaran Islam, hendaklah orang ramai atau jiran tetangga atau saudara maranya menyediakan makanan dan minuman untuk keluarga si mati yang sudah tentulah berada dalam keadaan sedih lagi berdukacita di atas kematian orang yang dikasihinya. Maka perintah berbuat demikian amatlah tepat sekali sebagaimana sabda baginda (S.A.W.)

Maksudnya : "Buatlah oleh sekelian kamu untuk keluarga Ja'afar akan makanan, maka sesungguhnya telah datang kepada mereka apa yang membimbangkan mereka".

47. Apakah hukumnya seseorang Islam itu membuat gambaran (tatu) pada lengan dan anggota badan?

Soalan :  Apakah hukumnya seseorang Islam itu membuat gambaran (tatu) pada lengan dan anggota badan?

Jawapan :  Memakai tatu pada lengan dan anggota badan itu adalah haram kerana perbuatan itu termasuk di dalam perkara-perkara yang dikutuk oleh Allah S.W.T. sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. :

Maksudnya : “Dari Ibnu Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. mengutuk orang yang menyambung rambut dan orang yang meminta supaya disambung rqmbutnya, orang yang membuat tatu dan orang yang meminta supaya dibuat tatu”.

Disamping itu juga, untuk menghilangkan tatu tersebut adalah amat sukar sekali. Ianya hanya boleh dilakukan dengan mengikis menggunakan pisau. Ini sudah pasti akan memudharatkan diri dan ianya dilarang sama sekali dilarang dalam Islam.

48. Apakah hukum mengenai orang-orang perempuan yang turut sama meng-iringi jenazah hingga ke perkuburan?

Soalan :  Apakah hukum mengenai orang-orang perempuan yang turut sama meng-iringi jenazah hingga ke perkuburan?

Jawapan :  Menurut sebahagian besar para ulama’ menghukumkan makruh bagi orang-orang perempuan mengiringi jenazah hingga ke perkuburan kecuali jika ditakuti boleh menimbulkan fitnah, maka hukumnya adalah haram. Dalam masalah ini terdapat sebuah hadis yang berbunyi:

Maksudnya : Ummu Atiyah berkata : “Kami ditegah mengikuti jenazah dan tidak digalakkan ke atas kami berbuat demikian”. (Muttafaq ‘alaih)

49. Apakah hukum berubat menggunakan benda-benda yang najis ketika darurat?

Soalan :  Apakah hukum berubat menggunakan benda-benda yang najis ketika darurat?

Jawapan :  Berubat dengan benda yang najis tidak dibenarkan bahkan hukumnya haram.Sabda Rasulullah S.A.W.;

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu, dan janganlah kamu berubat dengan yang diharamkan". (Riwayat Abi Daud)

Walau bagaimanapun dalam keadaan darurat di mana sudah tiada ubat yang lain ketika itu maka hukumnya harus. Firman Allah S.W.T.;

Maksudnya: "Dan sesungguhnya Allah telah melarang kepada kamu satu persatu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali yang terpaksa kamu memakannya". (Surah Al-An`am: 119)

50. Hukum memelihara anjing.

Soalan :  Assalamualaikum..

Yang Dikasihi lagi dimuliakan, Dato` Mufti,

Dalam ruangan soal jawap agama (JAIS) ada memberi jawapan mengenai hukum orang Islam memelihara anjing, dimana hukumnya harus dengan syarat dia memelihara kesuciannya. Sebagaimana yang kita maklumi bahawa memelihara anjing untuk menjaga ternakan atau sebagai haiwan pemburu adalah diperbolehkan, soalan saya bagaimana seorang Islam itu memelihara anjing bukan untuk tujuan keduanya itu? .

Kerana ada hadith shahih yang bermaksud :

Dari Ibnu Umar ra, dari Nabi S.A.W sabdanya: "Barang siapa yang memelihara anjing yang bukan sebagai anjing penjaga ternak atau anjing pemburu, maka setiap hari amalnya akan berkurang sebanyak dua qirath". (Hadith riwayat Bukhari.

Jawapan : 

  • Menurut pendapat Mazhab Syafie, haram memelihara anjing tanpa hajat / keperluan.
  • Pengecualian ke atas anjing untuk berburu, menjaga ladang dan ternakan adalah menunjukkan bahawa di haruskan jika dapat mendatangkan manfaat. Oleh itu anjing polis, penjaga rumah, penjaga jalan atau tangga adalah diqiyaskan kepada pengecualian didalam hadith.
  • Namun jika tiada keperluan yang benar-benar mendesak, tidak perlu memelihara anjing kerana banyak masalah hukum yang perlu dijaga seperti jilatannya, bulunya dan sebagainya.

51. Apakah hukumnya jika saya seorang muslim tinggal serumah dengan seorang yang beragama Hindu dan bagaimana pula dari segi aurat saya sesama dia?

Soalan :  Assalamualaikum,

Saya ingin bertanyakan berkenaan beberapa perkara :-

i. Apakah hukumnya jika saya seorang muslim tinggal serumah dengan seorang yang beragama Hindu dan bagaimana pula dari segi aurat saya sesama dia.

ii. Rakan serumah saya berugama Hindu telah mengajak saya untuk makan di restoran hindu untuk dia berbuka puasa. Terdapat sijil halal dari JAKIM di restoran tersebut. Banyak patung-patung dewa hindu ditampalkan di restoran tersebut. Arak juga turut di jual di restoran itu. Apakah hukum saya makan di restoran tersebut?.

Jawapan : 

  • Dibolehkan tinggal serumah dengan orang yang bukan beragama Islam tetapi hendaklah menjaga aurat. Ini kerana aurat orang Islam dengan bukan Islam sama seperti aurat bukan mahram (orang yang boleh dikahwini), bagi orang lelaki dari pusat hingga ke lutut manakala wanita pula semua anggota kecuali muka dan tapak tanggan.
  • Dikira syubhah memandangkan di dalam restoran tersebut dijual arak dan terdapat patung-patung dewa Hindu. Maka dengan ini, sebaiknya hendaklah memilih tempat makan yang tidak diragui dan menimbulkan syak wasangka dari segi kesucian dan kebersihan makanan tersebut. Di Malaysia juga banyak restoran yang dimiliki oleh orang Islam.

52. Dulu saya menyayangi kaum sejenis. Tapi sekarang kami telah berubah. Masalahnya sekarang ini ialah kami masih tidak dapat melupakan perasaan kami walaupun kami telah berkawan biasa sahaja. Adakah itu berdosa walaupun kami tidak melakukan perkara mungkar?.

Soalan :  Assalamulaikum

Dulu saya menyayangi kaum sejenis. Tapi sekarang kami telah berubah. masalahnya sekarang ini ialah kami masih tidak dapat melupakan perasaan kami walaupun kami telah berkawan biasa sahaja. Adakah itu berdosa walaupun kami tidak melakukan perkara mungkar?. Berilah kami petunjuk supaya akhlak kami tidak terpesong lagi.

Jawapan :  Buat makluman tuan, mengasihi dan menyayangi sesama umat Islam adalah tidak dilarang malah Islam amat menggalakkan rasa mahabbah (kasih sayang) kerana Allah. Namun demikian, rasa kasih sayang sesama Islam juga ada batas-batas syariat yang telah digariskan sebagai panduan. Oleh itu disini, kami menyarankan dan mendoakan agar tuan tidak terus hanyut dalam cinta terlarang kerana Allah telah menjelaskan bahawa hubungan sesama jenis adalah dilarang dan ditegah dalam Islam sekeras-kerasnya serta berdosa bagi sesiapa yang melakukannya. Namun demikian Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang dan pintu taubat masih terbuka untuk tuan dan bertaubatlah dengan taubat nasuha agar tuan dapat meningkatkan keimanan dan sentiasa dalam lindungan Allah S.W.T.

53. Adakah adab kita menggendalikan ayat-ayat Al-Quran yang kita rekod di dalam cakera padat atau di simpan di dalam komputer riba sama seperti adab kita menggendalikan Al Quran dalam bentuk fitrahnya sebagai contoh kitab?

Soalan :  Assalamualaikum,

Nama saya Rizal Mohamed dari Slim River, Perak. Saya ada satu kemusykilan. Adakah adab kita menggendalikan ayat-ayat Al-Quran yang kita rekod di dalam cakera padat atau di simpan di dalam komputer riba sama seperti adab kita menggendalikan Al-Quran dalam bentuk fitrahnya sebagai contoh. kitab?

Di harap tuan dapat menjawab soalan saya ni.

Jawapan :  Waalaikumussalam,

Untuk pengetahuan encik, adab kita dengan Al-Quran ialah sentiasa dalam berwuduk, menutup aurat jika hendak membacanya, menghormatinya iaitu meletak di tempat yang tinggi. Atau dalam erti kata yang lain meletakkan di tempat yang suci dan bersih. Al-Quran yang telah direkodkan di dalam CD atau di dalam komputer riba, kita hendaklah menghormatinya sebagaimana mushaf Al-Quran itu sendiri iaitu meletakkan di tempat yang elok.

54. Kemusykilan hal hukum agama di mana saya bertengkar dengan kawan saya, seminggu yang lalu, dalam keadaan marah, saya telah mengucapkan kata-kata yang tidak sepatutnya seperti tobat tak tegur dah. 4 hari berikutnya saya telah menegur beliau seperti biasa dan saya meminta maaf darinya, sehingga ke hari ini dia masih bermasam muka dan tidak menegur saya.

Soalan :  Assalamualaikum,

saya seorang pelajar berumur 25 tahun. Saya ada masalah dan kemusykilan hal hukum agama di mana saya bertengkar dengna kawan saya seminggu yang lalu. Dalam keadaan marah, saya telah mengucapkan kata-kata yang tidak sepatutnya seperti "tobat tak tegur dah". 4 hari berikutnya saya telah menegur beliau seperti biasa dan saya meminta maaf darinya. Sehingga ke hari ini dia masih bermasam muka dan tidak menegur saya. Dia bertanya pendapat teman-teman yang lain, tanpa memeriksa masalah sebenar kami dan di sebabkan perwatakan saya yang dahulunya nakal, mereka telah menjatuhkan hukuman yang saya berdosa kerana sebelum ni saya pernah melafazkan kenyataan "tobat tak tegur dah" dan kemudiannya memulaukan saya.

Di sini saya ingin bertanya adakah betul saya berdosa walaupun saya dah minta maaf dengan dia dan bagaimana caranya saya hendak berdamai dengannya kerana masalah saya ini mengganggu proses pembelajaran saya dan tambahan pula saya yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi

Jawapan :  Waalaikumussalam,

Di dalam hal ini, anda tidak bersalah / berdosa kerana anda telah memulakan maaf kepada kawan anda. Di dalam Islam, kita di galakkan memohon maaf dan memaaf-kan orang lain. Sekiranya kawan anda tidak mahu memaafkan anda, anda cubalah bersemuka dengannya dan menceritakan hal yang sebenarnya supaya tiada lagi salah faham diantara anda berdua. Jika rakan anda tidak mahu bersemuka dengan anda, anda cubalah menggunakan seseorang yang boleh dipercayai sebagai orang tengah dalam menyelesaikan konflik antara anda berdua.

55. Apakah hukum dan Kifarah bagi seorang lelaki bujang yang melakukan zina di siang hari di bulan Ramadhan dan apakah Kifarahnya sekiranya beliau ingin bertaubat.

Soalan :  Apakah hukum dan Kifarah bagi seorang lelaki bujang yang melakukan zina di siang hari di bulan Ramadhan dan apakah Kifarahnya sekiranya beliau ingin bertaubat.

Jawapan :  Hukum berzina adalah haram. Didalam Islam, tiada kifarah bagi orang yang berzina. Cuma di dalam Islam ada had bagi orang yang berzina. Had zina 100 kali sebatan bagi orang yang belum berkahwin (bujang), manakala bagi yang sudah berkahwin adalah direjam sampai mati. Walaubagaimanapun, negara kita tidak melaksanakan hukum tersebut.

56. Saya mempunyai kemuskilan dan ingin mendapatkan penjelasan mengenai menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal hukumnya murtad.

Soalan :  Assalammu'alikum, Saya ingin mempunyai kemuskilan dan ingin mendapatkan penjelasan dari pihak tuan. Saya terbaca di dalam ruang soaljawab agama di dalam laman web JAIS bahawa menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal hukumnya murtad.

Baru-baru ini dalam keadaan marah ,saya telah melafaskan kata-kata berikut secara sepontan. "Saya haramkan (diri saya) memakan aiskerim itu pada hari ini". Bukanlah maksud saya untuk mengharamkan aiskerim tersebut tetapi sekadar bermaksud yang saya tidak akan samsekali makan aiskerim itu pada hari itu walau apa pun yang terjadi.

Pada masa itu saya berada di dalam keadaan marah dan tertekan kerana sedang memikirkan sesuatu masalah yang perlu saya selesaikan. Soalan saya:

1. Apakah hukumnya?.

2. Adakah ini juga dikira murtad?.

3. Apakah yang harus saya lakukan kerana saya benar-benar insaf dan menyesal atas perbuatan dan ketelanjuran saya selepas itu?.

Jawapan : 

  • Berdosa jika sesuatu yang halal dihukumkan haram tanpa sebab yang diharuskan oleh syara'. Tidak berdosa sekiranya perbuatan yang halal seperti orang sakit tidak dibenarkan makan gula atau garam yang berlebihan yang akan membawa kepada maut / mati. Jika haram ia makan gula dan garam secara berlebihan kerana penyakit, atas nasihat doktor pakar dalam hal ehwal kesihatan.
  • Kenyataan dari JAIS itu betul apabila kita menghalalkan yang haram disisi syara' begitu juga sebaliknya. Hendaklah kita bertaubat dan tidak akan melakukan perbuatan yang sama pasa masa akan datang. Dinasihatkan kepada anda agar bersabar dan banyakkan mengingati Allah, semoga membawa ketenangan dan juga memperbanyakkan membaca Al-Quran.

57. Saya mendapat cabutan bertuah dari sumber loteri beribu pejabat di England. Saya tidak pernah melibatkan diri dalam cabutan tersebut dan tanpa saya ketahui tarikh cabutan tersebut dijalankan. Persoalannya sama ada saya boleh menggunakan hasil tersebut atau tidak. Jika haram apa yang perlu saya buat dengan wang tersebut.

Soalan :  Assalamualaikum....

Saya mendapat cabutan bertuah dari sumber loteri beribu pejabat di England. Saya tidak pernah melibatkan diri dalam cabutan tersebut dan tanpa saya ketahui tarikh cabutan tersebut dijalankan. Persoalannya adakah saya boleh menggunakan hasil tersebut atau tidak?. Jika haram apa yang perlu saya buat dengan wang tersebut.

Jawapan :  Waalaikumussalam,

Sekiranya tuan sedia maklum bahawa wang tersebut adalah dari wang loteri, maka haram digunakan dan hendaklah diserahkan kepada pihak baitulmal untuk diurus-kan. Tetapi jika cabutan tersebut berbentuk hadiah dan tidak diketahui sumbernya, maka bolehlah digunakan.

58. Kemusykilan untuk mendapatkan nasihat atau pandangan yang perlu dilakukan untuk masa depan yang lebih baik.

Soalan :  Assalamualaikum, saya berumur 24 thn. Saya mempunyai masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh saya dan keluarga saya. Dengan keizinan dari Allah S.W.T, saya merujuk masalah saya pada encik dan mengharapkan pertolongan dari encik. Semasa belajar di Sebuah Intitusi Pengajian Tinggi, saya mempunyai teman lelaki yang juga belajar di tempat yang sama juga. Masa tu umur saya 19thn dan teman lelaki saya berumur 20thn. Dia seorang yang alim, kuat mengaji, selalu azan, dan masuk pertandingan Al-Quran. Kerana sikapnya yang alim itu saya telah jatuh hati pada dia. Sepanjang kami bercinta akhirnya kami telah termakan pujukan syaitan dan melakukan perbuatan yang terkutuk.... iaitu berzina. Perbuatan ini berlarutan selama 2thn. tapi setiap kali terlanjur, kami insaf dan kemudian melakukannya semula. Dia berjanji akan bertang-gungjawab pada saya. dia seorang yang alim dan disukai oleh semua ustaz di uitm.sebab itu saya percaya yang dia akan bertanggungjawab.

Selepas 2thn hidup bergelumang dengan dosa, suatu hari tuhan telah membuka pintu hati saya untuk bertaubat. saya benarbenar telah insaf dan menyesal akan perbuatan saya. Saya mengajak teman lelaki saya untuk bertaubat tapi dia tidak mahu. Dia masih berkali-kali mengajak saya berzina, tapi saya berjaya menolak. Sampai suatu masa dia minta saya asyik tak bagi, dia pun buat keputusan untuk berpisah dengan saya dan tidak mahu bertanggungjawab pada saya.

Saya jadi buntu. Saya takut. Hari-hari saya menangis teringatkan nasib saya. Saya betul-betul menyesal. Tapi saya masih sayangkan dia dan mahu dia bertanggungg-jawab. Setelah hampir 1thn saya tanggung derita ini sendiri, akhirnya suatu hari saya kuatkan diri saya dan memberitahu perkara ini pada ibubapa saya dan ibubapa bekas teman lelaki saya itu.

Tapi malangnya, ibubapa bekas teman lelaki saya tidak percaya akan kata-kata saya. Mereka kata mereka dari keturunan orang-orang alim dan anak mereka orang yang alim, mengaji, sembahyang tak mungkan ini berlaku. Mereka kata saya tidak mengandung, jadi saya tiada bukti. Tak apa Allah Taala maha melihat segala sesuatu. Dialah bukti saya. Tambahan keluarga mereka dipandang alim oleh masyarakat di tempat mereka. Mungkin mereka malu nak mengaku. Tapi saya tiada niat untuk memalukan mereka. Jika mereka sedia bertanggungjawab, saya mahu perkahwinan kami dijalankan seperti orang-orang lain juga ada majlis dan sebagainya. Tapi malangnya bila ibubapa saya menelefon mereka untuk ajak berbincang secara baik, mereka mengelak. Saya beritahu ibubapa bekas teman lelaki saya yang saya bersumpah demi Al-Quran sumpah dengan nama Allah yang anak merekalah yang menghilangkan dara saya.Tetapi mereka tetap tidak percaya dengan sumpah saya.

Mak ayah saya dah tua. Selalu sakit-skit. Mereka sedih bekas teman lelaki saya tidak mahu bertanggungjawab. Malah ibubapa bekas teman lelaki saya mahu mengahwin-kan dia secepat mungkin supaya anak mereka tidak perlu bertanggungjawab pada saya. Saya takut jika bekas teman lelaki saya dikahwinkan senyap-senyap minggu depan atau bulan depan. Siapa lagi akan berkahwin dan akan bertanggungjawab pada saya yang dah bekas orang.

Hari hari saya menangis berdoa pada tuhan supaya bukakan pintu hati dia supaya mahu bertanggungjawab pada saya. Hari-hari saya menangis menyesal akan perbuatan saya. Kalau dulu bukan saya yang berkeras mahu berhenti dari perbuatan terkutuk ini, mungkin telah lahir seorang anak luar nikah. Syukur tuhan menyelamat-kan saya dari mengandung. Kalau boleh saya tidak mahu buat ibubapa saya sedih dan susah hati tentang masalah saya. Saya sayangkan kedua ibubapa saya. Mereka dah tua. Saya takut mereka kelak tak sempat tengok saya naik pelamin. Tolonglah saya encik. Saya masih sayangkan bekas teman lelaki saya dan betul-betul mahu hidup bersama dengan dia.

Saya betul-betul mengharapkan pertolongan dari encik. encik... saya merayu encik tolonglah saya seperti saya ini anak perempuan encik. Semoga tuhan saja yang membalas segala kebaikan encik diakhirat kelak. Saya ini orang yang telah dianiaya dan dikhianati oleh orang yang saya sayangi dan percayai. Saya pernah terbaca dilaman web jais bahagian soaljawab agama mengatakan bahawa lelaki yang telah berzina wajib berkahwin dengan perempuan tersebut.

Jawapan :  Perkara yang utama adalah bertaubat. Sila rujuk masalah kepada Bahagian Perundangan Keluarga Jabatan Agama Islam di talian 03-55143471 untuk bercakap dengan Ustazah Sabariah binti Salleh.

59. Saya adalah pembuat iklan, saya ada menerima tempahan papan tanda untuk mengiklankan minuman keras (arak) apakah hukumnya dan boleh kah saya meneruskannya.?

Soalan :  Saya adalah pembuat iklan, saya ada menerima tempahan papan tanda untuk mengiklankan minuman keras (arak) apakah hukumnya dan boleh kah saya meneruskannya.?

Jawapan :  Islam mengharamkan umatnya mengambil sebarang manafaat daripada arak seperti minum, memberi minum, menjual, membeli, membawa, memproses, meluluskan lesen penjual arak kepada orang Islam dan lain-lain berkaitan dengannya.

  • Dalil Al-Quran surah am-Maaidah ayat 90 : Yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Sesunguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya".
  • Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Ibnu Omar, sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Telah dilaknat arak, meminumnya, pemberi minumnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang memprosesnya dan pemakan harganya (wang hasil pemulangan arak). Hadis ini jelas menyatakan bahawa semua jenis perkhidmatan dan penggunaan berkaitan arak adalah haram.

Orang Islam haram memberi sebarang perkhidmatan arak kepada orang Islam atau kepada orang bukan Islam samada berbayar atau tidak berbayar.

60. Apa hukumnya seorang wanita dipaksa bersumpah atas nama Allah oleh tunangnya atas perkara--perkara yang lepas sebelum menemui tunangnya. Dia diarah bersumpah bahawa dia tidak melakukan perkara-perkara itu.

Soalan :  Apa hukumnya seorang wanita dipaksa bersumpah atas nama Allah oleh tunangnya atas perkara--perkara yang lepas sebelum menemui tunangnya. Dia diarah bersumpah bahawa dia tidak melakukan perkara-perkara itu.

Apa hukumnya seorang wanita bersumpah atas nama Allah bahawa dia tidak melakukan perkara-perkara tertentu walaupun sebenarnya dia melakukan perkara tertentu tersebut (perkara yg telah lepas bermaksud perkara sebelum bertemu dengan tunangannya sekarang) atas sebab untuk menyelamatkan hubungannya, tunang wanita itu telah memaksa wanita berkenaan bersumpah kerana dia tidak mahu wanita berkenaan menipu dirinya, boleh dikatakan setiap pertanyaan mengenai masa lampau akan disertakan dengan pernyataan bersumpah supaya wanita berkenaan akan bercakap benar sedangkan wanita tersebut tidak mahu bersumpah tetapi terpaksa.

Adakah wanita berkenaan kena membayar sesuatu seperti berpuasa atau sebagainya.

Jawapan : 

  • Menurut ulama' syafii, yang diambil kira dalam sesuatu sumpah itu ialah niat orang yang mengucapkannya. Ini kerana maksud dan tujuan daripada sumpah tersebut merupakan pengertian yang tersirat dalam hatinya bukan ungkapan yang lahir. Ianya juga tidak dikenakan kaffarah.
  • Namun begitu adalah diingatkan, agar tidak bermain dengan sumpah apatahlagi yang menggunakan nama-nama Allah kerana takut terperangkap di dalam dan dikenakan kaffarah.
  • Adalah lebih elok berterus terang kerana menidakkan sesuatu yang benar itu dianggap sebagai berdusta.

61. Apakah hukum nya menghadiri jemputan ke majlis, tidak kira lah majlis kahwin, majlis tahlil, atau makan-makan, sama ada dari saudara-mara atau kawan-kawan Adakah wajib, atau sunat? (majlis tersebut tidak ada unsur-unsur maksiat seperti acara menyanyi, menari atau sebagainya).

Soalan :  Nama saya Huda. Saya ingin bertanya kepada Ustaz, apakah hukum nya menghadiri jemputan ke majlis, tidak kira lah majlis kahwin, majlis tahlil, atau makan-makan, sama ada dari saudara-mara atau kawan-kawan… adakah wajib, atau sunat? (majlis tersebut tidak ada unsur-unsur maksiat seperti acara menyanyi, menari atau sebagainya).

Saya menghadapi masalah dengan suami yang tidak suka menghadiri majlis-majlis seperti ini. Beliau lebih rela duduk di rumah menonton televisyen daripada pergi ke kenduri. Dia akan mereka-reka alasan (kadang2 menyuruh saya 'bohong sunat' untuk dia) untuk diberitahu kepada penjemput semata-mata hendak mengelak. saya sedar, kedudukan saya sebagai isteri, kena ikut kemahuan dan perintah nya, tapi bukan kah ini melanggar hukum syarak? Saya risau persepsi masyarakat terhadap suami saya. Walaupun dia tidak menghalang saya daripada hadir, tapi saya tidak suka suami saya begitu, seolah-olah tidak mahu menjaga hubungan dengan masyarakat apa lagi mengeratkan silaturrahim. Dia memberitahu saya, hukum hadir cuma lah sunat. Jika dia tidak pergi, dia tidak berdosa. Benarkah ustaz?

Jawapan : 

  • Hukum menghadiri Majlis/ jemputan adalah sunat jika tidak ada unsur-unsur haram disitu.
  • Walau bagaimanapun , jika jemputan tuan rumah itu amat mengharapkankita hadir. Kita wajib hadir, kecuali ada keuzuran. Menghadiri majlis jemputan boleh mengeratkan silaturrahim. Nabi menyatakan, orang yang suka menjalinkan silaturrahim boleh dilanjutkan Allah usinya.

62. Saya ingin bertanya,apakah hukumnya jika seseorang perempuan itu mencukur bulu kakinya kerana ia agak lebat dan menyerupai lelaki serta mengaibkan sehingga dia berasa kurang keyakinan diri.

Soalan :  Saya ingin bertanya,apakah hukumnya jika seseorang perempuan itu mencukur bulu kakinya kerana ia agak lebat dan menyerupai lelaki serta mengaibkan sehingga dia berasa kurang keyakinan diri.

Jawapan :  Sekiranya bulu kaki itu mengaibkan harus hukum mencukurnya.

63. Saya ingin bertanya, apakah hukumnya bersentuhan antara pusat dan lutut tetapi dengan keadaan berpakaian (tidak bersentuhan kulit) di dalam keadaan isteri datang haid?

Soalan :  Saya ingin bertanya, apakah hukumnya bersentuhan antara pusat dan lutut tetapi dengan keadaan berpakaian (tidak bersentuhan kulit) di dalam keadaan isteri datang haid?

Jawapan : 

  • Hukum bersetubuh sewaktu haid adalah haram. Namun dalam keadaan itu,si isteri boleh melayan dan memberi keseronokan kepada suaminya selain daripada pusat hingga kelutut. Ini bagi mengelakkan berlakunya persetubuhan ketika isteri di dalam haid.
  • Bersetubuh antara pusat ke lutut pada keadaan berlapik tidaklah mengapa,asalkan si suami dapat mengawal dirinya daripada melakukan persetubuhan dan jika dengan cara itu dapat melegakan dan memuaskan suami.
  • Namun jika di khuatiri berlakunya persetubuhan eloklah dijauhkan kawasantersebut.

64. Saya sering menghadapi masalah untuk menerangkan persoalan-persoalan mengenai khinzir kepada bukan muslim diluar negara.

Soalan :  Assalamualaikum Dato' Mufti

Saya ada beberapa soalan penting seperti di bawah; saya sekarang tinggal di luar negara, dan saya sering menghadapi masalah untuk menerangkan persoalan-persoalan di bawah kepada orang bukan muslim berkenaan persoalan dibawah..

1. Kenapa dan mengapakah umat Islam di haramkan memakan khinzir, atau menyentuh khinzir.

2. Adakah mencukupi jika saya menyentuh khinzir atau bahagian daripadakhinzir, kemudian saya mencuci anggota badan yang tersentuh khinzir itu hanya dengan sabun sahaja?

3. Kenapa dan mengapakah umat islam di haramkan menyentuh anjing.

4. Bilakah dan bagaimanakah keadaannya yang membolehkan umat islam menyentuh anjing. seperti yang saya pernah dengar sekiranya kering sama kering maka kita boleh mnyentuh anjing dan cuma perlu basuh denga sabun sahaja tangan kita kemudian...kalau basah dengan kering kita wajib samak?

5. Bolehkah umat Islam memelihara anjing?

6. Bagaimanakah cara untuk membersihkan anggota badan yang di jilat oleh anjing?

Itu sahaja buat masa ini, dan saya amat berharap pihak tuan mufti dapat memberikan penerangan yang terperinci dan jelas berkaitan dengan persoalan saya ini. Kerjasama dan sokongan daripada pihak tuan mufti amatlah saya hargai.

Jawapan : 

  • Pengharaman memakan daging khinzir oleh umat Islam telah disebut oleh Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah ayat 173. Larangan ini juga termasuk menyentuh atau memegang binatang tersebut. Dunia perubatan pada hari ini telah membuktikan bahawa di dalam daging khinzir, darah dan usus-ususnya terdapat sejenis cacing yang sangat merbahaya (cacing pita dan telur-telurnya yang keras) yang boleh mendatangkan penyakit kepada manusia. Inilah hikmah pengharaman ke atas binatang tersebut. Di sini telah terbukti betapa agungnya Syariat Allah S.W.T. yang mendahului ilmu pengetahuan manusia.
  • Seluruh bahagian anggota khinzir dikategorikan sebagai najis mughallazah(najis berat). Saudara hendaklah mencuci anggota badan yang terkena najis tersebut sebanyak tujuk kali basuhan air dan mula-mulanya dengan air yang bercampur tanah (tanah liat) sebanyak 1 x.
  • Pengharaman ke atas anjing termasuk memakan dagingnya, menyentuhatau memegangnya. Ada pun pengharaman ke atas binatang ini tidak disebut oleh Allah S.W.T. di dalam Al- Quran tetapi ada disebut di dalam hadis Rasulullah S.A.W. Anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah (najis berat). Pengharaman ke atas anjing diqiaskan kepada pengharaman ke atas khinzir kerana sifatnya yang kotor dan menjijikkan.
  • Jika anggota yang tersentuh itu adalah kering sama kering, maka tidak perlu disamak, cukup sekadar membasuh anggota yang terkena najis dengan sabun. Tetapi jika sebaliknya (basah sama basah atau kering sama basah) maka wajib disamak iaitu kaedahnyanya sama seperti perkara no. 2 di atas.
  • Umat Islam diharuskan memelihara anjing sekiranya digunakan untuktujuan tertentu seperti polis menggunakan anjing untuk mengesan, pemburu menggunakan anjing untuk memburu, petani memelihara anjing untuk menjaga kawasan tanaman dan sebagainya. Tetapi harus diingat bahawa kaedah penjagaan ke atas binatang tersebut hendaklah mengikut cara yang telah ditetapkan di dalam Islam.

65. Bolehkah kita bunuh anjing terbiar dengan mengunakan racun dan sebagainya.?

Soalan :  Bolehkah kita bunuh anjing terbiar dengan mengunakan racun dan sebagainya.?

Jawapan :  Islam membuat garis panduan jika seseorang hendak membunuh binatang yang membahayakan hendaklah dengan cara yang baik. Iaitu dengan mematikan segera, tidak berbentuk penyeksaan kepada binatang dengan menanggung sakit yang berpanjangan dan penderitaan. Pembunuhan secara ditembak diharuskan sekiranya anjing itu ajing liar.

66. Harap dapat terangkan cara terbaik menguruskan temuni bayi kerana ada yang mengatakan elok ditanam bersama takar tanah tertutup dan sebagainya. Adakah salah saya menanam temuni bayi di kawasan perkuburan Islam? Apakah kesannya terhadap fizikal atau mental bayi?

Soalan :  Assalamualaikum Warah matullahi Wabarakatuh.

1. Harap dapat terangkan cara terbaik menguruskan temuni bayi kerana ada yang mengatakan elok ditanam bersama takar tanah tertutup dan sebagainya. Adakah salah saya menanam temuni bayi di kawasan perkuburan Islam? Apakah kesannya terhadap fizikal atau mental bayi?

2. Apakah keturunan Nabi Muhammad S.A.W. masih wujud hingga ke hari ini?Jika ya, dari nasab anak dan cucunya yang mana?

Jawapan :  Tembuni bayi hendaklah ditanam dalam tanah bagi mengelakan dimakan binatang dan bersepah-sepah merata-rata. Tempat menanamnya boleh dimana-mana yang difikirkan sesuai. Tidak disyariatkan bersama-sama takar tanah. Begitu juga, ia tidak memberi kesan kepada fizikal atau mental bayi.

67. Koleksi hadith yang terdapat dalam laman web JAIS terdapat satu hadith yang melarang seseorang duduk di atas kubur. Bagaimana pula duduk diantara kubur atau laluan dikuburkan dan bagaimana pula amalan membaca talqin yang panjang hingga memerlukan iman serta hadirin duduk? Boleh tuan jelaskan perkara ini dengan selanjutnya.

Soalan :  Assalamualaikum,

Koleksi hadith yang terdapat dalam laman web JAIS terdapat satu hadith yang melarang seseorang duduk di atas kubur. Bagaimana pula duduk diantara kubur atau laluan dikuburkan dan bagaimana pula amalan membaca talqin yang panjang hingga memerlukan iman serta hadirin duduk? Boleh tuan jelaskan perkara ini dengan selanjutnya.

Jawapan :  Duduk di atas kubur memang di larang. Adapun duduk di laluan ketika membaca talqin atau sebagainya adalah dibolehkan.

68. Apakah hukumnya menggunakan kad kredit suami untuk membayar ASTRO tanpa pengetahuannya dan ini kerana suami enggan bayar hutangnya.

Soalan :  Assalamualaikum,

Bekas suami saya masih berhutang dengan saya tetapi engggan membayarnya walaupun saya telah berkali-kali mengingatkannya.Jadi tanpa pengetahuannya saya telah telah menggunakan kad kreditnya untuk membayar langganan ASTRO sebanyak RM44.95 setiap bulan.Kejadian ini berlaku kerana nama saya masih digunakan untuk melanggan ASTRO di rumah kediamannya dan di rumah saya tinggal sekarang ini tetapi menggunakan kad kreditnya sebagai bayaran tetap setiap bulan.Sudah empat bulan perkara ini berlalu namun sehingga sekarang dia masih juga belum menyedari hal ini.Apakah perbuatan saya ini menyalahi hukum syarak?

Jawapan : 

  • Dalam Islam hutang mesti dibayar.
  • Puan sebaiknya memberitahu bekas suami, berapa banyak hutangnyakepada puan dan beritahu berapa yang puan tolak, menerusi langganan ASTRO.

69. Maksud tamadun insan.

Soalan : 

  • 1. apakah yang dimaksudkan dengan tamadun insan dan ciri-ciri tamadun insan?
  • 2. apakah kepentingan tamadun insan terhadap masyarakat?
  • 3. apakah kesan tamadun insan terhadap kehidupan sejagat?

Jawapan : 

Secara mudah tamadun bermakna maju atau kemajuan. Manakal tamadun insan adalah  kemajuan kemanusiaan. Kemjauan yang dicapai bagi kesejahetraan kehidupan manusia dalam erti kata yang sebenar. Untuk itu ia perlu mempunyai ciri yang selari dan serasi dengan manhaj ilahi, meliputi aspek akidah, syariah dan akhlak agar kemajuan yang dicapai itu seimbang, kebendaannya dan spritualnya.

Manusia dilantik untuk mengurus alam ini (sebagai khalifah). Dengan erti kata lain sebagai pemimpin untuk membangunkan alam ini bagi kesejahteraan hidup manusia, sebagai seorang individu juga sebagai ahli masyarakat dan negara. Di dunia dan di akhirat, kerana dunia merupakan jambatan bagi kehidupan di akhirat. Tegasnya bahagian di dunia dan bahagia di akhirat.

Rasulullah s.a.w. diutus sebagai pembawa rahmat untuk sekalian alam, syariat yang dibawa menjamin terbinanya tamadun insan yang dapat menjamin kehidupan sejagat. Meliputi Islam dan bukan Islam. Makhluk-makhluk lain juga dan keseluruhanya seperti alam sekitar yang nyaman.

Wallahu’alam.

70. Gandingan puasa Jumaat adalah hari Khamis atau Sabtu.

Soalan :  Isu ini selalu saya dengar dan banyak sangat pendapat dan pandangan yang berbeza saya terima.

Ada yang mengatakan puasa pada hari Jumaat perlu ada gandingan hari yang lain contohnya Khamis atau Sabtu. Ada pula yang kata, puasa pada hari Jumaat sahaja boleh tapi tidak digalakan tetapi tidak haram. Saya harap ustaz dapat membantu kerana saya agak keliru.

Saya mintak bantuan ustaz untuk menjelaskan isu ini, sama ada boleh atau tidak berpuasa pada hari Jumaat sahaja.

Jawapan : 

MAKRUH PUASA PADA JUMAAT SAHAJA
Al-Nawawi di dalam Minhaj al-Thalibin berkata: 
"Dimakruhkan berpuasa hari Jumaat secara bersendirian, dan pada hari Sabtu." 
(Bihamisy Mughnil Muhtaj, vol.1, hal. 447)
Makruh puasa pada hari Jumaat sahaja sekiranya puasa tersebut bukan puasa wajib. Begitu juga sekiranya berpuasa pada sabtu sahaja atau ahad sahaja.

Tidak menjadi makruh jika didahului atau disambung dengan hari yang dahulu atau berikutnya dan juga tidak makruh jika hari jumaat atau sabtu atau ahad itu terjatuh pada hari yang ia biasa berpuasa umpamanya ia berpuasa berbilang-bilang sehari puasa dan sehari buka, dan terjatuh hari puasanya pada hari jumaat atau sabtu atau ahad, demikian juga kalau hari-hari tersebut jatuh pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari Arafah, hari yang kesembilan Muharam dan hari yang kesepuluhnya ( Asyura ).

Puasa sunat boleh ditunaikan mengikut cara yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW iaitu jika puasa itu dimulai pada hari Jumaat maka hendaklah diikuti dengan berpuasa pada hari Sabtu.Ini adalah untuk membezakan cara puasa dalam agama Islam dengan agama Yahudi.



Wallahu’alam

71. Ibadah korban untuk orang yang sudah meninggal dunia.

Soalan :  Bolehkah kita melakukan ibadah qurban kepada orang yang telah mati.

Jawapan : Tidak harus bagi ahli waris mahupun orang lain melakukan korban bagi orang yang sudah meninggal dunia dan tidak sah korban yang dilakukan melainkan jika orang yang telah meninggal dunia itu pernah mewasiatkan sedemikian.

Apabila orang yang diwasiatkan melakukan korban bagi pihak si mati, maka  dia tidak boleh memakan daging tersebut dan juga tidak boleh menghadiahkannya kepada orang kaya kecuali jika ada keizinan awal daripada si mati.

Oleh yang demikian, daging tersebut wajib diagihkan kesemuanya kepada fakir miskin.

Wallahu’alam

72. Beza zakat, infaq dan sedekah.

Soalan :  Hamba yg jahil ni mohon diberi penerangan perbezaan antara zakat, infaq dan sedekah

Jawapan : Dalam penjelasan tentang makna istilah dari zakat, kita telah mengetahui bahawa zakat adalah kewajipan harta yang spesifik, memiliki syarat tertentu, hak yang tertentu dan waktu tertentu. Sedangkan infaq iaitu mengeluarkan harta yang mencukupi zakat dan bukan zakat.

Infaq ada yang wajib ada yang sunat. Infaq wajib, diantaranya infaq kepada fakir miskin sesama Muslim , infaq bencana alam dan sebagainya.
Sedangkan sedekah maknanya lebih luas dari zakat dan infaq. Sedekah boleh bermakna infaq, zakat dan kebaikan bukan material. Dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. member jawapan kepada orang-orang miskin yang cemburu terhadap orang kaya yang banyak bersedekah dengan hartanya, beliau bersabda :

“Setiap tasbih adalah sedekah, setiap takbir sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, amar ma’ruf sedekah, nahi mungkar sedekah sedekah dan menyalurkan syahwatnya pada isteri juga sedekah”.

Sedekah adalah ungkapan kejujuran (shidq) iman seseorang. Oleh kerana itu Allah s.w.t. menggabungkan antara orang yang member harta di jalan Allah dengan orang yang membenarkan adalah pahala yang terbaik. Antara orang yang bakhil dengan orang yang mendustakan. Disebutkan dalam surah Al-Lail ayat 5-10 yang bermaksud :

“adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah dan bertakwa dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka kami kelak akan menyiapkan baginya (jalan) yang mudah. Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak kami menyiapkan baginya (jalan) yang sukar”.

Wallahu’alam

end faq