Webmail

Waktu solat
  • Imsak 05:37
  • Subuh 05:47
  • Syuruk 07:01
  • Zohor 13:08
  • Asar 16:15
  • Maghrib 19:10
  • Isyak 20:19

carian1akses

A- A A+
Arial | PT Sans | Century

Munakahat

1. Apakah sah ta'liq yang dilafazkan dan dipersetujui oleh pihak yang bersetuju tetapi tidak tidak dilakukan didalam suatu majlis?

Soalan : Assalamualaikum Dato', Saya telah beberapa kali menerima e-mail berkenaan Imam Mahadi. Di sini saya lampirkan. Harap Dato' dapat memberi sedikit penerangan kepada saya terutamanya Imam Mahadi berasal dari Bani Jawi. Jazakallahukhairan Kathira.

Jawapan :

  • Ta'liq yang dilafazkan dan dipersetujui akan menjadi sah, sekiranya sesuatu perbuatan yang dilakukan memenuhi syarat yang telah disyaratkan dalam ta'liq tersebut.
  • Ta'liq tetap akan jatuh walaupun dilakukan tanpa niat, tanpa disedari atau tidak sengaja.
  • Talaq ta'liq akan gugur setelah suami rujuk kepada isteri.

2. Difahamkan semua bakal pengantin di Selangor akan diuji HIV mulai September 2005. Bagaimana jika pasangan tersebut, menghidapi HIV ?

Soalan : Bagi pihak kawan saya, Difahamkan semua bakal pengantin diselangor akan diuji HIV mulai Sept 2005. Bagaimana jika pasangan tersebut ada HIV . Adakah pasangan tersebut tidak dibenar-kan berkahwin? Atau pun sekiranya kedua-dua pasangan bersetuju meneruskan perkahwinan adakah ujian ini sulit? Kami ingin penjelasan?

Jawapan : Jika pasangan tersebut ada HIV positif, pasangan berkenaan tiada halangan untuk meneruskan perkahwinan. Sila rujuk ke Jabatan Agama Islam Selangor, Bahagian Perundangan Keluarga (Unit Khidmat Nasihat) di talian 03-55143461/3460/3463 untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya. Ujian HIV sulit dan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

3. Adakah dalam Islam dibolehkan bersanding walaupun tanpa bertepung tawar?

Soalan : Adakah dalam Islam dibolehkan bersanding walaupun tanpa bertepung tawar, saya jadi keliru. adakah sekadar untuk mengambil gambar diatas pelamin sememangnya tidak boleh ke?

Jawapan :

  • Persandingan merupakan budaya yang dicedok daripada masyarakat Hindu seperti juga berinai. Di dalam Islam tidak disyariatkan perbuatan tersebut.
  • Namun jika bertujuan sebagai kenang-kenangan, ia diharuskan tetapi perlulah diikuti dengan beberapa syarat.
    • Memastikan pasangan pengantin menutup aurat.
    • Tidak mempertontonkan secara terbuka kepada yang bukan mahram.
    • Pakaian dan perhiasan selaras dengan kehendak syara'

4. Apakah jatuh talak oleh suami terhadap isterinya dengan niat untuk bergurau semata-mata?

Soalan : Apakah jatuh talak oleh suami terhadap isterinya dengan niat untuk bergurau semata-mata?

Jawapan : Hukumnya jatuh talak walaupun dengan berniat gurauan semata-mata. Sabda Rasulullah S.A.W "Tiga perkara sekiranya bersungguh-sungguh dengan dikira sungguh iaitu nikah, talak dan memerdekakan hamba".

5. Suami saya yang tidak bekerja selama lebih daripada 3 tahun

Soalan : Assalamualaikum,

Tuan/Puan,

Saya ingin meminta nasihat berkenaan masalah rumahtangga yang saya hadapi sekarang.

Saya telah berkahwin selama lapan tahun. Kira-kira 7 tahun yang lalu saya pernah melahirkan seorang anak lelaki tetapi meninggal dunia semasa dalam pantang. Sehingga kini kami masih belum dikurniakan anak lagi. Masalah saya sekarang ini ialah berkenaan dengan suami saya yang tidak bekerja selama lebih daripada 3 tahun.

Saya telah menasihatkan suami saya berkenaan tanggungjawabnya sebagai suami dan hak saya sebagai isteri dari segi nafkah zahir yang wajib diberikan. Saya telah berusaha mencarikan pekerjaan untuknya tapi dia masih tidak mahu bekerja. Pihak keluarga suami saya juga tidak pernah berusaha untuk menasihatkan suami saya, mungkin kerana saya bekerja.

Saya sangat berharap agar pihak Tuan/Puan dapat membantu dari segi nasihat dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini.

Sekian, terima kasih.

Jawapan : Sepatutnya suami bertanggungjawab untuk mencari nafkah untuk keluarga, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Jika Puan telah puas menasihati suami dan suami tidak berubah apa-apa, maka kami menasihatkan agar puan dan suami mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling dari pihak yang arif dalam soal masalah rumahtangga.

Sila hubungi Bahagian Perundangan Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor di talian 03-55143472 / 03-55143439 atau 03-55143461.

6. Kaedah-kaedah khususnya kaedah yang melibatkan kaedah fiqhiyyah dalam menetapkan kadar mahar sebanyak RM 80 yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor

Soalan : Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Saya adalah seorang pelajar disalah sebuah institusi awam di Malaysia ingin meng-etahui kaedah-kaedah khususnya kaedah yang melibatkan kaedah fiqhiyyah dalam menetapkan kadar mahar sebanyak RM 80 yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor. Saya berharap pihak Jabatan Mufti Selangor dapat menjelaskan perkara ini...

Sekian. terima kasih. Wassalam.

Jawapan : Kaedah khusus yang melibatkan kaedah fiqhiyyah dalam menetapkan kadar mahar sebanyak RM 80.00 ialah kaedah Khowaid Fiqqiah. Maksud Khowaid Fiqqiah "iaitu adat boleh dijadikan hukum, asalkan tidak melanggar batasan hukum syara'".

7. Saya berniat menceraikan isteri saya kerana selepas kadi dalam khutbahnya ada menyatakan bahawa seorang isteri boleh menuntut cerai sekiranya mengetahui si suami ada melakukan maksiat, penyakit kronik dan sebagainya sebelum beliau disetubuhi.

Soalan : Asalamualaikum.

Saya baru sahaja mendirikan rumahtangga minggu lalu dan kini saya berniat menceraikan isteri saya. Niat ini timbul selepas kadi dalam khutbahnya ada menyatakan bahawa seorang isteri boleh menuntut cerai sekiranya mengetahui si suami ada melakukan maksiat, penyakit kronik dan sebegainya sebelum beliau disetubuhi.

Untuk pengetahuan ustaz, saya pernah melakukan zina dengan seorang teman saya pada tahun lalu. Namun, saya setelah saya menyatakan kepada kekasih saya ini (sekarang sudah menjadi isteri) yang saya telah melakukan dosa, namun dia tidak mahu menerima hakikat utk berpisah malah telah berkeras utk bertunang dengan saya. Kini, perasaan bersalah itu datang kembali dan saya terpanggil utk meninggalkannya dengan cara yang paling baik. Saya berniat utk bertanggungjawab atas perbuatan saya yang lalu.

Untuk pengetahuan ustaz, saya masih belum menyetubuhi isteri saya namun begitu, saya ada bercumbuan dengannya dan pernah sekali memasukkan sedikit zakar saya kedalam kemaluannya (tidak sampai ke hujung) (adakah ini sudah dianggap bersetubuh?). Saya juga ada menyatakan hasrat saya sejak dari malam pertama perkahwinan kami namun isteri saya masih enggan menerimanya.

Sila beri pandangan serta nasihat. Terima kasih.

Jawapan :

  • Perbuatan encik yang menyesali kesilapan yang lalu merupakan petanda yang baik. Namun encik perlu ingat bahawa tanggungjawab sebagai seorang suami terhadap isteri perlu dilaksanakan dengan ikhlas dan sepenuh hati.
  • Walaubagaimanapun, adalah lebih baik jika encik berinteraksi dengan Pegawai Kaunseling
  • Rumahtangga di Jabatan Agama Islam Selangor di talian 03-55143461 @ 03-55143460 @ 03-55143471 untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pandangan mereka.

8. Saya baru melangsungkan perkahwinan sebulan yang lalu, di sini saya ingin bertanya adakah benar haram hukumnya jika suami isteri memanggil pasangan masing-masing dengan gelaran mama dan baba?.

Soalan : Assalamualaikum ustaz,

Saya baru melangsungkan perkahwinan sebulan yang lalu, di sini saya ingin bertanya adakah benar haram hukumnya jika suami isteri memanggil pasangan masing-masing dengan gelaran mama dan baba?

Jika benar haram hukumnya, bagaimanakah caranya untuk kami bertaubat bagi membetulkan kembali kesalahan ini.

Diharap ustaz dapat membantu saya, ini adalah kerana saya amat bingung dengan perkara ini.

Terima kasih

Jawapan : Tidak berdosa memanggil pasangan masing-masing dengan gelaran mama & baba. Ini adalah kerana Islam tidak meletakkan satu panggilan khusus bagi pasangan suami dan isteri ketika berinteraksi antara satu sama lain. Walaubagaimanapun Islam menggalak-kan suami isteri memanggil dengan panggilan yang paling disukai oleh pasangan masing-masing. Dengan cara yang demikian, hubungan antara suami isteri akan men-jadi mesra dan kehidupan akan bertambah harmonis.

9. Tempoh edah dan perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan oleh isteri dalam tempoh itu.

Soalan : Assalamualaikum;

Harap berikan tempoh edah dan perkara2 yang tidak boleh dilakukan oleh isteri dalam tempoh itu. Harap mendapat jawapan bagi soalan ini.

Terima Kasih,

Jawapan : Tempoh Edah Bagi Isteri Yang Kematian Suami :-

  • Jika Isteri mengandung edahnya ialah dengan lahir anaknya.
  • Jika tidak mengandung edahnya 4 bulan 10 hari.

Larangan Dalam Masa Edah

  • Tidak boleh berhias seperti memakai pakaian berwarna dengan tujuan bersolek.
  • Tidak boleh memakai gelang waktu siang hari.
  • Tidak boleh memakai bahan yang wangi pada badan, pakaian dan makanan.
  • Tidak boleh bercelak dengan celak hitam, tetapi celak warna putih kerana buat ubat di haruskan pada waktu malam sahaja.
  • Wajib sentiasa duduk di rumah kecuali ada hajat seperti membeli makanan atau di ganggu keselamatan.
  • Tidak boleh menunaikan haji dan umrah dalam masa edah. Perempuan yang meninggalkan berkabung adalah berdosa.

10. Saya telah sebulan mendirikan rumahtangga. Masalah yang kami hadapi sekarang ialah kami belum pernah lagi melakukan hubungan seks. Kerana disebabkan beberapa faktor seperti isteri takut, tiada keinginan, keletihan dan tinggal berasingan. Adakah ianya tidak menjadi kesalahan.

Soalan : Saya telah sebulan mendirikan rumahtangga. Masalah yang kami hadapi sekarang ialah kami belum pernah lagi melakukan hubungan seks. Kerana disebabkan beberapa faktor seperti isteri takut, tiada keinginan, keletihan dan tinggal berasingan. Adakah ianya tidak menjadi kesalahan.

Saya ada terdengar orang menyatakan bahawa kalau sampai sesuatu masa (3 kali suci) kita masih belum melakukan hubungan seks, maka kita boleh berdosa. Betul ke ustaz?

Jawapan : Suami bertanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri. Nafkah batin : hubungan seks.

Adalah menjadi kesalahan jika suami tidak menunaikannya. Mahkamah Syariah boleh mengambil tindakan kepada suami sekiranya isteri membuat aduan di Pejabat Agama atau Mahkamah Syariah.

11. Adakah jatuh talak atas isterinya yang sedang mengandung, sedang ia tidak mengetahui isterinya sudah mengandung 3 bulan.

Soalan : Kawan saya ada masalah dengan penceraiannya :-

1. Adakah jatuh talak ke kawan saya atas isterinya yang sedang mengandung, sedang ia tidak mengetahui isterinya sudah mengandung 3 bulan.

2. Sekiranya jatuh talak, bagaimana ia ingin rujuk kembali kepada isterinya yang sudah tamat tempoh edahnya?

Jawapan : Talak jatuh dengan ucapan yang jelas.

12. Bolehkah saya mendapatkan surat taraf mastautin di JAIS dalam bahasa Inggeris?

Soalan : Saya bercadang untuk mendirikan rumah tangga dengan warga negara Jerman. Saya ingin mendapatkan beberapa kepastian, kami ingin menjalankan perkahwinan ini di German, menurut undang-undang sivil Germany, saya memerlukan surat taraf mastautin, bolehkah saya mendapatkan surat ini di JAIS dalam bahasa Inggeris?

Kami akan mengadakan akad nikah di Germany, ayah saya tidak dapat menghadirkan diri tapi akan mewakilkannya kepada seseorang. Adakah sah jika wali saya mewakilkan dirinya kepada rakan bakal suami saya di German yang beragama Islam atau pun pada imam di masjid itu sendiri?

Adakah saya perlu mendapatkan kebenaran dari JAIS untuk perkahwinan kami di German? Terima kasih di atas pertolongan tuan.

Jawapan :

  • Boleh, surat mastautin dalam Bahasa Inggeris boleh diperolehi dari JAIS, sila berhubung dengan Bahagian Perundangan Keluarga Tingkat 4, Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, Persiaran Masjid Negeri, 40000 Shah Alam. No. Tel : 03-55143461 (Ustazah Jamilah), 03-55143460 (Ustaz Suhaini bin Ahmad Wakid)
  • Sah dan perlu perolehi surat wakalah dari JAIS seperti alamat dan telefon yang tertera di atas.

13. Adakah jatuh talak atas isterinya yang sedang mengandung, sedang ia tidak mengetahui isterinya sudah mengandung 3 bulan.

Soalan : Kawan saya ada masalah dengan penceraiannya :-

1. Adakah jatuh talak ke kawan saya atas isterinya yang sedang mengandung, sedang ia tidak mengetahui isterinya sudah mengandung 3 bulan.

2. Sekiranya jatuh talak, bagaimana ia ingin rujuk kembali kepada isterinya yang sudah tamat tempoh edahnya?

Jawapan : Talak jatuh dengan ucapan yang jelas.

14. Apakah maksud Pinang Kinayah?

Soalan :
1)Saya ingin bertanya, apakah "pinang kinayah" dan adakah pinang ini sah?


2)Apakah hukum mengangap 'lelaki itu suamiku' dan 'wanita itu isteriku' padahal mereka belum menikah.

Jawapan : Pinangan kinayah bermaksud :

  • Lafaz pinangan secara kinayah atau sindiran .

Harus seseorang lelaki meminang seseorang perempuan yang beriddah bukan iddah raji;ah secara sindiran (kinayah).

Perempuan yang beriddah bukan iddah raji’ah ialah yang beriddah kerana kematian suami atau persetubuhan syuhbhah atau bercerai bain dengan talak atau nasakh atau ternasakh kerana murtad.

Haram dengan ijmak, meminang perempuan yang beriddah bukan iddah raji’ah secara terang (sorih).

Tidak harus seseorang lelaki meminang seseorang perempuan yang masih di dalam iddah raji’ah walaupun secara sendirian kerana hukuman seperti meminang secara terang iaitu haram.

  • Menganggap (lelaki itu suamiku) dan (wanita itu isteriku) pada hal mereka belum bernikah hukumnya adalah haram.

Wallahu’alam..

15. Hukumnya seorang suami bernikah dengan seorang wanita lain di Siam tanpa pengetahuan isterinya.

Soalan : Apakah hukumnya seorang suami bernikah dengan seorang wanita lain di Siam tanpa pengetahuan isterinya

Jawapan : Seorang suami dibolehkan untuk bernikah dengan seseorang wanita lain tanpa pengetahuan isterinya. Namun, bagi pernikahan yang dijalankan di luar negara, perlulah mengemukakan dokumen daripada perintah mahkamah yang tertakluk dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam mengikut undang-undang yang telah ditetapkan bagi setiap negeri.

Walaubagaimanapun, puan dinasihatkan berbincang dengan suami untuk menjaga keharmonian rumahtangga dan semua pihak.

Sekiranya pernikahan yang dilakukan di Siam itu cukup syarat dan rukunnya sah disisi syarak walau tidak sah disisi undang-undang dunia.

16. SOCSO dan harta sepencarian.

Soalan : Adakah wang dlm kwsp dan SOCSO dikira harta sepencarian? 
Bagaimanakah caranya membahagikan harta bukan sepencarian kepada
waris-waris? Adakah layak suami mendapat harta bukan sepencarian.

Jawapan : Harta sepencarian mengikut syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tuntutan biasanya ditimbulkan oleh isteri atau bekas isteri apabila membabitkan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan sama ada secara tak langsung misalnya urusan menguruskan rumah tangga. Sumbangan secara langsung misalnya isteri mengeluarkan modal terutama dalam bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan.

Begitu juga jika satu pihak itu meninggal dunia, pasangan akan meminta harta itu dibahagikan dulu sebagai harta sepencarian sebelum diisytihar sebagai harta pusaka.

Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah mengatakan, dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu.

Pemilikan ke atas sesuatu harta bukan berdasarkan kepada nama atas harta itu semata-mata kerana nama tertera belum membuktikan dia pemilik sebenar. Kenyataan itu dibuat dengan maksud adalah satu kezaliman jika hak milik sesuatu harta hanya diambil kira berdasarkan nama atas harta itu semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tidak dinyatakan ke atas harta berkenaan.

Rasional keharusan pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan syarak terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak berusaha mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Hukum harta sepencarian tidak dinyata secara jelas. Cuma pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan dan hak.Prosedur pembahagian harta sepencarian juga tidak dinyatakan secara tepat dalam hukum syarak. Merujuk kepada amalan biasa penghakiman di mahkamah syariah, pembahagian harta sepencarian ke atas seorang isteri ditentukan setakat harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.

Ini termasuk sumbangan isteri menguruskan rumah tangga, menjaga anak, melayan suami, menyebabkan suami merasa kehidupan yang tenang dan dapat menumpukan kerjaya sehingga suami dapat memperoleh harta dalam tempoh perkahwinan mereka. Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada isteri.



Seksyen 122 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUKIS 2003 menetapkan: Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu.



Kemudian seksyen 122 (2) menjelaskan, pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian mengenai:

Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu,
Apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka,
l Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada seksyen 122 (2), mahkamah hendaklah membuat pertimbangan sama banyak. Namun, mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122(3).

Untuk menjalankan perintah di bawah Seksyen 122(3) mahkamah hendaklah memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 122 (4):
l Takat sumbangan yang dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga,
l Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.


Tertakluk kepada pertimbangan seksyen 122(4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah, tetapi walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Perbezaan harta sepencarian dan faraid adalah faraid pembahagian harta pusaka yang ditetapkan syarak kepada para ahli waris. Ada tiga golongan ahli waris yang melayakkan mereka menerima harta pusaka, pertama, melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan juga wala' (hubungan kekeluargaan). Isteri termasuk dalam golongan waris yang layak menerima pusaka melalui hubungan perkahwinan.

Hukum pusaka disyariatkan dalam Islam. Ia telah disahkan serta dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah serta ijma' ulama.

wallahua’lam.

17. Fatwa Berkenaan Barang Hantaran Perkahwinan

Soalan : Mohon penjelasan mengenai perkara iaitu “Fatwa Berkenaan Barang Hantaran Perkahwinan”daripada pihak yang berkaitan.

Jawapan : 1) Merujuk kepada Majlis Fatwa Selangor, tiada fatwa yang telah diwartakan berkenaan dengan hantaran perkahwinan.
2) Jika dilihat dari sudut garis panduan majlis perkahwinan, barang iringan atau hantaran adalah hadiah daripada kedua-dua belah pihak yang diharuskan oleh syarak. Ia mestilah dengan niat yang ikhlas, tidak riak, berbangga-bangga, bermegah-megah dan berlebih-lebihan.
3) Tepak sirih/ sirih junjung adalah adat semata-mata. Hukumnya adalah harus dengan syarat tidak bercanggah dengan aqidah dan syariat, dan tidak ada apa-apa kepercayaan disampingnya.
4) jumlah hantaran adalah mengikut kemampuan dan tidak terikat kepada jumlah bilangan yang ganjil. (rujukan: garis panduan majlis perkahwinan, Jabatan Mufti Selangor)

18. Pinggan dan mangkuk yang disimpan di keluarkan zakat.

Soalan : Adakah wajib pinggan dan mangkuk yang disimpan di keluarkan zakat?

Jawapan : Wajib zakat pinggan mangkuk tersebut jika ia diperbuat daripada emas dan perak.

Zakat yang dikeluarkan adalah mengikut kadar emas dan perak yang terkandung di pinggan dan mangkuk tersebut. Dan cukup nisab dan haulnya.

Emas dan perak yang bercampur tidak diwajibkan zakat, kecuali jika cukup nisabnya apabila dibersihkannya. Nisab emas ialah 20 miskal dan perak ialah 200 dirham.

Emas ataupun perak yang bercampur dengan galian yang lain seperti tembaga atau lainnya jika tidak cukup nisab apabila diasingkan emas ataupun perak, tidak wajib zakat tetapi apabila diasingkan cukup nisab, wajib zakatnya. Ruj: Kitab Matla’ badrain “Bab Zakat”.

 

19. Pengantin perempuan memakai inai

Soalan : Apakah hukum pengantin perempuan memakai inai yang tidak memakai melebih-lebih seperti bunga dan daun hingga melepasi pergelangan tangan? Apakah yang sebaiknya ukiran yang dibenarkan dalam hukum Islam jika ingin jua memakai?

Jawapan : Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah harus bagi wanita sama ada yang sudah berkahwin atau belum. Walaubagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warnanya tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan.

Corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syara’ adalah dilarang. Sila rujuk kepada e-fatwa bertajuk ‘Inai’

end faq