Webmail

Waktu solat
  • Imsak 05:41
  • Subuh 05:51
  • Syuruk 07:11
  • Zohor 13:23
  • Asar 16:45
  • Maghrib 19:30
  • Isyak 20:44

carian1akses

A- A A+
Arial | PT Sans | Century

Muamalat

1. Hukum sama ada keuntungan daripada melabur di internet adalah halal atau haram

Soalan :

Assalamualaikum,

Merujuk kepada perkara diatas, saya ingin mendapat penjelasan hukum sama ada keuntungan daripada melabur di internet adalah halal atau haram. Baru-baru ini saya telah melayari laman web http://www.studiotraffic.com dan telah pun mendaftar & melabur pada program tersebut. Bagaimanapun setelah berbuat demikian saya berasa was-was sama ada wang keuntungan yang bakal saya perolehi halal atau pun haram. Begini lah secara terpeinci program tersebut.

*Setiap peserta baru yang mendaftar akan dikreditkan USD10 didalam akaun nya yang dikenali sebagai "akaun level". 
*Peserta boleh menambah wang untuk menaikan "akaun level" supaya keuntungannya lebih besar. Wang yang digunakan untuk menaikkan "akaun level" ini merupakan yuran bagi program ini. Oleh yang demikian ia tidak dikembalikan peserta. 
*Yuran ini hanya sah dalam tempoh masa setahun. Oleh yang demikian sekiranya peserta perlu membayar yuran baru pada tahun berikutnya sekiranya beliau ingin meneruskan program tersebut. Peserta juga tidak boleh melabur melebihi USD15,000. 
*Peserta akan menerima 1% dari "akaun level" setiap hari sekiranya peserta melayari laman web yang memaparkan iklan barang-barang & servis. 
*Iklan, wang dari yuran peserta & beberapa bisnes lain seperti jualan servis untuk membuat laman web dan sebagainya adalah merupakan punca pendapatan syarikat ini yang mana digunakan bagi membayar 1% setiap hari kepada peserta yang melayari laman web yang mengandungi iklan tersebut. 
*Keuntungan 1% ini akan dikurangkan oleh penganjur sekiranya wang simpanan oleh syarikat tersebut semakin susut untuk mengelakkan kerugian kepada semua pihak. 
*Peserta akan menerima komisen tambahan sekiranya ia mendapatkan orang lain yang turut melabur dalam program tersebut. Ia bebeza dengan sistem piramid kerana komisen ini hanyalah diberikan jika peserta tersebut melabur sahaja. Komisen tidak diberikan sekiranya peserta yang baru ini mendapatkan peserta tambahan. Jadi ia cuma satu level sedangkan sistem piramid mempunyai banyak level. 
*Peserta dibenarkan mengeluarkan wang keuntungan setiap bulan tetapi hanya jika "akaun level" nya melebihi USD100. Program ini berlainan dengan skim cepat kaya yang jelas haramnya dari segi; 
*Skim cepat kaya adalah sistem piramid dimana wang peserta yang baru menyertai dibahagikan kepada peserta lama sebagai keuntungan. Sedangkan program ini hanya menggunakan sebahagian daripada yuran peserta, wang dari penyiaran iklan dan bisnes lain untuk dibahagikan kepada peserta. 
*Skim cepat kaya biasanya mampu bertahan lama kerana tiada sumber pendapatan selain dari yuran peserta sedangkan program ini mempunyai pendapat lain. 

*Skim cepat kaya memberi keuntungan kepada peserta tanpa peserta mebuat apa-apa sedangkan program ini memerlukan peserta melayari laman web iklan yang merupakan pendapatan bagi syarikat tersebut. 
*Skim cepat kaya tidak mempunyai perancangan teliti bagi mengelakkan kerugian kepada peserta kemudian. Sedangkan program ini mempunyai langkah-langkah tertentu bagi mengelakkan peserta baru mengalami kerugiaan. Ini termasuklah mengurangkan kadar keuntungan, mencari peluang bisnes baru dan sebagainya.

Dengan perancangan teliti dari program ini telah bertahan hampir 3 tahun dan ia masih mampu berkembang & inilah sebabnya saya menyertainya. Walau bagaimanapun saya memerlukan bimbingan dari pihak yang arif dari sudut agama bagi meyakinkan saya wang ini halal atau haram. Sekiranya penjelasan saya ini kurang jelas sila rujukkan kepada siapa saya harus hubungi. Saya akan menghubungi beliau melalui panggilan telepon.

Jawapan : Fatwa mengenainya belum diputuskan. Pihak kami akan mengambil maklum perkara tersebut dan akan mengkajinya.

2. Hukum sama ada keuntungan daripada melabur di internet adalah halal atau haram

Soalan : Assalamualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya tentang persoalan hukum jika saya menjadi agent unit trust? Terima Kasih .

Jawapan : Bergantung kepada bentuk perniagaan/pelaburan. Sekiranya tidak bercanggah dengan syara', anda boleh menjadi agent unit trust.

3. Hukum tentang pelaburan wang dalam pasaran matawang [money exchanged]

Soalan : 

Assalamualaikum , Sahibus Samahah Dato' ,

Saya ingin bertanyakan hukum tentang pelaburan wang dalam pasaran matawang "money exchanged'. Adakah pelaburan tersebut dibenarkan dari segi syara' ?

Terima kasih.

Jawapan :Pelaburan wang dalam pasaran matawang, harus hukumnya. Ia mengambil keuntungan sebagai perkhidmatan dari pasaran pertukaran wang semasa. Tidak terdapat penindasan atau riba dalam pelaburan tersebut.

4. Perniagaan MLM seperti hukum riba, yang mana lebih teruk dari berzina dengan ibu sendiri

Soalan : Assalamualaikum ,

Tuan, Saya mohon pandangan tuan yang meletakkan peluang perniagaan MLM seperti hukum riba, yang mana lebih teruk dari berzina dengan ibu sendiri.

Jawapan : Sesuatu perniagaan yang dijalankan itu sekiranya ada unsur-unsur perjudian, penipuan, penindasan dan lain-lain ia adalah haram dari segi syarak.

5. Hukum program Multi Level Marketing (MLM).

Soalan : Assalamualaikum, Saya ingin bertanya apakah hukum program Multi Level Marketing (MLM) ? Ada sesetangah pendapat mengatakan shubahat, ada yang harus dan ada yang haram.. terima kasih

Jawapan : Sesuatu perniagaan yang dijalankan itu sekiranya ada unsur-unsur perjudian, penipuan, penindasan dan lain-lain ia adalah haram dari segi syarak.

6. Hukum sama ada keuntungan daripada melabur di internet adalah halal atau haram

Soalan : Assalamualaikum tuan, Saya ingin mengajukan sedikit kemusykilan kepada tuan.

Untuk pengetahuan tuan sekarang ini tengah panas satu skim menjana pendapatan melalui internet. Ramai rakan-rakan saya yang telah menyertainya dan berjaya. Saya pun ingin menyertainya tetapi risaukan halal haramnya perkara ini. Seorang rakan saya memberitahu satu pelaburan yang sudah diketuahui pulangannya seperti akaun simpanan tetap adalah haram. Skim ini secara kasarnya menetapkan pulangan sebanyak 12% sehari dengan syarat kita melayari lamam web yang ditetapkan untuk satu tempoh masa setiap hari. Laman yang menawarkan skim-skim tersebut adalah www.studiotraffic.com dan www.12dailypro.com.

Saya telah mengajukan soalan ini di laman web JAKIM supaya mengeluarkan fatwa tapi masih tidak mendapat balasan. Saya sudah bersoal jawab dengan seorang pegawai JAKIM tapi disebabkan kami hanya bertemu berdepan tanpa merujuk laman tersebut, maka beliau tidak mendapat gambaran sebenar skim tersebut. Jika tuan tidak keberatan, bolehkah tuan tolong siasat perkara ini atau ajukan kepada pihak yang berkenaan.

Jawapan : Perniagaan yang tidak pasti dan berunsur pernipuan adalah haram.

7. Hukum menambah pendapatan melalui internet dipanggil autosurf.

Soalan : Kebelakangan ini saya sering menerima kiriman e-mail mengenai menambah pendapatan melalui internet dipanggil autosurf yang mana kita dibayar melayari laman web. Program ini seperti kita membantu untuk meramaikan pengguna laman web tersebut. Maka syarikat-syarikat perniagaan yang berminat akan membayar untuk mempromosikan produk mereka ke dalam laman web ini.

Yang menjadi kemusykilan saya ialah, kita tidak mengetahu samada, ada syarikat arak atau judi mempromosikan produk mereka ke dalam laman web ini dan sekiranya ada, adakah bayaran yang kita terima untuk melayari laman web tersebut menjadi haram? Ini untuk rujukan ustaz : http://www.12dailypro.com

Jawapan : Menambah pendapatan melalui internet tanpa mengeluarkan wang sebagai pertaruhan, tidaklah menjadi keslahan. Syarikat yang hendak mempromosikan produk mereka dengan bayaran, boleh kita terima. Tetapi sekiranya barang yang dipromosikan itu adalah produk barang haram, maka haram kita membantu mempromosikannya.

8. Peraduan menduga akal seperti teka-teki.

Soalan : Apakah hukum peraduan menduga akal seperti teka-teki dan seumpamanya yang tidak dikenakan sebarang bayaran tetapi ada hadiah berbentuk wang?

Jawapan :Harus kerana peraduan menduga akal tidak termasuk dalam konteks yang berunsur perjudian. Namun begitu, peraduan tersebut hendaklah terhindar daripada sebarang maksiat.

9. Hukum wang faedah simpanan di bank.

Soalan : Saya seorang ahli perniagaan. Saya menyimpan wang di bank untuk kemudahan urusan perniagaan dan keselamatan harta saya. Apakah hukum faedah yang saya perolehi dari bank tersebut.

Jawapan : Faedah- faedah yang diambil oleh penyimpan dari bank konvensional adalah riba yang hukumnya haram. Riba ialah setiap pertambahan yang disyaratkan keatas modal iaitu apa yang diperolehi bukan melalui perniagaan atau sebarang usaha, sebagai tambahan keatas modal.

Oleh itu Allah S.W.T berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Patuhlah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah sisa-sisa riba, kalau kamu betul-betul orang yang beriman (278 Surat Al Baqarah).

Faedah- faedah tambahan kepada modal diperolehi tanpa sebarang perkongsian, usaha, mudharabah atau sebagainya, dikatakan riba.

Islam tidak mengharuskan sesiapa untuk mempertaruhkan modal dan kemudian mengambil keuntungan yang telahpun ditetapkan. Sekalipun dia ahli kongsi yang sebenar, dia wajar menanggung bukan sahaja keuntungan, malah kerugian juga. Jika untungnya sedikit, dia berkongsi pada yang sedikit dan jika untungnya banyak, dia berkongsi yang banyak dan jika dia rugi, dia tidak berhak mendapat apa-apa. Inilah erti sebenar perkongsian.

Faedah bank itu tidak halal untuknya dan tidak harus mengambilnya. Dia juga tidak boleh menilainya untuk dizakatkan bersama wangnya yang lain yang disimpan di bank. Faedah ini haram, bukan miliknya dan bukan milik bank sendiri. Benda yang haram tidak boleh dimiliki. Haruslah baginya mengambil dan memberi kepada projek sukarela dan sebagainya yang dirasakannya dapat memberi kebaikan atau maslahah kepada semua makhluk Allah seperti jambatan, tandas awam dan perhentian bas.

Harta yang haram bukanlah milik sesiapa. Faedahnya pula bukan menjadi milik bank ataupun penyimpan, sebaliknya hendaklah ia menjadi milik kepada kepentingan awam. Ia tidak perlu untuk dizakatkan(disucikan) kerana zakat tidak boleh menyucikan harta haram, yang boleh menyucikannya ialah dengan mengeluarkannya (mengasingkannya).

Oleh itu bersabda Rasulullah S.A.W.:

“ Sesungguhnya Allah tidak menerima sedekah (zakat) daripada pengkhianat.” (Diriwayatkan oleh Muslim).

10. Apakah penjamin harus menyelesaikan hutang seandainya peminjam tidak menjelaskan pinjaman?

Soalan : Berdasarkan cara berhutang dewasa kini, setiap pinjaman memerlukan penjamin. Apakah penjamin harus menyelesaikan hutang seandainya peminjam tidak menjelaskan pinjaman?

Jawapan : Sebagaimana yang kita maklumi, setiap hutang haruslah dijelaskan samada sedikit ataupun banyak. Menurut Islam, penjamin adalah orang yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang yang dibuat oleh orang yang berhutang yang tidak mampu membayarnya. Ini berdasarkan kepada keterangan sebuah hadis :

Maksudnya :

"Pinjaman wajib dikembalikan dan peminjam wajib membayarnya"

Maksudnya, tanggungjawab utama bagi membayar hutang ialah orang yang berhutang itu sendiri, bukan penjamin. Seandainya orang yang berhutang itu benar-benar tidak mampu membayarnya setelah mencuba dengan pelbagai cara, maka di waktu itu barulah menjadi tanggungjawab penjamin untuk hutang tersebut. Maka jadilah jumlah yang dibayarnya itu sebagai hutang ke atas peminjam yang wajib dibayar.

11. Apakah hukum seseorang yang menggunakan wang ‘interest’ atau wang bunga yang diberikan oleh pihak bank untuk kepentingan umat Islam?

Soalan : Apakah hukum seseorang yang menggunakan wang ‘interest’ atau wang bunga yang diberikan oleh pihak bank untuk kepentingan umat Islam?

Jawapan : Hukum menggunakan wang ‘interest’ atau wang bunga yang diberikan oleh pihak bank adalah haram kerana ia adalah wang riba yang wajib diserahkan kepada Baitulmal. Penyimpan tidak boleh membelanjakan wang riba itu sama ada bagi tujuan kebajikan secara umum atau khusus. Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam surah Ali-Imran ayat 130 :

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya. (Ali-Imran ayat 131)

Oleh itu, untuk menentukan dengan tepat pengagihan atau penggunaan wang riba itu, hendaklah ia diserahkan kepada Baitulmal sesuai dengan sifatnya sebagai pentadbir am harta umat Islam

12. Hukum mengambil kontrak memusnahkan bangkai babi.

Soalan : Saya ingin tahu samaada perbuatan berikut haram atau tidak :-

i. Mengambil kontrak dari pihak kerajaan untuk memusnahkan bangkai babi berpenyakit dengan cara membakarnya.

ii. Mengambil kontrak yang sama dari penternak babi.

iii. Mengambil bayaran dari sesiapa yang menghantar bangkai babi kepada saya.

Pembakaran akan dibuat dalam tempat pembakaran sampah dan tidak mengakibatkan sebarang asap, bau dan pencemaran.

Jawapan : Tuan diharuskan mengambil upah dari perkhidmatan yang dilakukan bagi menjaga maslahah umat Islam khususnya bangkai babi bagi megelakkan jangkitan penyakit atau kuman.

13. Bolehkah ustaz menerangkan secara terperinci yakni secara panjang lebar mengenai al-bait bith thamanil ajil?.

Soalan : Bolehkah ustaz menerangkan secara terperinci yakni secara panjang lebar mengenai al-bait bith thamanil ajil?

Jawapan : al-Baith Bith Thaman Ajil ialah kaedah jualbeli dengan harga jualan tertangguh dan dibayar secara ansuran pada tempoh yang ditetapkan.

Di bawah kaedah pembiayaan ini, syarikat / pelanggan membeli aset / bahan mentah bagi pihak bank / institusi kewangan. Bank / Institusi kewangan ini pada kuasa yang sama menjual balik aset / bahan mentah berkenaan kepada syarikat pelanggan pada harga jualan yang telah mengambil kira keuntungan dan dipersetujui bersama. Harga jualan tersebut dibayar kepada bank ini secara ansuran bulanan dalam tempoh yang dipersetujui.

14. Saya menghadapi kemusykilan dalam isu riba.

Soalan : Saya menghadapi kemusykilan dalam isu riba. Saya ingn bertanya mengenai pelaburan Amanah Saham Bumiputera. Apakah hukumnya mengenai pelaburan ini. Ini kerana kita juga tidak tahu kemana pelaburan itu dibuat

Jawapan : Sekiranya amanah Saham Bumiputera ada melabur dalam institusi kewangan / produk haram maka hukumnya haram. Sila bertanya kepada Kaunter ASB dimana ia melabur. Sekiranya sesuatu perkara itu meragukan, elok melabur di tempat yang diyakini halal seperti Tabung Haji, Bank Islam, Takaful Islam dan sebagainya.

15. Saya ingin membuat pertanyaan tentang Amanah Saham Bumiputra.

Soalan : Assalamulaikum

Saya ingin membuat pertanyaan tentang Amanah Saham Bumiputra.

1. Apakah hukumnya kita membuat pelaburan disini.

2. Bolehkah kita gunakan duit dividen yang kita dapat

Harap tuan dapat terangkan..

Jawapan :

  • Pelaburan Saham hukumnya harus. Tetapi kalau dilaburkan kepada perniagaan haram, makanya hukumnya haram. Kalau ASB ada melabur di tempat yang haram atau syubahat, seperti terlibat dengan judi, arak ataupun riba, maka pelaburan wang disitu adalah haram.
  • Kalau wang haram, maka menggunakan atau memakannya adalah haram. Oleh itu wang keuntungan yang haram eloklah diserahkan kepada Baitumal, digunakan untuk kepentingan awam.

16. Soalan saya mengenai bisnes internet secara MLM melalui sms. Adakah perniagaan seperti ini halal.

Soalan : Assalamualaikum.... Soalan saya mengenai bisnes internet secara MLM melalui sms... Bayar RM 3 untuk mendaftar dan mula mencari orang di bawah seramai 5 orang. Setiap orang masuk dibawah akan dibayar RM 0.30 kepada kita. Setiap orang di bawah mereka juga akan memberikan kita pulangan yang sama sehinggalah beberapa level. Jumlah yang dicapai mencecah ribuan malah ratusan ribu ringgit. Adakah perniagaan seperti ini halal.

Jawapan :Waalaikumussalam, Untuk pengetahuan encik, memang pada asalnya hukum perniagaan adalah harus. Tetapi dalam bisnes internet secara MLM melalui sms ini, encik harus meneliti unsur perniagaan itu, jika perniagaan itu berunsurkan penipuan, penindasan dan kezaliman maka hukumnya haram.

17. Bolehkah saya menyertai perniagaan ini sekiranya syarikat yang dibentuk adalah sebagai pengedar - middle man, adakah ini sama seperti situasi syarikat logistic/ transportation yang mana tugas mereka sebagai perantaraan.

Soalan : Saya ada seorang rakan dari Eropah yang ingin meluaskan perniagaannya di Malaysia dan meminta saya untuk menyertainya. Masalah saya, perniagaannya berdasarkan import-export barangan :-

1. Perikanan (ikan salmon, cod... dan sebagainya)

2. Barangan alcohol (wine dan vodka dari Europe)

Saya telah menyemak buku "syariah the islamic law" tulisan Abdul Rahman i.Doi mengenai perkara ini, yang menyebut umat Islam tidak boleh terlibat di dalam perniagaan berdasarkan alcohol dan babi. Soalan saya :

a) bolehkah saya menyertai perniagaan ini sekiranya syarikat yang dibentuk adalah sebagai pengedar - middle man, adakah ini sama seperti situasi syarikat logistic/ transportation yang mana tugas mereka sebagai perantaraan.

b) Apakah hukumnya, sekiranya saya tidak terlibat dengan syarikat rakan saya secara langsung - saya menubuhkan satu syarikat baru yang membekalkan khidmat nasihat (consulting service-outsourcing) dan menerima bayaran daripada khidmat saya itu. Tanpa apa-apa kepentingan share di dalam syarikat rakan saya itu.

Jawapan :Islam mengharamkan umatnya mengambil sebarang manafaat daripada arak seperti minum, memberi minum, menjual, membeli, membawa, memproses, meluluskan lesen penjual arak kepada orang Islam dan lain-lain berkaitan dengannya.

  • a. Dalil Al-Quran surah am-Maaidah ayat 90 : Yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Sesunguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya".
  • b. Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Ibnu Omar, sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Telah dilaknat arak, meminumnya, pemberi minumnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang memprosesnya dan pemakan harganya (wang hasil pemulangan arak).

Hadis ini jelas menyatakan bahawa semua jenis perkhidmatan dan penggunaan berkaitan arak adalah haram.

Orang Islam haram memberi sebarang perkhidmatan arak kepada orang Islam atau kepada orang bukan Islam samada berbayar atau tidak berbayar.

Hadis riwayat al-Humaidi mengenai hukum haram menghadiahkan arak kepada orang kafir. Daripada Abu Hurairah R.A., bahawa seorang lelaki pernah menghadiahkan sebekas arak kepada Nabi S.A.W. kemudian ia menghadiahkan kepada beliau selama setahun, padahal arak sudah diharamkan maka Nabu S.A.W. bersabda : "Sesungguhnya arak telah diharamkan "lelaki itu bertanya : Bagaimana kalau saya menjual? Baginda bersabda "Sesungguhnya arak telah diharamkan. "lelaki itu bertanya "Bagaimana kalau saya menjualnya? Baginda bersabd "Sesunguhnya minuman yang diharamkan meminumnya haram menjualnya, orang itu bertanya lagi "Bagaimana kalau aku berikan sebagai hadiah kepada orang yahudi?, Nabi S.A.W bersabda "Sesungguhnya yang mengharamkan juga pemberian kepada orang-orang Yahudi", lelaki itu bertanya lagi "Apa yang harus saya lakukan?, Sabda Rasulullah S.A.W bertanya lagi "Apa yang harus saya lakukan?, Sabda Rasulullah S.A.W. "Tuangkanlah di Al-Battha"

Hadis ini menunjukkan bahawa memberi hadiah arak kepada orang kafir tentulah lebih aula haramnya, kerana sekiranya percuna harganya adalah lebih aula haramnya.

Orang-orang Islam dilarang menjual dan meminum arak berdasarkan seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 iaitu :

"Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suati kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgir atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya".

18. Saya ingin tahu apakah hukum membeli barang-barang dari syarikat kepunyaan Yahudi yang secara langsung atau tidak langsung memberi sumbangan kepada organisasi-organisasi Yahudi atau Israel yang menindas saudara se-Islam kita di Palestin.

Soalan : Saya ingin tahu apakah hukum membeli barang-barang dari syarikat kepunyaan Yahudi yang secara langsung atau tidak langsung memberi sumbangan kepada organisasi-organisasi Yahudi atau Israel yang menindas saudara se-Islam kita di Palestin.

Jawapan : Haram hukumnya membeli barangan tersebut sekiranya anda mengetahui syarikat itu milik Yahudi, yang mana hasil jualan / keuntungan tersebut disalurkan bagi menindas dan mengancam umat Islam.

19. Apakah hukumnya bagi pelabur yang melabur dalam pasaran wang pertukaran asing (FOREX)?

Soalan : Terdapat beberapa kemusykilan yang saya ingin kemukakan. Apakah hukumnya bagi pelabur yang melabur dalam pasaran wang pertukaran asing (FOREX)? Apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum melabur supaya pelaburan tersebut sah di sisi syarak?

Jawapan :Perniagaan atau berjual beli di halalkan oleh Allah. Firman Allah s.w.t. ayat 275 surah al- Baqarah bermaksud "Allah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba" Pelaburan dalam institusi kewangan yang melibatkan riba, judi, penipuan adalah haram. Sekiranya FOREX tidak terlibat dalam perkara di atas, hukumnya halal.

20. Bagaimana nak jelas hutang pada orang yang kita hilang alamat dan tempat tinggal?

cSoalan : 1. Adakah bil-bil lama yang tidak di bayar dikira sebagai hutang dalam Islam?.

2. Bagaimana nak jelas hutang pada orang yang kita hilang alamat dan tempat tinggal?

Jawapan :

  • 1. Ya. Ia termasuk di dalam jual beli.
  • 2. Boleh menghebahkan di media elektronik pada tempoh yang ditetapkan. Sekiranya tidak diketahui juga, bolehlah diserah kepada baitulmal.

21. Saya kakitangan kerajaan dan gaji saya masuk melalui akaun simpanan bumiputra commerce bank BCB (akaun konvensional-berteraskan riba) apa hukumnya?

Soalan : 1. Saya kakitangan kerajaan dan gaji saya masuk melalui akaun simpananbumiputra commerce bank BCB (akaun konvensional-berteraskan riba) apa hukumnya?

2. Bagi mengelakkan riba, saya memindahkan gaji saya setiap bulan ke akaun perbankan islam COMMERCE TIJARI BANK (ahli kumpulan BCB). adakah rezeki saya selamat dari pencemaran RIBA'?

3. Apa hukumnya melabur di dalam ASW 2020/ ASB?

Jawapan :

  • 1. Tidak jadi kesalahan kepada anda sekiranya majikan yang memasukan gaji anda ke bank yang mengamalkan riba
  • 2. Tindakan anda bagus
  • 3. Sekiranya ASW 2020/ASB melabur dalam pelaburan haram, maka keuntungan darinya haram

22. Saya telahpun bernikah pada 29.05.2006 lalu. Saya telah bernikah di Sg. Sumun, Perak. Bolehkah sekiranya saya membuat permohonan kad nikah di luar Negeri Perak ?

Soalan : Assalammualaikum

Saya telahpun bernikah pada 29.05.2006 lalu. Saya telah bernikah di Sg. Sumun, Perak. Bolehkah sekiranya saya membuat permohonan kad nikah di luar Negeri Perak ?

Jawapan :Saudara boleh mengemukakan permohonan untuk membuat kad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah / Jabatan Agama Islam negeri di tempat saudara bernikah. Ini merupakan prosedur yang biasa kerana data dan rekod-rekod mengenai pernikahan saudara hanya disimpan oleh pihak berkuasa agama ditempat/negeri Tuan bernikah.

23. Adakah kita dibenarkan membuat pelaburan di firma perniagaan Forex? (contoh: www.creativeconcept.biz).

Soalan :  Assalammualaikum

Adakah kita dibenarkan membuat pelaburan di firma perniagaan Forex? (contoh: www.creativeconcept.biz). Walaupun firma in memberikan pulangan yang tetap setiap hari tetapi mereka tidak memberi jaminan dan kerugian bagi kedua-dua pihak mungkin berlaku. Menurut Mufti Perak, Forex dibenarkan dan pada pandangan saya konsep 'Al-Musyarakah' terdapat di sini.

Jawapan :Perniagaan atau berjual beli di halalkan oleh Allah. Firman Allah s.w.t. ayat 275 surah al- Baqarah bermaksud "Allah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba" Pelaburan dalam institusi kewangan yang melibatkan riba, judi, penipuan adalah haram. Sekiranya FOREX tidak terlibat dalam perkara di atas, hukumnya halal.

24. Kemusykilan mengenai perniagaan MLM yang mengeluarkan produk terbaru merupakan WINE @ ARAK dan perniagaan ini dijalankan di 11 buah negara asia pasifik.

Soalan :  Assalammualaikum

Saya merupakan salah seorang pengedar di salah sebuah syarikat MLM. Kami diberitahu mengenai pengenalan produk yang terbaru merupakan WINE atau ARAK. Untuk pengetahuan tuan/ustad, syarikat ini menjalankan perniagaan di 11 buah negara di asia pasifik. Walaupun produk ini tidak akan memasuki pasaran Malaysia (berdasarkan akta jualan langsung), tetapi secara umumnya, rangkaian saya berkemungkinan besar akan memasuki negara-negara yang lain. Sabahagian daripada pemberiaan bonus juga adalah peratusan dari hasil untung jualan di kesemua 11 negara ini, jadi saya yakin yang komisyen dan bonus ini telah 'tercemar' atau tidak lagi halal. Diharap pihak tuan dapat menjelaskan kemusyikilan saya ini secepat yang mungkin kerana kebimbangan yang ramau lagi muslim akan terbabit.

Terima Kasih

Jawapan :HADIS NABI BERBUNYI

Maksudnya : "Setiap daging yang tumbuh dari benda haram, maka neraka adalah layak baginya.

Sekiranya puan yakin terdapat perkara yang haram dalam sesuatu perniagaan, maka tinggalkanlah.

25. Saya pernah menyalahgunakan wang syarikat dan bolehkah ini dianggap sebagai hutang?. Saya ingin mengembalikan wang tersebut tanpa pengetahuan syarikat dengan memasukan ke dalam akaun syarikat. Bolehkah cara ini menebuskan dosa saya?.

Soalan :  Assalammualaikum

Saya pernah menyalahgunakan wang syarikat dan bolehkah ini dianggap sebagai hutang?. Saya ingin mengembalikan wang tersebut tanpa pengetahuan syarikat dengan memasukan ke dalam akaun syarikat. Bolehkah cara ini menebuskan dosa saya?.

Jawapan :Pembayaran hutang atau pengembalian wang kepada syarikat hendaklah berterus terang. Supaya dapat menamatkan sebarang tuduhan kepada yang terlibat. Disisi Allah, cara membayar tanpa pengetahuan syarikat selesai, tetapi disisi manusia masih tidak selesai.

26. Berdosa atau tidak, sesiapa yang meminta sesuatu sebagai balasan selepas memberikan sesuatu projek dari tempat dia bekerja? Tidak amanah?

Soalan :  Assalammualaikum

Para ustaz sekalian yang membaca harap dapat memberi nasihat dan panduan untuk saya.

Saya menjalankan perniagaan sendiri. Rezeki yang Allah bagi itu banyak melalui kawan-kawan. Jadi, ada di antaranya, meletakkan syarat jika saya inginkan sesuatu projek atau peluang, maka ada bahagian-bahagian tertentu daripadanya harus diberikan kepadanya. Senario ini saya rasa banyak terjadi di merata-rata tempat. Saya pun tak tahu apa nak buat. Tak bagi tak dapat, sedangkan saya berniat ikhlas nak buat kerja. Kalau bagi dikatakan rasuah, sedangkan niat di hati sebagai hadiah kerana menolong. Tolong ustaz. Pening saya...

1. Berdosa atau tidak, sesiapa yang meminta sesuatu sebagai balasan selepas memberikan sesuatu projek dari tempat dia bekerja? Tidak amanah?

2. Jika saya setuju ustaz, adakah saya berdosa? Apa hukumnya duit yang saya dapat itu? Saya memang berniat, sesiapa yg membantu saya, saya akan berikan sedikit hadiah sebagai tanda terima kasih.

3. Saya keliru dengan istilah rasuah. Memberi sebelum dapat atau memberiselepas dapat. Atau sama kedua duanya?

4. Jika bos sesuatu syarikat mengamalkan rasuah untuk syarikatnya, apa hukumnya, gaji-gaji yang diterima oleh pekerja-pekerjanya?

Harap ustaz faham akan senario yang saya ceritakan. Saya takut akan duit yang saya dapat itu menjadi haram untuk saya, isteri dan anak-anak. Cuma saya keliru dan itu yang menyebabkan saya tergerak hati untuk bertanya. Jika semua yang di atas adalah dosa, saya berazam untuk tidak melakukannya lagi. Jika ustaz ada jalan penyelesaiannya yang lebih baik, harap ustaz dapat jelaskan. Terima kasih.

Jawapan :Islam melarang amalan rasuah dalam apa jua bentuknya. Rasuah boleh menjejaskan keharmonian keluarga dan negara. Berpegang kepada ajaran Islam dengan sebaiknya dan elakkan dari terlibat secara langsung dengan amalan tersebut.

25. Hukum jual beli haiwan peliharaan eksotik.

Soalan : Assalamualaikum,

Merujuk kepada subjek berkenaan, saya berminat untuk mengetahui hukum jual beli haiwan peliharaan eksotik seperti ular, cicak, biawak, lipas, kala jengking dan lain-lain haiwan yang banyak diterima sebagai haiwan peliharaan pada masa kini. Adakah sah jual beli tersebut? Dan apakah pandangan Islam berkenaan jual beli haiwan-haiwan seperti itu?
Terima kasih.
JazakAllahu khairan kathira.

Jawapan : Hukum Perniagaan Binatang dan Serangga di sisi Fuqaha : 
Sepakat para Fuqaha: Tidak boleh memperniagakan segala bentuk binatang kecil yang melata di bumi (الحشرات) yang tidak ada manfaatnya.

Sebagaimana pra syarat para fuqaha di dalam soal jual beli; mestilah barang yang didagangkan memberi manfaat. Kaedah ini diambil berdasarkan istinbat yang diambil oleh fuqaha daripada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Malik:

Maksudnya: Sesungguhnya ad-Dhohak bin Khalifah membuat sungai kecildaripada al-Uraid (lembah yang berada di Madinah, sekarang sudah dibina bangunan). Ad-Dhohak ingin mengalirkan sungai tersebut di laluan tanah Muhammad bin Maslamah. Muhammad tidak berkenan. Maka berkata ad-Dhohak kepadanya: Kenapa engkau menghalang sedangkan engkau memperoleh manfaat. Engkau boleh minum airnya dari hulu hilir dan saluran ini tidak membawa mudarat kepada mu. Muhammad tetap enggan. Ad-Dhohak menceritakan hal ini kepada Umar (Khalifah). Umar memanggil Muhammad bin Maslamah dan memerintahkan supaya membenarkan untuk Ad-Dhohak membuat sungai kecil. Berkata Muhammad: Tidak. Berkata Umar: Kenapa engkau menghalang saudara mu sendiri perkara yang memberi manfaat kepadanya dan engkau juga mendapat manfaat. Engkau boleh minum dari saluran tersebut di hulu dan hilir. Saluran itu sedikit pun tidak memberi mudarat kepada mu. Berkata Muhammad: Tidak sama sekali, demi Allah. Berkata Umar: Demi Allah dia akan membina saluran di atas tanah mu walaupun terpaksa dibuat di atas perut mu. Umar memerintahkan untuk dibuat saluran tersebut maka ad-Dhohak melakukannya.
Daripada hadis ini Ulama mengeluarkan hukum bahawa setiap akad yang terbina mestilah di atas perkara yang memberi manfaat dan tidak membawa mudarat kepada pihak lain.
Berdasarkan kaedah ini, tidak sah memperdagangkan tikus, ular, semut dan seumpamanya kerana tidak memberi manfaat untuk ditukar ganti dengan wang tunai.

26. Hukum mengambil untung dengan menaikkan harga barang.

Soalan : Assalamualaikum wbt.

Disini saya ingin membuat pertanyaan soalan seperti dibawah.

Apabila seseorang pekerja diamanahkan untuk membeli atau menyewa sesuatu barang tetapi pekerja tersebut berpakat dengan pihak pembekal dari segi harga barang.

Contohnya harga barang daripada pihak pembekal RM 200.00 tetapi pekerja tersebut mengarahkan harga barang dinaikkan ke RM 250.00 kerana pekerja tersebut ingin mengambil untung atas angin sebanyak RM 50.00. Apakah perkara ini boleh dilakukan dan apakah hukum duit RM 50.00 tersebut.

Jawapan : Saudara tidak boleh mengambil keuntungan dengan cara tersebut, hukumnya adalah haram dan berdosa kerana telah mengkhianati majikan saudara.
Duit RM 50 wajib dikembalikan kepada majikan semula.

27. Hukum bekerja di kilang rokok

Soalan : Assalamualaikum Tuan/Puan,

Saya berharap agar tuan/puan di rahmati Allah s.w.t di bulan mulia ini. Saya ada kemusykilan berkenaan dengan bekerja di kilang rokok, adakah haram sumber rezeki itu hasil daripada bekerja di kilang rokok? saya berharap tuan/puan dapat membantu saya dalam hal ini.

Jawapan : Keputusan Fatwa Tentang Merokok Negeri Selangor pada 25 Oktober 1995 bahawa : Merokok adalah haram

Oleh yang demikian, adalah haram bagi mana-mana orang Islam menghisap apa-apa jenis rokok.

Bagi maksud fatwa ini “rokok” ialah tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau selainnya.

Rujuk : www.muftiselangor.gov.my/PortalFatwaSelangor

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa  Majlis Kebangsaan Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 juga memutuskan merokok adalah haram.

Rujuk : www.e-fatwa.gov.my

28. Jual beli bagi wanita sewaktu solat Jumaat

Soalan : Saya ingin mendapatkan kepastian tentang jual beli semasa waktu solat jumaat. Adakah ianya juga haram bagi kaum wanita dan kanak-kanak?

Jawapan :

  • Harus wanita berjual beli semasa waktu solat Jumaat. Tetapi sekiranya wanita tersebut berjual beli dengan lelaki Islam, ia dikira syubhah.
  • Perkara tersebut boleh menggalakkan lelaki itu meringan-ringankan solat Jumaat, terleka dengan kesibukan perniagaannya atau kerana pendapatan yang lumayan pada waktu tersebut.
  • Peniaga lelaki sahaja boleh mengupah seorang wanita lain menguruskan perniagaan tersebut pada waktu berkenaan atau sebagainya.

28. Pendapatan komisen daripada majikan saya yang menjual produk tiruan.

Soalan : Apakah hukum saya menerima pendapatan komisen daripada majikan saya yang menjual produk tiruan.?

Jawapan : Produk tiruan yang dilakukan secara tidak sah adalah terlarang. Bagaimana pun jika telah dilesenkan maka ia adalah harus. Jika tuan sebagai pekerja menerima komisen daripada majikan sebagai galakkan kepada usaha-usaha tuan, ia adalah harus.

end faq