Ibadat

1. RUANGAN SOLAT DI PEJABAT

Soalan : Saya bekerja dengan majikan berbangsa India yang kuat mengamalkan ritual agamanya. Setiap pagi beliau akan membakar colok dan merenjiskan air yang dibacakan sesuatu ke setiap ruang pejabat. Sahkah solat jika saya solat di salah satu ruang pejabat tersebut?

Jawapan : Solat tersebut sah dengan syarat dipastikan terlebih dahulu tempat tersebut bersih dan suci daripada najis (bau, warna dan rasa). Ini berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari berkenaan suruhan Nabi SAW kepada para sahabat agar menjirus air ke kawasan yang terkena air kencing seorang badwi. Dicadangkan agar menggunakan sejadah atau lapik. wallahu

2. PEMAKAIAN BEG KOLOSTOMI

Soalan : Mohon penjelasan cara mandi wajib bagi orang yang memakai beg kolostomi.

Jawapan :Pesakit yang menggunakan beg kolostomi dikategorikan sebagai mereka yang dalam keadaan dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosong atau membersihkan beg kolostomi setiap kali mandi wajib, berwuduk atau menunaikan solat. Pesakit perlu pastikan saluran itu suci dan bersih. (Rujukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6 – 8 September 2007 telah membincangkan Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi). Wuduk yang diambil oleh pesakit boleh digunakan untuk melaksanakan semua ibadah termasuk menunaikan solat fardhu sehingga wuduk tersebut terbatal. wallahu

3. TOMPOKAN DARAH SELEPAS BERBEKAM

Soalan : Setelah berbekam saya dapati banyak tompok kecil darah pada baju. Adakah ia najis?

Jawapan : Menurut Mazhab Syafi’i najis yang dikategorikan pada tempat bekam adalah termasuk pada kategori najis yang dimaafkan. Ini kerana atas sebab ia sukar untuk menghindarkannya. Walaubagaimanapun, sekiranya tompok-tompok kecil itu banyak pada ‘urufnya maka ia dikira najis. wallahu

4. PELAPIK KASUT KULIT BABI

Soalan : Pelapik kasut tumit saya diperbuat daripada kulit babi. Jika bahagian tersebut dibuang, adakah kasut tersebut boleh digunakan setelah disertu?

Jawapan : Setelah dibuang tapak kasut tumit yang diperbuat daripada kulit babi dan disertu kasutnya, maka bolehlah digunakan kasut tersebut. Sebagai langkah berhati-hati, pemakainya juga perlu menyertu anggota kakinya. wallahu

5. BEKAS KUALI ATAU PERIUK MAKANAN YANG TIDAK HALAL

Soalan : Apakah hukum menggunakan kuali atau periuk yang pernah digunakan untuk memasak makanan tidak halal?

Jawapan : Kuali atau periuk tersebut hanya perlu dibasuh sehingga hilang ainnya (bau, warna dan rasa). Walaubagaimanapun, sekiranya diyakini pernah digunakan untuk memasak daging babi atau bahan-bahan daripada babi yang dikategorikan sebagai najis berat (mughallazah), maka hendaklah disertu. wallahu

6. PAKAIAN YANG DIJUMPAI

Soalan : Apakah hukumnya saya mengambil dan menggunakan pakaian yang dijumpai dan adakah pakaian tersebut dikira najis sekiranya ia milik orang bukan Islam?

Jawapan : Dalam Islam, barang atau harta yang dijumpai atau tercicir dikira sebagai harta luqatah. Hukumnya adalah harus mengambil dan memakai pakaian tersebut dengan syarat melakukan 4 perkara berikut terlebih dahulu:
1. Hendaklah membuat hebahan harta/ barang selama setahun
2. Jaga barang/harta tersebut dengan baik selama tempoh tersebut
3. Jika tiada yang menuntut, boleh ambil dan gunakannya
4. Jika tuannya datang menuntut, wajib ia dikembalikan Sama ada pakaian tersebut dari orang Islam atau bukan Islam, pakaian tersebut hendaklah dicuci terlebih dahulu sebelum digunakan sesuai dengan tuntutan Islam yang menggalakkan umatnya agar sentiasa bersih dan suci. wallahu

7. PENGGUNAAN SELIPAR TANDAS DALAM KAWASAN RUMAH

Soalan : Jika seseorang keluar dari tandas dan menggunakan selipar tandas tersebut di seluruh kawasan rumah, adakah kawasan yang dilalui selipar tersebut menjadi najis? Jika ya, bagaimana cara mensucikannya?

Jawapan : Jika yakin bahawa selipar yang digunakan itu terkena najis maka kawasan yang dilalui itu juga bernajis. Cara membersihkan najis tersebut ialah dengan:
1. Menghilangkan najis
2. Membasuh dengan mengalirkan air mutlak ke kawasan yang dikenalpasti dan pastikan hilang 3 perkara berikut dengan basuhan tersebut :
a) warna
b) bau
c) rasa
Walaubagaimanapun jika tertinggal salah satu daripada warna, bau atau rasa, sukar dihilangkan meskipun telah digosok dan dibasuh dengan air beberapa kali, maka ia dimaafkan dan dikira sebagai suci. Dicadangkan agar menggunakan selipar yang berlainan untuk kegunaan di bilik air dan di luar bilik air. wallahu

8. STATUS WUDHUK SELEPAS MEMBASUH KEMALUAN ANAK

Soalan : Saya telah mengambil wuduk dan bersedia untuk bersolat, tiba- tiba anak kecil saya yang berumur 3 tahun ingin membuang air kecil. Lalu saya pun membasuh kemaluannya. Adakah batal wuduk saya tadi?

Jawapan : Menurut Mazhab Syafi’i wuduk tersebut batal sama ada kemaluan yang disentuh dengan telapak tangan tanpa lapik itu adalah kemaluan anak kecil atau orang yang telah mati, sama ada kemaluan diri sendiri atau orang lain. Maka, perlulah mengambil wuduk semula. wallahu

9. WANITA HAID DI DEWAN SOLAT

Soalan : Bolehkah seseorang wanita yang masih berada dalam haid memasuki dewan solat untuk menyertai Program Camp Solat yang diadakan di situ?

Jawapan : Berdasarkan firman Allah SWT:
soalan9

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. (Surah an-Nisa’: 43). Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-49, yang bersidang pada 19 September 2000 telah memutuskan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid haram berada atau duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan. Perempuan haid hanya boleh berada di luar kawasan solat utama atau di beranda masjid sahaja untuk menyertai program Camp Solat. wallahu

10. LAWATAN KE MASJID KETIKA HAID

Soalan : Saya ada kemusykilan tentang hukum wanita yang sedang haid memasuki masjid untuk tujuan lawatan dan ziarah. Adakah dibolehkan?

Jawapan : Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 30 Ogos 2001 telah membuat keputusan bahawa: 1. Wanita yang sedang haid dan nifas adalah tidak dibenarkan duduk diam di dalam masjid walaupun dengan tujuan pembelajaran semata-mata. Hukum wanita haid dan nifas yang masuk ke dalam masjid adalah dibenarkan untuk sekadar melintasi atau melalui sekali lalu tanpa berulang alik untuk keluar melalui pintu yang dimasukinya. Oleh itu, wanita yang sedang haid tidak boleh memasuki masjid melainkan lalu sahaja untuk tujuan lawatan. wallahu

11. BERSENTUHAN KULIT DENGAN PEREMPUAN HAID

Soalan : Adakah batal solat seorang perempuan yang bersentuh kulit dengan perempuan yang sedang dalam haid?

Jawapan : Solat tersebut tidak batal apabila sentuhan itu berlaku kerana ia tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan solat dan wuduk. wallahu

12. KANAK-KANAK YANG BERNAJIS

Soalan : Adakah batal solat jika kanak-kanak yang ada najis dalam pampers duduk di atas riba orang yang sedang solat?

Jawapan : Solatnya batal kerana dikira menanggung najis (pampers kanak-kanak tersebut bernajis). wallahu

13. PAKAIAN TERKENA AIR LIUR ATAU JELUAK SUSU

Soalan : Jika air liur atau jeluak susu (muntah susu) bayi terkena baju/ seluar, adakah pakaian tersebut masih lagi boleh dibuat solat?

Jawapan : Air liur tidak dikira sebagai najis, oleh itu sah solat seseorang yang pakaiannya terkena air liur. Adapun jeluak susu (muntah susu) dikira sebagai najis, maka pakaian yang terkena jeluak susu atau muntah hendaklah dibersihkan terlebih dahulu sehingga hilang warna, bau dan rasanya sebelum digunakan untuk solat. wallahu

14. SUMBER MAKANAN AYAM DARI RESTORAN CINA

Soalan : Apakah pandangan Islam berkenaan dengan sumber makanan penternakan ayam kampung yang diambil dari sisa bubur yang dibuang dari restoran makanan Cina?

Jawapan : Sebaiknya jika tidak dapat dipastikan status restoran tersebut maka jauhilah perkara itu. Ini kerana bimbang sumber makanan tersebut bercampur dengan makanan yang tidak halal dan akan memberi kesan kepada kualiti ternakan. wallahu

15. NAJIS BINATANG SEBAGAI BAJA TANAMAN

Soalan : Terdapat petua dari negara jiran yang mengesyorkan menggunakan air kencing lembu yang diletakkan dalam botol dan digantung serta digunakan sebagai semburan kepada batang pokok bagi menghindarkan lalat buah dari menyerang hasil tanaman. Apa pandangan Islam mengenai perkara ini?

Jawapan : Secara asasnya najis itu akan kekal sebagai najis sehinggalah dihilangkan sifatnya yang tiga iaitu bau, warna dan rasa. Menggunakan najis haiwan untuk menggantikan bahan kimia adalah harus tetapi buah-buahan itu hendaklah dibasuh terlebih dahulu sebelum dijual/ dimakan. wallahu

16. LAUNGAN AZAN MENGGUNAKAN CD

Soalan : Saya ingin bertanya adakah boleh peranan bilal/ muazzin sebagai orang yang melaungkan azan digantikan dengan laungan azan melalui rakaman menggunakan CD?

Jawapan : Seelok-eloknya azan dilaungkan oleh muazzin atau bilal. Oleh itu, rakaman azan melalui CD tidak boleh menggantikan tuntutan seruan azan atau iqamah yang telah disyariatkan kerana penggunaan CD menghilangkan banyak sunnah-sunnah azan seperti muazzin atau bilal perlu berniat, mengadap kiblat, dalam keadaan suci dan sebagainya. Ini berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Apabila masuk (waktu) solat hendaklah salah seorang kamu azan, kemudian hendaklah yang paling tua daripada kamu mengimamkan kamu. Hal ini menunjukkan Rasulullah SAW menyuruh seorang manusia azan dan iqamah ketika hendak mendirikan solat lima waktu. wallahu

17. ISBAL (MELABUHKAN PAKAIAN)

Soalan : Saya ada kemusykilan mengenai Isbal dan banyak pandangan mengenainya. Masalah saya adalah:
a. Adakah Isbal perlu dipraktikkan sepanjang masa?
b. Adakah Isbal hanya pada di dalam solat sahaja?
c. Apakah hukum Isbal?

Jawapan : Makna Isbal ialah melabuhkan hujung kain, seluar atau jubah ke bawah buku lali. Hukumnya adalah makruh jika tiada niat dengan kesombongan dan haram sekiranya dengan niat atau sikap sombong. Daripada Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW: no17Maksudnya : Siapa memakai pakaian yang berjela-jela (terlalu panjang), maka Allah SWT tidak memandangnya di akhirat kelak. (Riwayat Muslim). Hadis lain sabda Rasulullah SAW : Merujuk kepada Kitab Hasyiah Qalyubi wa Umairah, ada dinyatakan bahawa: Disunatkan pada lengan baju memanjangkannya sampai kepada pergelangan tangan dan pada hujung kain sampai kepada separuh betis. Makruh melebihi buku lali dan haram dengan niat sombong. Berkata Al-Nawawi dalam al-Raudhah : Haram memanjangkan pakaian melebihi dua buku lali dengan kesombongan dan makruh dengan tanpa kesombongan. Tiada beza yang demikian ini sama ada dalam solat atau selainnya. wallahu

18. SOLAT GERHANA MATAHARI

Soalan : Apakah hukum melaksanakan solat gerhana matahari?

Jawapan : Solat Gerhana Matahari adalah salah satu solat sunat yang disyariatkan. Hukum mengerjakan Solat Gerhana Matahari adalah Sunat Muakkad. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua bukti di antara sekian banyak bukti tentang kebesaran Allah SWT. Keduanya tidak mengalami gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang. Kerana itu apabila kamu melihat gerhana, maka segeralah pergi solat. Solatlah sehingga Allah SWT memberi kelapangan (cahaya terang) kembali kepadamu. (Riwayat Muslim). Selain itu, solat Gerhana Matahari sunat dilakukan secara berjemaah dan diikuti dengan dua khutbah. wallahu

19. WAKTU SOLAT SUNAT TAHAJJUD

Soalan : Memandangkan waktu paling afdal untuk menunaikan solat sunat tahajjud ialah 1/3 malam. Bilakah waktunya 1/3 malam di Malaysia?

Jawapan : Waktu malam bermula daripada maghrib dan berakhir ketika terbit fajar (masuk waktu subuh). Anggaran 1/3 malam di Malaysia adalah pada pukul 2.30 pagi hingga terbit fajar. Bagaimanapun disyaratkan tahajjud itu selepas bangun dari tidur. Firman Allah SWT : no19Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang Terpuji. (Surah al-Israa’: 79). wallahu

20. MAKMUM MENDAHULUI BACAAN AMIN IMAM

Soalan : Adakah terbatal solat makmum, jika makmum mendahului imam pada bacaan ‘Amin’ pada surah al-Fatihah?

Jawapan : Solat tersebut tidak batal, kerana lafaz Amin hanyalah sunat ketika imam selesai membaca al-fatihah dalam solat yang dibaca secara nyaring (jahr). Namun demikian, sebaik-baiknya hendaklah dilafazkan serentak dengan imam. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Sebagaimana dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda, yang bermaksud: Apabila imam mengaminkan, maka hendaklah kamu aminkan bersama, kerana siapa yang berbetulan aminnya dengan amin malaikat nescaya diampunkan baginya dosa yang terdahulu. (Riwayat al-Bukhari). wallahu

21. SOLAT BERJEMAAH BERSAMA KANAK-KANAK

Soalan : Apakah hukum kanak-kanak yang belum baligh bersembahyang jemaah di sebelah orang yang sudah baligh dan bersentuh kulit antara keduanya?

Jawapan : Kanak-kanak yang belum baligh diharuskan bersembahyang kerana ia adalah salah satu cara mendidik kanak-kanak untuk bersolat dan mengimarahkan masjid bermula dari kecil lagi. Wuduk juga tidak batal jika bersentuhan kulit antara kedua-duanya kerana menyentuh kulit kanak-kanak yang belum baligh tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk. wallahu

22. MEMAKAI CELAK DAN BEDAK SEJUK PADA JENAZAH

Soalan : Apakah hukum kanak-kanak yang belum baligh bersembahyang jemaah di sebelah orang yang sudah baligh dan bersentuh kulit antara keduanya?

Jawapan : Hukum memakaikan celak dan bedak sejuk pada mayat adalah harus sama ada jenazah lelaki atau perempuan. Selain itu, digalakkan juga supaya disapukan dengan wangi-wangian supaya jenazah tersebut berbau harum. Hal ini bertepatan dengan hadith daripada Ummu ‘Athiyyah al-Anshari, Rasulullah SAW bersabda: no22
Maksudnya: “Mandikanlah dia sebanyak tiga kali, lima kali atau lebih banyak lagi bila kamu merasakannya perlu, begitu juga mandikanlah dia dengan air dan daun bidara. Akhirilah basuhan tersebut dengan menggunakan air kapur barus atau sedikit kapur barus”(Riwayat Muslim). wallahu

23. SUNTIKAN UBAT KETIKA PUASA

Soalan : Adakah drip (suntikan) ubat melalui saluran darah membatalkan puasa?

Jawapan : Drip (suntikan) ubat melalui saluran darah tidak membatalkan puasa kerana ia tidak melalui rongga. Perkara yang membatalkan puasa ialah apabila memasukkan sesuatu ke rongga dalam badan (rongga halkum ke perut, rongga kepala (otak), usus dan pundi kencing) melalui saluran terbuka di badan. Saluran terbuka bermaksud mulut, hidung, telinga dan kemaluan. Oleh yang demikian, memasukkan sesuatu ke dalam badan yang bukan makanan dengan suntikan melalui urat atau saluran darah, menyuntik ke bawah kulit atau dalam daging tidak membatalkan puasa. wallahu

24. PUASA PESAKIT DIABETIC INSIPIDUS

Soalan : Saya disahkan oleh pakar perubatan sebagai penghidap penyakit yang jarang ditemui iaitu diabetic insipidus seumur hidup. Penyakit ini menjadikan penghidapnya sentiasa kekurangan air dan garam serta zat-zat lain di dalam badan. Pesakit juga akan mengeluarkan kencing yang banyak. Untuk menggantikan kandungan air yang keluar, pesakit harus minum setiap 1 jam. Jika tidak, pesakit akan menghadapi dehidrasi dengan cepat dan boleh membawa maut akibat kekeringan dalam badan. Bagaimana dengan hukum puasa dalam keadaan ini?

Jawapan : Harus bagi pesakit yang tidak mampu berpuasa kerana uzur untuk berbuka atau tidak berpuasa. Berdasarkan firman Allah SWT:
no24Maksudnya: Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari- hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Surah al-Baqarah: 184).
Menurut Imam al-Nawawi : Hukumnya adalah sama seperti orang tua yang lemah yang tidak mampu berpuasa sama sekali. Tentang hal ini tidak ada khilaf di antara para ulama. (al-Majmu’).
Dalam masa yang sama, sekiranya penyakit itu tidak boleh diubati dan pesakit tidak mampu qada’, maka perlu membayar fidyah sebanyak hari yang ditinggalkan sebagai ganti di atas ketidakmampuannya melaksanakan ibadah tersebut. wallahu

25. PUASA NAZAR

Soalan : Ibu bernazar akan berpuasa 3 hari sekiranya hajatnya dimakbulkan. Hajatnya telah dimakbulkan tetapi beliau tidak sempat menunaikan puasa nazarnya kerana meninggal dunia. Apakah hukumnya?

Jawapan : Hukumnya adalah wajib bagi ahli keluarga waris menggantikan puasanya sebanyak mana jumlah bilangan hari yang telah dinazarkan. Ia tidak boleh ditebus dengan membayar kaffarah kerana termasuk dalam kategori nazar no25 1. Ini berdasarkan dengan firman Allah Surah al-Isrá’ ayat 34:no25 2 “Dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu akan ditanya.” wallahu

26. PENGGUNAAN INHALER

Soalan : Saya ingin bertanya berkenaan ibadat puasa. Adakah batal atau tidak menggunakan ubat ataupun inhaler untuk pesakit asma semasa berpuasa? Adakah ada nas yang menyebut batal atau tidak keadaan tersebut?

Jawapan : Menggunakan inhaler membatalkan puasa berdasarkan kepada garis panduan berpuasa bagi pesakit yang dikeluarkan oleh JAKIM, gas semburan daripada alat inhaler mempunyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika disembur di atas kertas. 90% darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna setiap jisim-jisim gas itu akan masuk ke perut setiap kali semburan. Oleh sebab itu hukum puasa bagi mereka yang mengambil rawatan perubatan menggunakan inhaler ketika sedang berpuasa adalah batal dan puasa tersebut perlu diganti berdasarkan jumlah yang ditinggalkan. wallahu

27. MEMBATALKAN PUASA SUNAT

Soalan : Saya pernah mengerjakan puasa sunat pada hari Khamis. Kebetulan pada hari itu saya sedang bercuti. Saya telah membatalkan puasa saya dengan melakukan hubungan intim bersama isteri saya. Adakah saya perlu menggantikan puasa sunat saya itu dan adakah perlu membayar fidyah?

Jawapan : Tidak wajib menggantikan puasa dan tidak perlu membayar fidyah kerana ia hanya puasa sunat. Puasa sunat tidak wajib diqada’ apabila luput. wallahu

28. BAYARAN ZAKAT KEPADA IBU BAPA YANG MISKIN

Soalan : Saya ingin bertanyakan mengenai wang zakat simpanan. Ibu bapa mertua orang miskin, bolehkah wang zakat tersebut diberikan kepada mereka?

Jawapan : Anak-anak bertanggungjawab membiayai ibu bapa kandung dan ibu bapa mertua yang berada di dalam kesusahan dan kesempitan kerana ia merupakan satu kewajipan nafkah. Oleh itu, pemberian zakat kepada mereka adalah tidak sah, kerana kewajipan nafkah dan zakat tidak boleh berhimpun dalam satu bayaran. Wang zakat simpanan perlulah dibayar kepada asnaf zakat melalui amil yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Agama. wallahu

29. BAYARAN ZAKAT KEPADA CUCU

Soalan : Soalan saya bolehkah seorang nenek memberi zakat kepada cucu-cucu yang masih belajar di Pusat Pengajian Tinggi?

Jawapan : Tanggungan yang wajib nafkah tidak sah zakat kepada mereka, manakala bukan tanggungan yang tidak wajib nafkah adalah sah zakat. Oleh itu, bagi cucu atau waris yang bukan di bawah tanggungan nafkahnya yang belajar di Pusat Pengajian Tinggi, sah zakat diberikan kepadanya kerana termasuk dalam asnaf fi sabilillah. Walau bagaimanapun, membayar zakat kepada asnaf melalui amil (pengurus zakat) adalah lebih tepat dan menepati sasaran Islam, kerana zakat berperanan secara efektif bila ia dikumpulkan dalam dana yang besar dan akan diagih secara lebih sistematik. wallahu

30. TIDAK BERNIAT DI MIQAT

Soalan : Apakah hukumnya jika tidak berniat umrah dari Madinah apabila sampai di miqat (Bir ‘Ali)? Ia adalah disebabkan kedatangan haid. Saya berniat umrah setelah suci dari haid ketika di miqat sekitar Makkah.

Jawapan : Berniat umrah adalah rukun. Tidak sah umrah tanpa niat. Manakala berniat di miqat adalah wajib. Meninggalkan niat dimiqat sah umrahnya tetapi dikenakan dam tertib dan takdir iaitu dengan menyembelih seekor kambing. Ini kerana haid tidak menghalang seseorang wanita itu untuk berniat haji/umrah. Sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Perempuan yang sedang nifas dan haid ketika sudah sampai di miqat hendaklah mandi, berniat ihram dan melakukan seluruh manasik haji selain tawaf di Baitullah”. (Riwayat Tirmizi). Bagi jemaah yang datang dari Madinah, tempat bermiqatnya adalah di Bir Ali, kecuali umrah bagi jemaah yang sudah berada di Mekah maka miqat niatnya adalah di Tan’im, Hudaibiyah atau Ja’ranah. wallahu

31. PERALATAN KILLING BOX DAN BOLT CONVEYER

Soalan : Apakah hukum penyembelihan menggunakan killing box dan bolt conveyer?

Jawapan : Hukum penyembelihan menggunakan kaedah killing box (alat untuk meletakkan binatang dalam keadaan yang mudah untuk disembelih) dan bolt conveyer adalah harus sekiranya diikuti selepas itu dengan alat sembelihan yang menepati dengan syarat-syarat penyembelihan yang ditetapkan. Islam mensyaratkan supaya alat penyembelihan yang digunakan mestilah tajam, boleh melukakan dan mengalirkan darah binatang tersebut. Alat tersebut juga mestilah tidak boleh diperbuat daripada gigi, kuku atau tulang. wallahu

32. HAIWAN QURBAN

Soalan : Apakah binatang yang disyariatkan sebagai haiwan yang boleh untuk dijadikan qurban?

Jawapan : Binatang yang disyariatkan sebagai haiwan yang boleh untuk dijadikan qurban ialah binatang ternakan berkaki empat yang dikenakan zakat dan halal dimakan iaitu unta, lembu dan kambing. Berdasarkan Firman Allah SWT: no32
Maksudnya: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan qurban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (Surah al-Hajj: 28). no32 2dalam ayat ini ialah unta, lembu dan kambing. wallahu

33. BAHAGIAN AQIQAH DALAM HAIWAN QURBAN

Soalan : Apakah hukum berkongsi seekor binatang qurban, sebahagian untuk qurban dan sebahagian lagi sebagai aqiqah?

Jawapan : Hukum berkongsi seekor binatang qurban, sebahagian untuk qurban dan sebahagian lagi untuk aqiqah adalah harus. Pembahagian setiap seekor unta, lembu atau kerbau itu tidak melebihi daripada tujuh bahagian. Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah RA, sabda Nabi SAW: no33Maksudnya: Kami berqurban bersama Rasulullah SAW pada tahun perjanjian Hudaibiyah dengan badanah (unta gemuk) untuk tujuh orang, dan lembu juga untuk tujuh orang”.
Berkata Imam Nawawi di dalam al-Majmu’ yang bermaksud: Memadai seekor unta, demikian juga lembu untuk tujuh orang, sama ada untuk sebuah ahli keluarga ataupun untuk beberapa ahli keluarga. Sama ada mereka itu melakukan qurban dengan maksudnya yang sama ataupun berbeza, sama ada qurban wajib atau sunat atau sebahagian mereka hanya mahukan daging. Harus juga kalau sebahagian mereka bermaksud melakukan qurban dan sebahagiannya lagi bermaksud al-Hadyu (binatang yang disembelih di Tanah Haram sebagai dam haji atau umrah). (Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab). wallahu

34. BERHUTANG DALAM IBADAH QURBAN

Soalan : Bolehkah seseorang itu berhutang dalam melaksanakan ibadah qurban?

Jawapan : Boleh dan sah ibadah qurbannya dengan menggunakan duit hutang. Walaubagaimanapun, di antara syarat bagi invidivu yang dituntut melakukan ibadah qurban ialah berkemampuan melaksanakan, iaitu mereka yang mempunyai lebihan wang nafkahnya untuk mendapatkan binatang qurban. wallahu

35. MENJUAL DAGING QURBAN

Soalan : Adakah daging qurban boleh dijual?

Jawapan : Tidak boleh menjual sesuatu pun daripada mana-mana bahagian sembelihan qurban, sama ada yang dinazarkan atau sunat. Maksudnya sesuatu itu termasuklah daging, lemak, kulit, tanduk, tulang, bulu dan sebagainya. Ini berdasarkan riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: no35Maksudnya: Barangsiapa yang menjual kulit sembelihan qurbannya, maka tiada baginya ibadat qurban. (Riwayat al-Hakim). wallahu

36. HAIWAN DIKASI

Soalan : Bolehkah haiwan yang dikasi (dimandulkan) dibuat aqiqah atau qurban?

Jawapan : Hukumnya adalah diharuskan bagi haiwan qurban yang telah dikasi (dimandulkan) untuk dijadikan qurban/aqiqah kerana ia tidak menjejaskan syarat binatang yang hendak diqurbankan/aqiqah. wallahu

37. HAIWAN YANG CACAT EKOR

Soalan : Adakah dibolehkan haiwan yang hendak dibuat aqiqah atau qurban cacat pada ekornya?

Jawapan : Binatang yang hendak dijadikan qurban itu mestilah sihat (tidak berpenyakit) dan selamat daripada kecacatan atau aib yang boleh mengurangkan daging, lemak atau anggotanya yang lain yang boleh dimakan. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh al-Barra’ bin Azib RA: no37 Maksudnya: Empat perkara yang menyebabkan binatang qurban tidak memadai (tidak sah) untuk diqurbankan. Yang jelas matanya buta sebelah, yang jelas sakitnya, yang jelas tempangnya dan yang terlalu kurus hingga tidak berotak.(Riwayat Abu Daud) Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa binatang yang tidak boleh dijadikan qurban termasuklah haiwan yang terpotong ekor kerana menjejaskan kuantiti daging. Adapun haiwan yang dilahirkan tanpa berekor (semulajadi) adalah sah dibuat qurban. wallahu

38. HAIWAN YANG TIDAK DISEMBELIH MENGIKUT SYARA’

Soalan : Apakah hukum memakan makanan yang tidak disembelih mengikut syara’ kerana kesukaran mendapatkan makanan halal?

Jawapan : Haiwan yang tidak disembelih dengan cara Islam itu haram dimakan. Disyaratkan bagi haiwan yang halal dimakan agar disembelih dengan cara yang ditetapkan oleh syara’ untuk membolehkannya halal dimakan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah SWT ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.” (Surah Al-An‘am: 118). Diriwayatkan oleh Rafi’ bin Khadij RA bahawa Nabi SAW bersabda: no38Maksudnya: Apa saja darah yang dialirkan dan disebut nama Allah atasnya, maka makanlah, selama bukan dengan gigi atau kuku, aku akan katakan kepada kalian tentang hal itu. Adapun gigi dia adalah tulang, sedangkan kuku adalah pisau bagi orang Habasyah (etiopia).” (Riwayat al-Bukhari). wallahu

39. LAFAZ NAZAR

Soalan : Adakah nazar hanya sah bila dilafazkan sahaja?

Jawapan : Syarat sah nazar ialah seseorang melafazkan nazar. Contohnya seseorang berkata: “Sekiranya saya lulus temuduga, saya akan berpuasa pada Hari Isnin”. Sekiranya ia tidak dilafazkan dan hanya di dalam hati maka ia tidak dikira nazar sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA maksudnya: Allah SWT memaafkan umatku dari segala yang dibisikkan dan dikatakan hatinya, selama belum dilakukan atau dibicarakan (Riwayat al-Bukhari). wallahu

40. KAFFARAH NAZAR

Soalan : Saya telah bernazar akan berpuasa sehari bagi setiap kesalahan yang saya lakukan. Namun nafsu berjaya membuatkan saya tewas dan mengulangi perbuatan tersebut. Sekarang saya bertaubat. Namun saya sedar saya tidak mampu untuk berpuasa sejumlah yang banyak. Apakah penyelesaian yang dapat saya lakukan untuk memenuhi nazar saya tersebut? Bolehkah digantikan dengan cara memberi makan orang miskin atau sekadar berpuasa 3 hari sahaja?

Jawapan : Nazar tersebut tidak sah, kerana syarat sah nazar mestilah perkara yang dinazarkan itu dalam kategori perkara-perkara sunat. Adapun meninggalkan perkara yang haram hukumnya wajib. Maka tidak sah nazar dalam perkara tersebut. wallahu

41. AURAT DENGAN MERTUA TIRI

Soalan : Apakah hukum aurat antara bapa mertua tiri (ayah tiri suami) dengan menantu perempuan tiri?

Jawapan : Kedudukan bapa mertua tiri adalah tidak sama dengan bapa mertua. Hubungan bapa mertua dengan menantu perempuannya adalah hubungan mahram, manakala hubungan di antara bapa mertua tiri dengan menantu tiri adalah sebaliknya. Pengharaman kepada bapa mertua berkahwin dengan menantunya adalah bersifat selama-lamanya (muabbad), manakala bapa mertua tiri dengan menantu tirinya adalah bersifat sementara (muaqqat). As-Syarbini di dalam kitab no41 menyatakan sekiranya suami kepada perempuan tersebut meninggal dunia, tidak menjadi kesalahan kepada bapa tiri bagi suaminya untuk berkahwin dengannya kerana kedudukan isteri bagi anak tiri (menantu tiri) tidak sama dengan isteri bagi anak kandung (menantu). Wajib bagi perempuan tersebut menjaga batasan auratnya seperti ditetapkan oleh syara’ sebagaimana ketika dia berhadapan dengan lelaki ajnabi yang lain. Dalam situasi sebegini juga tidak dibenarkan mereka berdua-duaan. wallahu

end faq

Jumlah Pengunjung: 780330

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

  • Kemaskini Terakhir: 17 Januari 2019.
 qrnew

Penafian : Jabatan Mufti Negeri Selangor tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan informasi yang diperolehi daripada portal ini dan penggunaan Google Translate untuk Bahasa Inggeris dan bahasa asing adalah tidak tepat.

Sesuai dipaparkan menggunakan pelayar Mozilla Firefox versi 24 ke atas dengan resolusi minima 1366x768

Hakcipta Terpelihara © Jabatan Mufti Selangor 2016