Webmail

Waktu solat
  • Imsak 05:30
  • Subuh 05:40
  • Syuruk 07:01
  • Zohor 13:13
  • Asar 16:36
  • Maghrib 19:21
  • Isyak 20:35

carian1akses

A- A A+
Arial | PT Sans | Century

Ibadat

1. Permasalahan nisfu Sya'aban.

Soalan : 

Assalamualaikum...

Dato', saya inginkan penjelasan mengenai diri saya. Isnin ni merupakan nisfu sya'aban.. dan pelbagai keberkatan ada di dalamnya.

Sebagai hamba-nya saya juga pernah melakukan kesilapan namun segala dosa lalu telah saya tinggalkan setelah saya menyedari itu bukan jalan betul. Malah saya mula menjaga solat dan mengaji setiap malam. Saya tahu dosa saya besar tetapi saya telah bertaubat dan allhamdulillah saya amat tenang sekarang. Dalam saya bersemangat saya menunggu nisfu sya'aban, saya terpaku bila ada seorang teman mengirimkan emel kepada saya maksud hadis ini..

Antara kelebihan bulan Sya'aban:

1. Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Sya'aban maka Allah haramkan tubuhnya dari api dan dia akan menjadi teman kpd nabi Allah Yusof didalam syurga.

2. Riwayat dari Osman Bin Abi Al-As, Sabda Nabi Muhammad (S.A.W) : pada malam nisfu sya'aban setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turun ke langit dunia lalu berfirman : Adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintannya, adakah orang yang meminta ampun maka aku ampunkannya, adakah orang yang bertaubat maka aku terima taubatnya dan diampunkan semua orang mukmin lelaki & perempuan , melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya.

Soalan saya :

Benarkan tiada ruang langsung untuk insan seperti saya memperolehi manfaat dari malam tersebut ataupun amalan amalan saya ditolak. Saya betul-betul bertaubat dan tidak mahu mengulanginya lagi segala ketelanjuran itu.

Jawapan : Allah S.W.T. maha pengampun. Allah akan mengampunkan dosa-dosa hambanya samada kecil atau besar, selagimana hamba-nya benar-benar mahu bertaubat. Ruang untuk saudari bertaubat sangat luas, tidak terbatas di Bulan Sya'ban sahaja. Bertaubatlah dan berazam agar tidak mengulangi keterlanjuran yang lalu.

2. Pengeluaran cecair nanah di kemaluan.

Soalan : Saya seorang wanita yang mempunyai satu jenis penyakit iaitu kemaluan saya dijangkiti kuman dan mengakibatkan pengeluaran cecair(nanah) yang tak diingini. Saya sudah mendapat kan rawatan doktor tetapi cecair itu tidak dapat dihentikan selagi saya tidak melakukan pebedahan rahim, soalannya:

1. Adakah sah solat saya sekiranya cecair ini keluar ketika saya sedang solat?

2. Perlukah saya mandi hadas besar selepas pengeluaran cecair tersebut?

Saya amat memerlukan jawapan ini dengan segera, harap kemusykilan saya dapat ditangani.

Jawapan :

  • Sah solat kerana anda bukan di dalam kadaan berhadas besar.
  • Tidak perlu mandi hadas besar (mandi wajib).

Cadangan :

Namun demikian, puan hendaklah menjaga kebersihan diri agar kotoran yang keluar itu tidak mengenai pakaian atau telekung ketika menunaikan solat.

3. Masalah pertindihan jadual belajar dengan waktu Solat Jumaat.

Soalan : Sahibus Samahah Dato',

Pertamanya saya minta maaf kerana menulis secara email sahaja. Saya ingin pohon mendapat nasihat Dato' mengenai perkara berikut:

1. Anak saya belajar disalah sebuah universiti di London dalam bidang perubatan. Masalahnya setiap hari Jumaat beliau ada kelas pada jam 1 tgh hingga 4 ptg. Waktu solat jumaat masa ini ialah 12.50.Kalau pergi Jumaat beliau terpaksa meninggalkan kuliah dan akan menjejaskan pengajiannya.Tak pergi jumaat berdosa.

Bagaimana keadaan beliau dalam hal ini.Pohon nasihat Dato jua.Jawapan yang awal adalah dihargai.

Jawapan :Solat Jumaat adalah wajib bagi setiap lelaki muslim. Tetapi sekiranya berlaku kemudaratan/keuzuran yang boleh menggugat nyawa, contohnya seperti di dalam penerangan doktor yang menjalankan tugas yang melibatkan nyawa orang lain (pesakit) maka di dalam keadaan ini, ia boleh ditinggalkan namun wajib bagi mereka menunaikan solat zohor.

Cadangan :

Didalam hal ini, disyorkan bahawa pihak tuan hendaklah berbincang dengan pihak pengurusan universiti bagi membolehkan anak tuan dapat menunaikan solat Jumaat ini kerana ia merupakan satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan sewenang-wenangnya.

4. Menggantikan puasa yang telah berlalu.

Soalan : Saya ingin penjelasan mengenai situasi masalah saya. Saya tidak berkesempatan menggantikan puasa pada tahun lepas (2004) sebanyak 4 hari lagi kerana masalah kesihatan sebelum Ramadhan tahun ini (2005).

Soalannya:

1. Adakah puasa 4 hari yang tertinggal itu perlu saya gandakan menjadi 8 hari utk saya qada' kemudian nanti?

2. Bolehkah saya sekalikan qada' puasa ini dengan puasa 6 di bulan Syawal nanti?

3. Berapa banyakkah fidyah yang perlu saya bayar dan bolehkah dijelaskan bagaimana nilai fidyahdikira (daripada cupak kepada nilai duit).

4. Adakah fidyah itu perlu saya lakukan/bayar setelah saya habis menggantikan puasa saya?

Jawapan :

  • Puasa itu tidak perlu digandakan, hanya fidyahnya sahaja yang digandakan.
  • Sah puasa qada' bersama dengan puasa 6 dalam bulan Syawwal.
  • Fidyah yang perlu dibayar ialah :
    • 1 cupak (670 gram) sehari x 4 hari = 4 cupak (2K 680 gram)
    • Nilai ringgit RM 1.17 (1 cupak)
  • Fidyah tersebut perlu terus dibayar kepada fakir miskin tanpa perlu menunggu habis puasa.

5. Amalan sunat yang lain yang digalakkan oleh Rasulullah S.A.W selain dari solat tarawikh, tadarus dan solat-solat sunat.

Soalan : Tuan,

Saya ingin bertanya, apakah amalan sunat yang lain yang digalakkan oleh Rasulullah S.A.W selain dari solat tarawikh, tadarus dan solat-solat sunat.

Jawapan :

  • Perbanyakkan sedekah jariah khususnya kepada fakir miskin.
  • Perbanyakkan zikrullah.
  • Berdoa kepada Allah S.W.T.
  • Melakukan solat 5 waktu secara berjamaah di masjid.
  • Sentiasa melakukan muhasabah diri.
  • Duduk (beri'tikaf) dalam masjid.

6. Pembacaan surah Al-Fatihah di dalam sembahyang

Soalan : Saya ingin bertanya mengenai pembacaan surah Al-Fatihah di dalam sembahyang bagi sembahyang berjemaah. Semasa berkursus haji di Rantau Panjang, Klang baru-baru ini, penceramah yg bertanggungjawab ada memberitahu semasa sembahyang berjemaah, pembacaan Al-Fatihah makmum adalah ditanggung oleh imam dan makmum dibolehkan untuk tidak membaca Al-Fatihah sebaliknya hanya mendengar pembacaan imam. Adakah ini benar?

2. Semasa sembahyang berjemaah, di waktu bila makmum dibolehkan untuk mula membaca surah Al-Fatihah? Adakah mesti selepas imam habis membaca Al-Fatihah atau dibolehkan makmum membaca Fatihah semasa imam sedang membaca Fatihah dengan syarat tidak mendahului pembacaan imam.

3. Adakah seorang makmum wajib untuk menghabiskan bacaan surah Al-Fatihahnya di mana jikalau dia tidak masbu' (terlewat)?. Bagaimana jika imam sudah rukuk tetapi bacaan Fatihah makmum belum selesai?. Adakah makmum dibolehkan untuk terus rukuk tanpa pelrlu menghabiskan bacaan Fatihahnya atau wajib untuk menghabiskan bacaan Fatihahnya kemudian baru rukuk?. Kerana kita selalu berhadapan dengan keadaan di mana imam membaca surah yang pendek seperti surah Al-Ikhlas contohnya semasa rakaat kedua di dalam sembahyang tarawih.

4. Pada waktu bila rakaat seorang makmum dikira?. Adakah semasa dia rukuk bersama imam atau semasa sujud?.

Di harap pihak tuan dapat memberikan penjelasan terhadap soalan-soalan yang dikemukan . Terima kasih.

Assalammualaikum

Jawapan :

  • Tidak benar kerana membaca fatihah adalah rukun dalam solat makmun mestilah membaca fatihah agar solat yang dilaksanakan itu sah.
  • Kedua-dua keadaan yang disebutkan dibolehkan.
  • Ya, makmun wajib habiskan bacaan fatihahnya walaupun imam sudah rukuk. Makmun hendaklahmenghabiskan bacaan fatihah ketika imam membaca fatihah bagi mengelakkkan makmun tidak sempat habis fatihahnya sewaktu imam rukuk.
  • Rakaat makmun dikira apabila makmun sempat rukuk dan tama'ninah bersama imam.

7. Hukum seseorang muslim itu yang ingin menunaikan ibadah haji atau umrah melalui pembiayaan secara ansuran.

Soalan : Tuan, saya amat berminat untuk mengetahui hukum seseorang muslim itu yang ingin menunaikan ibadah haji atau umrah melalui pembiayaan secara ansuran dengan syarikat kewangan yang melaksanakan perbankan Islam. Terima kasih.

Jawapan : Untuk makluman tuan, perkara ini telah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (FATWA) Negeri Selangor yang bersidang pada 6 September 2005 dan memutuskan bahawa :

  • Adalah harus seseorang berhutang untuk menunaikan haji atau umrah sekiranya diyakini mampu membayar balik hutang tersebut dan ia tidak menjejaskan kehidupan normalnya; dan
  • Skim pinjaman tersebut hendaklah diuruskan melalui badan atau koperasi yang mementingkanprinsip ikhlas, adil dan telus dalam operasinya disamping bebas dari unsur-unsur riba'.

8. Mohon penjelasan ayat Surah Al-Baqarah, ayat 196, bermaksud "......Apabila kamu telah aman, maka siapa yang bersenang-senang dengan melakukan umrah sebelum haji, maka berikanlah hadiah apa yang mudah. Barang siapa yang tiada memperolehinya, hendaklah berpuasa tiga hari dalam haji dan tujuh hari apabila kamu kembali pulang......."

Soalan : Saya terbaca di dalam tafsir Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 196, bermaksud "......Apabila kamu telah aman, maka siapa yang bersenang-senag dengan melakukan umrah sebelum haji, maka berikanlah hadiah apa yang mudah. Barang siapa yang tiada memperolehinya, hendaklah berpuasa tiga hari dalam haji, dan tujuh hari apabila kamu kembali pulang.......". Pada nota kaki pun secara ringkas ditulis kalau dikerjakan umrah lebih dahulu dari pada haji maka wajib membayar dam, iaitu menyembelih seekor kambing atau kalau tak sanggup hendaklah berpuasa.....

Jawapan :

  • ".....Apabila kamu telah aman, maka siapa yang bersenang-senang dengan melakukan umrah sebelum haji, maka berikanlah hadiah apa yang mudah. Barang siapa yang tiada memperolehinya, hendaklah berpuasa tiga hari dalam haji, dan tujuh hari apabila kamu kembali pulang......."
  • Ayat diatas ditujukan kepada orang yang membuat Haji Tamattu. Apabila sampai di Mekah dia buat umrah dahulu, apabila sampai 8 atau 9 zulhijjah, dia pakai ehram semula untuk membuat kerja-kerja ibadat Haji pula. 
  • Orang seperti ini diwajibkan membayar dam. Kalau tidak dapat binatang untuk disembelih, dia boleh berpuasa 10 hari, 3 hari di Mekah dan 7 hari di tempat asalnya. Orang yang pergi ke Mekah hanya bertujuan buat umrah tidak termasuk dalam ayat ini.

9. Hukum menggunakan 'inhaler' (bagi yang berpenyakit asma) semasa berpuasa.

Soalan : Apakah hukum menggunakan 'inhaler' (bagi yang berpenyakit asma) semasa berpuasa?

Jawapan :Menggunakan 'inhaler' semasa berpuasa boleh membatalkan puasa. Dalam hal ini perlu dilihat orang yang berpenyakit asma yang kehidupan hariannya sepanjang hayat hanya bergantung kepada penggunaan 'inhaler (tidak boleh tidak) maka gugurlah kewajipan berpuasa ke atas dirinya dan dia hanya diwajibkan membayar fidyah iaitu secupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan.

Tetapi jika penggunaan 'inhaler' hanya pada waktu ia memerlukan sahaja (keadaan kritikal) dan kebetulan semasa itu ia berpuasa, puasa tersebut dihukumkan terbatal dan ia wajib menqqada' semula puasa tersebut.

10. Hukum bagi orang Islam yang memberi makan atau minum pada orang bukan Islam dalam bulan Ramadhan.

Soalan : Saya ingin bertanya, apakah hukum bagi orang Islam yang memberi makan atau minum pada orang bukan Islam dalam bulan Ramadhan. Saya andaikan kedai makanan dan minuman Islam yang dibuka pada bulan Ramadhan.

Jawapan : Kedai makan yang dibuka pada bulan Ramadhan iaitu beroperasi untuk menjalankan perniagaan disiang hari adalah tidak menyalahi undang-undang namun begitu, Jabatan Agama Islam Negeri dibawah kuasa Bahagian Penguatkuasaan boleh mengenakan tindakan undang-undang jika didapati terdapat penjual dan pembeli makanan (makan secara terbuka di kedai makan) dibulan Ramadhan.

Cadangan :

Sila hubungi Pegawai Penguatkuasa Agama ditalian 03-55143605 atau 03-55143669.

11. Hukum memakai tudung dan ingin meluruskan rambut dengan niat untuk suami.

Soalan : Saya memakai tudung dan ingin meluruskan rambut dengan niat untuk suami. Saya muskykil, sekiranya saya meluruskan rambut (teknik rebonding), adakah "chemical" yang digunakan akan menyaluti rambut sehingga menyebabkan tak sah mandi hadas, kerana air tidak sampai pada rambut?

Jawapan : Tidak salah untuk kecantikan bagi suami, tetapi mesti memastikan bahawa bahan kimia itu tidak menghalang air, jika ia bertindak menghalang air dari rambut, maka tidak sah mandi hadas.

Cadangan :

Pastikan bahan-bahan yang digunakan halal dan suci serta tidak menghalang air dari terkena rambut bagi memastikan sah solat dan mandi hadas.

12. Hukum memakai kopiah ketika bersolat mendapat pahala.

Soalan : Assalamualaikum. Saya ada persoalan.

1.Adakah memakai kopiah ketika bersolat mendapat pahala?

2.Adakah nas yang menyatakan orang lelaki yang memakai kopiah ketika solat mendapat pahala yang lebih daripada mereka yang tidak memakai kopiah?

3.Adakah nas mengatakan orang lelaki yang memakai serban ketika solat mendapat lebih pahaladaripada mereka yang tidak memakai serban?

4.Adakah terdapat perbezaan mendapat pahala memakai serban, kopiah, songkok atau sebagainya ketika bersolat?

5.Apakah sunnah yang betul mengikut Rasulullah di dalam perkara seperti ini (memakai serban dan sebagainya) termasuk ketika tidak bersolat?

Sekian, harap mendapat jawapan di dalam kekeliruan ini.

Jawapan :

  • Pahala tidak terletak kepada kopiah tetapi terletak kepada kesempurnaan solat dan pakaian yang tidak najis serta menutup aurat.
  • Tiada hadis.
  • Kiranya ia berbuat demikian kerana mengikut sunnah Rasulullah.
  • Pakai serban dapat pahala kerana ikut sunnah Rasulullah. Songkok, kopiah tidak termasuk dalam perkara tersebut.

13. Budak lelaki berumur 10 tahun dan belum berkhatan bermimpi keluar mani.

Soalan : Seorang budak lelaki berumur 10 tahun dan belum berkhatan bermimpi keluar mani adakah diwajibkan budak tersebut mandi hadas?

Jawapan : Wajib ke atas budak tersebut mandi hadas, kerana keluar mani itu adalah satu daripada perkara yang mewajibkan mandi sekalipun baru berusia 10 tahun maka kanak-kanak itu telah dihukumkan baligh.

14. Wanita yang sembahyang memakai kain telekung jarang sehingga kelihatan susuk tubuhnya.

Soalan : Apakah hukum seorang wanita yang sembahyang dengan memakai kain telekung yang jarang sehingga kelihatan susuk tubuhnya?

Jawapan : Hukum sembahyang wanita itu tidak sah kerana wanita tersebut masih dianggap belum menutup aurat.

15. Sembahyang berimankan seseorang yang bermazhab Hanafi.

Soalan : Adakah sah sembahyang seseorang yang bermazhab Hanafi kerana orang yang bermazhab Hanafi tidak membaca BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM didalam Fatihah sedangkan membaca BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM di dalam Fatihah adalah wajib bagi orang yang yang bermazhab Syafie?

Jawapan : Sembahyang orang yang bermazhab Syafie, yang menjadi makmum kepada orang yang bermazhab Hanafi adalah sah selagi mana makmum itu tidak mengiktikadkan bahawa sembahyang itu batal, kerana menurut mazhab Hanafi BISMILLAHIRRAHMAN-NIRRAHIM itu tidak termasuk dalam salah satu surah Al-Fatihah

16. Sembahyang sunat tahhiyyatul masjid atau mendengar khutbah jumaat?

Soalan : Seseorang memasuki masjid ketika imam sedang membaca khutbah Jumaat. Mana yang lebih afdal (sembahyang sunat tahiyyatul masjid atau mendengar khutbah)?

Jawapan : Adalah lebih afdal seseorang itu mendengar khutbah daripada sembahyang sunat tahiyyatul masjid, kerana mendengar khutbah adalah syarat sah sembahyang Jumaat.

17. Hukum wanita yang sedang haid mendengar bacaan Al-Quran dan terikut-ikut membacanya.

Soalan : Apakah hukum terhadap seorang wanita yang sedang haid mendengar bacaan Al-Quran di radio dan terikut-ikut membacanya didalam hati (tanpa lafaz)?

Jawapan : Hukumnya tidak haram (tidak berdosa) kerana mengikut bacaan tersebut didalam hati sahaja tetapi jika bacaan tersebut dilafazkan hukumnya adalah haram.

18. Adakah kaki palsu dianggap anggota wuduk?.

Soalan : Seseorang yang telah putus kakinya (perenggan lutut) dan menggunakan kaki palsu, adakah kaki palsu tersebut dianggap sebagai anggota wudhuk?

Jawapan :  Kaki palsu tidak termasuk sebagai anggota wudhuk dan tidak wajib dibasuh memadai dengan meratakan air dibahagian anggota wudhuk yang masih ada.

19. Lelaki berwudhuk menyentuh seorang gadis yang belum baligh.

Soalan : Apakah hukum seseorang lelaki yang berwudhuk menyentuh seorang gadis yang belum baligh?

Jawapan : Tidak batal wudhuk seseorang lelaki yang menyentuh seseorang gadis yang belum baligh sekalipun bukan muhrim tetapi jika ia mempunyai keinginan (nafsu) terhadap gadis (bukan muhrim) tersebut maka batal wudhuknya.

20. Melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.

Soalan : Apakah hukum seseorang melakukan ibadah aqiqah untuk dirinya setelah baligh kerana ia tahu ibubapanya belum melakukan untuknya sebelum baligh?

Jawapan :  Hukumnya adalah harus kerana aqiqah itu merupakan ibadat sunat.

21. Pusingan haid tidak normal

Soalan : Saya inginkan penjelasan berkenaan masalah kesahihan puasa saya. Saya mengalami masalah pusingan haid yang tidak normal. Sehingga kini sudah hampir setahun saya tidak mendapat haid. Mengikut doktor ini adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon di dalam badan saya yang juga menyebabkan saya mengalami penyakit Thyroid.

Untuk pengetahuan Dato’ saya kini di dalam proses pengambilan ubat untuk jangka masa yang panjang. Doktor juga mengesahkan saya akan mendapat haid semula apabila hormon tersebut beransur seimbang. Masalah saya sekarang ialah 3 hari yang lepas saya dapati ada sedikit tompok yang menyerupai darah tersebut tapi saya masih meneruskan puasa kerana tidak pasti. Hari berikutnya darah tersebut tiada tetapi semalam darah tersebut datang lagi dan ianya hanya datang pada waktu petang sahaja. Saya merasa was-was dan ini menyebabkan saya berkeputusan untuk tidak berpuasa pada hari ini. Saya berharap mendapat penjelasan jenis apakah darah ini samada penyakit ataupun haid. Bagaimana pula dengan puasa dan solat saya.

Jawapan : Untuk makluman puan, masa haid paling sedikit dalam tempoh sebulan ialah sehari semalam, kebiasaannya enam hari enam malam atau tujuh hari tujuh malam dan sebanyak-banyaknya 15 hari 15 malam. Terdapat juga seseorang perempuan hanya satu kali haid seumur hidupnya. Oleh itu puan yang hampir setahun tidak datang haid bukanlah satu perkara yang luar biasa. Keterangan menurut pemeriksaan ulama- ulama dimasa dahulu yang dinamakan “Istiqra”.

Untuk soalan berikutnya, sebagaimana dimaklumkan darah yang keluar dari rahim perempuan ada tiga jenis. Pertama ialah darah haid. Kedua ialah darah Nifas. Ketiga ialah darah penyakit (Istihadhah). Dalam sebuah hadis dari Aishah r.a., sesungguhnya Fatimah binti Abi Hubaisy telah berdarah penyakit, lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya: “ Sesungguhnya darah haid itu hitam warnanya, ia di kenal oleh kaum perempuan, maka apabila ada darah semacam itu hendaklah engkau tinggalkan sembahyang. Apabila keadaan darah tidak seperti itu hendaklah engkau berwudhu dan sembahyang”. Riwayat Abu Daud dan Nasai.

Menurut ahli Feqah, kalau seseorang tidak dapat membezakan darah haid dan darah penyakit dan waktu haidnya yang biasa tidak menurut waktu tertentu, atau ia lupa waktunya, maka hendaklah dijadikan masa haidnya sebagai kebiasaan kebanyakkan perempuan dalam hal semacam itu, iaitu enam atau tujuh hari. Maka ia hendaklah meninggalkan sembahyang dan ibadat yang lain seperti puasa dalam masa enam atau tujuh hari tiap-tiap bulan. Selain dari waktu yang ditentukan itu dirinya adalah dikira suci, maka ia wajib sembahyang dan melakukan ibadat yang lain selama 23 atau 24 hari tiap-tiap bulan

22. Adakah wajib zakat wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?

Soalan : Adakah wajib zakat wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?

Jawapan :  Wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, bagi pekerja-pekerja Islam wajib dikeluarkan zakat bila cukup haulnya iaitu setahun setelah penerimaannya berdasarkan Mazhab Syafie.

23. Apakah hukum zakat, korban dan aqiqah ke atas ternakan rusa?.

Soalan : Apakah hukum zakat, korban dan aqiqah ke atas ternakan rusa?.

Jawapan :  Rusa tidak diwajibkan zakat dan tidak boleh dijadikan binatang korban dan aqiqah. Jika sekiranya diperniagakan, maka dikenakan zakat perniagaan dengan kadar 2.5%.

24. Adakah wajib dikenakan zakat gaji dan pendapatan profesional?.

Soalan : Adakah wajib dikenakan zakat gaji dan pendapatan profesional?

Jawapan :

  • Zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.
  • Pendapatan profesional diwajibkan zakat kerana ia termasuk dalam zakat perniagaan.

25. Apakah hukumnya jika seseorang itu mengerjakan haji lebih daripada sekali?

Soalan : Apakah hukumnya jika seseorang itu mengerjakan haji lebih daripada sekali?

Jawapan :  Perspektif hukum bahawa kesan jamaah haji menunaikan haji lebih daripada sekali adalah berkebajikan di dunia dan beroleh ganjaran yang besar di akhirat. Terserahlah kepada orang perseorangan bahawa dia telah mendahulukan amalan yang wajib kemudian mengerjakan pula amalan yang sunat.

26. Saya ingin tahu, bolehkah kita menunaikan haji dengan hasil duit saham dan apakah hukumnya?.

Soalan : Saya ingin tahu, bolehkah kita menunaikan haji dengan hasil duit saham dan apakah hukumnya?.

Jawapan :  Harus menggunakan hasil saham untuk mengerjakan haji dengan syarat saham itu tidak terlibat dengan perkara yang ditegah oleh syara'.

27. Apakah hukum ke atas orang yang mati, sedangkan ia masih ada beberapa hari puasa yang belum diqada'kan?.

Soalan : Apakah hukum ke atas orang yang mati, sedangkan ia masih ada beberapa hari puasa yang belum diqada'kan?.

Jawapan :  Dalam hal ini, waris kepada keluarga si mati boleh menyelesaikan hutang puasa si mati dengan dua pilihan. Pertama, dengan mengeluarkan fidyah iaitu secupak beras diberi kepada orang miskin mengikut jumlah puasa yang ditinggalkan. Ini bermaksud jika ada 5 hari baki puasa yang ditinggalkan maka waris keluarga terseebut hendaklah mengeluarkan fidyah sebanyak 5 cupak beras kesemuanya. Cara yang kedua, dengan berpuasa oleh warisnya sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. :

Maksudnya :

"Siapa yang mati dan di atasnya ada puasa yang ditinggalkan, nescaya berpuasa untuknya oleh warisnya".

28. Jika melakukan aqiqah seekor lembu, dagingnya tidak dimasak semua kerana terlalu banyak. Bolehkah diagih-agihkan daging yang telah masak dan yang masih mentah.

Soalan : Jika melakukan aqiqah seekor lembu, dagingnya tidak dimasak semua kerana terlalu banyak. Bolehkah diagih-agihkan daging yang telah masak dan yang masih mentah.

Jawapan :  Dibolehkan, tetapi memasak daging aqiqah sebelum disedekahkan adalah lebih afdal dan hukumnya adalah sunat. Daging aqiqah juga sunat disedekahkan kepada bidan yang menyambut kelahiran bayi berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W. ter-hadap aqiqah yang telah dilakukan oleh Fatimah untuk anaknya Hasan dan Husin:

Maksudnya :

"Hendaklah kamu hantarkannya kepada mak bidan melalui seseorang. Makan lah kamu serta jamukan dan jangan kamu patahkan tulang-tulangnya satu pun". (Riwayat Abu Daud)

29. Apakah hukum terhadap orang-orang yang tertinggal solatnya dengan mempunyai sebab-sebab tertentu?.

Soalan : Apakah hukum terhadap orang-orang yang tertinggal solatnya dengan mempunyai sebab-sebab tertentu?.

Jawapan :  Sebagaimana yang kita ketahui, solat tidak boleh ditinggalkan sama sekali. Barangsiapa yang meninggalkan solat bererti ia menanggung dosanya. Bagi mereka yang terlupa atau tertidur, mereka wajib mengerjakannya setelah ingat dari lupanya ataupun setelah jaga dari tidurnya. Ini bertepatan sekali dengan sabda Rasulullah S.A.W.:

Maksudnya :

"Siapa yang lupa solat atau tertidur daripadanya, maka hendaklah ia bersolat apabila sudah menyedarinya".

30. Apakah hukum orang yang mandi hadas setelah terbit fajar padahal dia berpuasa?

Soalan : Apakah hukumnya jika seseorang itu mengerjakan haji lebih daripada sekali?

Jawapan :  Perspektif hukum bahawa kesan jamaah haji menunaikan haji lebih daripada sekali adalah berkebajikan di dunia dan beroleh ganjaran yang besar di akhirat. Terserahlah kepada orang perseorangan bahawa dia telah mendahulukan amalan yang wajib kemudian mengerjakan pula amalan yang sunat.

31. Adakah sah ibadah haji yang dilakukan oleh seseorang dengan meng-gunakan wang yang diperolehi secara tidak halal?

Soalan : Adakah sah ibadah haji yang dilakukan oleh seseorang dengan menggunakan wang yang diperolehi secara tidak halal?

Jawapan :  Ibadah haji yang dilakukan dengan menggunakan wang yang diperolehi secara tidak halal itu sah tetapi haram dan tidak gugur kewajipannya serta tidak mendapat apa-apa pahala dan tidak mendapat apa-apa keampunan malah pemergiannya itu hanya mendapat penat dan sia-sia sahaja kerana tuhan tidak menerima apa-apa yang kotor dan tidak baik sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. :

Maksudnya : “Dari Abu Hurairah telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda : Sesungguhnya Allah S.W.T. itu baik dan ia tidak akan menerima melainkan yang baik".

32. Apakah hukum seorang perempuan mengandung yang meninggalkan puasa di bulan Ramadhan kerana dikhuatiri memudaratkan diri dan anak di dalam kandungannya?

Soalan : Apakah hukum seorang perempuan mengandung yang meninggalkan puasa di bulan Ramadhan kerana dikhuatiri memudaratkan diri dan anak di dalam kandungannya?

Jawapan :  Seorang perempuan yang sedang mengandung harus berbuka puasa jika dikhuatiri dengan sebab puasa tersebut akan menjejaskan diri dan anak di dalam kandungannya. Begitu juga keadaannya adalah harus meninggalkan puasa bagi perempuan yang sedang menyusukan anak sekiranya dikhuatiri akan menjejaskan kandungan air susu tersebut. Ini berdasarkan keterangan sebuah hadis :

Maksudnya : Dari Anas r.a. Rasulullah S.A.W. telah berkata “Sesungguhnya Allah telah memaafkan setengah solat dari orang musafir, dan memaafkan pula puasanya, dan Dia memberikan (kemurahan) kepada wanita yang sedang hamil dan yang sedang menyusui". -Riwayat Bukhari dan Muslim-

Walau bagaimanapun puasa yang ditinggalkan itu hendaklah diqada’ atau digantikan pada hari yang lain serta fidyah.

33. Apakah daging yang diniatkan qurban dan aqiqah boleh dimakan oleh tuan punya yang melakukannya?.

Soalan :  Apakah daging yang diniatkan qurban dan aqiqah boleh dimakan oleh tuan punya yang melakukannya?.

Jawapan :  Daging qurban halal dimakan atau dimiliki oleh orang yang berqurban bahkan sunat ia mengambil satu pertiga. Akan tetapi daging “qurban wajib” atau daging “qurban nazar” haram dimakan oleh orang yang bernazar. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam Al-Quran

Maksudnya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir".- - Surah Al-Hajj, ayat 28 -

Sedangkan daging aqiqah boleh dimakan oleh orang yang melakukan aqiqah dan disedekahkan kepada fakir miskin dan boleh juga diberi kepada orang kaya dalam keadaan sudah dimasak. Daging qurban, sunat dimakan oleh orang yang berqurban selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah.

34. Seseorang sampai di masjid sedang imam membaca khutbah Jumaat. Mana yang lebih afdhal, sembahyang sunat ataupun mendengar khutbah?

Soalan : Seseorang sampai di masjid sedang imam membaca khutbah Jumaat. Mana yang lebih afdhal, sembahyang sunat ataupun mendengar khutbah?

Jawapan :  Seseorang yang sampai di masjid sedang imam membaca khutbah disunatkan ianya supaya bersembahyang sunat secara ringkas iaitu dengan melakukan rukun-rukun sembahyang itu sahaja sebagaimana terdapat dalam hadis Rasulullah S.A.W.

Maksudnya : “Dari Rabi’ (Ibnu Sobih Al-Basri) berkata bahawa beliau telah melihat Hasan bersembahyang dua rakaat sewaktu imam sedang berkhutbah dan berkata Hasan telah bersabda Rasulullah S.A.W. apabila datang kepada kamu seseorang sewaktu imam sedang berkhutbah maka sembahyanglah dua rakaat yang ringan iaitu tidak boleh tidak sahaja (rukun-rukunnya sahaja)”.

35. Adakah benar pendapat yang menyatakan bahawa tidak mendapat pahala membaca Al-Quran sekiranya tidak diketahui maksudnya?

Soalan : Adakah benar pendapat yang menyatakan bahawa tidak mendapat pahala membaca Al-Quran sekiranya tidak diketahui maksudnya?

Jawapan :  Pendapat sedemikian adalah tidak berasas sama sekali. Tidak terdapat sebarang nas di dalam Al-Quran dan hadis yang menyebut demikian, tetapi jika seseorang yang membaca Al-Quran itu memahami maksudnya tentulah lebih baik daripada orang yang tidak mengetahuinya. Dalam hal ini baginda Rasulullah S.A.W. bersabda :

Maksudnya : “Orang yang membaca satu huruf daripada kitab Allah Ta’ala maka baginya dengan membacanya itu satu kebajikan. Dan satu kebajikan digandakannya dengan sepuluh, tidak aku katakan aaliflammim itu satu huruf dan tetapi aku katakan alif satu huruf lam satu huruf dan mim satu huruf”. (Riwayat Dar-Al Qutni)

36. Bolehkah seseorang itu mengerjakan umrah terlebih dahulu dari ibadat haji?

Soalan : Bolehkah seseorang itu mengerjakan umrah terlebih dahulu dari ibadat haji?

Jawapan :  Adalah tidak menjadi kesalahan jika seseorang itu mengerjakan umrah lebih dahulu dari ibadat haji. Sedangkan para jemaah haji yang memilih haji ‘Tamattuk’ semuanya mengerjakan umrah dahulu kemudian diikuti dengan mengerjakan haji. Tetapi haji jenis ini diwajibkan membayar dam kerana mereka mengerjakan umrah dalam bulan haji kemudian mereka mengerjakan haji pada tahun yang sama.

Berhubung dengan keharusan mengerjakan umrah lebih dahulu adalah berdasarkan sebuah hadis di mana Rasulullah S.A.W. bersabda :

Maksudnya : “Ibadat haji dan umrah adalah wajib kedua-duanya, tidaklah menjadi kesalahan dengan bahawa engkau memulakan mana-mana di antara keduanya”. (Riwayat Bukhari)

37. Adakah diharuskan mengerjakan solat sunat lain selepas solat sunat witir? Perlukah mengulangi solat sunat witir tersebut?

Soalan : Adakah diharuskan mengerjakan solat sunat lain selepas solat sunat witir? Perlukah mengulangi solat sunat witir tersebut?

Jawapan :  Ya, harus mengerjakan solat sunat lain seperti solat sunat Tahajjud selepas menunai-kan solat sunat witir. Tidak perlu mengulangi solat sunat witir tersebut kerana solat sunat witir hanya sekali di dalam satu malam.

Sabda Rasulullah S.A.W.,
Maksudnya: "Tiada dua witir dalam satu malam". (Riwayat at-Tirmidzi)

38. Siapakah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah terhadap anak yang lahir hasil perzinaan?

Soalan : Siapakah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah terhadap anak yang lahir hasil perzinaan?

Jawapan :  Zakat fitrah kepada anak hasil daripada perzinaan perlu dikeluarkan oleh ibu yang melahirkannya atau waris kepada ibu berkenaan.

39. AApakah hukum mendirikan solat Jumaat di suatu kawasan di mana orang yang bermastautin tidak terdapat padanya, seperti di institut pengajian tinggi dan sebagainya?

Soalan : Apakah hukum mendirikan solat Jumaat di suatu kawasan di mana orang yang bermastautin tidak terdapat padanya, seperti di institut pengajian tinggi dan sebagainya?

Jawapan :  Sah solat Jumaat tersebut jika cukup bilangan dan lain-lain syarat Jumaat yang ditetapkan oleh syara’.

40. Seorang Islam telah berkahwin dengan perempuan yang bukan Islam mengikut cara bukan Islam. Bagaimanakah cara mengebumikan mayat mereka dan kanak-kanak apabila mati?

Soalan : Seorang Islam telah berkahwin dengan perempuan yang bukan Islam mengikut cara bukan Islam. Bagaimanakah cara mengebumikan mayat mereka dan kanak-kanak apabila mati?

Jawapan :  Hendaklah disempurnakan mengikut agama mereka. Jika Islam ditanah perkuburan Islam manakala bukan Islam ditanam mengikut cara mereka dan kanak-kanak adalah mengikut agama ibunya.

41. Jika seseorang itu menaiki bas dalam perjalanan yang jauh dan dia telah berhadas besar, apakah yang perlu dilakukannya untuk menunaikan solat selain dari mandi wajib kerana terikat dengan perjalanan bas?

Soalan : Jika seseorang itu menaiki bas dalam perjalanan yang jauh dan dia telah berhadas besar, apakah yang perlu dilakukannya untuk menunaikan solat selain dari mandi wajib kerana terikat dengan perjalanan bas?

Jawapan :  Tidak sah solat dalam keadaan berhadas besar walaupun hanya untuk menghormati waktu. Solat yang ditinggalkan ketika itu wajib diqadakan. Sekiranya dalam keadaan musafir niatkanlah jamak dan qasar bagi sembahyang yang boleh dijamak qasarkan. Manakala bagi solat Subuh anda diwajibkan mengqadakannya setelah mandi wajib.

42. Adakah sah puasa saya sekiranya saya memberus gigi selepas azan subuh berkumandang untuk menunaikan solat subuh di dalam bulan puasa?

Soalan : Assalamualaikum,
Adakah sah puasa saya sekiranya saya memberus gigi selepas azan subuh berkumandang untuk menunaikan solat subuh di dalam bulan puasa?

Jawapan :  Sah puasa memberus gigi sesudah azan subuh berkumandang. Perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa.

43. Apakah hukumnya samaada terbatal ataupun tidak puasa sekiranya saya memakai kanta sentuh (contact lens) dibulan puasa kerana saya akan menitikkan ubat mata (lens drop) apabila mata saya kering?

Soalan :  Assalamualaikum
Saya ingin bertanya apakah hukumnya samaada terbatal ataupun tidak puasa sekiranya saya memakai kanta sentuh (contact lens) dibulan puasa kerana saya akan menitikkan ubat mata (lens drop) apabila mata saya kering.

Jawapan :  Sah puasanya kerana mata bukanlah rongga yang terbuka

44. Saya pernah membaca satu notis risalah di papan kenyataan di Hospital Tanjung Karang berkenaan cara bertayammum untuk orang yang sakit. Kalau tidak silap saya, risalah tersebut menyatakan bahawa pesakit boleh bertayammum dengan mengguna debu pada tilam atau dinding (dengan menepuk tangan ke tilam atau dinding).

Soalan :  Saya pernah membaca satu notis risalah di Papan Kenyataan di Hospital Tanjung Karang berkenaan cara bertayammum untuk orang yang sakit. Kalau tidak silap saya, risalah tersebut menyatakan bahawa pesakit boleh bertayammum dengan mengguna debu pada tilam atau dinding (dengan menepuk tangan ke tilam atau dinding)

Disini saya ingin mendapat kepastian mengenai perkara tersebut di atas.

Adakah JAIS atau mana-mana Pihak Berkuasa mengeluarkan fatwa mengenai kaedah bertayammum di dalam kapal terbang?

Jawapan : 

  • Sah berta'yamum dengan menggunakan debu yang melekat pada tilam dan dinding jika terdapat debu yang bersih daripada najis. Ini kerana debu berasal daripada tanah dan persekitaran yang kering yang dibawa oleh udara dan angin lalu melekat didinding dan tempat-tempat lainnya.
  • Pihak berkuasa tiada mengeluarkan fatwa kaedah berta'yamum dalam kapal terbang kerana sudah jelas dalam kitab Feqah.

Tiada masalah untuk mengangkat hadas kecil (wudu') di dalam kapal terbang kerana di dalamnya terdapat air. Syarat wuduk itu adalah menggunakan air keseluruh anggota wuduk. Tidak perlu dilakukan sebanyak 3 kali pada setiap anggota kerana cucian yang kedua dan ketiga itu sunat sahaja.

Ambillah anggota yang wajib sahaja kerana kuantiti air di dalam kapal terbang yang sedikit. Kalau tiada air dan tiada debu boleh solat sebagai menghormati waktu dan wajib qadak bila sampai ke destinasi kita.

45. Saya ada sedikit kemusyikalan tentang puasa.

Soalan : Saya ada sedikit kemusyikalan tentang puasa. Kalau kita harapkan sesuatu dan ia dimakbulkan kita panggil puasa nazar. Bagaimana dengan sebelum niat kita dimakbulkan tapi saya dah berpuasa selama 2 hingga 3 hari. Adakah ada sebarang nama untuk puasa jenis ini. Boleh tak sesiapa terangkan tentang hukum ataupun sebarang maklumat tentang puasa ni.

Jawapan :  Untuk makluman pihak tuan, tiada sebarang nama khusus bagi puasa tersebut. Akan tetapi ia menjadi puasa sunat sahaja.

46. Adakah hanya kambing binatang yang disembelih untuk aqiqah.

Soalan : Adakah hanya kambing binatang yang disembelih untuk aqiqah ?

Contohnya , Jika seseorang Itu mempunyai anak yang ramai seperti 5 orang lelaki. Perlukah dia menyembelih 10 Ekor kambing untuk membuat aqiqah atau hanya perlu ditukar dengan seekor binatang yang besar sebagai ganti ?

Jawapan :  Untuk makluman pihak tuan,

  • Bukan hanya kambing sahaja yang boleh dijadikan aqiqah. Selain daripada itu adalah seperti unta, lembu, kerbau, kambing biasa, kambing biri dan kibas.
  • Jika seseorang itu mempunyai anak yang ramai dan berniat untuk melaksana-kan ibadah aqiqah serentak, boleh juga dia menggantikan dengan lembu. (seekor lembu untuk tujuh bahagian dan satu bahagian setiap seorang)

47. Saya ingin membuat pertanyaan tentang pendapatan wang dividen ASB. Pertanyaan saya adalah bolehkah saya memasukkan wang tersebut untuk simpanan tabung haji bagi ibu saya. Bagaimana saya harus gunakannya?.

Soalan :  Assalamualaikum
Saya ingin membuat pertanyaan tentang pendapatan wang dividen ASB. Pertanyaan saya adalah bolehkah saya memasukkan wang tersebut untuk simpanan tabung haji bagi ibu saya. Bagaimana saya harus gunakannya?

Jawapan :  Waalaikumussalam,
Untuk makluman puan, wang yang tidak diketahui atau diragui di manakah ianya dilaburkan, maka hendaklah dielakkan daripada digunakan untuk beribadah kepada Allah seperti haji. Walaupun haji tersebut sah tetapi perbuatan itu haram. Sebaiknya wang tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal untuk digunakan bagi kemaslahatan umum seperti membina jalan raya dan sebagainya.

48. Apakah prosedur - prosedur (secara hukum) bagi penubuhan solat jumaat?

Soalan :  Assalamualaikum
Apakah prosedur - prosedur (secara hukum) bagi penubuhan solat jumaat?

Jawapan :  Waalaikumussalam,

Solat Jumaat ialah solat fardhu (dua rakaat) yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan solat Zohor, dan ianya dilakukan secara berjemaah selepas mendengar khutbah. Solat Jumaat itu hukumnya Fardhu Ain, iaitu wajib dikerjakan atas setiap mukallaf dengan syarat-syarat tertentu.

Firman Allah :

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya]," Al-Jumu'ah :9 Sabda Rasulullah S.A.W. :

"Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia : hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." Riwayat Abu Dawud & Hakim.

Syarat wajib solat Jumaat :

  • 1. Islam - tidak wajib bagi orang kafir.
  • 2. Baligh -tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh.
  • 3. Berakal - tidak wajib bagi orang yang gila.
  • 4. Merdeka - tidak wajib ke atas hamba abdi.
  • 5. Lelaki - tidak diwajibkan untuk orang perempuan
  • 6. Sihat - tidak wajib bagi orang yang uzur dan berhalangan.
  • 7. Bermautautin atau bermukim - tidak wajib bagi orang yang musafir.

Syarat solat Jumaat :

  • 1. Didirikan di dalam waktu zuhur.
  • 2. Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang ditetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
  • 3. Mestilah berjemaah sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal tetap di kawasan itu.
  • 4. Didahului dengan dua khutbah.

Rukun-rukun khutbah Jumaat :

  • 1. Khutbah dimulai dengan memberi pujian pada Allah S.W.T. seperti ucapan "Alhamdulillah".
  • 2. Diikuti dengan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. : "Allahuma salli ala Saidina Muhammad waala ali Saidina Muhammad."
  • 3. Khutbah hendaklah mengandungi pesanan kepada para jemaah agar bertaqwa kepada Allah S.W.T. seperti : "Bertaqwalah kamu kepada Allah".
  • 4. Membaca satu ayat Quran pada khutbah yang pertama atau kedua, tapi paling elok pada khutbah yang pertama.
  • 5. Mendoakan setiap Muslim pada khutbah yang kedua sekurang-kurangnya : "Rahima-kumullah".

Syarat Sah Khutbah Jumaat :

  • 1. Pembaca khutbah hendaklah seorang lelaki, tidak sah jika orang perempuan.
  • 2. Pembaca khutbah hendaklah menutup aurat.
  • 3. Suci daripada hadas dan najis pada pakian, badan dan tempat.
  • 4. Berdiri pada kedua-dua khutbah yang mampu.
  • 5. Membaca khutbah setelah masuk waktu Zuhur dan dilakukan sebelum solat Jumaat.
  • 6. Membaca rukun-rukun khutbah di dalam bahasa Arab, tidak boleh di baca dalam bahasa ibunda seperti membaca selawat Nabi dalam bahasa Melayu.
  • 7. Mualat antara khutbah yang pertama dengan khutbah yang kedua, antara sega rukunnya dan antara khutbah dengan solat.
  • 8. Duduk sebentar setelah selesai khutbah pertama sebelum memulakan khutbah kedua. Jikalau pembanca berkhutbah dalam keadaan duduk, maka pisahkan di antara dua khutbah itu dengan diam sebentar.
  • 9. Khutbah didengar oleh 40 orang yang bermukim sekalipun tidak memahami bahasa yang digunakan untuk menyampaikan khutbah.
  • 10. Mencukupi bilangan 40 orang dari mula khutbah hingga akhir solat.

Seorang muslim yang mengalami salah satu perkara di bawah ini adalah dikecualikan dari menunaikan solat Jumaat, mereka haya perlu solat Zohor seperti biasa :

  • 1. Sakit - iaitu sakit yang menyukarkan untuk ke masjid atau bimbag akan memudaratkan penyakitnya.
  • 2. Hujan - jika hujan itu membawa kesukaran untuk pergi ke masjid.
  • 3. Musafir - Iaitu orang yang keluar sebelum subuh untuk bermusafir.
  • 4. Takut dizalimi - orang yang bersembunyi kerana takut di zalimi.

Perkara-perkara sunat yang dilakukan pada hari Jumaat :

  • 1. Mandi sunat hari Jumaat, terutama ketika hendak berangkat ke Masjid.
  • 2. Memotong kuku.
  • 3. Memotong, mencabut atau menggunting bulu [ketiak, hidung, misai].
  • 4. Bersugi.
  • 5. Memakai wangi-wangian.
  • 6. Berhias diri dengan memakai pakaian yang bersih dan cantik.
  • 7. Bersegera pergi ke masjid.
  • 8. Berniat iktikaf.
  • 9. Solat Tahiyatul Masjid sebaik sahaja masuk ke dalam masjid.
  • 10. Memperbanyakkan berzikir, membaca Al-Quran dan berselawat atas Nabi.

49. Bila kita dah ada modal yang cukup untuk buat haji adakah wajib kita pergi haji atau dibolehkan kita tunggu sehingga modal cukup untuk isteri dan ibu bagi menunaikan haji bersama?

Soalan : Assalammualaikum

1. Bila kita dah ada modal yang cukup untuk buat haji adakah wajib kita pergi hajiatau dibolehkan kita tunggu sehingga modal cukup untuk isteri dan ibu bagi menunaikan haji bersama?.

2. Bolehkah kita makan harta zakat dari penerima zakat orang yang tidak layak terima zakat ?.

Jawapan :

  • 1. Menunaikan haji adalah rukun Islam kelima. Bagi yang sudah mampu, dikehendaki menunaikannya dengan segera.
  • 2. Tidak boleh.

50. Bolehkah kita makan harta zakat dari penerima zakat orang yang tidak layak terima zakat ?.

Soalan : Assalammualaikum
1. Bolehkah kita makan harta zakat dari penerima zakat orang yang tidak layak terima zakat ?.

Jawapan : Tidak boleh

51. Adakah haram daging kambing yang diaqiqahkan di makan oleh para jemputan majlis perkahwinan dan juga haram di makan oleh orang-orang kafir?

Soalan : Assalammualaikum

Saya ingin mengadakan kenduri aqiqah untuk anak lelaki saya. Saya dan suami akan menyembelih dua ekor kambing bagi tujuan tersebut dan berniat mengadakan kenduri dan doa selamat. Pada hari yang sama juga iaitu pada sebelah tengahari nya kami akan mengadakan kenduri perkahwinan untuk adik perempuan saya.

Soalan saya adakah haram daging kambing yang diaqiqahkan di makan oleh para jemputan majlis perkahwinan dan juga haram di makan oleh orang-orang kafir?

Diharap dapat memberikan penjelasan

Jawapan : Harus aqiqah disatukan dengan kenduri kawin tetapi haram dagingnya diberi makan kepada orang bukan Islam.

Walaubagaimanapun sekiranya puan tidak mengetahui tetamu yang datang itu tersiri daripada orang bukan Islam, maka aqiqah itu tersebut tetap sah.

52. Bagaimana saya ingin menebus nazar yang saya 'terlupa' mungkin kerana kelaparan, godaan makanan yang enak dan sebagainya?

Soalan : Assalammualaikum

Ustaz, saya ingin mengajukan masalah. Saya pernah melakukan dosa kerana melakukan onani sejak di bangku sekolah menengah lagi. Saya menyesali perbuatan ini dengan berniat nazar supaya berpuasa sehari jika saya melakukan onani dengan harapan agar saya dapat menahan nafsu.

Kini, saya terlupa adakah saya berniat berpuasa sehari SEJURUS selepas melakukan onani atau cuma berniat berpuasa sehari bagi setiap kali melakukannya.

Tetapi tabiat ini amat-amat sukar dibuangkan tetapi saya masih berusaha.

Setelah lebih 4 tahun melakukannya, saya telah melakukannya hampir 82 kali. Jadi, bagaimana dengan keadaan nazar saya? Bagaimana saya ingin menebus nazar yang saya 'terlupa' mungkin kerana kelaparan, godaan makanan yang enak dan sebagainya?

Diharap dapat memberikan penjelasan

Jawapan :  Rasulullah S.A.W. bersabda : Diangkat pena (tidak dicatat) kepada 3 perkara iaitu Kanak-Kanak sehinga Baligh, Terlupa hingga Sedar, Tidur sehingga Jaga. Bermaksud Allah tidak mengambil kira (memberi kelepasan) kepada orang yang benar-benar terlupa. Saudara telah terlupa bentuk niat nazar saudara. Masa untuk saudara melakukan nazar dengan berpuasa sehari sejurus selepas melakukan onani telah berlalu. Walaubagaimanapun saudara boleh melakukan puasa sehari bagi setiap kali melakukannya, maka sebagaimana saudara melakukan onani sebanyak 82 kali, hendaklah berpuasa sebanyak itu juga sebagai menunaikan nazar tersebut.

53. Adakah batal wuduk sekiranya tersentuh dengan isteri tanpa lapik? Bolehkah ustaz terangkan dengan siapa lagi wuduk boleh terbatal sekiranya tersentuh lelaki dan perempuan?

Soalan : Assalammualaikum

1. Adakah Batal Wuduk sekiranya tersentuh dengan isteri tanpa lapik?

2. Bolehkah ustaz terangkan dengan siapa lagi wuduk boleh terbatal sekiranya tersentuh lelaki dan perempuan ?

Jawapan : 

  • Batal wuduk jika bersentuh dengan isteri tanpa lapik.
  • Wuduk terbatal jika bersentuh dengan bukan muhrim.
  • Wuduk terbatal jika bersentuh selain daripadanya :(untuk lelaki)
    • i. Ibu
    • ii. Datuk perempuan
    • iii. Adik beradik
    • iv. Anak
    • v. Cucu dan keturunannya
    • vi. Sebab susuan
    • vii Ibu mertua

54. Saya ingin mendapatkan panduan tentang hukum mempraktikan solat jamak dan qasar.

Soalan : Assalammualaikum

Saya ingin mendapatkan panduan tentang hukum mempraktikan solat jamak dan qasar yang diharap ustaz membantu saya :

1. Kampung asal saya adalah di Batu Pahat, Johor dan saya telah bekerja dan tinggal selama 8 tahun di Terengganu. Setiap bulan saya akan pulang ke kampung untuk menziarahi ibu.

2. Saya kerap melakukan aktiviti memancing dan berkhemah di dalam hutan yang jarak nya lebih dari 2 marhalah dari tempat tinggal saya.

Didalam kedua-dua keadaan tersebut apakah solat jamak/qasar harus dipraktikan. Apakah solat jamak/qasar tersebut harus dipraktikan selagi saya belum tiba semula ke Terengganu atau apakah solat tersebut hanya harus dilakukan ketika didalam perjalanan sahaja.

Sekian dan diharapkan ustaz dapat memberikan panduan nya kepada saya melalui e-mail saya.

Jawapan : Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah, maka ia harus melakukan solat qasar dan jamak sekali. Solat jamak dan qasar ini adalah suatu keringanan yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya, apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah.

Pemulaan musafir ini dikira setelah kita keluar kawasan, sama ada melalui sungai, parit, kota sempadan atau kawasan yang sudah tidak ada bangunan lagi. Akhir musafir ialah apabila kita memasuki kawasan pemulaan musafir tadi.

Apabila seseorang yang bermusafir kerana sesuatu maksiat, maka ia tidak diharuskan solat jamak dan qasar. Solat jamak dan qasar harus dilakukan sekiranya tujuan/ niat sesuatu perjalanan itu tidak bercanggah dengan hukum syarak.

55. Saya ingin penerangan lanjut berkenaan Mandi Wiladah ini kerana banyak orang yang kurang arif tentang hal ini terutama wanita sendiri.

Soalan : Assalammualaikum

Saya ingin penerangan lanjut berkenaan Mandi Wiladah ini kerana banyak orang yang kurang arif tentang hal ini terutama wanita sendiri.

Jawapan : 

  • Darah yang keluar mengiringi wanita melahirkan itu dipanggil darah wiladah.
  • Hukum mandi wiladah sejurus bersalin itu sunat bagi orang yang mempunyai darah nifas.
  • Namun bagi sesetangah wanita, kelahiran bayi itu hanya disambut dengan keluarnya darah wiladah dan tidak disertai dengan darah nifas. Maka mandi tersebut adalah mandi yang wajib sebagaimana menyucikan diri daripada hadas besar selepas melahirkan.
  • Walaupun begitu, kelaziman yang diamalkan oleh masyarakat kita untuk melaksanakannya elok, iaitu untuk memberikan kesegaran selepas melahirkan asalkan ianya tidak membahayakan dan memudaratkan.

56. Saya ada kemusykilan akan hukum bersalam dengan Ibu Mertua, adakah perbuatan itu membatalkan wuduk, ada yang mengatakan batal dan ada pula yang mengatakan tidak.

Soalan : Assalammualaikum

Ustaz, saya seorang muslim yang berusaha untuk mengekalkan solat rawatib (Ba'diyah Muakkadah), setiap selepas solat berjamaah dengan seisi keluarga di rumah Ayah dan Ibu mertua, saya sebagai menantu selalu bersalaman dengan Ayah dan Ibu mertua, selepas itu saya nak solat sunat ba'diyah, maka saya berwuduk semula sebelum menunaikan solat sunat ba'diyah berkenaan.

Saya ada kemusykilan akan hukum bersalam dengan Ibu Mertua, adakah perbuatan itu membatalkan wuduk, ada yang mengatakan batal dan ada pula yang mengatakan tidak. Harap dan mohon penerangan dari Ustaz, bila ada nas Al-Qur'an dan Al-Sunnah mohon Ustaz sertakan sekali,

terima kasih.

Jawapan : 

  • Tahniah kerana tuan berjaya melazimkan amalan solat sunat tersebut.
  • Tidak menjadi halangan bersalaman dengan ibu mertua sebelum melaksanakan solat yang seterusnya ini kerana status ibu mertua itu seperti ibu sendiri, malahan hubungan ibu mertua dengan tuan adalah 'haram muabbad' iaitu haram yang berkekalan atau abadi dengan syarat tuan telah mengahwini mana-mana anak perempuannya.
  • 'Haram Muabbad' ini dengan kata lain, tuan tidak boleh (diharamkan) berkahwin dengan ibu mertua tuan walaupun sesudah perceraian (hidup atau mati) dengan isteri tuan dan status ibu mertua itu kekal sampai bila-bila.
  • Sila rujuk surah an-nisa' ayat 23 berkaitan wanita-wanita yang haram dikahwini.

57. Adakah sembahyang ganti/qada dibenarkan dalam Islam sekiranya tertinggal sembahyang.

Soalan : Assalammualaikum Saya ingin tahu mengenai beberapa perkara, minta diberi petunjuk .

1. Adakah sembahyang ganti/qada dibenarkan dalam islam? kalau tertinggal sembahyang.

2. Jikalau was-was mengenai rakaat keberapa sembahyang, apa harus dilakukan? Adakah tambah satu rakaat dan sujud sahwi?

3. Di dalam website Mufti Selangor, ditulis bahawa jika baju/pakaian terkena air mazi, dikehendaki dibersihkan sehingga hilang bau warna dan rasa, tetapi terdapat pendapat yang hanya perlu memercikkan air sahaja ke atas baju tersebut- Saya quotekan pendapat tersebut dibawah. Jadi, boleh saya memercikkan air sahaja?

4. Sebelum sembahyang, tiada air mazi yang keluar, tetapi ketika sembahyang kadang-kadang keluar air mazi atau air kencing atau kedua-duanya, kemungkinan disebabkan lemah control pundi. Adakah sembahyang tersebut batal? dan jika ya, maka saya harus bersihkan kemudian wudhu dan sembahyang kembali, tetapi jika ia berlaku lagi? agak menyukarkan diri untuk beribadat. Dan tidak silap saya, Islam adalah untuk memudahkan umatnya beribadat?, apa harus saya lakukan kerana sering selepas berhadas kecil sering ada lelehan selepas dibersihkan. Masalah ini betul merungsingkan, dan amat membebankan jika perlu berkali-kali bersuci, wudhu, sembahyang setiap kali ia berlaku. Dan termasuk pencucian baju jika terkena najis tersebut. Bukankah ia jugak termasuk didalam kategori penyakit?. Malah bagaimana jika terlalu sibuk (kerja, belajar, jadual yang agak ketat)?

"Tambahan kepada akan hal mazi td tu..sekiranye mazi tu kena kain anda, cukup sekadar dengan memercikkan air keatas tempat mazi tersebut. Ini kerane mazi merupakan najis yang sukar dijaga dan sering berlaku dikalangan muda mudi sehingga layak mendapat keringanan dari kencing bayi..dari Sahl bin Hanif r.a katanya:

"Aku mendapat kesusahan dan kesulitan disebabkan mazi dan sering mandi kerananya. Maka kusampaikan hal itu kepada rasulullah S.A.W, ujarnya: "Cukuplah kamu berwudhuk kerana itu". Lalu kataku pula: "Ya Rasulullah, bagaimana yang menimpa kainku?" Ujarnya: "Cukup bila kau ambil sesauk air, lalu percikkan ke kainmu hingga jelas olehmu mengenainya." (Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Tarmidzi serta katanya: "Hadith ini hasan lagi sahih")"

Jawapan : 

  • Sembahyang Qada' hanya bagi orang yang tertinggal sembahyang pada waktu yang ditetapkan disebabkan terlupa atau tertidur.
  • Jika was-was rakaat, hendaklah tambah satu rakaat dan sujud sahwi.
  • Cara mencuci air mazi hendaklah dihilang bau, rasa dan warna kerana air mazi adalah najis sebagaimana dalam mazhab Shafie.
  • Air mazi yang keluar ketika sembahyang akan membatalkan sembahyang.
  • Anda perlu membersihkan najis tersebut dan mengulangi kembali sembahyang. Sekiranya lemah control pundi, anda hendaklah berjumpa doktor yang di yakini untuk mendapatkan rawatan.

58. Saya pernah berguru dengan seorang ustazah yang menyatakan rambut bahagian sideburn yang panjang dan terselak ke belakang adalah sebahagian dari anggota wudhu,muka dan perlu dikenakan air sembahyang. Adakah perlu dibasahkan jika rambut panjang, dan saya tidak pernah melihat muslimah membasahkan rambut yang terselak itu?

Soalan :  Assalammualaikum

Saya ingin bertanya tentang hukum agama. Saya pernah berguru dengan seorang ustazah yang menyatakan rambut bahagian sideburn yang panjang dan terselak ke belakang adalah sebahagian dari anggota wudhu,muka dan perlu dikenakan air sembahyang. Adakah perlu dibasahkan jika rambut panjang, dan saya tidak pernah melihat muslimah membasahkan rambut yang terselak itu?

Terima kasih

Jawapan : 

Untuk makluman puan had atau batasan muka yang wajib di basuh adalah dari tempat tumbuh rambut di sebelah atas sehingga sampai kedua tulang dagu sebelah bawah dan lintangannya adalah dari anak telinga sebelah kana hingga ke anak telinga sebelah kiri.

Hadis Abu Hurairah r.a katanya :

Rasulullah S.A.W. bersabda : Kamu merupakan orang yang bercahaya muka, tangan dan kakinya pada Hari Kiamat kerana kamu telah menyempurnakan wudhuk dengan baik. Maka sesiapa di antara kamu yang mampu melebihkan had basuhan pada muka, tangan dan kakinya hendaklah dia berbuat demikian.

59. Saya ada kemusykilan mengenai darah haid dan juga mengenai mandi wajib setelah kedatangan darah haid.

Soalan : Assalammualaikum

Saya mendapat tahu darah haid juga berwarna kuning atau pun keruh.

Masalah nya saya biasanya mengalami haid (keluar darah berwarna merah) lebih kurang selama tujuh hari. Selepas itu keluar cairan berwarna kuning cair atau keruh. Cairan ini jugak keluar ketika waktu di luar haid. Biasanya pada hari ke sembilan atau ke sepuluh saya akan mandi wajib dan menunaikan amalan-amalan lain seperti biasa meski pun berasa ragu. Untuk mengelakkan saya terus berasa ragu saya akan mandi wajib sekalilagi selepas lima belas hari.

Soalan saya adakah saya masih dianggap dlm keadaan berhadas selepas tujuh hari tersebut.?

Bilakah saya sepatutnya mandi wajib?

Perkara ini berlaku setiap kali saya mengalami haid. Adakah ini bermakna saya hanya suci setelah Lima belas hari.

Jawapan : 

  • Adapun darah yang keluar samada merah atau keruh kekuningan di luar waktu haid itu adalah darah istihadah atau darah penyakit.
  • Namun jika ia keluar di dalam tempoh haid maka ianya adalah darah haid.
  • Bagi pandangan saya berkaitan permasalahan ini, ialah puan perlulah memastikan kitaran haid puan tetap. Seterusnya pastikan tempoh darah yang diyakini haid itu keluar. Kemudian pastikan tempoh cairan kekuningan yang keluar itu berpanjangan sehingga melebihi waktu haid atau tidak.
  • Jika melebihi waktu haid, ia dianggap darah istihadah, dan jika keluarnya di dalam tempoh maksima haid ia boleh dianggap sebagai baki-baki darah haid yang masih tertinggal dan ia adalah haid.

60. Saya ingin mengkadakan sembahyang fardu yang telah ditinggalkan secara sedar atau tidak dari baligh sehinga kini, bagaimana cara terbaik untuk melakukannya.

Soalan : Assalammualaikum

Saya ingin mengqadakan sembahyang fardu yang telah ditinggalkan secara sedar atau tidak dari baligh sehinga kini, bagaimana cara terbaik untuk melakukannya.

Dan sila berikan nas atau dalil atau (hadis sahih) untuk perkara diatas (qadakan sembahyang kerana sengaja tinggal) untuk mengelakkan salah faham?

Jawapan : 

Solat fardhu adalah wajib kepada muslim yang mualaf dalam apa jua keadaan. Solat farhu adalah ibadat badaniah yang khusus dantidak boleh dibayar dengan fidyah. Walaubagaimanapun dalam keadaan uzur atau sakit menurut hadith sahih Bukhari dan Muslim menjelaskan Rasullullah S.A.W. telah bersabda maksudnya;

"Sesiapa yang tertidur atau terlupa hendaklah mengqada' bila terjaga atau teringat".

Solat yang tertinggal atau sengaja ditinggalkan wajib diqada' dengan segera sebagaimana menjelaskan hutang piutang. Solat qada' boleh dikerjakan pada bila-bila masa dan sebaik-baiknya disegerakan.

61. Sepanjang hayat bapa, kami anak-anak percaya bahawa Aruah ada meninggalkan ibadah solat & puasa. Masalahnya, kami tidak tahu berapa banyak yang tertinggal, yang boleh kami cuba tampung fidyahnya menggunakan wang peninggalan Aruah. Bagaimanakah kami boleh mengatasi persoalan ini?

Soalan : Assalammualaikum

Saya ada beberapa soalan berkaitan harta pusaka Aruah bapa :

1. Sepanjang hayat bapa, kami anak-anak percaya bahawa Aruah ada meninggalkan ibadah solat & puasa. Masalahnya, kami tidak tahu berapa banyak yang tertinggal, yang boleh kami cuba tampung fidyahnya menggunakan wang peninggalan Aruah. Bagaimanakah kami boleh mengatasi persoalan ini?

2. Aruah ada meninggalkan pesan supaya tanah tapak rumah kami sekarang(milik ibu) dibahagikan sesama adik-beradik. Ini dipersetujui ibu. Ada adik beradik lain (A) yang tidak bersetuju kerana tidak mendapat bahagian tanah tapak rumah kerana rumah beliau (A) telah didirikan di tapak ini. Sebenarnya, beliau (A) telah diberikan bahagiannya di kawasan lain. Bagaimana kami hendak menangani masalah ini?

3. Apakah yang kami boleh lakukan bagi membantu Aruah di alam kubur?

Jawapan : 

Hukum Fidiyah :

  • Fidiyah puasa sahaja yang boleh diganti sekiranya ditinggalkan semasa hidup dan tidak sempat untuk di qada', maka warislah yang mengqada'nya dengan cara berpuasa. Manakala ibadat solat tidak ada nas yang jelas yang menunjukkan bahawa solat itu boleh diganti dengan fidiyah jika mati kerana solat itu kewajipan setiap muslim.

Harta Pusaka :

  • Harta Pusaka hendaklah dibahagikan dengan kaedah sistem untuk mendapatkan keadilan di sisi waris. Dan jika si mati berwasiat kepada waris, wasiat tersebut tidak sah kerana waris tidak berhak menerima wasiat.
  • Yang perlu dibantu arwah di dalam kubur ialah dengan berdoa kepada Allah sebagai anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.

62. Buat perhatian uztaz, apakah hukumnya bersama dengan isteri semasa pergi ke tanah suci? Iaitu bukan semasa ihram.

Soalan : Assalammualaikum

Buat perhatian uztaz, apakah hukumnya bersama dengan isteri semasa pergi ke tanah suci? Iaitu bukan semasa ihram.

Minta penjelasan lanjut dari ustaz.

Jawapan :  Diharuskan bersama dengan isteri semasa menunaikan fardhu haji asalkan jangan dalam masa niat ihram haji atau umrah.

63. Saya bertugas di Tg Dahan, Melaka, jarak jauh 125 km dari rumah kediaman saya di Subang Jaya, Selangor. Kemusykilan saya ialah, didalam situasi di atas di mana saya membuat perjalanan lebih dari dua marhalah dan duduk di tempat asing itu selama 3 hari (tidak termasuk hari tiba dan hari berangkat) adakah saya dikira bermusafir setiap kali membuat perjalanan tersebut walaupun ianya rutin mingguan, dan oleh kerana yang demikian adakah patut saya mengamalkan kurnia keringanan yang diberikan untuk salat jama' dan qasar atau tidak?

Soalan : Assalammualaikum

Diharap dapat pihak tuan kemukakan kepada yang berkenaan tentang kemusykilan saya dibawah ini:

Saya bertugas di Tg Dahan, Melaka, jarak jauh 125 km dari rumah kediaman saya di Subang Jaya, Selangor.

Rutin mingguan saya ialah bertolak dari rumah kediaman saya selepas Subuh pada setiap hari Isnin untuk perjalanan ke tempat saya bertugas, dan duduk bertugas selama 5 hari 4 malam di Melaka hingga jam 5.30 petang setiap hari Jumaat dimana saya akan berangkat pulang ke Selangor. Majikan saya menyediakan sebuah 'apartment' di tempat saya bertugas yang saya gunakan untuk menginap sendiri (sebab famili saya tetap tinggal di Subang Jaya dan tidak berpindah ke Melaka) pada malam-malam Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat.

Kemusykilan saya ialah, didalam situasi di atas di mana saya membuat perjalanan lebih dari dua marhalah dan duduk di tempat asing itu selama 3 hari (tidak termasuk hari tiba dan hari berangkat) adakah saya dikira bermusafir setiap kali membuat perjalanan tersebut walaupun ianya rutin mingguan, dan oleh kerana yang demikian adakah patut saya mengamalkan kurnia keringanan yang diberikan untuk solat jama' dan qasar atau tidak?

Jawapan :  Harus mengqasarkan dan menjamakkan solat dalam musafir jika bermukim tidak melebihi 4 hari, dan sekembalinya saudara ke tempat tinggal maka hendaklah solat tamam.

64. Membebaskan si mati dari azab kubur

Soalan :

Adakah ia warid dari Nabi SAW apabila solat hadiah yg dikerjakan waktu malam setiap selepas berlaku kematian?Apakah dalil bagi bacaan surah al-Ikhlas 100 000 kali selepas berlaku kematian dengan harapan dapat membebaskan si mati dari azab kubur?

Minta penjelasan lanjut dari ustaz.

Jawapan :  Kedua-dua perkara di atas perkara baik, tetapi khilaf. Dikatakan tidak ada nasnya. Bagaimana terdapat dalam buku-buku panduan dan menjadi amalan. Untuk itu bersangka baiklah, mudah-mudahan tidak menjadi punca perbalahan . Yang tidak mahu melakukan, tidak perlu melakukan. Jangan menjadi polimik yang merugikan.

65. Mengerjakan solat taubat pada waktu terlarang

Soalan : Assalammualaikum

Adakah seorang muslim itu boleh mengerjakan solat taubat pada waktu terlarang (waktu-waktu yang diharamkan solat.)?

Minta penjelasan lanjut dari ustaz.

Jawapan :  Waktu-waktu yang dilarang solat ada 5 perkara :
1.Sesudah solat subuh, sehingga terbit matahari.
2.Ketika terbit matahari, sehingga sempurna terbitnya kira-kira tingginya segalah (lebih kurang 5 kaki daripada tempat terbitnya.)
3.Ketika matahari betul-betul dikemuncaknya, sehingga tergelincirnya.
4.Sesudah solat Asar, sehingga terbenam matahari.
5.Ketika terbenam matahari sehingga sempurna terbenamnya.

66. Memakai kanta sentuh (contact lens) ketika melakukan rukun umrah

Soalan :Adakah dibolehkan atau tidak memakai kanta sentuh (contact lens) ketika melakukan rukun umrah seperti tawaf akan menjejaskan ibadah itu?

Jawapan :  Pemakaian kanta lekap (contact lens) adalah tidak menjejaskan ibadah umrah. Ini kerana pemakaiannya tidak termasuk dalam larangan-larangan semasa ihram. Ia juga menjadi salah satu keperluan kepada Jemaah sebagai keselesaan di dalam mengerjakan ibadah umrah, sebagai ganti kepada cermin mata. Bagaimanapun jika pemakaiannya dengan niat supaya kelihatan cantik dan mendapatkan pujian ia adalah dilarang.

67. Mengerjakan solat taubat pada waktu terlarang

Soalan :Surau di tempat saya dipisahkan oleh dinding konkrit. Ruang hadapan untuk lelaki, ruang belakang untuk wanita. Kedua-dua ruang adalah cukup besar untuk melaksanakan sembahyang berjemaah. Kedua-dua ruang ada pintu masuk tersendiri dan tempat berwuduk sendiri. Kedua-dua ruang dihubungkan dengan pembesar suara.

Adakah sah solat jemaah tersebut?

Jawapan :  Tidak sah solat Jemaah tersebut. Bagaimanapun jika dinding pemisah antara lelaki dan wanita dibuat pintu laluan, ia sudah memadai, supaya makmum wanita dapat melihat pergerakan jemaah lelaki.

end faq