Waktu solat
  • Imsak 05:31
  • Subuh 05:41
  • Syuruk 06:59
  • Zohor 13:02
  • Asar 16:24
  • Maghrib 18:59
  • Isyak 20:12

carian1akses

A- A A+
Arial | PT Sans | Century

Akidah

1. E-mail berkenaan Imam Mahadi

Soalan : Assalamualaikum Dato', Saya telah beberapa kali menerima e-mail berkenaan Imam Mahadi. Di sini saya lampirkan. Harap Dato' dapat memberi sedikit penerangan kepada saya terutamanya Imam Mahadi berasal dari Bani Jawi. Jazakallahukhairan Kathira.

Jawapan : Imam Mahadi berketurunan Arab bukan dari bangsa lain. Manakala berita yang disebarkan tidak wajar diyakini kerana dianggap sebagai ramalan atau tilikan. Tilikan dilarang dalam Islam.

2. Tolong terangkan kepada saya aqidah Islam yang sebenar

Soalan : Terlebih dahulu, saya amat-amat berharap tuan dapat mengulas mengenai tafsiran ayat yang di atas ini. Ayat di atas telah digunakan oleh satu kumpulan yang kononnya mengajar tafsir Al-Quran dan membetulkan aqidah umat islam di Malaysia. Saya pernah menyertai program kumpulan ini, tetapi menarik diri apabila terlalu banyak ajarannya yang tidak saya fahami dan bertentangan dengan pendidikan awal yang saya terima. Juga kumpulan ini bergerak dari rumah ke rumah dan tidak membenarkan kami mengajak orang lain untuk turut serta melainkan orang itu telah terlebih dahulu mengikuti program intensif selama 3 hari berturut-turut.

Selain itu, penyampai di dalam majlis itu juga, tidak mahu memperkenalkan dirinya kepada kami, melainkan apabila kami telah setuju untuk berbaiah juga berinfaq kepada kumpulan tersebut. Permasalahan saya ialah, seorang adik perempuan saya juga menyertai kumpulan ini dan telah terikat dengannya.Pada mulanya kami hanya mendiamkan diri, kerana tiada perubahan ekstrim terhadap tingkah lakunya. Namun, pada ketika saya menulis emel ini, adik saya entah di mana. Mulanya, dia memberitahu yang dia "outstation" ke Singapura. Tetapi, kami menjadi curiga apabila terbaca di dalam diarinya yang pada hari ini, 19/8/2005, dia akan ke Singapura bersama kumpulan itu untuk berjihad dan seterusnya ke Indonesia.

Lantas kami menyiasat dan menelefon pejabatnya untuk kepastian. Pejabatnya mengatakan adik kami, sepatutnya masih berada di malaysia kerana mereka tidak menganjurkan apa-apa kursus di Singapura sekarang ini. Tuan, tolonglah huraikan ayat di atas. Dia menganggap kami adalah keluarga yang menghalang dia dari berjihad di jalan ALLAH. Tolonglah kami untuk berdebat dengannya. Tolonglah kami. Terangkan maksud jihad yang sebenarnya. Tolonglah kami, supaya boleh kami terangkan kepada dia, bahawa Malaysia bukan Makkah di zaman jahiliyah. Dan Malaysia tidak memerlukan perjanjian hudaibiyah.

Tolong kami, untuk menerangkan pada dia asas Islam sebenar. Pada saya persoalan aqidah adalah sangat kritikal. Hanya orang yg bertauliah sahaja boleh membicarakannya. Tolong saya terangkan kepadanya aqidah Islam yang sebenar. Tolonglah kami tuan. Kami tidak mahu kehilangan adik kami.

Jawapan :Dakwah Islam disampaikan dengan terus terang manakala yang lainnya secara rambang. Jauhi diri dari terlibat dengan ajaran/anasir yang bertentangan dengan Islam.

3. Laman internet yang berunsurkan ajaran sesat

Soalan : Assalamualaikum saya merujuk kepada satu laman internet yang berunsurkan ajaran sesat. Laman internet tersebut adalah www.banimasrek.com. Masalahnya, orang yang mengaku sebagai Imam Mahdi ini telah ditemuramah oleh pihak akhbar dan telah pun disiarkan pada hari jumaat yang lalu.

Mengapakah pihak JAIS tidak mengambil sebarang tindakan terhadap orang-orang seperti ini? Ini bukan saja menyeleweng dari ajaran Islam, malah merosakkan minda mereka yang terlibat dengan perkara-perkara seperti ini. Walaupun saya kurang arif tentang perkara sedemikian, adakah boleh manusia mengaku sebagai pemimpin kepada Kerajaan Allah Ta'ala? Bukankah ini sama dengan mengatakan bahawa diri dia adalah Tuhan? Ini amat melampau dari pandangan seorang Islam. Mohon diambil tindakan sewajarnya.

Jawapan :

  • Terima kasih atas perhatian tuan, saranan tuan akan dipanjangkan ke pengetahuan JAIS untuk kajian dan tindakan.
  • Mengikut sejarah Islam, Nabi Muhammad S.A.W. adalah berasal dari orang arab Qurish Mekah. Keturunan Bani Hashim. Kalau seseorang yang berada di Indonesia yang dikatakan Raja Jawa sejati sebagai keturunan Nabi, kita perlu mengetahui salasilahnya. Walaupun begitu kemuliaan seseorang itu bukan terletak kepada keturunan, tetapi terletak kepada ketaqwaannya.
  • Ada perkara yang mengelirukan dalam kenyataan anda. Dibawah ini sukacita saya menjelaskan :
    • Sunnah - sama dengan hadith
    • Bacaan - "Subhana Rabbial a'ala". Maksud Rabbi ialah Allah.
    • Al-quran memberi panduan secara umum tidak terperinci. Contoh : Al-Quran menerangkan perintah solat. Bagaimana cara solat perlu melihat hadis atau sunnah Nabi. Seorang Islam wajib beriman dengan quran dan hadis.

4. Apakah pandangan Islam jika seseorang itu bersahabat atau meminta pertolongan jin?

Soalan : Apakah pandangan Islam jika seseorang itu bersahabat atau meminta pertolongan jin?

Jawapan:

  • Bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perkara yang ditegah oleh syarak adalah haram.
  • Meminta pertolongan jin dalam rawatan perubatan sehingga membawa syirik adalah haram.
  • Meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan adalah haram.
  • Meminta dan menggunakan khidmat jin untuk ilmu sihir atau nujum adalah haram

5. Adakah salah pada sisi Agama Islam seseorang memakai susuk di badan kerana tujuan untuk keselamatan diri?

Soalan : Adakah salah pada sisi Agama Islam seseorang memakai susuk di badan kerana tujuan untuk keselamatan diri?

Jawapan:Memakai susuk kerana keselamatan diri itu hukumnya adalah haram. Jika seseorang itu mengi’tiqad bahawa susuk itu boleh menghindarkan segala merbahaya maka perbuatan itu akan membawa kepada syirik bererti menyekutukan Allah S.W.T. dan dosanya sangat besar sekali sehingga tuhan tidak dapat mengampuninya selagi tidak kembali kepada mengesakan Allah sebagaimana yang telah difirmankan di dalam Al-Quran Surah An-Nisa’ ayat 48 : Maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan Syari’atNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

6. Dalam keadaan-keadaan yang tertentu, bolehkah kita berdoa kepada Allah S.W.T. supaya kita dimatikan dengan segera?

Soalan : Dalam keadaan-keadaan yang tertentu, bolehkah kita berdoa kepada Allah S.W.T. supaya kita dimatikan dengan segera?

Jawapan:Sebenarnya berdoa meminta mati itu adalah dilarang kerana ia merupakan sikap orang yang putus asa dari rahmat Allah S.W.T. Bagaimanapun dalam konteks ini, marilah kita sama-sama memahami sebuah hadis Rasulullah S.A.W. seperti berikut :

Maksudnya : “Jangan bercita-cita oleh seseorang kamu akan mati lantaran kesusahan yang menimpa dengannya, maka seandainya tidak dapat tidak dari bercita-cita untuk mati maka hendaklah ia berdoa: “Ya Allah hidupkanlah aku selagi mana hidup itu lebih baik bagi aku dan matikanlah aku selagi mana kematian itu lebih baik bagi aku”.

7. E-mail dan risalah mengenai "Tahun Gempar 2005" yang mengandungi ramalan-ramalan yang akan berlaku pada tahun 2005 sehingga awal tahun 2006.

Soalan : Baru-baru ini kita dihebohkan dengan e-mail dan risalah mengenai "Tahun Gempar 2005" yang mengandungi ramalan-ramalan yang akan berlaku pada tahun 2005 sehingga awal tahun 2006 yang ditulis oleh Abu Basyir Ad-Daiki Al-Jawi .Apakah langkah yang sewajarnya diambil?

Jawapan:Mempercayai ramalan tersebut tidak ubah seperti mempercayai tukang tilik disebut juga sebagai kahin atau ‘arraf. Tukang tilik ini kebiasaannya mendakwa bahawa mereka mempunyai keupayaan mengetahui perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui oleh orang lain. Mempercayai apa yang dikatakan tukang ramal adalah dosa besar.

Banyak hadis menerangkan tentang perkara tersebut. Sabda Rasulullah S.A.W. ;

Maksudnya : "Sesiapa yang datang kepada tukang tenung lalu mempercayai apa yang dikatakannya, tidak diterma baginya sembahyang selama empat puluh hari".(Riwayat Ahmad)

8. Saya ingin bertanyakan sedikit sebanyak tentang kehidupan kita di akhirat.

Soalan :Saya ingin bertanyakan sedikit sebanyak tentang kehidupan kita di akhirat. Apa yang saya ketahui.kita boleh minta apa saja apabila di syurga. benar kah? Bagaimana kehidupan di sana. Adakah kita menjalankan rutin harian kita seperti kehidupan di alam ini? Maksudnya kita makan, minum, dan melakukan aktiviti harian kita. Saya ingin bertanya.. jika seseorang di lahirkan sebagai seorang perempuan atau lelaki di alam ini, apabila di syurga nanti. bolehkah dia ingin menjadi jantina sebaliknya? maksudnya, bolehkah dia meminta menjadi seorang wanita di syurga jika di dunia dia dilahirkan sebagai lelaki? terima kasih.

Jawapan:

  • Kenikmatan syurga itu terlalu luas dan tidak dapat digambarkan dengan khayalan akan fikiran. Segala pakaian, makanan, minuman, perhiasan dan gedung-gedung yang ada di syurga jauh lebih baik daripada yang ada di dunia. Ahli-ahli syurga akan makan dan minum dengan hidangan yang disediakan tetapi makan dan minum mereka bukanlah kerana lapar dan dahaga. Di dalam syurga tidak ada keburukan hanya ada kebaikan atau nikmat kurniaan Allah S.W.T. Ahli-ahli syurga tidak kencing, tidak berak, tidak meludah dan tidak tidur. Apabila bertemu diantara satu sama lain, mereka akan memberi salam dan mengucapkan perkataan yang baik-baik sahaja
  • Secara umumnya, memang ada disebutkan di dalam kitab-kitab bahawa segala keinginan ahli syurga akan ditunaikan oleh Allah S.W.T. secara serta merta.

9. Saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal hukumnya MURTAD

Soalan :Assalamualaikum Saya ingin mempunyai kemusykilan dan ingin mendapatkan penjelasan dari pihak tuan. Saya terbaca di dalam ruang soal jawab ugama di dalam laman web JAIS bahawa menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal hukumnya MURTAD.

Baru-baru ini dalam keadaan marah, saya telah melafazkan kata-kata berikut secara spontan. "Saya haramkan (diri saya) memakan aiskrim itu pada hari ini". Bukanlah maksud saya untuk mengharamkan aiskrim tersebur tetapi sekadar bermaksud yang saya tidak akan sama sekali makan aiskrim itu pada hari itu walau apa pun terjadi. Pada masa itu, saya berada di dalam keadaan marah dan tertekan kerana sedang memikirkan sesuatu masalah yang perlu saya selesaikan.

Soalan saya :-

1. Apakah hukumnya.

2. Adakah ia juga dikira MURTAD.

3. Apakah yang harus saya lakukan kerana saya benar-benar insaf dan menyesal atas perbuatan dan ketelanjuran saya selepas itu.

Jawapan:

  • Tidak salah. Kerana saudara mengharamkan memakannya, bukan meng-i'tikadkan haram jenis makanan tersebut.
  • Tidak murtad.
  • Pada masa akan datang, berhati-hati menuturkan kata-kata.

10. Ingin mendapatkan penjelasan mengenai saka.

Soalan : Assalamualaikum. Apakah yang dimaksudkan saka. Saya dapat tahu ayah saya mempunyai saka. Sejak kematian ayah, saka tersebut berpindah kepada saya. Saya telah berubat secara tradisional. Bomoh mengatakan saka tersebut perlu dibuang jika tidak saya tidak akan bertemu jodoh sampai bila-bila. Saya amat takut harap dapat penjelasan.

Jawapan: Saka menurut kamus bermakna pusaka. Saka yang dimaksudkan pada kes ini ialah jin yang bersahabat dengan seseorang semasa hidup. Jodoh pertemuan di tangan Allah. Mempercayai saka memberi kesan hukumnya syirik. Disyorkan teruskan berubat kerana saka ada unsur bersahabat dengan jin.

11. Saya ingin bertanya mengenai amalan pelaris yang diamalkan ramai peniaga seperti restoran, kedai runcit dan sebagainya.

Soalan : Assalamualaikum, Saya ingin bertanya mengenai amalan pelaris yang diamalkan ramai peniaga seperti restoran, kedai runcit dan sebagainya. Disamping mengadakan solat hajat dan amal ibadat lain untuk tujuan mendapat rahmat dalam mencari rezeki melalui perniagaan, ada yang meletakkan beberapa jenis benda fizikal seperti besi, duit syiling, beras, garam, gula dan sebagainya di premis perniagaan. Sebab sebenar alatan ini digunakan adalah samar bagi saya. Ada yang menggunakan alasan bahawa alatan tersebut adalah simbol semata-mata dan rahmat dan kejayaan perniagaan adalah kehendak mutlak Yang Maha Esa. Ada yang memberi contoh; seperti ubat-ubatan doktor adalah simbol sahaja sedangkan sakit hanya dapat diubati jika Allah S.W.T mengizinkan. Ada yang menggunakan contoh Nabi Musa yang membelah lautan dengan tongkatnya, iaitu bukan tongkat yang membelah laut tetapi izin Allah yang menyebabkan laut terbelah. Jadi kesimpulannya ialah alatan seperti besi, syiling dan lain-lain. Adalah simbol semata jadi tidak salah untuk diletakkan di premis perniagaan disamping itu memperbanyakkan ibadat memohon restu dari tuhan untuk kejayaan.

Soalan saya ialah, apakah pendapat dari segi hukum mengenai penggunaan alatan tersebut jika dalam hati tetap percaya bahawa semua adalah dengan izin Allah SWT.?

Jawapan: Khurafat sekiranya mempercayai sesuatu yang boleh mendatangkan keuntungan atau kebaikan, seperti yang kita maklum dengan berusaha sahaja Allah S.W.T akan mengizinkan sesuatu itu dengan kehendaknya. Sekiranya kita mempercayai benda lain selain kuasa Allah, ditakuti boleh merosakkan aqidah kita sebagai umat Islam.

Adalah lebih baik sekiranya mengamalkan ayat-ayat al-Quran dan dijadikan doa dalam kehidupan seharian. Ini kerana ayat-ayat al-Quran telah jelas dan mencukupi kehebatannya tanpa perlu di tokok tambah dengan sesuatu perkara atau benda untuk dijadikan simbol atau alat yang kononnya dapat memberi keuntungan.

12. Apakah hukum orang Islam yang belum lagi "khatam " ilmu Islam tetapi pada masa yang sama mempelajari ilmu agama lain.

Soalan : Apakah hukum orang Islam yang belum lagi "khatam " ilmu Islam tetapi pada masa yang sama mempelajari ilmu agama lain.

Jika haram, bolehkah ustaz kemukakan dalil atau hadis-hadisnya. Ini kerana terdapat sebilangan belia kita yg mempelajari / membaca buku-buku berkenaan agama lain dengan pelbagai alasan sebagai contoh pengetahuan am, mencari kesalahan agama lain ( perbandingan) dan lain-lain lagi.

Setahu saya nabi S.A.W. pernah melarang Umar r.a. daripada membaca kitab nasrani, tetapi tidak tahulah sejauh mana nisab hadis tersebut. Harap diperjelaskan lagi.

2.Didalam internet selalu disebarkan lawaklawak dalam bentuk tulisan yg menggunakan "GOD" , heaven or angel , (biasanya berasal dari orang-orang kristian). contoh ayat " one day GOD decide to pay a visit ....." ataupun," one day GOD decide to take leave..."

Kita tahu bahawa benda ini adalah sensitif tetapi terdapat dikalangan umat kita yg mengirim (mem"foward"kan) email sebegini, saya tidak pasti sama ada ianya haram atau diharuskan di dalam Islam.

Jawapan:

  • Dilarang mempelajari ilmu agama lain bagi orang Islam yang belum mendalami agama Islam kerana dikhuatiri boleh menjejaskan akidah.
  • Umat Islam ditegah menggunakan perkataan "GOD" bagi tujuan memper-sendakan tuhan.

13. Meletakkan benda tajam seperti pisau / gunting dibawah tilam bayi yang kononnya untuk menghindarkan bayi dari perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Soalan : Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai sesetengah orang yang mempercayai sekiranya ada bayi yang baru lahir, jika kita balik kerumah, kita perlu menunggu di luar rumah seketika kemudian meludah dan baru boleh masuk ke dalam rumah. Apa kah pandangan ustaz/ustazah berkenaan isu ini. Ada juga yang meletakkan benda tajam seperti pisau / gunting dibawah tilam bayi yang kononnya untuk menghindarkan bayi dari perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Apakah pandangan Islam kerana saya merasakan ramai yang mengamalkan perkara-perkara seperti ini.

Jawapan: Kepercayaan tersebut hanyalah suatu adat yang tidak terdapat di dalam Nas Al-Quran dan Hadith. Dikhuatiri jika mengamalkan boleh membawa kepada perbuatan khurafat.

14. Seorang kawan saya telah menyatakan pada saya bahawa sebenarnya tidak ada jin islam dalam alam ini. Apa hukumnya dia dia menolak adanya jin islam

Soalan : Assalamualaikum.... saya ada beberapa soalan kepada pihak tuan. Harap pihak tuan dapat membantu saya.

1. Seorang kawan saya telah menyatakan pada saya bahawa sebenarnya tidak ada jin islam dalam alam ini. tetapi saya telah menyatakan bahawa jin islam ada berdasarkan firman Allah : Tidak ku jadikan jin dan manusia itu melainkan hanya untuk beribadat padaku. Tetapi dia masih enggan mengakuiinya. Apa hukum nya dia dia menolak adanya jin islam.

2. Katanya lagi, seseorang yang dah meninggal itu terputus semua amalan pahalanya dan dia mengatakan tiada guna mensedekahkan fatihah atau pun memberikan pahala bacaan yasin kepada si arwah kerana pahala tersebut tidak sampai kepada si arwah tetapi saya menyatakan padanya doa anak yang soleh tetap sampai.

3. Untuk makluman tuan kawan saya ini telah mendalami ilmu sebuah persatuan budi suci sejati yang mana yang saya ketahui telah diharamkan tetapi dia menyatakan persatuan itu telah mendapat pengesahan daripada Jabatan Agama Islam Selangor.

Harap pihak tuan dapat menjelaskan pada saya tiga keraguan di atas. Terima kasih

Jawapan:

  • Hukum menolak adanya jin Islam tidak menjejaskan aqidah seseorang. Tetapi sekiranya menolak perkara Sam-iyyat dalam Rukun Iman yang enam iaitu Percaya kepada Allah, Percaya kepada Malaikat, Percaya kepada kitab, Percaya kepada Rasul, Percaya kepada Hari Kiamat dan Percaya kepada Qada' & Qadar, boleh menjejaskan aqidah seseorang.
  • 2. Masalah samapi atau tidak pahala kepada simati bukan urusan kita, itu adalah urusan Allah. Sebagaimana kita dianjurkan mendoakan kesejahteraan seluruh muslimin dan muslimat (termasuk dalam rukum khutbah jumaat), anjuran berdoa ini termasuk mendoakan kesejahteraan muslimin dan muslimat samaada yang masih hidup atau mati. Sampai atau tidak doa itu kepada simati kita serahkan kepada Allah semata-mata.
  • 3. Mana-mana persatuan atau pertubuhan haram, lebih-lebih lagi mengamalkan ajaran sesat adalah HARAM untuk mana-mana individu muslim bersama mereka.

15. Jika ada di suatu kawasan atau kampung terdapat golongan yang bermazhab lain contohnya mazhab maliki dan disitu tiada masjid kecuali di kampung yang lain adakah sah solat jumaat mereka sekiranya mereka menunaikan solat jumaat mengikut mazhab mereka tersebut?

Soalan :  Assalammualaikum, tuan.

Saya ada sedikit kemusykilan yang ingin diminta penjelasan.

1. Jika ada di suatu kawasan atau kampung terdapat golongan yang bermazhab lain contohnya mazhab maliki dan disitu tiada masjid kecuali di kampung yang lain adakah sah solat jumaat mereka sekiranya mereka menunaikan solat jumaat mengikut mazhab mereka tersebut?

2. Saya ada berjumpa dengan seorang kenalan dimana beliau mempunyai pegangan bahawa beliau tidak mengikut mazhab syafie tetapi sebaliknya mengikuti ajaran yang terdapat di dalam kandungan al -quran dan alhadith serta amalan dari imam Al-Shafie yang tebukti secara hukum al-quran dan al-hadith. Apakah hukumnya bagi seseorang yang berfahaman sebegini?

Jawapan:

  • Tidak sah solat, sepatutnya solat mengikut Imam yang telah dilantik, perlu ikut mazhab yang diamalkan / diiktiraf / diperolehi oleh kerajaan / pemerintah.
  • Yang paling penting ialah kita tetap berpegang kepada ajaran Al-Quran dan hadis, selagi mana seseorang itu tidak menyimpang dan ia boleh beramal.

16. Penilaian semula tarikh kelahiran dan kewafatan Nabi Muhammad S.A.W.

Soalan : Saya ingin meminta pendapat JAIS mengenai artikel ini, artikel ni diambil dari laman web

http:www.darulkautsar.com/pemurniansejarah/teks/nabidob.htm

PENILAIAN SEMULA TARIKH KELAHIRAN DAN KEWAFATAN NABI MUHAMMAD S.A.W.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. serta para sahabatnya.

Masyarakat Islam di negara kita umumnya menerima tarikh 12hb. Rabiul Awwal sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. ( Maulidur Rasul ) . Fakta ini perlu di kaji semula kerana didapati bercanggah dengan fakta sejarah, hadis dan sains. Disamping itu, sekiranya diterima juga tarikh wafat Nabi s.a.w. pada 12hb. Rabiul Awwal, (sebagaimana dipercayai umum), ia akan menimbulkan satu konflik di dalam jiwa masyarakat yang mana di satu pihak mereka merayakan kelahiran Nabi s.a.w. dan bergembira kerananya sedangkan di pihak lain pula pada hari yang sama sepatutnya mereka bersedih dan tidak boleh merayakan hari tersebut kerana ia juga merupakan hari kewafatan Nabi saw. Jadi di manakah adanya kewajaran masyarakat merayakan Maulidur Rasul yang juga merupakan hari perkabungannya? (Tanpa mengambil kira perayaan Maulidur Rasul itu sendiri adakah bersesuaian dengan sunnah atau ia satu bida'ah).

Di samping itu angka 12 yang dipilih untuk hari lahir dan hari wafat Nabi saw berkemungkinan besar berpunca daripada Syiah Imam Dua Belas. Justeru angka 12 ini bagi mereka merupakan angka sakti yang mereka kaitkan sekian banyak keistimewaan dengannya. Apalagi jika orang yang mula-mula mempopularkan tarikh ini adalah Ibnu Ishaq yang juga seorang Syiah. (Taqribut Tahdzib, Al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, jilid 2, halaman 144).

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi S.A.W. dilahirkan pada 12hb. Rabiul Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibmu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya. Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang Syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa'i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadisnya tidak boleh menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, "Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu'tazilah." Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Said Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, "Dia seorang dajjal" (Mizanul I'tidal, Imam Zahabi, jilid 3, halaman 468 - 475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya.

Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada hari Isnin, 9hb Rabiul Awwal Tahun Gajah. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abdul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin `Aini (Al-Bidayah wa An Nihayah, jilid 2 halaman 260-261)

Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan (Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya. Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:

Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan (Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya. Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:

Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah S.A.W iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad saw ketika itu berusia 63 tahun.

Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi. Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi S.A.W jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M.

Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi S.A.W, walau bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ini menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas.

Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam "Nurul Yaqin" (hal. 6), Safiyyuul Rahman Al Mubarakpuri di dalam "Ar Rahiqul Makhtum" (halaman 54), `Allamah Sibli Nu'mani di dalam "Siratun Nabi" (jilid 1 hal. 176), Maulana Abdul Kalam Azad di dalam "Rasul Rahmat" (hal. 37) dan lain-lain.

Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad S.A.W. pula, beberapa perkara yang telah diterima oleh ulamak hadis dan sirah perlu diletakkan di hadapan untuk menentukan tarikhnya iaitu:
· *Tahun kewafatan Baginda S.A.W. ialah 11H
· *Dalam bulan Rabiul Awwal
· *Antara 1hb. Hingga 12hb.
· *Hari Isnin (Sahih Muslim, jld. 8 hal. 51-52)
· *Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada' pada 9 Zulhijjah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat. (Tafsir Al Quraanul 'Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll).
· *Daripada hari itu (wuquf) sampai kepada hari wafatnya Nabi Muhammad S.A.W adalah 81 hari. (Tafsir Al Quraanul 'Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2 hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j.11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul Bari).

Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda S.A.W. seperti berikut:

1 Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb. Rabiul Awwal.

2 Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari Isnin menepati 2,9 atau 16hb. Rabiul Awwal.

Daripada tarikh-tarikh yang diandaikan tadi; 6, 7, 8, 9, 13, 14, 15 dan 16hb. Rabiul Awwal tidak dapat diterima kerana selain daripada alasan-alasan yang tersebut tadi, tidak ada satupun riwayat yang menyokongnya. Berkenaan dengan 2hb. pula , selain daripada tidak mungkin terjadinya ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar terdiri daripada 30 hari di dalam kesemuanya, tidak ada juga riwayat yang sahih mengenainya. Apa yang ada hanyalah riwayat Hisyam bin Muhammad Al Kalbi dan Abu Mikhnaf yang dianggap sebagai pendusta oleh ulama-ulama hadis.

Berhubung dengan 1hb. pula, ia adalah daripada riwayat tokoh utama sirah iaitu Musa bin Uqbah dan ulama hadis yang terkenal Imam Laith bin Saad, Abu Nua'im Fadhal bin Dukain dan lain-lain. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Suhaili dan Al Khuwarazmi. (Fathul Bari, Jilid 16. hal. 206, "Ar Raudhul Unuf," jilid 7, hal. 579). Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi S.A.W. ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awwal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M.

Berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kami kemukakan pihak kami berharap agar masyarakat menilai semula tarikh sebenar kelahiran nabi S.A.W. dan tidak merayakan suatu hari yang kononnya hari kelahiran Nabi S.A.W. padahal ia bukanlah harinya yang sebenar. (Dipetik dari Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was Sunnah dengan sedikit pindaan)

Jawapan: Sambutan Maulidur Rasul adalah sebagai syiar Islam yang perlu dihidupkan. Sekiranya terdapat tarikh yang kebetulan dengan kewafatan baginda, bukan bermaksud merayakan kewafatannya.

17. Hukum seseorang menyatakan "belum tentu agama Islam itu lebih baik dari agama lain"

Soalan : Assalammualaikum ustaz, Saya ingin bertanya, apakah hukum seseorang menyatakan "belum tentu agama Islam itu lebih baik dari agama lain".

Jawapan: Jika ia menyatakan demikian disertai dengan keyakinan, rosaklah akidahnya. Ia perlu segera bertaubat. Menghina Islam antara perkara yang boleh merosakkan akidah.

18. Berubat ataupun mengubatkan seseorang supaya boleh melupakan kekasih lama

Soalan : As salam Tuan,

Saya ingin bertanya 1 soalan kepada pihak Tuan. Baru-baru ini saya telah memutuskan hubungan saya dengan teman lelaki saya yang saya telah berkawan selama 8 tahun. Tetapi dia tidak dapat menerima kenyataan in. Dia membuat tindakan yang tidak sepatutnya seperti menelefon pejabat saya setiap masa sehingga menganggu rakan-rakan saya yang lain, dia juga menganggu saya di rumah dengan menjerit-jerit memanggil nama saya, merosakkan kereta saya dan banyak lagi perkara lain yang dilakukan sekiranya saya tidak menjawab panggilan telefonnya. saya telah melaporkan perkara ini kepada pihak polis, tetapi pihak polis tidak boleh berbuat apa-apa kerana tiada bukti dan dia tidak mencederakan saya. bagi kesalahan merosakkan harta benda pula, tiada bukti yang saya boleh tunjukkan.

Soalan saya ialah, sekiranya saya ingin berubat ataupun mengubatkan dia supaya dia boleh melupakan saya, adakah perbuatan itu dikatakan sebagai sihir atau saya menyihir dia walaupun untuk kebaikan. Apa hukumnya disini ya Tuan.

Terima kasih terlebih dahulu atas perhatian dan jawapan Tuan.

Jawapan: Putus hubungan dengan teman lelaki

Pertama sekali tahniah diucapkan kepada anda kerana telah memutuskan hubungan dengan teman lelaki kerana untuk pengetahuan di dalam Islam tiada istilah bercouple atau istilah seperti teman lelaki dan sebagainya, kerana hubungan seperti inilah yang sebenarnya menjadi pendorong untuk berlakunya kemungkaran yang lebih besar.

Berbalik kepada soalan, berubat dengan menggunakan sihir adalah dilarang di dalam Islam kerana dosa perbuatan sihir merupakan antara dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT kerana secara jelas pengamal2 ilmu sihir ini akan memuja serta memohon bantuan selain daripada ALLAH SWT, mereka yang memohon bantuan daripada pengamal sihir ini juga perlu segera bertaubat kerana telah melakukan suatu dosa yang besar. Oleh itu ada dicadangkan supaya menasihati teman lelaki melalui sahabat2nya atau saudara maranya supaya nerubat dengan pengamal2 perubatan Islam seperti darussyifa, syifa al-hidayah dan sebagainya yang mana mereka hanya menggunakan ayat2 al-Quran dalam usaha untuk mengubati si pesakit.

Di samping itu nasihatkan juga bekas teman lelaki anda agar memperbanyakkan solat, zikir serta membca al-Quran kerana seorang mukmin yang baik sentiasa redha dengan apa jua masalah yang dihadapinya serta akan terus berusaha untuk memperbaiki kesilapannya. Memetik firman ALLAH SWT di dalam surah ar-Ra’du ayat ke 28:

28. "(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah". ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Wallahu Ta’ala A’la,

19. Kenapa firaun dikutuk dan dilaknat?

Soalan : Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, saya ada persoalan yg menghairankan saya selama ini. Kenapa firaun dikutuk dan dilaknat? pada anggapan saya adalah firaun telah melakukan kezaliman terhadap Bani Israel lalu dia dikutuk. tetapi bukankah kezaliman yg sama juga dilakukan oleh pemerintah yg lain tetapi mereka tidak dikutuk,malahan sesetengahnya disanjung sebagai penakluk agung(e.g. Darius the Great, Alaxender the Great). ini tidak adil. Penakluk-penakluk agung juga melakukan kezaliman. sepatutnya kalau penakluk agung dianggap agung, maka firaun pun agung jugalah. saya fikir mungkin firaun telah menzalimi bangsa pilihan(Bani Israel), lalu dia dikutuk. tetapi adakah dia juga dikutuk kalau dia menzalimi kaum lain?terima kasih

Jawapan: Kisah Firaun adalah salah satu kisah yang Allah nukilkan dalam Al-Quran supaya diambil pengajaran/iktibar oleh umat-umat akan datang. Oleh itu, sesiapa sahaja pemimpin/pembesar/penguasa yang zalim, maka ia tidak terlepas dari pertanggungjawabnya di hadapan Allah di akhirat kelak.

20. Meletakkan Yasin di bawah tilam anak untuk elak gangguan jin/syaitan.

Soalan : Salam Ustaz,
Isteri saya baru melahirkan anak. Ada orang menyuruh saya meletakkan Yasin di bawah tilam anak dan juga diselitkan daun dan duri limau Kasturi (yang telah dibungkus) di tepi bantal untuk mengelakkan ganguan jin/syaitan. Apakah hukumnya? Saya takut terjadinya Kurafat. Saya masih boleh terima penggunaan surah Yasin tetapi daun/duri tu agak meragukan. Masalahnya, orang yang memberi nasihat tu ahli surau dan lepasan universiti oversea di mana saya percaya orang itu jenis yang berilmu dan mampu berfikir. Dia kata memang ada benda-benda sebegini.
Saya percaya kewujudan jin/syaitan tetapi betul ke mereka takut pada daun/duri? Dan kenapa mereka perlu mengganggu bayi yang baru lahir sedangkan kalau betul mereka nak menghasut, sepatutnya menghasut orang dewasa yang sudah akhil baligh dan beragama Islam atau mana2 orang kafir yang cuba mendekati Islam.

Jawapan: Amalan seperti ini wajib dihindarkan supaya tidak terjadinya khurafat. Syaitan sentiasa akan menganggu anak adam sejak dilahirkan tanpa mengira usia, dewasa atau bayi.

21. Maksud rukyahtullah.

Soalan : Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya, apakah yg dimaksudkan dengan rukyahtullah?

Jawapan: Waalaikumsalam wbt.

Makna mungkin akan berubah sekiranya ia berada di dalam ayat yang lengkap. Tetapi mengikut soalan tuan ini ia membawa maksud “pandangan Allah”.

Wallahu a’alam

22. Penjelasan mengenai fahaman wahabi.

Soalan : Assalamu'alaikum.
 Tuan mufti saya ingin penjelasan mengenai fahaman wahabi yang sedang menjadi isu hangat ketika ini. Adakah fahaman ini mengelirukan atau menyesatkan umat Islam dan apakah sebab-sebabnya.  Yang keduanya bagaimana dengan hukum mengamalkan solawat shifa', nahriyah, badriyah, munjiah tafrijiah dan lain-lain.

Jawapan: Waalaikumsalam wbt.

Aliran Fahaman Wahabi yang diasakan Muhammad Abd Wahab (1115-1206H) melibatkan soal aqidah, syariah dan akhlak yang bercanggah dengan fahaman ahli sunnah waljamaah mengikut Mazhab Syafie, boleh memberi ancaman kepada perpaduan dan keselamatan negara. Oleh itu fahaman ini tidak sesuai diamalkan oleh umat Islam negara ini.

Mengamalkan selawat shifa’, nahriyah, badriyah, munjiah dan lain-lain adalah amalan yang mempunyai fadhilatnya sendiri (fadhailul a’mal). Untuk itu boleh beramal dengannya. Bagi mereka yang tidak mahu beramal, terpulanglah kepadanya. Sebagai orang awam, janganlah semudah-mudah untuk menyalahkan amalan-amalan yang dibuat oleh orang lain, kecuali yang jelas larangnya.

Wallahu a’alam

23. Wujudkah ilmu menarik duit?

Soalan : Saya ingin bertanya dalam ilmu islam adakah wujud ilmu menarik duit dan apakah hukumnya?

Jawapan: Segala ilmu yang ada di muka bumi ini adalah milik ALLAH SWT termasuklah ilmu sihir, kebal dan ilmu tarik duit. Ilmu2 seperti ini dan banyak lagi ilmu yg pelik2 menjadi tidak mustahil kerana bantuan makhluk lain selain daripada manusia.

Wujudnya ilmu2 sebegini adalah merupakan ujian daripada ALLAH SWT kepada hambanya. Kerana jalan menuju ke bahagiaan di akhirat bukannya mudah dan ilmu2 inilah yang menjadi ujiannya.

Oleh itu umat Islam perlu menjauhi amalan2 sebegini yang boleh merosakkan aqidah, tambahan jika amalan ini memerlukan kepada zikir khas yang tidak difahami, disertai amalan2 pemujaan maka perbuatan tersebut adalah haram.

Jika maksud menarik duit itu merujuk kepada amalan berdoa yang difahami dari doa2 yg diamalkan oleh Rasulullah SAW dan disertai pula dengan usaha yang berterusan maka perbuatan ini diharuskan selagimana usaha2 itu tidak mengambil jalan pintas dengan menggunakan kaedah2 yang menyalahi syara’.

Wallahu Ta’ala A’lam

24. Penilaian semula tarikh kelahiran dan kewafatan Nabi Muhammad S.A.W.

Soalan : Assalamualaikum,

  • Benarkah Imam Syafie mengharamkan ilmu sufi?
  • Benarkan sufi itu dari yahudi dan syiah?

Jawapan: PANDANGAN  IMAM SYAFIE TENTANG SUFI

Imam Syafie berkata: “Kalau seorang lelaki bertasauf pada awal pagi, tidak sampai waktu Zohor kamu akan mendapati dia sudah menjadi bebal”. (Manaqib Al-Syafie 2/208)

Kata beliau lagi: “Tidak ada seorang pun melazimi golongan sufi selama 40 hari, kemudian akalnya boleh kembali (seperti sediakala)”. (Talbis Iblis: 371)

Kata beliau lagi: “Seorang sufi tidak menjadi sufi melainkan ada padanya empat sifat:
-

  • sangat malas
-
  • banyak makan
-
  • banyak tidur
-
  • banyak cakap kosong”.


(Manaqib Al-Syafie 2/208).

Imam Syafie tidak mengharamkan ilmu sufi kerana pengamalan sufi yang betul akan menambahkan seseorang itu lebih hampir kepada Allah.

Sufi dalam Islam tidak datang daripada Yahudi dan Syiah.

Wallahu a’alama.

end faq

 

 

Jumlah Pengunjung: 528847

  • Kemaskini Terakhir: 13 November 2017.
 qrnew

Penafian : Jabatan Mufti Negeri Selangor tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan informasi yang diperolehi daripada portal ini dan penggunaan Google Translate untuk Bahasa Inggeris dan bahasa asing adalah tidak tepat.

Sesuai dipaparkan menggunakan pelayar Mozilla Firefox versi 24 ke atas dengan resolusi minima 1366x768

Hakcipta Terpelihara © Jabatan Mufti Selangor 2016