Cerapan Juraian Meteor Geminids

JOM KE BALAI CERAP SELANGOR UNTUK SAMA-SAMA MENCERAP JURAIAN METEOR INI.. Anda semua dijemput untuk sama-sama mencerap di Balai Cerap Selangor pada 13 Disember 2017 pukul 10.30 malam sehingga Subuh 14 Disember 2017. Insyaallah jika cuaca baik, kita berpeluang menyaksikan fenomena yang melambangkan bukti keagungan dan keindahan ciptaan Ilahi. Sebarang pertanyaan boleh hubungi kami di talian 03-32136043.

1.jpg

Menurut laporan rasmi daripadaInternational Meteor Organization (IMO), waktu puncak untuk juraian meteor geminids ini adalah pada 14 Disember 2017 pukul 2.30 petang waktu Malaysia. Oleh kerana waktu puncaknya adalah pada waktu siang, waktu terbaik untuk Malaysia melihatnya adalah pada waktu subuh 14 Disember 2017.

Namun begitu, bagi juraian meteor Geminids ini sudah boleh mula diperhatikan bermula 12 Disember lagi bermula apabila langit gelap.

WAKTU MENCERAP DAN KAWASAN LANGIT

Untuk mencerap meteor, tidak memerlukan sebarang peralatan optik seperti binokular atau teleskop. Bagi juraian meteor kita hanya perlu duduk dan melihat ke kawasan langit. Kawasan yang baik untuk melihat fenomena ini adalah kawasan yang mempunyai langit yang gelap dan jauh daripada pencemaran cahaya.

gem2-768x397

Bagi juraian meteor ini kita boleh perhatikan langit pada kawasan buruj Geminids. Pada 13 Disember 2017, Buruj Geminids akan mula terbit pada pukul 10 malam. Jadi pada pukul 12.00 tengah malam buruj Geminids akan berada tinggi di atas langit dan insyaallah bilangan juraian meteor Geminids yang kelihatan akan bertambah banyak.

Selain daripada mencerap menggunakan mata kasar, kita juga boleh cuba merakamkan fenomena ini dengan menggunakan kamera DSLR, kita pasangkan kamera DSLR dan halakan ke arah kawasan langit yang luas, jika bernasib baik, kita dapat merakamkan 2-3 juraian meteor di dalam gambar kita.

BILANGAN METEOR YANG KELIHATAN

Secara amnya, bilangan Zenithal Hourly Rate atau ZHR rasmi untuk Geminid ialah 120 meteor setiap jam.

Tetapi kena ingat, ini merujuk kepada bilangan yang dapat dilihat dari kawasan yang gelap, cuaca baik tiada berawan dan titik muncul meteor (atau dikenali sebagai radiant) ialah tegak di atas kepala.

Jika dari langit Malaysia, titik radiant Geminid hanya akan mencecah ketinggian maksimum 60 darjah. Maka, bilangan 120 mustahil untuk dicapai.

Namun begitu, kita masih berpeluang melihat kemunculan meteor yang lebih banyak dari biasa, mungkin pada kadar 50-60 meteor setiap jam.

Jadi, jangan lepaskan peluang.

ASAL USUL JURAIAN METEOR GEMINIDS

Meteor Geminid ialah habuk dan debu peninggalan daripada sebuah asteroid bernama 3200 Phaethon. Dipercayai pada suatu ketika dahulu, asteroid ini mengalami suatu perlanggaran yang kuat dan menyebabkan sebahagian daripada permukaannya hancur dan menjadi serpihan debu dan habuk yang bergerak di sepanjang laluan orbitnya.

Setiap kali bulan Disember, orbit Bumi akan membawa kita masuk ke dalam kawasan yang penuh dengan habuk dan debu daripada asteroid 3200 Phaethon ini lalu menghasilkan juraian meteor Geminid.

Tahun ini, asteroid ini akan melintasi hampir dengan Bumi pada jarak hanya 10.3 juta km pada 16 Disember 2017, jam 7 PM waktu Malaysia. Ia akan bersinar pada magnitud 11, dan boleh dilihat dengan teleskop yang sederhana besar. Ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Nama Geminid ini pun merujuk kepada buruj Gemini di mana meteor-meteor ini kelihatan mula muncul.

Kajian menunjukkan akibat kesan graviti planet Musytari, laluan habuk dan debu ini bergerak semakin hampir ke kawasan orbit Bumi saban tahun. Ini mungkin antara sebab meteor Geminid ini merupakan antara juraian meteor yang paling aktif dengan bilangan kemunculan yang banyak.

Sumber artikel daripada FalakOnline

Jumlah Pengunjung: 660008

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

  • Kemaskini Terakhir: 19 Julai 2018.
 qrnew

Penafian : Jabatan Mufti Negeri Selangor tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan informasi yang diperolehi daripada portal ini dan penggunaan Google Translate untuk Bahasa Inggeris dan bahasa asing adalah tidak tepat.

Sesuai dipaparkan menggunakan pelayar Mozilla Firefox versi 24 ke atas dengan resolusi minima 1366x768

Hakcipta Terpelihara © Jabatan Mufti Selangor 2016