A A
Arial | PT Sans | Century
A- A A+

Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Selangor

Gombak, 26 November :  Jabatan Mufti Negeri Selangor telah mengadakan program Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Selangor peringkat daerah Gombak bertempat di Dewan Haji Wan Mahmood, Kompleks Islam Daerah Gombak yang merupakan program kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jawatankuasa Tetap Agama Islam Selangor dan Jabatan Islam Negeri Selangor. Di antara objektif program ini adalah bagi memberi penjelasan kepada peserta berhubung sesuatu isu yang difatwakan di samping memberi ruang untuk menjawab persoalan berkaitan fatwa dan hukum syarak dan mengeratkan ukhwah dengan pimpinan masyarakat setempat. 

 

         

Peserta yang hadir adalah terdiri daripada wakil agensi, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Penghulu, Agensi Daerah Gombak, Nazir Masjid, Pegawai Masjid, Pengerusi Surau, Pendaftar Nikah dan Pemegang Tauliah Mengajar. Slot pembentangan telah bermula seawal jam 9:00 pagi iaitu berkaitan 'Fahaman Salah : Ancaman Terhadap Keselamatan Negara' oleh DCP Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff, CK E8(M) - Counter Terrorism Bukit Aman. Pembentangan kedua pula telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris, Pengarah Raja Zarith Sofiah Centre for Advance Studies on Islam, Science and Civilisation, Universiti Teknologi Malaysia dengan tajuk 'Mendepani Pengaruh Liberalisme dan Pluralisme'.

    

YAB Dato' Menteri Besar Selangor, Tuan Amirudin bin Shari turut berbesar hati menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup program ini pada jam 12:30 tengah hari dan adalah diharap agar pelbagai input berguna dapat digarap oleh para peserta disamping menjayakan objektif utama program dalam memasyarakatkan fatwa di Negeri Selangor.