Carian
 

muftisel
www
     

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Soal Jawab Agama Ibadat
Soalan 48
Soalan :
 
Assalammualaikum
Apakah prosedur - prosedur (secara hukum) bagi penubuhan solat jumaat?
   
  Jawapan :
  Waalaikumussalam,
 
Solat Jumaat ialah solat fardhu (dua rakaat) yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan solat Zohor, dan ianya dilakukan secara berjemaah selepas mendengar khutbah. Solat Jumaat itu hukumnya Fardhu Ain, iaitu wajib dikerjakan atas setiap mukallaf dengan syarat-syarat tertentu.
 
 
Firman Allah :
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya]," Al-Jumu'ah :9
Sabda Rasulullah S.A.W. :
"Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia : hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." Riwayat Abu Dawud & Hakim.
 
  Syarat wajib solat Jumaat :
1. Islam - tidak wajib bagi orang kafir.
2. Baligh -tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh.
3. Berakal - tidak wajib bagi orang yang gila.
4. Merdeka - tidak wajib ke atas hamba abdi.
5. Lelaki - tidak diwajibkan untuk orang perempuan
6. Sihat - tidak wajib bagi orang yang uzur dan berhalangan.
7. Bermautautin atau bermukim - tidak wajib bagi orang yang musafir.
 
 
Syarat solat Jumaat :
1. Didirikan di dalam waktu zuhur.
2. Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang ditetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
3. Mestilah berjemaah sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal tetap di kawasan itu.
4. Didahului dengan dua khutbah.
 
 
Rukun-rukun khutbah Jumaat :
1. Khutbah dimulai dengan memberi pujian pada Allah S.W.T. seperti ucapan "Alhamdulillah".
2. Diikuti dengan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. : "Allahuma salli ala Saidina Muhammad waala ali Saidina Muhammad."
3. Khutbah hendaklah mengandungi pesanan kepada para jemaah agar bertaqwa kepada Allah S.W.T. seperti : "Bertaqwalah kamu kepada Allah".
4. Membaca satu ayat Quran pada khutbah yang pertama atau kedua, tapi paling elok pada khutbah yang pertama.
5. Mendoakan setiap Muslim pada khutbah yang kedua sekurang-kurangnya : "Rahima-kumullah".
 
 
Syarat Sah Khutbah Jumaat :
1. Pembaca khutbah hendaklah seorang lelaki, tidak sah jika orang perempuan.
2. Pembaca khutbah hendaklah menutup aurat.
3. Suci daripada hadas dan najis pada pakian, badan dan tempat.
4. Berdiri pada kedua-dua khutbah yang mampu.
5. Membaca khutbah setelah masuk waktu Zuhur dan dilakukan sebelum solat Jumaat.
6. Membaca rukun-rukun khutbah di dalam bahasa Arab, tidak boleh di baca dalam bahasa ibunda seperti membaca selawat Nabi dalam bahasa Melayu.
7. Mualat antara khutbah yang pertama dengan khutbah yang kedua, antara sega rukunnya dan antara khutbah dengan solat.
8. Duduk sebentar setelah selesai khutbah pertama sebelum memulakan khutbah kedua. Jikalau pembanca berkhutbah dalam keadaan duduk, maka pisahkan di antara dua khutbah itu dengan diam sebentar.
9. Khutbah didengar oleh 40 orang yang bermukim sekalipun tidak memahami bahasa yang digunakan untuk menyampaikan khutbah.
10. Mencukupi bilangan 40 orang dari mula khutbah hingga akhir solat.
 
 
Seorang muslim yang mengalami salah satu perkara di bawah ini adalah dikecualikan dari menunaikan solat Jumaat, mereka haya perlu solat Zohor seperti biasa :
1. Sakit - iaitu sakit yang menyukarkan untuk ke masjid atau bimbag akan memudaratkan penyakitnya.
2. Hujan - jika hujan itu membawa kesukaran untuk pergi ke masjid.
3. Musafir - Iaitu orang yang keluar sebelum subuh untuk bermusafir.
4. Takut dizalimi - orang yang bersembunyi kerana takut di zalimi.
 
 
Perkara-perkara sunat yang dilakukan pada hari Jumaat :
1. Mandi sunat hari Jumaat, terutama ketika hendak berangkat ke Masjid.
2. Memotong kuku.
3. Memotong, mencabut atau menggunting bulu [ketiak, hidung, misai].
4. Bersugi.
5. Memakai wangi-wangian.
6. Berhias diri dengan memakai pakaian yang bersih dan cantik.
7. Bersegera pergi ke masjid.
8. Berniat iktikaf.
9. Solat Tahiyatul Masjid sebaik sahaja masuk ke dalam masjid.
10. Memperbanyakkan berzikir, membaca Al-Quran dan berselawat atas Nabi.
 
2

(Klik Pada Menu Bedasarkan Kategori Di sebelah Kiri)