Hiperangkaian

Jabatan Mufti Selangor

Pelbagai maklumat berkenaan Fatwa dan kemusykilan agama boleh didapati disini. maklumat lanjut

Laman Web Astronomi di Malaysia

Laman web rasmi kelab-kelab, jabatan, institusi pendidikan yang terlibat dengan ilmu falak dan astronomi.

Menu utama  
   
MAKLUMBALAS PESERTA BERKENAAN PROGRAM SEHARI BERSAMA FALAK
 

MARILAH BERAMAI-RAMAI MENYERTAINYA

MENURUT Raja Nur Jannah bt Raja Hirdan, membaca atau mendengar cerita tentang kursus Sehari bersama Falak tidak sama. ”Melainkan kita pergi dan lalui program itu sendiri. Baru tahu kegunaan dan kelebihannya. Sebaik balik ke rumah, perkara pertama yang kami adik beradik buat ialah memeriksa arah kiblat sedia ada.” Sambung Jannah, ternyata pemergiaan dia ke kursus itu memberi kebaikan tidak terhingga apabila setelah di periksa dan di uji, kiblat di rumah kakaknya yang selama ini arah ke kiri, rupa-rupanya arah ke kanan.

Suatu perbezaan yang amat ketara. ”Saya bersama seorang kakak dan adik mengikuti program sehari bersama falak pada hari Ahad, 18 Februari 2007 yang bertempat di Bukit Jugra, Banting. Kami begitu teruja untuk mengikuti program ini setelah mendapat pendedahan daripada jendelaku.com dan liputan akhbar Utusan Malaysia. Seperti yang dipesan, awal-awal lagi kami sudah membeli set geometri dan buku nota.

”Kakak dari Serendah dan adik dari Nilai bermalam di rumah saya di Hulu Kelang. Pada hari kursus, kami bertolak dari AU3 seawal 6.40 pagi kerana bimbang akan sampai lewat. Memang betul pun, kami peserta paling lewat tiba namun masih ’dalam waktu’. Sempat juga berkenal-kenalan dan bersarapan walaupun telah ’makan-minum tidak rasmi’ dalam kereta di perjalanan.”

Bagaimana pendapat anda tentang pengisian program?

“Sepanjang program saya dapati semua peserta yang terdiri daripada beberapa peringkat usia begitu berminat berdasarkan ‘interactive and active participation’. Barangkali semuanya sedar tentang keperluan mempelajari dan memahami ilmu mencari arah kiblat dan kepentingannya dalam ibadah.

”Kami didedahkan kepada beberapa kaedah menentukan arah utara/selatan, timur/barat dan arah Kiblat dan juga cara menentukan waktu solat. Suasana dalam kelas berlaku secara santai membuatkan kami relaks untuk bertanya soalan. Cuma bagi yang agak berumur, duduk bersila adalah tidak digalakkan kerana tahap kekebasan kaki adalah maksima. Mungkin penganjur yang muda-muda tidak perasan keadaan ini. Namun berpanas semasa mempelajari kaedah tongkat istiwa’ sangat menyeronokkan dan saya rasa istimewa. Sehari rasanya tidak cukup, banyak lagi soalan yang hendak di tanya dan mendapat pengesahan.”

Sebelum ini anda ada keinginan untuk belajar tentang ilmu falak?

”Tidak. Mungkin kerana tiada pendedahan dan tidak tahu pun ada kursus sebegini. Walaupun apa yang dilakukan Jabatan Mufti Selangor masih baru tetapi ini satu permulaan yang wajar di terima, diperhebah serta diperbaiki.

”Secara peribadi saya tidak pasti berapa peratusan orang Islam di Malaysia yang tahu kaedah menentukan arah Kiblat. Semua maklum terdapat cara melihat bayang-bayang matahari untuk tujuan tersebut tetapi pemahamannya sama macam kita tahu orang zaman batu menyalakan api dengan cara menggeselkan batu. Tahu teori saja. Mungkin ramai yang tidak nampak keperluannya kerana hampir di mana sahaja tanda arah Kiblat dan waktu solat telah disediakan.

"Setelah mengikuti program ini, saya rasa memang rugilah mereka yang tidak tahu dan tidak mengambil berat untuk mempelajarinya."

Apakah teknik yang diguna pakai oleh Jabatan Mufti Selangor mudah difahami?

"Alhamdulilah modul yang mereka gunakan mudah difahami walau ada yang boleh diperbaiki lagi. Pada usia menjangkau warga emas penerimaan ilmu agak perlahan jadi saya ingin mencadangkan agar subjek ini dimasukkah ke dalam syllabus pelajaran agama Islam sekolah Menengah.

Mengapa?

"Secara tidak langsung lebih awal umat-umat Islam mempelajari ilmu ini, lebih mudah pemahaman mereka. Boleh juga topik ini diperkenalkan melalui penganjuran kursus oleh persatuan-persatuan namun kalau boleh kita tidak mahu umat Islam ada pilihan untuk tidak mengikuti kursus ini. Kita wajar tanam kesedaran kepada semua bahawa tahap kepentingan ilmu ini hampir sama dengan bersolat. Dari apa yang diajar oleh ustaz-ustaz pada kami, kita tidak boleh hentam kromo saja dalam menentukan kiblat, kena ada ilmu. Ilmu itu pula hanya akan kita dapati dengan mempelajarinya.

“Saya ingin mengesyorkan Jabatan Mufti Selangor lebih mempromosikan program ini melalui televisyen dan radio, selain media cetak dan elektronik. Serentak dengan itu pendapat dan pandangan orang ramai boleh diperolehi melalui panggilan dan undian sms. Ini boleh membuka mata lebih ramai orang awam tentang kewujudan program ini.”

Pengakhir kata, Jannah merasakan yuran yang dikenakan sebanyak RM10 adalah sangat berpatutan. ”Peserta diberi makan 5 kali. Itu tidak termasuk edaran nota, alat tulis, buku, kalendar dan CD. Belum dikira lagi ilmu yang tidak ternilai. Jabatan mufti seolah-olah memang mahu memberi percuma pengetahuan ini kepada peserta. Amat rugilah jika tidak merebut peluang keemasan ini.

“Para fasilitator begitu bersungguh-sungguh agar semua peserta faham. Tahniah dan terima kasih kepada semua ustaz-ustaz muda ini yang berpengetahuan mendalam dan begitu lancar ketika menyampaikan kursus. Semoga semua yang hadir memperolehi keredhaan Allah.”

JANGAN KETINGGALAN.....

Suasana Disekitar Majlis
M
 
   

 

 

Hakcipta terpelihara © Jab. Mufti Selangor

webmaster
nabil@muftiselangor.gov.my