Jabatan
Mufti
Negeri
Selangor
pada peringkat awal kewujudannya merupakan salah satu
bahagian yang terdapat di Jabatan Agama Islam Selangor
(JAIS). Ia dikenali sebagai Bahagian Fatwa. Ketika
itu Jawatan Mufti belum diwujudkan lagi tetapi dikenali
sebagai Sheikul Islam.
Jawatan Sheikul Islam di Negeri Selangor telah disandang
oleh Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdul Rahman.
Beliau mula berkhidmat pada tahun 1935 hingga tahun
1952. Jawatan Mufti mula diwujudkan pada tahun1953.
Tuan Haji Yusuf bin Sahabuddin merupakan Mufti Kerajaan
Negeri Selangor yang pertama. Beliau berkhidmat sehingga
tahun1968. Pada pertengahan tahun 1968, Dato' Hj.
Ghazali bin Hj. Abdullah dilantik sebagai Mufti Kerajaan
Negeri hingga tahun 1973. Kemudian Dato' Hj. Md Salleh
bin Hassan Farid dilantik sebagai Mufti pada tahun
1974. Beliau berkhidmat selama dua tahun. Dato' Hj.
Hassan bin Hj. Omar dilantik sebagai Mufti yang keempat
pada tahun 1976 hingga 1985. Dato' Hj. Ishak bin Hj.
Baharom dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri Selangor
mengantikan Dato' Hj. Hassan pada Julai 1985 hingga
November 1997. Beliau berkhidmat selama 12 tahun.
Mufti keenam Dato' Hj. Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid
dilantik pada 16 Mac 1998 dan masih berkhidmat hingga
kini.
Sebelum tahun 1985, hanya terdapat dua orang kakitangan
sahaja yang berkhidmat di Jabatan Mufti iaitu Mufti
dan seorang pemandu. Segala urusan pentadbiran dan
kewangan di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Selangor.
Jawatan Timbalan Mufti diwujudkan pada tahun 1991.
Jawatan ini diwujudkan bagi membantu Mufti dalam menjalankan
tugas mengenai Hal Ehwal Islam sesuai dengan perkembangan
semasa. Timbalan Mufti yang pertama ialah Tuan Hj.
Jamaluddin bin Hj. Omar. Beliau berkhidmat sehingga
Disember 1997. Tuan Hj. Abdul Majid bin Omar merupakan
Timbalan Mufti yang kedua. Beliau dilantik pada 2hb
Januari 1998 dan masih berkhidmat hingga kini.
Namun pada tahun 1996, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
telah mengeluarkan Pekeliling mengenai pengasingan
Bahagian Fatwa daripada Jabatan-Jabatan Agama Islam
setiap negeri di Malaysia termasuk Negeri Selangor.
Walau bagaimanapun, proses pengasingan tidak dapat
dilakukan dengan serta merta kerana masih kekurangan
kakitangan. Oleh itu, Bahagian Fatwa masih lagi bergantung
kepada Jabatan Agama Islam Selangor dari segi pentadbiran
dan kewangan.
Pada November 1996, jawatan Pegawai Hal Ehwal Islam
mula diisi, diikuti Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan)
pada 2 Mei, 1997 serta dibantu oleh beberapa orang
kakitangan kontrak. Bermula pada akhir 1997, jawatan
Pembantu Tadbir (Perkeranian/Opersi), Pembantu Tadbir
Rendah, Penolong Pegawai Tadbir, Pembantu Am Rendah,
Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam dan Pembantu Hal
Ehwal Islam mula diisi sepenuhnya oleh Bahagian Perkhidmatan,
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Perancangan untuk menguruskan pentadbiran dan kewangan
secara sepenuhnya oleh Jabatan Mufti telah dilakukan
sejak pertengahan tahun 1998 lagi. Walaupun pada zahirnya
Jabatan Mufti telah berasingan dari Jabatan Agama
Islam Selangor tetapi masih berhubung rapat dan bekerjasama
dengan Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam
Selangor dalam menangani perkara-perkara yang berkaitan
dengan ajaran salah (menyeleweng).
Tanggal
22hb. Februari 1999 dengan ehsan Pejabat Setiausaha
Kerajaan Negeri, Jabatan Mufti telah berpindah ke
ruang pejabat yang baru di Tingkat 4, Podium Selatan,
Bangunan S.S.A.A.S. Maka tertubuhlah Jabatan Mufti
Negeri Selangor yang kini diberi tanggungjawab untuk
mengeluarkan fatwa dan menangani lain-lain masalah
yang berkaitan dengan Agama Islam.