Remaja Islam

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T.:

Firman Allah S.W.T. dalam surah Ad-Dukhan ayat 51 - 52 :

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ( akan ditempatkan ) di tempat tinggal yang aman sentosa - iaitu di dalam beberapa taman syurga dengan mata air terpancar padanya.

Ketahuilah bahawa balasan bagi mereka yang bertaqwa,taat dan patuh kepada perintah Allah dan kepada pengajaran Rasulullah S.A.W. ialah nikmat yang berkekalan di akhirat, kebahagiaan dalam syurga selain kesentosaan hidup di dunis. Islam amat menitikberatkan perkara ini supaya muslim samaada lelaki atau perempuan, tua atau muda dapat mengecap nikmat tersebut. Islam sentiasa memandu manusia merangkumi seluruh peringkat hidup. Daripada peringkat kanak-kanak hingga mereka berada dalam alam remaja satu tempoh yang amat mencabar dan bergelora, diperingkat umur yang amat penting dikawal dan dipelihara.

Kerana itulah Rasulullah S.A.W. berpesan dengan sabdanya :

Maksudnya : Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, hidup kamu sebelum kamu mati, sihat kamu sebelum kamu sakit, kelapangan kamu sebelum kamu sibuk, muda kamu sebelum kamu tua, kaya kamu sebelum kamu miskin.
(Riwayat Baihaqi)

Zaman muda merupakan zaman yang paling berharga dan penting kepada setiap manusia. Pada zaman inilah masa perkembangan jiwa dan minda. Oleh itu, remaja selalu terdedah kerana pelbagai cabaran dan dugaan hidup yang memerlukan iman yang teguh. Jika tidak tentu akan terjerumus dan terperangkap ke dalam kebinasaan.

Sidang Jumaat dan para pemuda yang mulia,

Ingatlah bahawa setiap akan disoal dihadapan pengadilan Ilahi di akhirat kelak. Antara pertanyaan yang akan dikemukakan ialah tentang zaman muda - bagaimana ia dipenuhi.

Sabda Rasulullah S.A.W

Maksudnya : Kedua-dua kaki anak adam itu tetap akan berdiri dihadapan tuhannya pada hari kiamat kelak sehingga selesai ditanya tentang 4 perkara :-

a) Tentang umurnya untuk apa dihabiskan
b) Tentang masa mudanya untuk apa dipergunakan.
c) Tentang hartanya dari mana diperolehi dan untuk apa dibelanjakan.
d) Tentang ilmunya apa yang sudah dibuat dengannya.
(Riwayat Termizi)

Kepada angkatan muda mudi Islam, hendaklah mengambil ingatan terhadap hadis tadi, agar dapat menjadi anggota masyarakat Islam yang menghargai dan menghayati nilai-nilai hidup yang mulia dan berfaedah kepada agama, bangsa dan tanahair. Kita seharusnya sedar, terhadap sejumlah besar muda-mudi yang dilamun kehidupan bertunjangkan hawa nafsu dan petunjuk iblis sehingga mereka sanggup melanggar tegahan Allah dan Rasulnya samada kerana buta agama atau mahu mencari kepuasan hidup. Mereka sanggup memilih kehidupan liar, yang akan memusnah dan menghancurkan masa depan mereka. Mereka lebih senang berada ditempat-tempat hiburan, kelab-kelab malam, pertunjukan pentas yang tidak terkecuali dari bermacam-macam maksiat dan perkara mungkar. Dengan itu akan larislah akhlak yang buruk, pergaulan lelaki dan perempuan yang tidak ada batasan dan membuahkan gejala-gejala buruk seperi zina, pengambilan dadah, rompak, pergaduhan dan pembunuhan. Mengapakah kita sanggup memilih cara hidup sedemikian? Hidup yang dilaknak Allah S.W.T. dan dibenci oleh anggota masyarakat yang inginkan ketenteraman dan kedamaian.

Ikhwanul - Muslimin,

Masa adalah nikmat yang paling berharga bagi kita. Oleh itu, masa yang hilang tidak dapat ditukar ganti. Kita harus sedar betapa pentingnya masa. Manusia sentiasa mengabaikan perjalanan masa dalam kehidupannya kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, tegur-menegur antara satu sama lain tentang kebesaran janji-janji Allah serta bersabar dengan dugaannya.

Bagi angkatan belia dan beliawanis Islam yang memahami hakikat ini, sudar sewajarnya mereka mengisi masa dengan usaha-usaha yang berfaedah. Mereka harus mencontohi sikap Rasulullah S.A.W. yang telah mengisi masa remaja baginda dengan perkara yang baik dan berfaedah seperti mengembala kambing dan berniaga dengan penuh minat, jujur dan amanah sehinga baginda berjaya dalam hidup sebagai seorang pemuda yang rajin dan cergas, menjadi seorang pemimpin yang disayangi dan dipatuhi, samada dalam kehidupan seharian atau dimedan perang. Baginda berjaya mengembeleng angkatan muda bagi melaksanakan perjuangan Islam seperti Ali bin Abi Talib r.a, Usamah bin Zaid dan ramai lagi para sahabat yang telah mencatat kejayaan yang cemerlang dalam sejarah perkembangan Islam. Setiap apa yang dilakukan berpedoman kepada firman Allah S.W.T. dalam surah At-Taubah, ayat 105 :

Maksudnya : Dan katakanlah ( Muhammad ) : Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang Mu'min akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada ( Allah ) yang mengetahui akan ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.

Kita berdoa semoga pemuda-pemuda kita dimasukkan ke dalam golongan pemuda-pemuda Ashabul-Kahfi, yang digambarkan oleh Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 13 :

Maksudnya : Kami ceritakan kisah mereka kepadamu ( Muhammad ) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk.

Disediakan Oleh,

Jabatan Mufti Negeri Selangor.