Al-Quran
adalah sebuah kitab suci yang merupakan kemuncak perkembangan
kitab-kitab suci yang pernah diturunkan kepada manusia
di mana tidak akan wujud sebuah kitab lain yang setanding
dengan kesucian dan kemuliaannya hingga akhir zaman.
Dengan berpegang teguh kepada Al-Quran, umat Islam pernah
mencapai dan mengubah tamadun dunia berkurun-kurun lamanya.
Umat Islam pernah menjadi contoh dan ikutan masyarakat
lain di dunia semata-mata kerana mereka yakin dan berpegang
teguh kepada Al-Quran yang dikurniakan oleh Allah kepada
mereka. Begitulah hebatnya umat Islam yang berpedoman
kepada Al-Quran dalam perkembangan sejarah dunia dan
manusia pada masa lampau. Kini kita sedar kelemahan
Umat Islam di abad ini, dan faktor utama kemunduran
adalah kerana kita tidak sanggup mengamalkan prinsip-prinsip
hidup majmuk dan kehidupan mulia untuk semua umat manusia
seperti yang dianjurkan oleh Al-Quran kepada kita. Ia
juga disebabkan kelemahan iman kita bagi mempercayai
kemampuan Al-Quran di dalam mengatur suatu bentuk masyarakat
yang kita harap-harapkan. Malah dalam kebanyakan perkara
umat Islam tidak lagi memberi ketulusan hati dan penghormatan
terhadap kalam Allah, ada di antara kita tidak mahu
lagi memandang Al-Quran sebagai perlembagaan hidup yang
sebenarnya.
Ikhwanul-Muslimin,
Penghormatan yang diberikan kepada Al-Quran oleh kebanyakan
umat Islam masa kini tidak lebih daripada penghormatan
zahir ( kulit) semata-mata. Ada orang yang menghornati
Al-Quran dengan cara meletakkan Al-Quran itu ditempat
yang tinggi atau dijadikan perhiasan bersama-sama dengan
buku-buku bacaan yang lain. Dalam penggunaan pula, Al-Quran
hanya dibaca oleh kebanyakan kita ketika saudara0saudara
kita ditimpa sakit atau sesudah meninggal dunia. Begitu
juga dalam pembukaan atau penutup sesuatu majlis keramaian
sahaja dan tidak lebih daripada itu. Sesungguhnya segala
rupa bentuk penghormatan zahiriah yang seumpamanya itu
adalah amat jauh daripada kehendak penurunan Al-Quran
itu sendiri.
Firman
Allah S.A.W.,
|
Maksudnya
: Ini ialah kitab (Al-Quran), kami turunkannya
kepada kamu supaya engkau mengeluarkan manusia
seluruhnya dari gelap gelita (Kufur) kepada
cahaya iman dengan izin tuhan mereka ke jalan
Allah yang maha kuasa lagi terpuji.
|
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Al-Quran tidak diturunkan untuk perhiasan di dinding-dinding
rumah atau ditempat buku semata-mata, bahkan ia wajib
diperhiaskan pada peribadi dan jiwa setiap muslim. Ia
juga harus dimengertikan dan difahami serta diamalkan
isi kandungannya. Malah lebih jauh daripada itu Al-Quran
tidak diturunkan kepada mereka yang sakit dan telah
meninggal dunia bahkan lebih penting untuk mereka yang
masih hidup, sihat tetapi berpenyakit jiwa, kufur dan
tidak beriman.
Firman
Allah S.W.T :
|
Maksudnya
: Dan kami turunkan beransur-ansur daripada
Al-Quran suci yang menjadi penawar dan rahmat
bagi orang-orang yang beriman kepadanya.
|
Oleh
itu marilah kita renungkan satu keadaan yang lebih malang
daripada itu, ada diantara kita pada hari ini sangat
jauh daripada membaca Al-Quran. Ramai saudara-saudara
kita yang tidak tahu membaca Al-Quran. Kitab yang sama-sama
kita imani. Kejahilan ini buka dikalangan kanak-kanak,
malah pemuda dan orang dewasa. Mereka lebih berminat
dan mudah mengetahui bahasa asing seperti Bahasa Inggeris,
Mandarin dan bahasa-bahasa lain malah ada yang mengetahui
Bahasa Korea dan Jepun. Malangnya ada yang belum boleh
membaca Al-Quran, lebih-lebih lagi untuk memahami isi
kandunganNYA. Kita asyik memandang ke timur dan ke barat,
utara dan selatan tetapi kita tidak cuba memandang Al-Quran
secara bersungguh-sungguh untuk dihayati di dalam kehidupan
sehari-hari.
Sidang
Jumaat Yang dihormati Sekalian,
Sehingga ke hari ini sudah puluhan tahun kita menganjurkan
Tilawah Membaca Al-Quran, berjuta-juta ringgit dibelanjakan
sepanjang tempoh tersebut. Namun persoalan tentang kejahilan
umat Islam dalam mengenali dan mendalami Al-Quran tetap
menjadi persoalan yang tiada penghujungnya. Tidak ada
jawapan pada persoalan tersebut kecuali apabila kita
benar-benar berlapang dada dan fikiran serta bersedia
menerima Al-Quran sebagai ikutan dan pegangan hidup.
Bertolak dari sini, penekanan terhadap ilmu pendidikan
Al-Quran kepada anak-anak hendaklah dititikberatkan
dengan cara penuh tanggungjawab dan bersungguh-sungguh.
Jika kita sanggup membelanjakan wang yang banyak kepada
kelas tambahan untuk anak-anak kita pada ilmu-ilmu yang
lain, mengapa tidak dengan kelas-kelas Al-Quran. Jika
kita boleh mengenal bahasa-bahasa asing atau ilmu-ilmu
lain dengan sebegitu susah, mengapa tidak kita mencuba
mengenal bahasa Al-Quran yang mengandungi mu'jizat yang
mulia.