Sidang
Jumaat Yang Berbahagia,
Bersama-sama kita bertakwa kepada Allah dan ketahuilah,
sesungguhnya Allah S.W.T. telah menjelaskan kepada kita
jalan-jalan kebahagiaan dan hadiah, semoga pintu-pintu
rahmat dan taufiknya diberi kepada sesiapa yang dikehendakinya
dari Allah S.W.T juga melindungi segala bala bencana
dengan kekuasaan dan kehendaknya. Oleh itu berdoalah
kita bersama. Semoga Allah S.W.T meneruskan rahmatnya
kepada kita semua termasuk negara dan semua penghuninya,
InsyaAllah.
Tajuk khutbah kita hari ini ialah " Mencari kepuasan
hidup di dunia ini tidak ada akhirnya".
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita sebagai manusia hidup di dunia ini sewajarnya dapat
memahami persoalan bagi diri kita, iaitu apa erti hidup
ini? Hidup ini untuk siapa dan untuk apa? Dan adakah
hidup ini sudah bermakna?
Persoalan tersebut sering menjelma dalam fikiran manusia.
Antaranya sedar ataupun tidak, kita selalunya bertanya
kepada diri kita sendiri tentang persoalan yang tidak
kunjung selesai ini. Ada masa dan waktunya kita hilang
jawapan dan pastinya kita akan terus mencari jawapan
untuk menyempurnakan keyakinan kita terhadap hidup ini.
Mungkin ada sebab-sebab yang tertentu yang menimbulkan
kegawatan hidup akhir-akhir ini. Mungkin manusia terlalu
jauh dari dirinya. Manusia boleh jadi terasing dari
dirinya sendiri apabila saban hari dan masa memilirnya
perkara-perkara lain diluar dirinya.
Hal-hal ini terjadi dengan jelas jika direnungkan matlamat
hidup manusia di zaman ini. Manusia di zaman ini terlalu
maju dalam mencipta sesuatu benda bagi keperluannya.
Ini adalah suatu perkembangan yang amat baik. Kekaguman
mausia meneroka alam ini dan terlalu asyik hingga boleh
menyebabkan mereka lupa akan tujuan hidup dan mereka
lupa kepada hidup mati itu sendiri. Manusia cuba mencipta
pelbagai kemajuan, tetapi mereka lupa kepada tuntutan
hati kecilnya sendiri. Manusia terus membuat pelbagai
perubahan untuk mencari kepuasan hidup. Sedangkan kepuasan
hidup itu tidak juga kunjung tiba, sebaliknya mereka
bertambah kecewa, dalam kekecewaan itu, mereka terus
mencari sesuatu yang lain untuk mengubah penyakit kekecewaan
itu, mungkin manusia tidak menyedari bahawa kekecewaan
itu adalah cetusan dari dalam dirinya sendiri, iaitu
cetusan rohani bukannya penyakit lahiriah.
Maka dengan itu akaibat dari kejahilan mengenali cetusan-cetusan
rohani itu, manusia gagal mencari ubat ataupun penawar
yang sebenarnya untuk menyembuhkan penyakit kecewa mereka.
Sebahagian daripada mereka itu telah memilih pelbagai
ubat, maka banyaklah yang tersalah pilih. Hasil dari
tersalah pilih itu, maka berlakulah pelbagai penipuan,
penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, kepentingan diri,
rasuah dan lain-lain lagi. Ini semua adalah hasil daripada
kekecewaan dan ingin mencari kepuasan hidup di dunia.
Rasulullah
didalam sebuah hadisnya :
|
Bermaksud
: Hendaklah kamu hidup di dunia ini seolah-olah
kamu berdapang atau dalam perjalanan.
|
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati,
Persoalannya mengapakah manusia di dunia ini diberi
kepercayaan untuk mentadir alam ini dan diberi takrif
khalifah atau penguasa? Tanggungjawab manusia sebagai
khalifah ialah untuk mentadbir alam dengan sebaik-baiknya.
Firman
Allah S.W.T,
|
Bermaksud
: " Ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada
malaikat, sesungguhnya aku hendak menjadikan
seorang khalifah di muka bumi, mereka berkata
"Mengapa engkau hendak menjadikan ( khalifah
) dibumi ini orang yang akan membuat kerosakan
padanya dan menumpahkan darah. Pada hal kami
sentiasa bertasbih dengan memuji engkau dan
mensucikan engkau," tuhan berfirman : Sesungguhnya
aku lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui".
|
Daripada
ayat diatas, jelaslah kepada kita bahawa kuasa sebagai
khalifah adalah kuasa yang dipinjamkan oleh Allah berasaskan
syarat-syarat yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Dengan
makna yang lain, bahawa manusia hanyalah memegang amanah
untuk mentadbir alam ini dan janganlah sekali-kali mengingkari
apa yang telah disyaratkan oleh Allah sebagai pemegang
amanah. Jika kita mematuhi syarat-syarat ini, maka sudah
tentu manusia itu lebih bermakna bagi dirinya sendiri.
Sidang
Jumaat Yang Berbahagia,
Sebahagian masyarakat pada hari ini, gagal melihat hidup
sebagai satu kesatuan, sebaliknya mereka melihat hidup
ini dari aspek-aspek tertentu sahaja. Sememangnya kita
tidak boleh menafikan lagi bahawa manusia tidak berupaya
mencipta hidupnya sendiri, mengapa?. Ini kerana manusia
itu mempunyai sifat-sifat yang terbatas dan daya fakir
yang amat terhad. Adalah amat mustahil, manusia mampu
mencipta kehidupan yang lebih sempurna tanpa keizinan
dan keredhaan dari Allah S.W.T. Oleh itu, kita sebagai
manusia sewajibnya merasa insaf bahawa kita adalah ciptaan
Allah S.W.T. Maka dengan sebab itu, sampailah masanya
kita dirahmati dan diredhainya samada di dunia dan juga
akhirat.
Kesimpulannya
:
1.
Erti hidup yang sebenar ialah mentaati segala titah
perintah llah S.W.T dan melakukannya. Sekaligus menjauhi
segala larangan Allah dan tidak sekali-sekali melakukannya.
2. Tujuan hidup ialah semata-mata untuk mencari keredhaan
dan keampunan Allah.
3. Hidup akan bermakna jika mendapat rahmat dan hidayah
Allah yang boleh membawa kejayaan yang sebenar di dunia
dan akhirat.