Jiwa Merdeka

Sidang jumaat yang berbahagia,

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana tidak berapa lama lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan bertepatan dengan tanggal 31 Ogos 2000. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu kembali mengingati Hari Kemerdekaan tanahair yang ke-43. sebelum itu negara dan rakyat kita khasnya umat Islam hidup ratusan tahun dibawah kongkongan penjajah. Ini bererti jika ditinjau dari segi umurnya telah pun mengjangkau zaman remaja dan telah mula dewasa jiwanya jika diibaratkan sebagai seorang teruna.

Sesungguhnya kemerdekaan itu satu kurniaan yang sangat tinggi nilainya. Kemerdekaan ertinya bebas daripada sebarang penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh manusia ke atas manusia, bebas daripada sifat-sifat perhambaan dan kongkongan samada secara langsung atau tidak langsung.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Sesungguhnya kita sebagai umat islam yang hidup ditanahair ini mempunyai tanggungjawab dan peranan dan fungsi manusia itu sendiri seperti firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 30:

Maksudnya: Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat; "sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi ini"

Inilah puncak tugas kita Umat Islam dinegara yang merdeka ini. Satu tugas yang diamanahkan oleh Allah S.W.T meliputi segala bidang kehidupan, dasar-dasar dan cara berfikir, perasaan dan perbuatan,perundangan dan peraturan. Seterusnya meliputi nilai-nilai hidup samada berupa kebendaan dan kerohanian. Semua hendaklah berlandaskan system islam sesuai dengan apa yang disifatkan oleh Allah S.W.T dalam ayat yang disebut tadi.

Oleh itu, setelah sekian lama kita mengecap nikmat kemerdekaan, maka kita berkewajipan mengisi nikmat kemerdekaan itu dengan apa jua perkara demi kemajuan diri, bangsa dan negara terutama dibidang keagamaan terutama dibidang keagamaan agar ia benat-benar dapat dinikmati oleh kita dan keturunan kita di masa akan datang. Dan anggaplah diri kita sebagai pelopor atau panglima yang dapat mencipta kemajuan bangsa dan negaranya untuk diikuti oleh generasi muda akan datang. Kita masih jauh tertinggal, masih ramai yang lena dari jaga, masih ramai yang leka dan lalai. Dalam memperingati kemerdekaan, kita , mengharapkan segala bentuk penjajahan yang masihlagi menguasai pemikiran, ekonomi dan nilai-nilai kebudayaan hendaklah dikikis kerana ianya tetap merupakan pencabulan hak-hak asasi manusia dan penodaan terhadap kesucian (fitnah) yang dikurniakan oleh Allah. Lebih-lebih lagi pengaruh luar daripada kuasa-kuasa asing dengan taktik dan teknik yang serba canggih, bertindak dengan segala macam cara untuk menguasai umat manusia terutama sekali ketas Umat Islam. Mereka ingin melihat aqidah dan akhlak Umat Islam rosak. Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah ayat 32:

Mereka hendak memadamkan cahaya allah (Agama Islam) dengan mulut mereka (ucapan) sedangkan Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayanya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Ikhwanul Muslimin,

Umat islam telah mendapat satu penghormatan daripa Allah iaitu sebagi umat contoh. Adalah wajar bagi kita sekalian kembali mengingati bahawa semua pembangunan daripada kecerdasan pemikiran hinggalah ke bidang ilmu pengetahuan, ekonomi, sosial dan sebagainya dapat mencapai matlamat kecemerlangan seperti yang telah di gariskan oleh Islam. Oleh itu marilah mendengar doa yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud;

Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi perlindung urusanku. Dan perbaikilah bagiku duniaku yang didalamnya ada penghidupanku. Dan perbaikilah bagiku akhiratku yang kepadanya tempat kembaliku. Dan jadikanlah hidup itu sebagai tambahan bagiku dalam tiap-tiap kebajikan. dan jadikanlah mati itu sebagai kelepasan bagiku setiap kejahatan.

Dari doa baginda tadi terdapat tiga perkara yang menjadi tugas mutlak bagi kaum muslimin sebagai khalifah untuk dilaksanakan iaitu kebaikan dalam perkara agama, kebaikan dalam perkara dunia dan kebaikan dalam perkara akhirat. Ketiga-tiga aspek ini mempunyai kaitan yang amat rapat diantara satu sama lain.

Sehubungan dengan itu marilah kita perhatikan amaran Allah S.W.T dalam surat Al-Baqarah ayat 120; yang bermaksud

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka. Katakanlah (kepada mereka) : " Sesungguhnya petunjuk Allah (Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan perolehi dari Allah (sesuatu) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu