Model Seorang Panglima dan Pengurusan Tentera

Ketenteraan adalah satu aspek yang tidak dapat dipisahkan sama sekali daripada perjalanan hidup Rasulullah SAW bahkan aspek ini adalah merupakan madrasah yang digunakan oleh Rasulullah SAW dalam menjana generasi sahabat yang di dalamnya teradun dengan konsep jihad secara bersepadu. Ketenteraan dalam pentadbiran baginda sebenarnya boleh diibaratkan bagai aur dengan tebing dalam mengukuh barisan pertahanan bagi menghadapi cabaran berterusan yang terpaksa dihadapi demi sebuah daulah baru dengan pemikiran baru yang amat mempengaruhi situasi politik, ekonomi, sosial dan budaya ketika itu. Ayat suci Al-Quran telah diruangi dengan banyak ayat dan surah yang membicarakan persoalan jihad dan kekuatan yang terus-menerus memberi bimbingan dan tarbiah. Allah SWT telah menjelaskan dalam surah Al Anfal ayat 60 ;

Maksudnya:

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang yang dengan persiapan itu kamu menggentarkan musuh allah ,musuh mu dan orang selain mereka yang tidak mengetahui sedang Allah mengetahui.Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepada mu dan tidak akan dianiayakan.

Apabila menyentuh tentang jihad, umat Islam tidak semestinya berada dalam zon peperangan atau konflik persenjataan, tetapi apa yang dimaksudkan dengan jihad adalah setiap umat Islam mesti dilibatkan dan diorientasikan dengan pengalaman dan penjelajahan yang disepadukan dengan konsep yang memungkinkan umat Islam dalam keadaan kesiapsiagaan yang menjamin kelangsungan dan kesinambungan umat Islam itu sendiri.

Sebagai seorang panglima perang, Rasulullah saw tidak melepaskan tanggungjawabnya dalam mengambil langkah-langkah bagi memastikan setiap keputusan yang diambil dalam operasi-operasi ketenteraan itu tepat dan menjamin kejayaan sekaligus selari dengan tujuan dan matlamat penglibatan baginda di dalam sesuatu peperangan. Lebih-lebih lagi pengurusan ketenteraan atau sesebuah angkatan bersenjata itu tidak seperti pengurusan-pengurusan yang lain kerana ianya akan melibatkan nyawa dan harta benda.

Oleh yang demikian, Rasulullah saw dalam rangka mengurus angkatan bersenjata telah merangka satu doktrin peperangan yang jelas bermatlamatkan konsep ketauhidan kepada Allah swt dijadikan sebagai paksi utama atau etika dalam peperangan..

Dengan membina sistem ketenteraan dan pertahanan yang berasaskan kepada mempertahankan diri maka doktrin tersebut dijadikan sebagai madrasah bagi membina warga bagi sebuah daulah yang baru yang memahami seterusnya menghayati konsep sebenar dibenarkan peperangan dalam Islam.Keizinan ini juga seterusnya menjamin kelangsungan umat yang terjana dengan kekuatan iman, maka kerangka yang dibina itu tidak tertumpu hanya kepada daulah dan kepentingannya sahaja malah ia turut mengambil kira kepentingan pejuang atau mujahid itu sendiri yang terlibat secara langsung atau tidak dalam sesuatu peperangan.Keizinan perang dalam Islam didasari dengan mempertahankan diri jika dizalimi.Firman Allah SWT dalam Al Hajj ayat 39 ;

Maksudnya:

Maksudnya: Telah diizinkan berperang bagi orang yang telah diperangi,sesungguhnya merekatelah dianiaya.Sesungguhnya Allah benar-benar berkuasa menolong mereka itu.

 

Strategi Kemenangan.

1) Janji Allah kepada yang syahid adalah Syurga .

Antara kekuatan tentera Islam yang berjuang dijalan Allah mereka bukan sahaja akan dapat memartabatkan agama Allah bahkan ia diperkukuhkan dengan janji Allah iaitu akan mendapat ganjaran Allah yakni syurga bagi mereka yang gugur. Ia merupakan satu pengiktirafan yang amat tinggi disisi Allah swt. Para pejuang agama allah akan berasa bahawa mereka dalam keuntungan samada mencapai kemenangan atau syahid dijalan Allah.Di sinilah terserlahnya keunikan dan keindahan madrasah ketenteraan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW.Jika dibandingkan dengan konsep ketenteraan dalam tamadun lain atau ajaran lain , rata-rata mereka berperang hanya untuk kepentingan individu seperti semata-mata untuk merebut harta rampasan atau sebagainya atau atas kepentingan kumpulan yang mengguna dan memperalatkan negara serta rakyat mereka sendiri.

2) Pembangunan Spiritual


Sebagai arkitek dalam melakar strategi dan persiapan ke arah melahirkan pejuang tulen, tiada sedikitpun ruang yang dibiarkan oleh baginda berlalu kosong tanpa pengisian. Oleh itu, proses taqarrub kepada Allah melalui ibadat khusus bagi mendapat rahmat dan keredhaan Allah tetap menjadi resepi utama bagi membolehkan para sahabat bergelar mujahid. Dengan itu, ia telah menjadi modul kepada pendidikan bersepadu dalam pengurusan ketenteraan pimpinan Rasulullah SAW. Saidina Umar pernah mengungkap kalimah yang menggambarkan peri pentingnya aspek kerohanian untuk menjamin sesuatu kemenangan dan untuk mendapat mardhatillah yang berbunyi:

Maksudnya:

Maksudnya: Telah diizinkan berperang bagi orang yang telah diperangi,sesungguhnya merekatelah dianiaya.Sesungguhnya Allah benar-benar berkuasa menolong mereka itu.

Maksudnya:Kemenangan itu milik kamu adalah kerana ketaatan kamu kepada Allah dan kemaksiatan musuh Allah.Sekiranya kedua duanya melakukan maksiat maka keutamaan dan kekuatan itu milik musuh kamu.

Di sepanjang sejarah kepimpinan Rasulullah saw dalam ketenteraan, baginda telah menampilkan satu corak perancangan dan strategi yang boleh dianggap sebagai luar biasa dalam menjayakan misi-misi ketenteraan kerana setiap operasi yang dilaksanakan tetap berakhir dengan kejayaan sekalipun sebelum itu baginda tidak pernah terdedah dengan sebarang operasi ketenteraan. Ini adalah salah satu rahsia kejayaan bila mana setiap tentera diisi dengan kekuatan rohani yang sentiasa berkeyakinan tinggi dengan janji Allah.Sebagai contoh, dalam peperangan-peperangan yang besar terdapat di mana peratus tentera yang terkorban adalah kecil.

Peperangan
Bil Tentera
Terkorban
Peratus
Badar
313
14
4.47 %
Uhud
700
71
10 %
Bani Mustaliq
1,030
1
0.1 %
Khandak
3,000
6
0.2 %
Bani Quraizh
3,000
1
0.03 %
Khaibar
1,600
21
1.3%
Al-Fath
10,000
2
0.02 %
Hunain
12,000
4
0.03 %

3) Perancangan yang baik dan teratur

Merujuk kepada data dalam jadual, ia memperlihatkan kualiti tentera Islam sesungguhnya berada pada tahap yang mengkagumkan. Pencapaian ini bukan diperolehi secara spontan malah ia merupakan hasil daripada suatu kekuatan perancangan Rasulullah saw sendiri. Tiada keraguan bahawa strategi Rasulullah dalam beberapa siri peperangan telah menghasilkan konsep ketenteraan Islam yang menjadi asas dalam menangani konflik persenjataan. Konsep ini harus dikembangkan bersama perkembangan tamadun itu sendiri demi survival umat dan tidak harus dipinggirkan dari arus perdana pemikiran umat Islam khasnya.Saidina Umar pernah menjelaskan bahawa :

Maksudnya:

Kebenaran yang tidak ada perancangan akan dapat ditewaskan dengan kebatilan yang terancang

4) Rancangan yang dirancang dibawah wahyu dan bantuan Allah

Dalam peperangan, aspek psikologi adalah faktor yang amat penting dalam mengawal tekanan perasaan yang dihadapi oleh setiap pejuang. Keyakinan terhadap kekuatan diri dan pasukan adalah di antara perkara yang sering menjadi perhitungan dalam menentukan sikap dan kawalan emosi. Dalam aspek ini, Rasulullah saw telah berjaya mengatasinya dengan berkesan sekali melalui pendekatan psikologi peperangan menerusi wahyu Allah sehingga moral tentera Islam sentiasa berada di tahap yang tinggi dan memberangsangkan. Allah SWT menjelaskan pada ayat 249, surah Al-Baqarah misalnya telah memberi satu suntikan semangat yang amat berkesan,

Maksudnya:

` …..Berapa banyak ( yang pernah terjadi ), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah, dan Allah ( sentiasa ) bersama orang-orang yang sabar` .

Ayat ini telah memberi keyakinan kepada tentera-tentera Islam apabila mereka menghadapi situasi atau keadaan yang rumit.

5) Maklumat perisikan yang terancang

Maklumat adalah asas di dalam sesuatu perancangan dan tindakan, aspek ini tidak pernah diabaikan oleh baginda dalam sebarang tindakannya lebih-lebih lagi tindakan ketenteraan yang tentunya menjadi amat penting kerana ia banyak membantu mencapai kemenangan dalam sesuatu peperangan. Sebagai contoh, baginda sendiri melaksanakan tugas mengumpul dan menganalisa maklumat yang diperolehi sebelum melancarkan serangan.

Diriwayatkan sebelum peperangan Badar bermula, Rasulullah saw sendiri dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar r.a. telah membuat tinjauan mengenai kedudukan tentera musuh.

Bagi merealisasikan kaedah ini, siri perisikan dan pengintipan bagi mendapatkan maklumat tentang tentera musuh dari aspek senjata, pergerakan, perancangan dan tujuan mereka sentiasa dilakukan oleh baginda. Aktiviti ini melibatkan penghantaran kumpulan-kumpulan kecil ke tempat-tempat yang dijangka dilalui oleh musuh. Pengintip hanya dihantar untuk mengumpul maklumat-maklumat perlu tentang pihak musuh.

Sebagai contoh antara seni dalam perisikan ialah melalui mengetahui jumlah makanan tentera dan anggaran jumlah tentera . Begitu juga taknik tersebut melalui tipu daya dengan cara berpura -pura lari dari perang tetapi sebenarnya untuk menyusun strategi baru,menguasai kawasan yang tinggi sebagai mana yang berlaku dalam perang uhud dan beberapa lagi taknik bagi mencapai kemenangan .Jika kita lihat kemahiran ini bukan semua pasukan tentera mengetahui bahkan ia sebenarnya merupakan bimbingan Allah dan kebijaksanaan Rasulullah.Firman Allah SWT dalam surah Al Anfal ayat 15-16

Maksudnya:

Wahai orang -orang yang beriman apabila kamu bertemu dengan musuh yang sedang menyerang mu maka jangan lah kamu membelakanginya(mundur).Barang siapa yang membelakangi mereka diwaktu itu kecuali berbelok untuk menyiasat atau bergabung dengan kumpulan yang lain maka sesungguhnya maka orang itu kembali dengan membawa kemurkaan Allah dan tempat mereka ialah neraka jahannam dan amat buruk tempat kembalinya.

Demikian juga , mereka sentiasa diberi arahan agar tidak melibatkan diri dalam apa cara sekalipun dengan pihak musuh. Apabila maklumat telah diperolehi, adalah menjadi tugas perisik untuk mengambil keputusan yang praktikal bagi tujuan merangka strategi. Analisis data yang diperolehi akan membantu untuk menyediakan maklumat-maklumat yang perlu yang mempunyai nilai strategi yang tinggi.

Menelaah dan mengkaji sejarah Rasulullah saw dalam menguruskan ketenteraan, akan memberikan kita peluang keemasan untuk mengaut atau mengendong sebanyak mungkin pengajaran atau iktibar yang membolehkan seseorang itu mempunyai sifat berdaya maju kerana sentuhan sirah Rasulullah saw itu tentu akan mengetuk jiwa dan akal kita bagi membangkitkan ransangan berfikir secara berilmu, berhemah dan berketerampilan.

Semoga apa yang ditunjukkan akan memberi pengajaran sebagai pengikut setia kepada Nabi Muhammad s.a.w.