Bulan
Rejab adalah di antara bulan yang mulia dalam
Islam. Umat Islam tentu akan memperingati dan
menghormati kedatangan bulan ini saban tahun.
Pada malam 27 Rejab tahun kesebelas kerasulan
Nabi Muhammad s.a.w telah terjadi suatu peristiwa
luar biasa yang menggemparkan serta menakjubkan
alam fikiran, iaitu peristiwa Israk Mikraj.
Israk
bererti, Allah s.w.t membawa atau memperjalankan
Nabi Muhammad s.a.w pada malam hari dari Masjidil
Haram ( Mekah ) ke Masjidil Aqsa di Palestin.
Manakala Mikraj adalah perjalanan Nabi Muhammad
s.a.w. naik ke langit. Dengan itu, Israk Mikraj
bermaksud perjalanan Nabi Muhammad s.a.w di
malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa,
kemudian naik ke langit ke Sidratul Muntaha,
dengan menembusi planet-planet dunia serta menjelajahi
tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Mekah
pada malam itu juga.
Peristiwa
Israk Mikraj yang dialami sendiri oleh Nabi
s.a.w dengan jasad dan tubuhnya ini adalah satu
peristiwa ghaib yang mustahil dapat dijangkau
oleh alam pemikiran manusia. Dikatakan luar
biasa kerana kejadian tersebut dilalui oleh
Nabi Muhammad s.a.w. dalam waktu yang singkat
cuma 1/3 malam. Walhal jika difikirkan jarak
antara Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa bukanlah
suatu jarak yang dekat, lebih-lebih lagi naik
ke langit hingga ke langit yang ke tujuh. Kemudian
banyak peristiwa dialami dan banyak pula pemandangan
yang dapat dilihat oleh banginda terutamanya
kenikmatan di syurga dan juga berbagai bentuk
penyiksaan di neraka.
Setelah
Nabi Muhammad s.a.w selesai mengalami Israk
Mikraj yang menakjubkan itu, baginda membuat
pengumuman di hadapan orang ramai untuk memberitahu
yang baginda telah diisrak mikrajkan oleh Allah
s.w.t disamping menceritakan juga semua perkara
yang baginda alami ketika itu, dengan harapan
golongan kafir Quraisy yang mendengar penjelasan
Nabi Muhammad s.a.w. itu akan beriman kepada
Allah s.w.t dan mengikut ajaran Islam. Namun
mereke tidak mempercayai kata-kata baginda malah
memperolok-olokkannya dengan dalih bahawa semua
cerita Nabi Muhammad s.a.w. itu tidak masuk
akal. Hanya sedikit sekali yang beriman, itupun
dalam keadaan percaya atau tidak.
Bagi
kita selaku Muslim, kejadian Israk Mikraj ini
tidaklah sulit untuk difikirkan kerana kita
mengetahui bahawa apa sahaja boleh berlaku dengan
kehendak dan kekuasaan Allah s.w.t.Nabi Muhammad
s.a.w. berangkat dari Masjidil Haram bersama
malaikat Jibril adalah dengan menaiki buraq
yang sekali melangkah, jauhnya adalah sejauh
mata memandang. Sesungguhnya peristiwa Israk
Mikraj benar-benar dialami oleh Nabi Muhammad
s.a.w. kerana telah termaktub dalam Al-Quran.
Allah
s.w.t berfirman :
|
|
|
Maksudnya
: " Maha Suci Allah s.w.t. yang telah
memperjalankan hamba-Nya ( Nabi s.a.w)pada
suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke
Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati
sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya
sebahagian dari tanda-tanda ( kebesaran
)Kami, Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar
Lagi Maha Mengetahui"
(Al-Isra ': 1)
|
Apabila
kita meneliti catatan sejarah, didapati bahawa
pada bulan Rejab tahun kesebelas dari kerasulan,
Nabi Muhammad s.a.w. benar-benar berada di puncak
kesedihan. Baginda telah menghadapi dua musibah
berturut-turut, iaitu kehilangan dua insan yang
amat berjasa dan sangat baginda kasihi lantaran
pergi buat selama-lamanya menghadap ilahi. Musibah
yang dimaksudkan ialah wafatnya Siti Khadijah,
isterinya yang tercinta. Tidak lama kemudian
menyusul pula bapa saudaranya iaitu Abu Talib.
Tahun tersebut adalah tahun dukacita bagi Rasulullah
bukan sekadar kehilangan seorang isteri yang
telah menumpahkan taat setia, kasih saying dan
ketabahan yang luar biasa, tetapi Khadijah juga
berfungsi sebagai sumber inspirasi dalam perjuangan
Rasulullah s.a.w.
Sebagai
insan berharta, Siti Khadijah telah mempersembahkan
sebahagian harta miliknya dengan penuh ikhlas
dan rela demi kepentingan dan kemajuan dakwah
Rasul dalam usaha menegakkan risalah Islamiah.
Adanya Siti Khadijah di sisi dengan perangsang
yang diberikan, Nabi Muhammad s.a.w. merasa
segala beban berat yang dipikulnya menjadi ringan
dan segala kepahitan sedikit sebanyak terubat,
sehingga Rasulullah s.a.w. mendapat kekuatan
dan semangat untuk mengembangkan Islam. Siti
Khadijah banyak berkorban dan memberi sokongan,
baik dengan harta mahu pun kiwa raganya dalam
usaha pengembangan agama Islam.
Demikian
juga halnya dengan kewafatan Abu Talib, bapa
saudaranya yang bermati-matian membela dan melindunginya
daripada ancaman orang kafir Quraisy. Lantaran
Abu Talib tergolong di dalam orang yang disegani
dikalangan bangsa Arab, menyebabkan orang kafir
Quraisy tidak berani menganggu Nabi secara terang-terangan.
Namun setelah Abu Talib dan Siti Khadijah wafat,
mereka tidak lagi segan-segan mengganggu, mengejek
serta mengancam Nabi.
Setelah
Nabi Muhammad s.a.w merasa ruang untuk pergerakan
dakwah di kota Mekah semakin sempit dan keselamatan
umat Islam tidak lagi begitu terjamin, Rasulullah
s.a.w. memutuskan untuk pergi ke Taif dengan
harapan penduduk Taif akan menerima seruan sekaligus
membantu perjuangannya.Namun di luar dugaan,
penduduk Taif bukan hanya tidak mahu memberi
perlindungan kepada Nabi, malah Nabi pula menerima
berbagai cacian, penghinaan bahkan penganiayaan.
Rasullullah
s.a.w. kembali ke Mekah dengan perasaan hampa.
Betapa beratnya penderitaan yang diterima oleh
baginda tentunya dapat kita bayangkan. Dalam
keadaan seperti itu, untuk menghibur dan meningkatkan
iman, Rasulullah s.a.w maka Allah s.w.t memerintahkan
kepada malaikat Jibril agar Rasulullah s.a.w.
di Israk Mikrajkan. Dari peristiwa Israk Mikraj
ini terdapat beberapa hikmah yang terkandung
di dalamnya, diantaranya ialah :
1.
Agar manusia sentiasa mengadakan hubungan dengan
Allah s.w.t, baik di kala ditimpa kesusahan
mahu pun di kala mendapat kesenangan. Ini kerana
hanya Allah s.w.t sajalah yang mampu memberikan
pertolongan dan menghilangkan segala kesedihan
serta kesusahan pada diri manusia, sebagaimana
Nabi Muhammad s.a.w. telah ditimpa beberapa
musibah sebelum terjadi Israk Mikraj. Ia memberi
pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri
kepada Allah s.w.t sewaktu didatangi musibah
dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan.
Caranya
tentu saja dengan melaksanakan semua yang diperintah-Nya
dan menjauhi kesemua larangan-Nya, disamping
terus meningkatkan ketaqwaan dan amal ibadah.
Ternyata apabila Jibril mengajak Nabi Muhammad
s.a.w. berangkat dan keberangkatan itu adalah
bertujuan untuk menemui Allah s.w.t., alangkah
gembiranya hati baginda. Lupa is segala yang
berlaku, tidak dihiraukan lagi kegelapan malam
dan jauhnya perjalaan yang akan ditempuh malam
itu.
2.
Dalam perjalanan Israk Mikraj, tepatnya sewaktu
Nabi Muhammad s.a.w diajak meninjau keadaan
neraka, baginda ditunjukkan berbagai bentuk
penyiksaan yang amat dahsyat sedang dialami
oleh berbagai kaum akibat dari segala macam
bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan.
Misalnya, baginda bertemu dengan satu kaum yang
memecah kepala mereka dengan batu besar, setelah
pecah ia kembali lagi seperti sediakala. Malaikat
Jibril menyatakan mereka ini orang yang berat
kepalanya mengerjakan solat. Nabi Muhammad s.a.w.
juga melihat lain-lain bentuk penyiksaan seperti
siksaan bagi pemakan riba', penzina, orang yang
suka memfitnah dan lain-lain. Ini semua memberi
teladan dan iktibar agar kita yang hidup di
dunia ini tidak melakukan perbuatan-perbuatan
tersebut dan lain-lain perbuatan yang jelas
dilarang oleh Allah s.w.t
3.
Mendapat perintah solat sebagai suatu bentuk
ibadah.Sesungguhnya kewajipan solat berbeza
dengan kewajipan-kewajipan lain seperti puasa,
zakat dan haji. Lantaran itu kewajipan solat
disampaikan oleh Allah s.w.t secara langsung
kepada Nabi Muhammad s.a.w tanpa melalui perantaraan
malaikat Jibril. Solat merupakan amalan yang
paling awal dihisab di akhirat kelak. Ini menunjukkan
bahawa solat memiliki kelebihan berbanding ibadah-ibadah
lainnya. Kita seharusnya bersyukur kerana melalui
ibadah solat, seseorang muslin berpeluang untuk
berdialog terus dengan Allah s.w.t.
4.
Memperlihatkan kebesaran Allah s.w.t sebagai
pencipta, agar keyakinan terhadap kekuasaan
-Nya benar-benar tumbuh dijiwa manusia. Sesungguhnya
Allah s.w.t. yang mencipta alam yang serba luas
dan indah ini. Dalam Israk Mikraj, Allah s.w.t.
memperlihatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. akan
keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan- Nya
yang terdapat di alam yang lain, seperti Sidratul
Muntaha, syurga dan lain-lain.
Adalah
diharapkan umat Islam yang memperingati peristiwa
Israk Mikraj saban tahun tidak sekadar ikut-ikutan
atau cuma memperingati tanggal berlakunya peristiwa
tersebut, tetapi berlalu kosong tanpa penghayatan.
Apa yang penting, berbagai hikmah yang terkandung
di dalamnya hendaklah direnung dengan teliti,
agar dapat memberi nilai tambahan dalam kehidupan,
baik dalam usaha meningkatan ketaqwaan dan prestasi
ibadah kepada Allah s.w.t. mahupun untuk peningkatan
ilmu pengetahuan terutama dalam menghadapi dunia
yang semakin mencabar.